Sama ada pelaburan atau koleksi, transaksi jual beli dalam karya seni sedang berkembang pesat berbanding pelaburan alternatif lain. (Read original article in English)
I bought some artwork for one million,
Two years later, that s*** worth two million,
Few years later, that s*** worth eight million,
I can’t wait to give this to my children
– Dipetik dari lirik lagu “The Story of O.J” oleh Jay-Z
Antara salah satu cara yang popular untuk pelabur jangka masa panjang meningkatkan pulangan adalah dengan melabur di dalam jenis pelaburan yang berbeza termasuk aset fizikal atau pelaburan alternatif seperti kereta antik, barangan kemas, syiling dan wain eksklusif. Tetapi, antara yang menarik perhatian adalah karya seni.
Pulangan Kelas Aset 2018
Karya Seni Bernilai, 10.6% (jumlah pulangan mengikut Wall Street Journal pada tahun 2018)
S&P 500, -5.1% (jumlah pulangan berdasarkan anggaran)
Ini bermakna aset mewah telah mengalahkan prestasi pasaran saham dan bon tahun lepas!
Orang kebiasaan berpendapat bahawa mereka perlu menjauhi pelaburan dalam karya seni kerana:
- berpendapat bahawa ia hanya untuk golongan berada
- mereka tidak arif terhadap seni
- anggap konsep pelaburan atas karya seni sebagai terlalu kompleks
- risau akan ditipu
Semua yang dinyatakan adalah sebab yang munasabah. Namun, masalah ini boleh diselesaikan dengan ilmu dan kajian yang menyeluruh.
Walaupun bukan penjana pendapatan yang stabil, pelaburan dalam karya seni sesuai jika anda;
- mempunyai visi pelaburan melebihi 10 tahun
- berminat dengan seni
- banyak membaca tentang karya seni
Jadi, sama ada anda memilih untuk melabur di dalam dana, memulakan koleksi seni atau pun hanya hendak mendapatkan hiasan untuk rumah, langkah terbaik adalah dengan mendidik diri sendiri.
Berikut adalah beberapa garis panduan asas sebelum anda turun padang di dalam dunia pelaburan karya seni.
Contents
1. Dapatkan sebanyak mungkin maklumat dan membuat keputusan sama ada jenis pelaburan ini sesuai untuk anda
Sebelum turun padang di dalam dunia karya seni, anda perlu memastikan anda dilengkapi dengan ilmu. Belajar tentang seni sebelum melabur. Bagaimana?
- Online – Semua maklumat tentang persatuan/pergerakan seni, media, idea, reka bentuk dan artis boleh didapati di dalam internet.
- Konsultan seni – Dapatkan nasihat mereka tentang perspektif dari segi kualiti dan kepentingan nilai seni.
- Melawat museum seni tempatan, galeri atau membelek majalah seni
Aktiviti pengumpulan info ini akan membantu anda untuk merungkai selera anda terhadap sesuatu gaya, warna dan topik. Gunakan peluang ini untuk memahami apa yang anda mahu sebelum memulakan koleksi seni. Ataupun ia akan membantu anda membuat keputusan sama ada pelaburan di dalam kelas aset sebegini sesuai untuk anda.
2. Mulakan koleksi seni
Untuk mula mengumpul koleksi seni, ikuti prinsip di bawah:
- kumpul apa yang anda suka
- Beli hanya karya asli
- berbelanja mengikut kemampuan
Jika berkesempatan, dapatkan pengedar seni yang boleh dipercayai untuk nasihat
Daripada membeli kategori seni yang berasingan, mula dengan koleksi yang lebih “fokus”. Contohnya, fokus hanya kepada seseorang artis, atau sesuatu jenis (e.g karya ukiran Jepun) atau lukisan (e.g hanya karya figuratif)
Dunia seni ini amat luas. Adalah sangat penting untuk anda mengenal pasti koleksi pilihan anda. Beli hanya karya seni yang dapat membuat anda berpuas hati dan bukannya hanya kerana “trend“.
Seperti perbelanjaan lain, anda perlu tahu berapa anda sanggup berbelanja.
3. Sediakan bajet
Tiada bajet yang terlalu sedikit.
