Soalan yang biasa didengari dalam proses mendapatkan polisi perlindungan pertama selalunya adalah, “Apakah yang sebenarnya diperlukan dalam polisi?”, “Berapa sepatutnya saya bayar?”, “Penting sangatkah perlindungan?”, “Kalau tak mampu macam mana?”. (English Version)
Sebelum membeli polisi pertama, kita sebagai individu hendaklah memiliki simpanan kecemasan sekurang-kurangnya 3 bulan gaji. Bajet dan aliran tunai bulanan juga hendaklah diatur terlebih dahulu di mana bayaran perlindungan tidak melebihi 10% daripada pendapatan.
Peringatan : Had 10% tak bermakna anda harus memenuhi kuota tersebut dengan insurans yang mahal. Beli kerana perlu, bukannya beli kerana mampu.
Cadangan Pelan Perlindungan Pertama
Polisi terbaik terdiri daripada perlindungan hayat, perubatan dan penyakit kritikal sama ada berasingan atau sekaligus. Sebaiknya polisi ini dibeli ketika muda kerana ianya lebih murah dan tiada tambahan caruman disebabkan sakit sedia ada (“loading”).
Jumlah perlindungan hayat dinyatakan dalam Basic Sum Assured (BSA) yang meliputi kematian dan kecacatan kekal. Perlindungan hayat pula tidak spesifik kepada sesuatu punca seperti insurans kemalangan yang hanya meliputi kemalangan.
Perlindungan perubatan meliputi kos hospital dan pembedahan. Ia akan dibayar terus kepada hospital dan doktor melalui syarikat insurans. Kebanyakan perlindungan adalah cashless dan anda hanya dikehendaki mengemukakan kad perubatan (“medical card”). Kadar harga kos perubatan selalunya berlainan daripada caj biasa apabila menggunakan kad tersebut.
Perlindungan penyakit kritikal pula akan menyediakan bayaran terus kepada pemilik polisi apabila salah satu daripada 36 penyakit kritikal telah dikenal pasti. Tujuan perlindungan ini adalah untuk meringankan beban pesakit dengan membayar kos yang tidak dilindungi oleh polisi perubatan, contohnya perubatan alternatif, ubat-ubatan dan kos sara hidup. Dengan adanya polisi ini, ia dapat memberikan fleksibiliti kepada pesakit untuk membuat keputusan menyeluruh.
Untuk individu yang bekerja
Gunakan panduan pendapatan 5 tahun untuk jumlah BSA. Gunakan separuh daripadanya iaitu gaji tahunan untuk 2 tahun 6 bulan untuk perlindungan penyakit kritikal. Kos perlindungan perubatan pula berbeza berdasarkan harga bilik hospital (Room and Board). Jika anda tidak cerewet dan tidak kisah berkongsi bilik/wad, pelan 150 adalah memadai untuk polisi perubatan pertama anda.
Kadar harga perlindungan perubatan juga bergantung kepada sama ada pelan tersebut adalah ko-insurans. Ini bermaksud anda akan berkongsi kos (mengikut peratusan contohnya seperti 10%) untuk jumlah kos perubatan.
Untuk pelan ko-insurans, jumlah bayaran oleh peserta akan dihadkan dan had tersebut selalunya minimal berbanding kos keseluruhan (Contohnya, RM 500 untuk had yang perlu dibayar peserta). Anda juga perlu mengambil kira had tahunan dan had seumur hidup memandangkan purata inflasi perubatan adalah sebanyak 10% setahun. Ini bermakna jika kos perubatan untuk tahun ini adalah sebanyak RM 70 000 (pembedahan by-pass), dalam 10 tahun, ia akan mencecah sehingga RM 181 000.
Untuk mengatasi inflasi, pelan 200 lebih komprehensif dengan amaun tahunan dan kos bilik yang lebih tinggi.
Untuk individu yang tidak bekerja
Gunakan panduan perbelanjaan 10 tahun untuk menentukan BSA, 5 tahun untuk jumlah pampasan penyakit kritikal dan 150 untuk kos bilik. Jika tidak pasti dengan jumlah perbelanjaan, titik permulaan yang ideal adalah RM 100 000 untuk perlindungan hayat, RM 50 000 untuk pampasan penyakit kritikal dan 150 untuk kos bilik.
“Rider” (kontrak tambahan)
Apa-apa tambahan kepada pelan asas dipanggil “rider”. Contohnya; pelan pelepasan caruman (“waiver”) di mana bayaran bulanan/tahunan tidak perlu lagi dibayar apabila telah dikenal pasti dengan salah satu penyakit kritikal ataupun kecacatan kekal. “Rider” haruslah disesuaikan dengan keperluan dan elakkan dari tambahan “rider” yang berlebihan kerana ia akan meningkatkan kadar caruman. Antara contoh lain termasuk pendapatan hospital, pendapatan penjaga dan perlindungan haji.
Contoh kos
BSA RM 100 000, Pampasan penyakit kritikal RM 50 000, Kos bilik 150 bersama ko-insurans
Lelaki 20 tahun, RM 150 sebulan (RM 1 800 setahun)
Perempuan 20 tahun, RM 125 sebulan (RM 1 500 setahun)BSA RM 100 000, Pampasan penyakit kritikal RM 50 000, Kos bilik 150 tanpa ko-insurans
Lelaki 20 tahun, RM 150 sebulan (RM 1 800 setahun)
Perempuan 20 tahun, RM 175 sebulan (RM 2 100 setahun)
Bajet yang ketat?
Jika kewangan merupakan masalah utama, polisi yang kurang membebankan adalah perlindungan kemalangan dan pelan perubatan bertempoh (“term life”). Kebanyakan perlindungan hayat melindungi sehingga 1 000 kali ganda caruman bulanan manakala perlindungan kemalangan melindungi sehingga 10 000 kali ganda caruman tahunan. Namun, pelan perlindungan kemalangan hanya melindungi kematian atau kecacatan kekal akibat daripada kemalangan sahaja dan tidak sekomprehensif perlindungan hayat. Untuk lebih menarik lagi, perlindungan kemalangan membayar sehingga dua kali ganda pampasan kematian atau kecacatan kekal jika peristiwa terjadi ketika menaiki pengangkutan awam seperti bas atau tren.
Kos perlindungan kemalangan :
Daripada RM 100 setahun untuk perlindungan RM 50 000 (lelaki dan perempuan, pekerjaan kelas 1 dan 2)
Daripada RM 160 setahun untuk perlindungan RM 50 000 (lelaki dan perempuan, pekerjaan kelas 3)
Seterusnya, bagi yang mencari pelan bajet, pelan perubatan bertempoh juga boleh diambil kira. Pelan perubatan bertempoh adalah perlindungan perubatan untuk tempoh yang tertentu (biasanya setahun). Pelan sebegini dapat menyediakan asas kepada perlindungan perubatan pertama individu.
Namun, pelan ini tidak dapat ditambah dengan “rider” yang bermakna ia kurang fleksibiliti, tiada nilai selepas tempoh perlindungan tamat dan juga nilai caruman boleh meningkat mengikut umur pemilik. Pelan ini juga akan dibaharui secara automatik setiap tahun jadi pastikan kos saban tahun diperiksa terlebih dahulu.
Kos pelan perubatan bertempoh :
Lelaki, 20 tahun, RM 526 setahun (pekerjaan kelas 1)
Perempuan, 20 tahun, RM 460 setahun (pekerjaan kelas 1)Lelaki, 30 tahun, RM 521 setahun (pekerjaan kelas 1)
Perempuan, 30 tahun, RM 539 setahun (pekerjaan kelas 1)
Leave A Comment