Dua daripada laman beli-belah yang terkenal di Malaysia, Lazada dan Shopee memiliki peratusan terbesar dalam industri digital. Namun, mampukah mereka bertahan jika Amazon bercadang untuk melebarkan sayap mereka di rantau ini? (Original article in English)
Sebagai pusat beli-belah online terbesar di dunia, Amazon telah menapak di mata dunia dengan inovasi dalam kepakaran mereka di samping mempelbagaikan jenis pasaran. Bermula dengan hanya menjual buku, mereka kini menjadi platform kepada pelbagai jenis penjual. Gergasi lain seperti Alibaba dan Jumia mengekori rapat model bisnes Amazon dan telah menguasai rantau Asia.
Berikut adalah tiga perkara yang Amazon fokuskan sepanjang dekad lepas yang boleh dicontohi syarikat di rantau Asia ini:
Contents
Pusat Pengedaran (“Fulfillment Center”)
Apa yang Amazon Lakukan?
Fenomena yang unik di Amerika Syarikat di mana konsep perniagaan tradisional makin hari makin luput. Konsep ini adalah di mana peniaga mempunyai ruang perniagaan fizikal. Terletak di pusat komuniti yang boleh diakses dengan mudah melalui lebuh raya, pusat perniagaan fizikal ini yang sebelumnya terasing kini dibeli/disewa oleh Amazon untuk ditukarkan kepada gudang penyimpanan barang yang cepat terjual. Kini, barangan ini dapat dihantar dengan lebih pantas dan efisien serata Amerika Syarikat. Barangan dibawa secara pukal dan disimpan di dalam gudang di mana apabila permintaan telah dipenuhi dalam talian, ia akan terus dibungkus dan diedarkan secepat mungkin.
Penghantaran satu hari (“one-day delivery”) adalah sasaran utama Amazon dan telah pun dipenuhi di sesetengah bandar. Apabila mampu memenuhi permintaan pelanggan dalam masa 24 jam, mereka menyediakan servis yang lain daripada peniaga digital lain dan hampir menyerupai pengalaman beli-belah tradisional. Pelanggan dapat meletakkan permintaan barangan runcit pada waktu pagi sebelum keluar ke kerja dan barang dapat dihantar apabila mereka pulang. Servis pantas sebeginilah yang identiti utama Amazon yang mementingkan pelanggan.
Apa Peniaga Digital Malaysia Boleh Lakukan?
Malaysia memiliki kawasan yang lebih kecil daripada Amerika Syarikat sebanyak 220 803 km2 berbanding kawasan Texas (696 241 km2). Jadi dengan memiliki hub pengedaran di bandar utama di Malaysia, peniaga digital dapat menjimatkan masa penghantaran. Walaupun di bandar besar, kawasan yang tidak digunakan di dalam pusat beli-belah dapat dimodifikasikan sebagai pusat pengedaran.
Penghantaran Akhir Berintegrasi (“Integrated Last Mile Delivery”)
Apa yang Amazon Lakukan?
Amazon mengambil berat dalam aspek penghantaran mereka. Mereka menggunakan pelbagai solusi logistik untuk meningkatkan servis mereka dalam aspek tersebut. Salah satunya adalah penghantaran melalui dron yang dibangunkan atas nama Prime Air untuk pasaran Amerika Syarikat. Dianggarkan ia akan dilancar pada hujung tahun 2019 di bandar tertentu, Prime Air memiliki kebolehan untuk menghantar barangan mereka hanya 30 minit selepas permintaan online dibuat.
Ia akan membolehkan penghantaran dilakukan dalam perjalanan yang tidak diganggu oleh trafik dan isu geografi. Bayangkan kebolehan dron berbanding trak yang perlu menempuh perjalanan berserta kesesakan trafik ataupun perjalanan yang berbukit. Dron dapat melakukan servis penghantaran dengan lebih pantas tanpa perlu melalui semua halangan itu. Ia juga lebih peka terhadap alam sekitar tanpa perlu menggunakan bahan bakar berbahaya. Terdapat pelan di mana semua dron yang digunakan perlu dijana hanya oleh bateri. Namun, kebolehan dron juga terhad di mana barangan yang dihantar perlu tidak melebihi berat dan saiz yang ditetapkan. Amazon juga perlu mendapat kebenaran daripada badan undang-undang sebelum dapat dijalankan di Amerika Syarikat.
Dengan mengawal penghantaran dari awal hingga akhir, Amazon dapat memastikan keadaan barang yang dihantar untuk menjalani segala prosedur dan pemeriksaan kualiti supaya ia dihantar dengan selamat dan menepati masa. Budaya ini sudah menjadi prinsip Amazon; di mana sema aspek bisnes dibangunkan sendiri dengan tidak mengharapkan teknologi luar. Jadi, dalam jangka masa panjang, mereka dapat memperoleh margin yang lebih tinggi dan peningkatan kepuasan pelanggan.
