Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berkelayakan kini boleh membuat pelaburan dalam dana unit amanah yang ditawarkan oleh Institusi Pengurusan Dana (IPD) yang diluluskan oleh KWSP menggunakan saluran layan diri dalam talian i-Invest melalui i-Akaun (Ahli). Platform i-Invest diumumkan oleh KWSP baru-baru ini bagi ahli yang berumur 55 tahun ke bawah dengan pelaburan boleh dilakukan secara terus menggunakan sebahagian daripada jumlah simpanan yang layak dipindahkan dari Akaun Satu dengan caj jualan serendah sifar hingga 0.5 peratus untuk setiap transaksi.

Portal i-Akaun

Kalau sebelum ni pelaburan KWSP dibuat melalui ejen, sekarang ahli sudah boleh membuat pelaburan sendiri melalui portal i-Akaun (Ahli). Kebaikan ciri terbaru ini adalah:

  • Mudah akses. Ahli boleh akses, buat analisis dan perbandingan antara syarikat unit trust dan juga antara dana.
  • Lebih efisien. Transaksi yang nyata dan proses yang cepat.
  • Fleksibiliti. Boleh akses pada bila-bila masa dan di mana saja.
  • Menjimatkan atau kos yang optimum. Jika sebelum ni kos pelaburan adalah 3%. Sekarang, ia hanya 0% hingga 0.5%.
  • Boleh memantau prestasi dana secara keseluruhan. Pelaburan yang dibuat dapat dipantau secara digital terus melalui aplikasi yang disediakan.

Terdapat beberapa perkara yang perlu beringat sebelum masuk ke portal KWSP. Kita mesti faham konsep pelaburan terlebih dahulu sebelum memilih dana supaya kita tidak takut untuk melabur atau tersilap langkah yang akan menyebabkan kerugian. Kita seharusnya bertanggungjawab dengan pilihan diri sendiri. Matlamat KWSP sendiri pun adalah untuk tabung persaraan. Bayangkan kalau kerajaan tidak memaksa majikan untuk memotong gaji setiap bulan? Mengikut data dari KWSP sendiri, kebanyakan ahli menghabiskan 50% daripada jumlah wang simpanan seawal 5 tahun pertama persaraan.

Purata tempoh hayat rakyat Malaysia adalah 75 tahun. Sekurang-kurangnya simpanan perlulah cukup minimum selama 15 hingga 20 tahun selepas bersara. Tambahan pula, ramai yang telah terjebak dengan skim cepat kaya. Statistik dari 2015 hingga 2017 menunjukkan 1883 kes yang terlibat dengan penipuan kewangan iaitu sebanyak RM 379 juta!

Juga perlu diingat selepas bersara tidak ada lagi gaji bulanan, tuntutan atau bonus. Bagi yang mendapat pencen pula gaji makin berkurangan. Diri dan keluarga berisiko untuk menghadapi kesulitan kewangan jika tidak dirancang dengan baik. Jika perbelanjaan yang diperlukan selepas bersara adalah sebanyak RM 3 000, perlu ada minimum RM 720 000 dana persaraan. Manakala jika inginkan pendapatan RM 5 000 sebulan, dana yang diperlukan adalah RM 1.2 juta. Jadi sangat perlu untuk besarkan dana KWSP dan oleh sebab itu, KWSP sendiri membenarkan ahli membuat pelaburan unit amanah untuk optimumkan pulangan ke atas pelaburan.

Fahami Tujuan Pelaburan Dalam Dana Amanah

Berbalik kepada konsep pelaburan. Sebelum bermula, kita perlu bertanya pada diri sendiri, “Kenapa perlu melabur?”. Asasnya, melabur adalah untuk menjana pulangan yang konsisten dan berdaya saing dalam jangka masa panjang. Selain itu, pelaburan juga  bertujuan untuk memastikan duit bekerja lebih keras selepas kita bekerja keras mencarinya dan penting juga untuk melindungi nilai wang tersebut terhadap inflasi.

Tetapi perlu tanya diri sendiri, apa tujuan nak melabur? Sekadar nak kaya? Sebaiknya perlu ada tujuan spesifik. Selain untuk persaraan, ada beberapa tujuan lain melabur biasanya untuk;

  • Pendidikan anak-anak.
  • Perbelanjaan perkahwinan anak
  • Percutian sebagai bentuk ganjaran kepada diri sendiri
  • Pendapatan pasif tanpa menganggu modal awalan
  • Persaraan awal

Penting untuk tahu matlamat supaya kita lebih disiplin dan konsisten dalam membuat pelaburan. Kita tidak mudah goyah dengan pendirian dan tidak membuat perbelanjaan luar kawalan.

Konsep Pelaburan Dana Amanah

Apabila sudah kenalpasti tujuan, perlu fahami konsep asas dalam pelaburan unit amanah secara terperinci.

1. Nilai Masa Menggunakan Wang (“Time Value of Money“)

Selalu kita dengar, kalau 10 tahun lalu nasi lemak berharga RM 1. Hari ini, ia boleh mencecah RM3 sebungkus. Jadi, nilai RM1 10 tahun lalu tak sama dengan nilai RM1 hari ni. Maka tak mustahil 10 tahun akan datang akan mencecah RM10 sebungkus. Jadi, kena besarkan nilai wang kita!