Tidak disangkal lagi bahawa pelaburan dalam seni ini didominasi oleh individu bernilai tinggi. Membeli karya dari artis yang tersohor memerlukan sejumlah wang yang banyak. Di Malaysia, sebuah karya dari artis yang mempunyai reputasi yang tinggi dapat mencecah lebih dari RM 1 juta.
Jika anda ingin mencuba berjinak-jinak di dalam dunia seni, jumlah sebanyak RM 20 000 ke bawah sudah lebih dari memadai. Dengan jumlah ini, anda dapat mendapatkan karya seni dari artis baru yang kebiasaannya lebih murah dan mampu milik.
4. Di mana hendak membeli karya seni?
Terdapat dua jenis pasaran untuk pembelian karya seni.
(a) Pasaran utama (i.e pelancaran karya untuk dijual buat pertama kali)
Kebanyakan artis akan mengiklankan jualan karya baru di dalam laman web mereka ataupun di galeri. Mereka akan menghantar peringatan jika anda melanggan ataupun berada di dalam senarai emel mereka.
(b) Pasaran sekunder (penjual yang sudah mempunyai karya seni dan ingin menjual)
Sentiasa beringat dan tanya penjual tentang sijil kesahihan (“certificate of authenticity”) kerana banyak karya palsu di luar sana.
Anda boleh membeli seni di:
- Galeri awam dan persendirian
Berikut adalah destinasi paling popular. Ianya lebih murah jika anda memilih untuk membeli dari galeri awam kerana kebiasaanya karya-karya ini dijual untuk menyokong sesuatu pergerakan/persatuan/kerja amal. Ia amat berbeza dari galeri persendirian yang mengutamakan keuntungan.
- Lelong
Anda juga boleh membeli seni dari pelelong yang mempunyai reputasi (i.e Sotheby’s). Cara ini lebih memakan kos.
- Beli terus dari artis
Boleh dipertimbangkan walaupun kurang popular tetapi selalunya mereka akan meminta pembeli rujuk kepada galeri berkenaan.
- Galeri seni online
Tidak sukar untuk mencari karya seni dalam talian. Di Malaysia, laman web yang pepular adalah artpainting.my. Karya dibeli dalam talian selalunya lebih murah dari harga galeri.
- Ekspo Seni
Ekspo seni merupakan platform yang sesuai untuk golongan yang baru hendak berjinak-jinak di dalam dunia seni. Sama ada profesional ataupun amatur, anda akan meneroka sesuatu yang menarik perhatian anda. Anda boleh membelek-belek karya seni secara fizikal, bersembang santai dengan peminat seni lain, bertanya soalan kepada konsultan seni, memeriksa harga dan juga menganalisa seni. Sesetengah karya untuk dijual dapat bersaing dengan karya yang dijual di galeri terkenal.
Setelah anda mengenal pasti potensi karya seni, jangan terus terburu-buru menawarkan harga. Pastikan anda memeriksa dan membuat kajian tentang latar belakang artis tersebut.
5. Memeriksa latar belakang artis
Periksa maklumat penting artis seperti:
- tarikh lahir
- di mana tempat menetap dan tempat artis tersebut melakukan bisnes
- latar belakang pendidikan artis
- Galeri, museum, organisasi di mana artis itu mempamerkan karyanya. Ambil tahu juga tentang anugerah, penerbitan, resume dan penghargaan lain yang diperolehi.
Data ini sedikit sebanyak dapat membina profil artis dan pencapaiannya. Ia dapat membantu anda menilai sama ada harga jualan berpatutan atau tidak. Artis yang lebih dikenali dapat menjual karya seninya dengan harga yang lebih tinggi.
6. Memeriksa latar belakang karya seni
Kesahihan adalah faktor utama sebelum anda melakukan pembelian. Ianya tidak menjadi masalah jika artis tersebut masih hidup tetapi bagaimana pula untuk artis yang sudah meninggal? Sebagai perlindungan, dapatkan sijil kesahihan daripada pakar kategori seni yang berkenaan atau terus dari sumber artis itu sendiri.
Kemudian, dapatkan pakar untuk menilai karya seni tersebut. Sebarang kecacatan dan kerosakan dapat menjejaskan nilai material karya itu. Tetapi adakah ianya berbaloi (anda perlu membayar untuk menggunakan servis dari pakar nilai seni)? Hanya anda yang perlu tentukan sendiri.