Apa yang Peniaga Digital Malaysia Boleh Lakukan?
Peniaga digital Malaysia mengharapkan servis pihak ketiga untuk menjalankan perniagaan yang membuatkan ia lebih sukar untuk mereka mengawal kualiti penghantaran. Lazada dan Shopee mengharapkan servis penghantaran daripada Poslaju, DHL dan J&T Express.
Ini bermakna proses permintaan dan pengedaran adalah dari sumber yang berbeza. Jadi, peniaga digital perlu menyediakan insurans kepada pelanggan mereka untuk memastikan kualiti penghantaran. Pelanggan yang perlu menghadapi elemen sebegini mungkin akan mula tidak mempercayai servis online jika mereka mendapat pengalaman buruk apabila barang sampai dalam keadaan tidak memuaskan.
Jika peniaga digital mengawal semua aspek termasuk penghantaran, kualiti dan membaikpulih, situasi buruk dapat dikurangkan dan proses pembelian akan lebih efisien. Untuk kawasan yang tidak dapat diakses dengan mudah, perkhidmatan penghantaran menggunakan basikal, ataupun kenderaan pacuan empat roda (4WD) dapat membantu dalam penghantaran. Apabila kualiti dan masa dapat ditingkatkan, begitu juga terhadap keyakinan pelanggan.
Automasi
Apa yang Amazon Lakukan?
Amazon banyak menyuntik dana daripada keuntungan mereka terhadap automasi dalam skala besar. Gudang Amazon kini telah menggunakan beribu-ribu robot untuk mengalih barangan dari titik A ke titik B dan mengurangkan penggunaan tenaga manusia dalam proses ini. Mengurangkan interaksi manusia dalam sektor ini dapat mengurangkan risiko kecederaan pekerja, meningkatkan masa pemprosesan yang berterusan dan ia membuatkan Amazon dapat dikembangkan dengan mudah.
Dalam aspek penghantaran secara automasi, Prime Air dapat beralih dari dioperasikan oleh manusia kepada operasi automasi secara penuh di masa akan datang. Perkara yang sama juga kepada Amazon Scout, robot penghantaran berasaskan darat yang baru dibangunkan pada awal tahun 2019. Pada masa yang sama, Amazon telah menggunakan trak pandu sendiri yang dibangunkan oleh Embark untuk mengatasi pengurangan pemandu trak di Amerika Syarikat.
Pulangan yang diperoleh oleh Amazon hampir semuanya dilaburkan kembali kepada kajian automasi dan robotik. Ini mendatangkan pembangunan yang pesat dalam sektor digital sama seperti apa yang Tesla telah lakukan dalam industri automasi dan pembangunan bateri.
Apa yang Peniaga Digital Malaysia Boleh Lakukan?
Automasi bukannya perkara yang boleh dibuat sewenang-wenangnya. Sebagai permulaan, sumber pekerja yang berpendidikan dengan kepakaran tertentu perlu dilatih untuk pembangunan dan integrasi automasi dan robotik dalam industri. Apa yang kita boleh lakukan dalam masa terdekat adalah mengambil teknologi automasi yang telah matang untuk digunakan dalam Malaysia. Pengurusan inventori, pembungkusan dan pelabelan adalah perkara yang boleh diautomasikan.
Dalam aspek kenderaan pandu sendiri, banyak perkara yang perlu dilakukan terlebih dahulu. Pengurusan jalanraya dan hub pengangkutan perlu lebih efisien untuk membolehkan pergerakan kenderaan sebegini. Polisi kerajaan juga perlu lebih fokus dalam sektor automasi supaya kita tidak ketinggalan.
Konklusi
Perjalanan kita masih lagi jauh untuk peniaga digital bertanding dengan Amazon tetapi mereka bukannya calang-calang ataupun sekadar jaguh kampung. Apa yang mereka miliki adalah pengetahuan dan pengalaman yang dalam tentang pasaran domestik. Walaupun dengan wang dan teknologi yang pesat, Amazon masih berjaga-jaga dan tidak mampu menembus pasaran China dan Afrika. Ia kerana peniaga domestik lebih arif tentang pasaran mereka sendiri.
Jadi, mampukah Lazada dan Shopee kekal dalam pasaran domestik? Satu perkara yang pasti adalah sesiapa yang mampu menyesuaikan diri dan melakukan inovasi dengan lebih pantas akan menjadi pemenang di penghujung hari dan dekad yang akan datang.
You May Also Like
- Jutawan Dunia Memiliki 50% Daripada Seluruh Kekayaan Dunia
- Mengemas Rumah Cara Minimalis
- Cara Memilih Penasihat Kewangan Anda di Malaysia
Apakah langkah yang anda rasa peniaga digital Malaysia perlu lakukan untuk mengatasi persaingan? Komen dan kongsi bersama kami di bawah.
Leave A Comment