2. Kuasa Faedah Kompaun (“Compounding Interest“)

Kalau kita simpan duit di bawah bantal sebanyak RM 10 000, sampai bila-bila pun jumlahnya tetap RM 10 000. Kalau kita simpan dalam akaun bank biasa, pulangan adalah dalam 0.5% tetapi jika kita buat pelaburan dengan pulangan 7% setahun, pulangan pastinya akan lebih besar.

Contohnya; Tahun pertama wang terkumpul adalah modal RM 10 000 yang ditambah dengan faedah RM700 bersamaan RM 10 700. Pada tahun kedua, kadar yang sama sebanyak 7% daripada RM 10 700 akan memberi pulangan faedah RM749. Begitulah juga tahun berikutnya dan semestinya lebih lumayan apabila kadar faedah mencecah 10%.

3. Memahami Profil Risiko Anda (“Risk Profile Assessment“)

Memandangkan unit trust ada pelbagai dan risiko juga berbeza, maka sangat penting untuk buat penilaian level toleransi kita terhadap risiko. Maklumat yang perlu untuk akses objektif, tempoh masa dan kadar toleransi terhadap risiko adalah seperti berikut:

  • Umur
  • Jumlah dana kecemasan yang diperlukan
  • Kemampuan untuk melabur
  • Tempoh masa sebelum pelaburan dicairkan atau dikeluarkan.
  • Jumlah tanggungan
  • Keutamaan pelaburan

Untuk memaksimumkan keuntungan dalam pelaburan unit amanah, penting untuk tahu strategi. Bukan sekadar labur, tutup mata atau serah pada ejen. Amatlah bernasib baik apabila mendapat ejen yang prihatin tapi jika sebaliknya maka terdengarlah suara ketidakpuasan hati memburukkan ejen.

Strategi Melabur Dalam Dana Amanah

1. Pembahagian Aset (“Asset Allocation“)

Bertujuan untuk seimbangkan risiko bergantung kepada matlamat individu, toleransi risiko dan tempoh pelaburan. Contohnya; bagi pelabur yang agresif dan bermatlamat tempoh jangka panjang, ia mungkin lebih sesuai untuk meletakkan 70% dalam dana ekuiti, 20% dalam dana simpanan tetap dan 10% dalam dana seimbang. Berbeza pula dengan yang berfalsafah konservatif iaitu lebih banyak peratusan dalam dana seimbang.

2. Kepelbagaian Pelaburan (“Diversification“)

Kepelbagaian dana dalam satu portfolio. Seperti yang kita selalu dengar melalui pepatah Inggeris, jangan letak semua telur dalam satu bakul. Maknanya jika jatuh satu bakul maka pecahlah semua telur. Jika letak di dalam banyak bakul, apabila jatuh satu, yang lain masih selamat. Bertujuan untuk kurangkan risiko, maksimumkan keuntungan.

3. Pengurusan yang Aktif (“Active Management“)

Urus dana portfolio secara aktif oleh pengurus dana yang berpengalaman dalam membuat keputusan pelaburan sama ada hendak beli, simpan atau jual. Prestasi dana sangatlah bergantung kepada kepakaran pengurus dana.

4. Penyeimbangan Porfolio (“Portfolio Rebalancing“)

Menyelaraskan semula portfolio secara berkala mengikut pembahagian aset ataupun tahap risiko yang asal. Melihat kepada contoh strategi pembahagian aset, nisbah pecahan tiga dana tersebut adalah 70:20:10. Selepas beberapa tempoh, portfolio berubah menjadi 60:25:15. Maka perlu buat penyeimbangan semula supaya kembali kepada 70:20:10.

5. Penstrukturan Portfolio (“Portfolio Restructuring“)

Jika kita lihat dana yang kita pilih tidak menguntungkan selepas beberapa tahun, tukar kepada dana yang lebih bagus prestasinya untuk mengurangkan risiko kerugian dan memaksimumkan keuntungan (dipanggil “Switching” dalam terma yang biasa dipakai oleh dana amanah).

6. “Dollar Cost Averaging”

Invest secara tetap (e.g setiap bulan) dan konsisten untuk mendapatkan kos seunit yang rendah. Jadi, kita boleh mengambil peluang untuk mendapat keuntungan apabila membeli unit yang murah dan juga mengikut trend yang menaik dalam ekonomi dalam jangka masa panjang.

Maklumat lanjut tentang pelaburan boleh didapati di dalam laman web KWSP sendiri. Apabila sudah hadam tujuan, konsep dan strategi, boleh buka talian KWSP i-Invest melalui i-Akaun (Ahli).

Dapatkan nasihat profesional seperti yang disarankan KWSP sendiri jika masih ragu-ragu atau mempunyai soalan yang lebih lanjut sebaiknya dari perancang kewangan yang bertauliah.

 

 

 

Komen di bawah dan kongsi bersama kami pendapat anda tentang ciri digital terbaru KWSP, i-Invest.

 

 

 

You May Also Like