Dengan purata jangka hayat rakyat Malaysia yang semakin meningkat, menyimpan untuk persaraan telah menjadi suatu kepentingan bagi semua. Anda tidak akan pernah “terlalu muda” atau “terlalu tua” untuk membuat simpanan persaraaan. Namun, terdapat masa di ketika persekitaran sekeliling yang negatif membuatkan kita tertanya-tanya dan mula menimbulkan keraguan melalui kenyataan yang tidak benar. Jadi, mari sama-sama kita meneroka tanggapan salah yang biasa didengari untuk menguatkan semangat kita untuk menyimpan. (Original article in English)

Merancang persaraan adalah antara tekanan kewangan terbesar dalam hidup seseorang. Mengapa? Kerana jumlah simpanan yang tinggi dan memandangkan kita rakyat Malaysia perlukan sekurang-kurangnya 30 tahun perbelanjaan selepas persaraan dan oleh itu, memerlukan usaha jangka masa panjang. Yang lebih parah lagi adalah selalunya terdapat hal-hal lain yang lebih memerlukan perhatian kita selain persaraan.

Kita selalu mendengar berita bahawa rakyat Malaysia tidak cukup bersedia untuk persaraan. Tetapi bila kita hendak melakukan sesuatu. di detik itulah datang pelbagai dugaan daripada rakan-rakan ataupun ahli keluarga dengan alasan yang sudah menjadi lumrah kehidupan. Lambat laun, semangat menyimpan ini patah dan kita masih tidak bersedia.

Jangan menyerah kalah! Mari lihat 7 tanggapan salah tentang simpanan persaraan dan terokai logiknya supaya anda boleh mendapat info yang lebih menyeluruh tentang perancangan persaraan melalui senario di bawah.


Senario 1

Masa banyak lagi. Baru je umur 24 tambah-tambah baru start kerja”

Apabila ditanya tentang nasihat kewangan terbaik, 63% daripada persara berkata “Mula menyimpan dari umur yang muda“. (Sumber: Laporan HSBC)

Sebagai belia muda, persaraan dianggap masih jauh lagi. Mungkin anda juga beranggapan bahawa umur muda perlu digunakan untuk enjoy dahulu dan tidak perlu terburu-buru seperti yang dinasihati rakan-rakan anda. Menarik, bukan? Tidak sama sekali.

Seperti cerita dongeng barat turun-temurun di mana belalang yang menghabiskan masa berseronok di ketika musim panas sementara semut mula menyimpan makanan untuk musim sejuk, anda mempunyai kelebihan sekaran di dalam bentuk masa. Pilih mentaliti seperti semut dan bukannya belalang. Dengan kuasa kompaun, dana persaraan anda akan berkembang dengan lebih besar jika anda mula menyimpan sekarang. Lebih awal anda menyimpan untuk persaraan, lebih banyak anda akan perolehi di waktu persaraan. Itu baru menarik!

Hari di mana anda menerima bayaran gaji adalah waktu yang sesuai untuk mula menyimpan di dalam dana persaraan. Tidak mengapa jika anda sudah bekerja kerana ia lebih baik sekarang daripada tiada simpanan langsung. Beringat dan ambil langkah sekarang.

Senario 2

Dah tua dah. Buat apa tua-tua ni baru nak mula menyimpan?”

Ini pula senario yang bertentangan dengan senario 1 tadi. Secara tiba-tiba, masa berlalu dengan pantas dan anak-anak anda sudah dewasa. Persaraan pula semakin hampir lebih cepat dari yang anda sangkakan. Anda mungkin beranggapan ia sudah terlalu lambat untuk bermula tetapi biarkan kami yakinkan anda bahaw ia sememangnya belum terlambat.

Anda tidak akan pernah terlambat untuk melakukan sesuatu yang bernilai dan berguna. Oleh itu, menyimpan untuk persaraan perlu dijadikan matlamat berterusan. Ya, anda mungkin perlu menyimpan lebih banyak untuk menggantikan masa anda yang lalai sebelum ini tetapi ingatlah bahawa lebih banyak anda menyimpan, lebih banyak anda boleh berbelanja di masa persaraan.

Walaupun anda mempunyai hanya 5 tahun lagi untuk bersara, gunakan masa itu sepenuhnya untuk meningkatkan simpanan. Ambil serius perkara ini kerana ini mungkin peluang anda yang terakhir untuk mengecapi kehidupan yang selesa. Dapatkan pelan kewangan yang sesuai – pelan yang menunjukkan bahawa terdapat pemotongan dalam perbelanjaan dan kenaikan simpanan/pendapatan.

Senario 3

“Dah ada dana persaraan dalam akaun simpanan bank dan deposit tetap”

Ya, duit anda selamat di dalam bank. Tetapi anda mengambil kira suatu perkara. Inflasi.

Nilai wang di dalam bank anda akan dapat membeli barangan yang lebih sedikit apabila kuasa membeli semakin berkurangan akibat daripada inflasi. Ini adalah kerana inflasi akan semakin meningkat mengikut masa. Walaupun akaun bank tidak terdedah kepada kecairan seperti kelas aset yang lain, pengurangan kuasa membeli akan mendatangkan masalah terhadap dana persaraan anda.

Di sebalik menyimpan setiap ringgit dan sen di dalam persaraan, bahagikan dana tersebut dalam kelas aset yang berlainan seperti saham, emas, hartanah dan pelaburan lain yang boleh meningkat untuk melawan inflasi.

Ingatkah anda bahawa karipap pada tahun 1990 di Penang adalah hanya 10 sen. 29 tahun kemudian, berapakah harga karipap sekarang? Fikir tentang ini apabila anda hendak mengambil kira faktor inflasi.

Senario 4

“Kan ada KWSP. Dah mencukupi dah untuk tampung persaraan”

Agak mengecewakan apabila data dibentangkan di mana wang di dalam KWSP tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan persaraan anda.

Mampukah RM 210 000 bertahan sekurang-kurangnya 20 tahun di waktu persaraan? Wang tersebut adalah purata simpanan untuk penyumbang berumur 54 tahun (Laporan KWSP tahunan 2018). Jumlah ini semestinya tidak dapat menampung perbelanjaan 20 tahun. Mari kita lihat contoh butiran perbelanjaan;

  • Anggap perbelanjaan isi rumah bulanan selepas persaraan = RM 4000
    • Tidak termasuk kecemasan
  • Jadi, setiap tahun, anda memerlukan RM 4000*12 = RM 48 000
  • Bahagikan simpanan KWSPdengan perbelanjaan = RM 210 000/RM 48 000 = 4.375 tahun. Simpanan sebanyak ini tidak dapat menampung perbelanjaan 5 tahun pun!

Jadi, adakah anda masih menganggap bahawa persaraan selama 20 tahun anda ini boleh ditampung dengan simpanan KWSP?

Jika anda mempunyai simpanan KWSP yang mencukupi, tahniah untuk anda. Jika tidak, ambil langkah sekarang. Contohnya, rancang langkah kewangan yang betul, kurangkan perbelanjaan dan ikut pelan bajet. Dapatkan khidmat penasihat kewangan jika perlu.

 Senario 5

“Saya bekerja keras untuk dapatkan wang. Salahkah saya enjoy sekarang?”

Sama ada tua atau muda, ini adalah tanggapan yang salah yang sering diulangi oleh rakan-rakan dan ahli keluarga. Tetapi, bukannya nak mengatakan bahawa ianya salah untuk berbelanja.

Menyimpan wang untuk persaraan dan berbelanja untuk keinginan sendiri boleh dibuat bersama-sama dan bukannya kita perlu berikat perut atau merana semata-mata untuk menyimpan. Anda boleh menggunakan formula “50/20/30” untuk merancang bajet peribadi yang dipopularkan melalui buku “All Your Worth: The Ultimate Lifetime Money Plan“. Formula ini menggunakan konsep di mana pendapatan anda dibahagi kepada:

  • 50% Keperluan (seperti makanan, bil rumah, kereta dan sewa)
  • 20%  Simpanan/Pelaburan (seperti simpanan kecemasan, dana saham)
  • 30% Keinginan (seperti tiket wayang, makan di restoran, kasut baru)

Tetapkan bajet anda melalui pelan dan ikut supaya anda tidak berbelanja tanpa hala tuju. Anda akan menikmati ganjaran dana yang mencukupi apabila bersara nanti  jika anda beringat.

Senario 6

“Dana pendidikan anak-anak lebih penting dari dana persaraan saya”

Tiada siapa mahu menjadi ibu bapa yang tidak prihatin akan pendidikan. Tiada siapa juga yang mahu menjadi seseorang yang “mencuri” masa depan anak-anak mereka. Jangan gusar. Kami akan terangkan cara-caranya.

Dilema dalam menyimpan sepatutnya tidak menjadi suatu isu jika pendapatan anda dapat dibahagi dengan bijak. Ia akan menimbulkan lebih banyak konflik jika anda mempunyai masalah hutang. Pilihan berkenaan mana anda patut menyumbang boleh mengacau emosi.

Apabila datang konflik sebegini, apabila anda perlu membuat pilihan, anda patut memilih persaraan berbanding dana pendidikan. Mengapa?

  • Pendapatan untuk menyara perbelanjaan persaraan anda datang hanya daripada simpanan.
  • Walaupun menyimpan untuk dana pendidikan adalah penting, ianya menjadi suatu kemewahan jika anda mempunyai pendapatan yang terhad. Pendidikan boleh dibiayai dengan sumber lain. Dapatkah anda membuat pinjaman bank untuk membiayai persaraan?
  • Ambil berat tentang persaraan dahulu. Dari situ baru mula untuk menyimpan sikit demi sedikit untuk dana pendidikan.

Jangan salahkan diri sendiri atau rasa bersalah. Anak-anak anda akan dapat mengharungi kehidupan dengan pertolongan atau tanpa pertolongan anda. Tiada siapa akan menyabitkan anda malah anda akan lebih berhati-hati dalam berbelanja. Jangan lupa bahawa pengajian tinggi adalah suatu kemewahan apabila duit terhad dan perbelanjaan persaraan anda adalah keperluan.

Senario 7

“Sebelum melabur, perlukan ilmu dahulu. Kena beli buku, hadir seminar dan lain-lain”

Kami faham bahawa mendapatkan wang memerlukan usaha dan sia-sia jika satu kesilapan sahaja dapat memadam usaha tersebut. Namun, dengar dahulu sebab ianya tidak relevan.

Anda tidak perlu menjadi pakar dalam pelaburan untuk melabur. Apakah cara terbaik untuk belajar melabur? Dengan melabur. Mula dengan sedikit dan dari awal secara konsisten. Dapatkan info dari penasihat kewangan yang boleh membantu anda menyesuaikan cara pelaburan mengikut gaya, matlamat dan selera risiko anda. Lakukan pemantauan berkala dan sesuaikan pelaburan mengikut haluan hidup anda.

Dengan bermula awal dan melabur sedikit demi sedikit secara konsisten, peluang anda untuk mencapai matlamat persaraan anda adalah lebih tinggi.

Kesimpulan

Menyimpan untuk persaraan adalah tugas paling penting bagi wang anda. Elakkan daripada dipengaruhi oleh senario di atas dan penipuan, alasan dan sebab lain untuk tidak menyimpan. Tiada siapa yang akan mengambil tanggungjawab tersebut kecuali anda, termasuklah anak-anak anda. Hanya bergantung kepada anda.

 

 

You May Also Like

 

 

Adakah anda sedar tentang jumlah wang simpanan persaraan anda? Adakah ia mencukupi? Jika anda tidak pasti, dapatkan khidmat daripada penasihat kewangan yang bertauliah