Islam mempunyai konsep kekayaan, pemilikan dan pembahagian yang unik. Menurut Islam, kekayaan bukannya sekadar harta duniawi tetapi mempunyai nilai yang lebih besar. Ia sepatutnya diperoleh melalui usaha, dilaburkan dan dibelanja dengan cara yang betul dan memberi manfaat kepada individu tersebut, keluarganya dan masyarakat sejagat. Ganjaran yang akan diperoleh pula akan merangkumi duniawi dan juga ukhrawi. (Original article in English)

Antara salah faham yang biasa didengari adalah Islam merupakan agama yang memandang serong atas pengumpulan harta antara Muslim dan juga ahli agama.

Sebenarnya, Islam menggalakkan semua umat Muslim mengumpul harta jika tertakluk kepada tiga perkara berikut;

1. Kekayaan mesti diperolehi dengan jujur dan dari sumber yang sah.

2. Kekayaan perlu diurus dengan amanah dan memanfaatkan bukan sekadar pemilik dan keluarganya, tetapi kepada masyarakat sekelilingnya.

3. Kekayaan tidak menjauhkan diri seseorang Muslim dari agamanya.

Konsep Kekayaan Dalam Islam

Menurut konsep Islam,  kekayaan didefinisikan sebagai endowmen ataupun rezeki dari Allah dan manusia bertindak hanya sebagai penjaga harta di muka bumi ini. Kurniaan ini perlu diperoleh dengan titik peluh dan ia seharusnya tidak diselewengkan, dimusnahkan, dibazirkan atau dibiar begitu sahaja. Pemilikan dua hala ini yang menjadi panduan agar sifat tamak atau zalim dapat dibuang dan kita harus sedar bahawa ia bukan milik mutlak.

Islam juga mengajar agar kekayaan yang dijana ini perlu diberikan kepada individu atau organisasi yang lebih memerlukan melalui zakat dan secara langsung dapat membantu masyarakat setempat.

Pemahaman Asas Zakat Menurut Islam

Dalam bahasa Arab, zakat bermaksud “pertumbuhan”, “peningkatan”, atau “pertambahan”. Secara figuratif, ia bermaksud “peningkatan” psikologi dan harta orang yang memerlukan apabila mereka menerima zakat. Bagi pembayar zakat pula, mereka akan memperoleh pahala dan berkat Allah SWT Pembayar zakat akan diangkat darjatnya dan dapat menjadi Muslim yang lebih berguna dengan menunaikan rukun Islam.

Maksud literal zakat yang lain adalah “menyucikan”. Ia bermaksud penyucian harta dan jiwa seseorang Muslim. Penyucian harta adalah pengagihan dan pengedaran aset ke jalan Allah oleh seseorang Muslim dengan proses yang mirip seperti pengagihan portfolio oleh pengurus dana. Penyucian jiwa pula bermakna kebebasan dari hasad dengki, amarah, tamak, rasa tidak senang hati dan pentingkan diri sendiri.

Zakat adalah salah satu dari rukun Islam dan merupakan tiang ketiga selepas solat lima waktu dan sebelum berpuasa di bulan Ramadhan dan menunaikan haji. Dalam Islam, zakat bukannya sekadar sedekah atau amal jariah yang bergantung kepada individu. Ia adalah peratusan tetap yang dikumpul dari lebihan harta pendapatan seseorang Muslim.

Penerima Zakat

Adalah amat penting untuk  mengetahui siapa yang berhak menerima zakat sebelum kita menunaikan ibadah tersebut.

Al-Quran jelas mengatakan bahawa terdapat 8 golongan yang berhak menerima zakat;

  • Al-Fuqara’  yang bermaksud fakir miskin
  • Al-Masakin yang bermaksud seseorang yang dalam kepayahan
  • Pengagih zakat
  • Muallaf yang bermaksud seseorang yang baru sahaja memeluk Islam
  • Hamba abdi atau tahanan
  • Golongan yang dilanda hutang
  • Fisabilillah yang bermaksud perjuangan atas jalan Allah
  • Musafir yang bermaksud seseorang yang mengembara

Semua golongan di atas berhak menerima zakat kerana objektifnya dalam Islam adalah untuk menaikkan martabat golongan yang memerlukan dan menolong saudara-saudari dalam kesusahan. Zakat memberi hak kepada golongan miskin terhadap bantuan dan memberi kebebasan kepada tahanan dan golongan lain yang terperangkap.

