Elakkan kesilapan yang biasa apabila memuat turun aplikasi fon untuk keselamatan anda. Terapkan 5 tabiat ini supaya anda lebih berhati-hati dengan fon anda.

Kini, kita lebih kerap menggunakan peranti digital untuk kehidupan seharian, yang juga memerlukan maklumat peribadi. Dari transaksi bank, kepada menyimpan maklumat kad kredit untuk perjalanan Grab, sehinggalah kepada menyimpan info kenalan, fon sememangnya tarikan bagi pencuri maklumat ataupun dikenali sebagai hackers. 

Memuat turun aplikasi antivirus ataupun penghalang malware seperti di dalam komputer peribadi bukan lagi pilihan yang bijak. Berdasarkan kajian dari AV-Comparatives, kebanyakan aplikasi antivirus tidak berguna! Ia tidak beroperasi seperti di dalam komputer dan sebaliknya hanya sebagai “wayang”.

Pengguna dua sistem operasi paling terkenal iaitu Android dan iOS secara kasarnya, agak selamat. Kelemahan dalam sistem keselamatan selalunya terletak pilihan manusia. Secara asasnya, kita yang menentukan peluang untuk data kita dicuri oleh pihak ketiga.

Jadi, bagaimanakah caranya untuk kita mengelakkan data kita dicuri? Mari meneroka 5 cara untuk memupuk tabiat dan menjaga keselamatan peranti digital kita.

1. Gunakan Google Play Store atau Apple App Store

Cara yang paling selamat untuk memuat turun aplikasi yang disahkan ke dalam telefon bimbit anda adalah dengan menggunakan laman rasmi. Untuk pengguna Android, terdapat pilihan Google Play Store manakala untuk pengguna iOS, terdapat pilihan Apple App Store. Semua aplikasi dalam laman ini telah disaring dan ditapis untuk kandungannya. Dengan beratus-ratus aplikasi yang dibuat setiap hari, kadang kala terdapat aplikasi yang mempunyai kandungan tidak sepatutnya disenaraikan dalam laman ini. Tapi usah bimbang kerana kejadian ini amatlah jarang berlaku dan tindakan pantas akan dibuat oleh pihak Google dan Apple untuk menapis aplikasi sebegini. Gunakan seksyen komen atau rating sebagai panduan asas dan di samping itu, pilih aplikasi yang mempunyai cop Editor’s Choice kerana kebanyakannya merupakan aplikasi yang disahkan dan dijamin.

2. Jangan “Side Load

Apakah itu “side load“? Aktiviti ini adalah apabila pengguna menggunakan sumber selain dari laman rasmi untuk memuat turun aplikasi. Ini tidak hanya terhad kepada aplikasi pihak ketiga tetapi termasuk juga link ataupun dari USB drive. Untuk pengguna iOS, anda bernasib baik kerana “side load” tidak dibenarkan manakala untuk pengguna Android, ia memerlukan persetujuan dari pihak anda.

Terdapat banyak sebab mengapa anda mungkin perlu memuat turun dengan cara sebegini, jadi pastikan anda melakukan kajian terlebih dahulu. Sebelum muat turun, anda boleh menyaring kandungan aplikasi tersebut dengan antivirus daripada komputer. Pastikan sumber itu telah disahkan ataupun daripada seseorang yang boleh dipercayai. Anda boleh juga cuba memeriksa aplikasi tersebut di dalam laman Google App Store dan Apple App Store.

3. Gunakan Ciri Keselamatan Sedia Ada

Sebelum ini, memilih kata kunci yang mengandungi sama ada nombor atau melukis sesuatu corak adalah pilihan yang ada. Kini, walaupun fon tersebut dari kategori bajet sekalipun, ia wajib mempunyai sensor cap jari atau sebagai tambahan, facial unlock.

Sensor cap jari akan mengesan alur di hujung jari untuk memastikan bahawa anda adalah pemilik fon tersebut manakala facial unlock menggunakan ciri muka unik anda.

Sesetengah aplikasi menggunakan ciri keselamatan tersebut untuk memastikan identiti anda dan secara langsung akan memberi cabaran bagi pihak lain untuk mendapat akses ke dalam fon anda apabila menggunakan aplikasi tersebut.

Jika, secara kebetulan, anda mempunyai peranti yang tidak mempunyai ciri keselamatan di atas, tidak salah untuk menggunakan kata kunci. Asalkan ada keselamatan, ia lebih baik daripada tidak mengendahkan isu tersebut.

4. Kawal Kebenaran Aplikasi Untuk Akses Fon Anda

Adalah tidak logik apabila aplikasi loceng meminta kebenaran anda untuk mendapatkan akses terhadap ciri GPS.

Jadi, secara berkala, periksa dan pastikan tujuan itu berasas apabila aplikasi meminta kebenaran anda untuk akses di dalam fon. Ia akan mengambil sedikit masa dan menggunakan akal logik anda serta memerlukan beberapa cubaan tetapi anda akan akhirnya faham tentang apakah keperluan sesuatu aplikasi untuk berfungsi.

Jika anda telah membuat kesilapan, anda sentiasa boleh memeriksa kembali kebenaran yang anda telah beri kepada aplikasi melalui menu App Settings.

5. Waspada Apabila Memuat Turun Aplikasi

Periksa fon anda. Anda sepatutnya hanya memuat turun aplikasi yang anda guna. Buang aplikasi yang jarang atau tidak diguna selepas berbulan-bulan. Dengan mengurangkan jumlah aplikasi di dalam fon anda, ia juga secara langsung dapat menjimatkan ruang yang ada.

Waspada dengan aplikasi permainan atau game yang meminta anda meletakkan maklumat kad kredit ataupun yang meminta anda supaya meletakkan maklumat bayaran.

 

Dengan menggunakan akal dan rasa waspada yang mencukupi, anda tidak perlu bersusah payah untuk memastikan keselamatan peranti digital anda. Latih tabiat anda dengan 5 cara tersebut!

 

 

Pernahkah anda mengalami pengalaman peranti anda digodam atau dikompromi? Komen dan kongsi bersama kami di bawah. 

 

 

You May Also Like