7. Jangan ikut orang lain, buat keputusan sendiri berdasarkan minat
Minat orang lain berbeza dengan minat anda dan pendapat mereka mungkin tidak relevan mengikut situasi anda. Anda mungkin berminat dengan lukisan abstrak, kaligrafi, atau kedua-duanya. Sesuatu karya seni berharga jika ia menarik perhatian dan minat anda.
Apabila anda berkecimpung dengan seni, jangan letakkan begitu banyak masa menganalisa naik turun pasaran. Trend adalah faktor kedua selepas minat dan hanya berguna apabila anda telah tahu apa yang menarik perhatian anda.
8. Buat perbandingan dengan karya lain
Anda mungkin berminat dengan sesuatu karya seni. Sebelum membuat keputusan untuk membeli sesuatu daripada seorang artis, kaji dan lihat seni lain darinya. Bandingkan juga dengan artis lain yang memiliki gaya seni yang sama.
Jika anda seperti cacing kepanasan selepas melihat sesuatu karya seni, silakan buat tawaran. Jika masih tidak pasti, tunggu dahulu dan ambil masa untuk berfikir sejenak dan menilai pilihan anda untuk membuat keputusan yang lebih tepat. Kalau berkesempatan, lawat galeri pameran seni tersebut dan nilai secara fizikal.
Tetapi di dunia digital, kebanyakan laman lelong dan peniaga sudah menawarkan koleksi seni melalui e-portal. Kini, anda dapat melakukan pembelian melalui komputer/telefon bimbit di rumah. Anda hanya perlu mengambil kira faktor saiz karya seni tersebut supaya dapat dimuatkan di dalam ruang pameran yang anda sediakan.
9. Percaya dengan naluri
Selalunya anda akan mengalami situasi di mana anda kurang pasti. Apabila hal ini berlaku, letakkan kepercayaan pada naluri anda.
Begitu jugalah situasi apabila anda hendak melabur di dalam seni. Pilih berdasarkan apa yang anda suka dan yakin dengan keputusan sendiri.
Walaupun lebih bagus apabila anda memilih untuk menggunakan servis pakar penilai seni, pilihan sebegini amat bersifat peribadi dan anda jugalah yang akan memiliki karya ini. Jadi, apabila anda mahukan sesuatu, percaya dengan naluri anda walaupun kadang kala ianya tidak logikal.
Namun begitu, anda masih perlu melakukan kajian ke atas potensi pelaburan karya seni tersebut.
10. Belajar untuk membezakan karya asli, cetakan, giclées dan penghasilan semula
Keaslian dan keunikan karya adalah perkara terpenting yang dinilai oleh pembeli dan pelabur. Namun, cetakan dan penghasilan semula juga boleh menguntungkan jika anda tahu harga karya tersebut akan meningkat pada masa akan datang.
Jadi, dapatkan anda membezakan antara karya asli dengan cetakan? Berikut adalah gambaran asas:
- Asli – karya seni unik yang menjadi pilihan utama peminat seni dan pelabur. Disebabkan oleh keaslian, pelabur sanggup berbelanja sejumlah wang demi mendapatkan karya asli.
- Cetakan – Karya seni boleh disenaraikan sebagai cetakan atau penghasilan semula yang kedua-duanya mempunyai nilai. Namun, hanya sesetengah cetakan sahaja yang dapat menghasilkan pulangan dan lainnya tidak dapat dibuat menjadi pelaburan. Sebagai contoh; cetakan edisi tetap di mana artis tersebut setuju untuk memgambil bahagian. Selalunya, artis akan meletakkan tanda tangan di bahagian bucu sebelum bingkai. Selalunya, artis akan meletakkan tanda tangan yang dapat meningkatkan harga karya seni tersebut.
- Giclées (disebut sebagai zhee-klay) – Cetakan mesin terbaik yang mampu dibuat. Kualiti imej adalah lebih tinggi dari cetakan biasa dan ia jelas dilihat melalui perbandingan harga. Untuk kebanyakan peminat seni dan pelabur seni yang baru setahun jagung, memiliki giclées meletakkan karya popular di dalam kategori mampu milik. Walaupun ia tidak dapat menandingi karya asli, ia mampu menjadi pelaburan yang baik jika disertakan dengan tanda tangan artis. Ramai pembeli mengkategorikan cetakan ini sebagai “setaraf dengan museum” malah ingin membuktikan keaslian cetakan giclées. Perlu diingatkan bahawa ia masih cetakan.
- Posters/Penghasilan Semula – Ini adalah cetakan daripada asli dengan cetakan tanpa had. Sebagai pelaburan, ia tidak begitu bernilai tetapi platform yang bagus untuk peminat seni dan sesiapa yang baru di dalam dunia seni tanpa mahu berbelanja lebih.
11. Penetapan harga karya seni
Mudah untuk kita meletakkan harga ke atas aset kewangan. Kita boleh menjangka atau menilai nilai ke atas rumah kita, kereta dan saham tetapi bagaimanakah anda hendak menilai harga lukisan lama (e.g turun-temurun dari moyang anda) yang digantung di atas dinding dapur itu?
Malangnya, tiada kaedah standard untuk menilai karya seni. Banyak faktor yang dapat mempengaruhi harga sebuah hasil seni contohnya;
Reputasi artis
Untuk pengumpul, reputasi artis mendahului hasil seni tanpa mengira betapa bagusnya kraf beliau. Oleh itu, melabur atas karya seni artis baru adalah lebih murah berbanding artis yang berpengalaman.
Bekalan dan permintaan (“Supply and demand”)
Lebih ramai orang yang menginginkan sesebuah karya, lebih mahal tawaran yang akan dikeluarkan.
Tawaran juga merupakan faktor. Titik harga karya seni untuk artis baru adalah hanya secebis dari apa yang artis berpengalaman boleh perolehi. Jadi, mereka perlu menghasilkan lebih banyak karya.
Harga lelong juga mengalami naik turun harga yang susah dijangka berdasarkan tawaran dari galeri.
Karya yang menggunakan minyak lebih mahal dari cat air dan begitu juga dengan lukisan yang lebih murah dari kedua-dua bahan tersebut.
Karya yang dipamerkan buat pertama kali di pasaran utama adalah lebih murah dari penjualan semula (pasaran sekunder).
Antara pertimbangan lain termasuk:
- Reputasi galeri
- Kecenderungan terhadap sesuatu genre atau gaya
- Subjek yang khusus (i.e lukisan tangan, ukiran) dibayar dengan lebih tinggi dari hasil yang diterbitkan
- Medium kerja. Untuk artis yang sama, hasil di atas kertas lebih murah daripada hasil yang menggunakan cat untuk saiz yang sama.
- Saiz karya seni; Lebih besar bermakna lebih mahal
- Jangka hayat artis
Natijahnya, tiada kaedah yang konkrit dan muktamad dalam penilaian karya seni.
12. Kos tersembunyi
Apabila membuat bajet, sila ambil pertimbangan terhadap kos lebihan seperti insurans, penghantaran, meletak bingkai dan penyelenggaraan, yang tidak dimasukkan ke dalam kos jualan.
Bincang dengan penjual tentang cara menyelenggara karya tersebut. Adakah ia perlu sentiasa diselenggara atau tidak, dan jika sesuatu berlaku apakah tindakan seterusnya (i.e penggunaan insurans)?
Kesimpulan
Bukan semua orang sesuai melabur di dalam dunia seni. Walaupun ia kedengaran “masyuk” namun apresiasi atau kenaikan harga tidak semestinya berlaku. Untuk berjaya, tingkatkan ilmu pengetahuan tentang seni dan buat kajian menyeluruh dengan melawat museum, galeri dan pusat lelong. Fikir secara objektif dan buang faktor emosional. Pilih menggunakan mata pengumpul dan minda pelabur.
Dunia seni ini bukan sahaja hiburan atau tempat pelaburan untuk kebanyakan orang tetapi lebih kepada minat. Ia adalah tempat di mana peminat seni berkumpul untuk mengagumi seni dari negara yang berbeza, gaya yang berbeza dan juga di masa/era yang berbeza. Seni adalah arkib dan rekod sejarah manusia menurut peminat seni. Jadi, bukalah kunci ke pintu seni dan mula dalami serta fahami.
Apakah pendapat anda? Adakah anda cenderung ke arah pelaburan seni?
Salam and good day, Iqbal.
My name is Amir Fahmin, a Malaysian visual artist. I hope this message reaches you well.
I just want to say that this article is a great one and I like reading it.
I will keep your blog in my favorite links and will come back here anytime.
Regards,
Amir
Follow @mypf.my on IG: https://instagram.com/mypf.my