 

Jenis-jenis Zakat

Seperti golongan penerima zakat, terdapat beberapa jenis zakat yang perlu dipatuhi oleh seseorang Muslim seperti;

  • Zakat Al-Fitrah
  • Zakat Al-Mal (“Harta”)
    • Zakat pendapatan
    • Zakat perniagaan
    • Zakat simpanan
    • Zakat emas dan perak
    • Zakat saham
    • Zakat ternakan
    • Zakat tanaman

Antara semua kategori, zakat harta adalah zakat yang kurang mendapat perhatian kerana ia mengandungi beberapa sub-kategori. Zakat harta adalah bayaran tahunan yang dibuat berdasarkan jumlah harta yang dimiliki oleh individu ataupun organisasi Muslim. Kadar bayaran adalah 2.5% dan wajib bagi setiap individu beragama Islam dan organisasi Islamik berdasarkan kriteria berikut;

  • Nisab (Jumlah harta minimum bersamaan dengan 85 gram emas berpandukan harga pasaran)
  • Hawl (Tempoh minimum penyimpanan harta adalah satu tahun Islam)

Dalam konsep zakat harta, terdapat sub-kategori yang perlu dititik beratkan iaitu zakat simpanan. Walaupun ia sebuah simpanan anda (atau beberapa simpanan) atau simpanan untuk tanggungan, ia perlu dibayar zakat.

Perlukah Kanak-kanak Membayar Zakat?

Mengikut Imam Shafi’ dan Imam Malik, kanak-kanak yang mempunyai harta melebihi had nisab (jumlah minimum) tertakluk kepada pembayaran zakat sama seperti dewasa.

Ahmad Husni Abdul Rahman, penolong pengurus Unit Shariah dan Informasi Wilayah Persekutuan di Pusat Pengumpulan Zakat, berkata ramai yang masih tidak sedar akan kewajiban ini dan jumlah minimum dan ia adalah kerana kurangnya maklumat tentang perbezaan jenis-jenis zakat.

Kanak-kanak yang mempunyai simpanan melebihi nilai nisab dianggap sudah berupaya membayar zakat tertakluk kepada kadar yang dikenakan oleh pusat pengumpulan zakat. Tahun ini, kadar ditetapkan pada 2.5% manakala nilai nisab diletakkan pada RM 13 968.

Memandangkan kanak-kanak tidak mampu menyelesaikan isu ini sendirian, ia boleh dilaksanakan oleh ibu bapa atau penjaga.

Ahmad Husni menegaskan bahawa “sekiranya kanak-kanak tersebut memiliki akaun simpanan dalam tiga bank yang berbeza dan ia melebihi nilai nisab, maka ketiga-tiga sumber ini perlu ditambahkan dan dibayar berdasarkan jumlah ini”.

Zakat harta diwajibkan apabila baki simpanan terendah melepasi nisab dan disimpan dalam tempoh setahun. Nisab adalah nilai terkini 20 mithqal emas iaitu 85 gram ataupun 595 gram perak. Kadar zakat adalah 2.5%.

Sebagai contoh, pengiraan zakat simpanan berdasarkan jumlah dalam rajah di bawah:

TarikhMasuk (RM)Keluar (RM)Baki (RM)
02/01/1915,000
25/04/194,00019,000
31/05/19200 (hibah)19,200
15/07/192,00017,200*
15/08/196,00023,200
18/09/195,00018,200
12/12/192,00020,200

Termasuk dalam baki adalah RM 200 iaitu hibah (hadiah dari bank kepada pendeposit selepas menyimpan dalam tempoh satu tahun). Oleh itu, pengiraan zakat adalah seperti berikut:

Tempoh hawl: 1 Muharram – 30 Zulhijah (1 tahun Islam penuh)

NisabRM 8,500
Jumlah ketika HawlRM 20,200
Kadar Zakat2.5%
Zakat Harta:RM 20,200 x 2.5% : RM 505

Konsep yang sama juga digunakan untuk mengira zakat terhadap akaun simpanan seperti simpanan tetap dan akaun mudharabah. Jika seseorang kanak-kanak memiliki beberapa akaun berasingan, hawl yang selaras perlu ditetapkan. Baki terendah dalam setiap akaun akan ditambah dan ia melebihi nisab, wajib terhadapnya zakat simpanan.

Namun, menurut pandangan Mazhab Hanafi, kanak-kanak tidak perlu membayar zakat walaupun harta sudah melebihi nilai nisab. Bayaran zakat pertama akan mula dibayar bermula selepas 12 bulan kanak-kanak tersebut akil baligh, jika memiliki harta melebihi nisab.

Konklusi

Sebagai seorang Muslim, adalah tanggungjawab kita untuk menjawab seruan yang telah termaktub di dalam Al-Quran untuk sama-sama berkongsi kekayaan. Untuk pengurusan yang lebih sistematik, anda boleh mendapatkan khidmat Perancang Kewangan Islamik untuk pengiraan terperinci.

Anda juga boleh membuat pengiraan sendiri untuk mendapatkan anggaran kasar.

 

 

You May Also Like

 

 

Bincang dan komen di bawah jika terdapat pertanyaan tentang bagaimana untuk membayar zakat.