“Anda mempunyai pilihan dan fleksibiliti untuk mempelbagaikan portfolio persaraan anda dan meningkatkan simpanan persaraan melalui Skim Pelaburan Ahli. Melalui skim ini, ahli yang mempunyai simpanan secukupnya boleh memindahkan sebahagian dari dana dalam Akaun 1 untuk dilaburkan melalui Institusi-institusi Pengurusan Dana (IPD) yang dilantik, termasuk Syarikat Pengurusan Unit Amanah dan Syarikat Pengurusan Kumpulan Wang”.

–          Petikan daripada portal rasmi Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP)

Mengapa Rakyat Malaysia Tidak Mempunyai Wang Simpanan yang Mencukupi Di Dalam KWSP?

Bagaimana jika rakyat Malaysia tiada langsung simpanan di tempat lain selain KWSP? Bolehkah ahli mengharapkan simpanan KWSP semata-mata apabila wang simpanan di Akaun 2 KWSP juga langsung tiada?

Senario yang tidak langsung menghairankan masa kini adalah Akaun 2 di dalam KWSP telah tiada atau sangat sedikit. Hal ini disebabkan tujuan membayar ansuran bulanan rumah, melangsaikan pinjaman pelajaran PTPTN atau untuk tujuan kesihatan. Ada klien yang saya temui berkata “Saya mengharapkan wang simpanan Akaun 1 untuk bertambah kerana Akaun 2 sudah habis untuk tujuan membeli rumah”.

Justeru, apakah yang anda dapat simpulkan daripada senario ini? Kos kehidupan semakin meningkat sehinggakan tiada wang simpanan lain untuk diharapkan? Desakan gaya hidup yang jauh berlainan jika dibandingkan dengan puluhan tahun dahulu? Harga barang, rumah dan kos perubatan semakin naik tetapi kenaikan gaji tidak naik-naik dengan ketara?

Mengapa KWSP Memperkenalkan Skim Pelaburan Ahli Menggunakan Akaun 1?

Tujuan KWSP memperkenalkan Skim Pelaburan Ahli adalah supaya ahli mempunyai pilihan untuk menggandakan wang persaraan mereka di Institut Pengurusan Dana (IPD) yang dilantik.  Rata-rata ahli KWSP menghabiskan wang simpanan persaraan antara 3 hingga 5 tahun walhal wang ini bertujuan untuk menampung kehidupan mereka selepas persaraan.

Sebagai contoh, mereka yang sudah bersara di umur 55 tahun, boleh menghabiskan kesemua wang KWSP di ketika umur mereka 60 tahun. Purata jangka hayat rakyat Malaysia adalah 75 tahun. Oleh itu, rakyat Malaysia kini perlu mempunyai simpanan untuk tempoh 15 hingga 20 tahun untuk menampung perbelanjaan sepanjang tempoh persaraan.

Boleh dikatakan KWSP adalah antara institusi pengurusan dana terbesar di dunia dan mereka begitu prihatin akan keperluan ahlinya. KWSP prihatin dengan perancangan kewangan untuk persaraan ahli. Melalui Skim Pelaburan Ahli (SPA), ahli tidak perlu menunggu sehingga umur mereka 55 tahun untuk mengeluarkan wang daripada Akaun 1. Caranya adalah mengisi borang daripada IPD dan memberi keizinan dengan tanda tangan dan mengecop jari pada borang tersebut.

Cara ini sudah lama dipraktikkan dengan ahli hanya mempunyai pilihan untuk memilih satu sahaja IPD pada satu-satu masa dan hanya melalui ejen yang berdaftar dengan Federation of Investment Managers Malaysia (FIMM) yang mewakili IPD yang dibenarkan KWSP.