Mungkin ada di antara anda yang kurang faham tentang emas ataupun mempunyai pandangan bahawa emas hanyalah “seketul besi” yang tidak mempunyai nilai. Di dalam dunia yang semakin ke arah digital, anda mungkin tertanya-tanya apakah nilai yang emas ada dan kenapa semakin ramai rakyat Malaysia yang mula melabur dalam emas?

Mengapakah Rakyat Malaysia Harus Mempunyai Emas?

Ramai rakyat Malaysia yang tidak mempunyai akses penuh terhadap instrumen kewangan di seluruh dunia. Jadi, secara tidak langsung, ramai yang beranggapan bahawa instrumen kewangan tersebut adalah di luar kemampuan kita. Oleh kerana, emas adalah pelaburan yang senang diakses dan mampu milik, ramai yang memilih jenis pelaburan ini sebagai alternatif untuk mengembangkan kekayaan, mempelbagaikan portfolio, dan juga untuk mengurus risiko.

Nilai sebenar emas terletak pada kekuatan logam berharga tersebut dalam perlindungan terhadap inflasi, risiko mata wang dan krisis ekonomi dalam pasaran kewangan. Nilai emas juga diiktiraf di seluruh dunia, mempunyai nilai intrinsik dan dianggap berharga walaupun hak milik berubah-ubah. Kini, kita dapat melihat dengan trend pasaran dunia bahawa permintaan emas semakin meningkat.

“Ya, tetapi bagaimana saya hendak memastikan bahawa emas masih bernilai dan mempunyai permintaan di masa hadapan?”

Permintaan yang Tinggi Dari Pasaran India dan China

India dan China mengambil sebanyak 50% dari seluruh jumlah permintaan tahunan emas dunia. Kedua-dua kuasa ekonomi besar ini telah melalui fasa pertumbuhan yang pesat melalui dasar ekonomi kerajaan dan industrialisasi sejak dua dekad yang lepas. Kebanyakan pakar menjangka bahawa dua negara ini akan terus membangun dan akan mencapai kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi sama ada dalam jangka masa pendek, sederhana atau panjang.

Terdapat sebab yang munasabah untuk menjangka bahawa China dan India akan terus membeli emas jika persekitaran ekonomi mereka terus berkembang. Untuk golongan yang naik melepasi garisan kemiskinan, mereka akhirnya akan mempunyai lebihan pendapatan untuk simpanan dan kebarangkalian besar bahawa simpanan tersebut adalah dalam emas.

Selalunya, rasional pembelian emas juga adalah kerana ia dapat dibawa dengan senang sama ada dalam bentuk syiling, rantai atau cincin. Bentuk fizikal seperti ini juga mudah untuk dijual/ditukar ke wang tunai apabila diperlukan.

Permintaan Emas Dalam Persekitaran Ekonomi yang Berbeza

Permintaan emas selalunya akan terus meningkat bergantung kepada keadaan ekonomi yang berbeza. Apabila ekonomi stabil, nilai emas akan menjadi tidak menentu. Apa yang dimaksudkan adalah nilai emas tidak semestinya akan sentiasa naik atau turun dan apabila melihat carta, ia akan mengikut pergerakannya sendiri.

Di samping itu, jika anda yakin bahawa keadaan ekonomi global akan menjadi kurang stabil, anda akan mendapati bahawa nilai kelas aset yang lain merudum (contohnya; tahun 2008). Sejarah harga emas telah menunjukkan bahawa pergerakan nilai emas bercanggah dengan nilai kelas aset lain apabila pasaran kewangan merudum. Jadi, di sinilah di mana nilai emas akan meningkat.


Nilai Emas Apabila Keadaan Politik Tidak Stabil

Pandangan anda tentang keadaan ekonomi global akan memberikan anda jangkaan yang lebih tepat terhadap arah tujuan nilai emas. Jika anda berpendapat bahawa keadaan politik dunia adalah stabil dan tiada konflik, tidak ada sebab untuk melabur dalam emas kerana ketika ini, ia bersifat spekulatif.

Namun, jika terdapat konklusi bahawa keadaan politik semasa tidak stabil, jadi trend pertumbuhan nilai emas akan lebih memberangsangkan kerana emas dianggap sebagai pelaburan selamat. Di masa keadaan politik yang teruk, ramai yang akan membeli emas kerana gusar akan kejatuhan dollar.

Tambahan pula sejak krisis ekonomi tahun 2008, bank dunia dan pengurus dana bebas telah membeli dan menyimpan emas secara strategik. Seperti yang diulaskan sebelum ini, kerajaan India dan China juga telah mula menyimpan emas dengan sebab yang munasabah!

Rumusan Terhadap Emas

Sebagai antara aset kewangan yang terawal di dunia, emas telah membuktikan bahawa nilai dan kepentingan logam ini terpelihara meskipun di dalam keadaan ekonomi yang teruk. Ia adalah kerana emas ini menjadi pengukur dirinya sendiri dan dinilai mengikut beratnya. Jadi, standard ini diterima pakai di seluruh dunia dan ia membuatkan emas berharga. Rakyat Malaysia disarankan untuk berfikir sejenak supaya dapat membuat pertimbangan jika emas adalah pelaburan yang berbaloi untuk ditambah di dalam portfolio pelaburan anda.

 

Kongsi dan bincang mengenai permintaan emas pada tahun 2019.

 

You May Also Like: