Sama ada anda menukar kerja atau baru sahaja memasuki alam pekerjaan (tahniah kepada para graduan baru!), selain daripada gaji yang ditawarkan, apakah lagi manfaat daripada majikan yang boleh dipertimbangkan oleh anda apabila menerima kerja? (Original article in English)

Status atau jenis pekerjaan mungkin sama, gaji pun sama, tetapi apakah yang berbeza antara majikan? Walaupun anda sukakan suasana kerja seperti keseimbangan masa dan beban kerja, masih ada perkara bertulis lain yang perlu diambil kira selain gaji. Mari meneroka beberapa perkara yang biasa ditawarkan majikan tetapi bukan semua syarikat menawarkan manfaat yang sama.

1. Insurans / Perlindungan Perubatan

Anda mungkin perlu memeriksa sama ada majikan anda menawarkan pilihan seperti; berapa jumlah perlindungan, siapa yang dilindung (tanggungan) dan bila tarikh luput polisi.

  • Insurans perubatan untuk nasihat/rawatan pesakit luar di klinik kesihatan
  • Insurans perubatan untuk nasihat/rawatan daripada pakar bagi pesakit luar
  • Insurans perubatan untuk rawatan/nasihat hospitalisasi
  • Pakej sakit puan dan perlindungan
  • Perlindungan mata/penglihatan
  • Rawatan pergigian
  • Perlindungan insurans kemalangan peribadi

2. Cuti Kerja dan Leave

Malaysia mempunyai pelbagai jenis cuti umum dan perayaan. Namun, bukan semuanya digunakan oleh syarikat swasta. Jadi, lebih baik jika anda tahu jenis cuti yang diguna pakai oleh syarikat majikan anda dengan lebih awal supaya anda dapat merancang percutian dengan lebih mudah.

Leave pula berbeza dengan cuti di mana majikan memberi masa rehat kepada anda. Syarikat akan memberikan peruntukan “leave” yang sesuai mengikut kerja dan jawatan anda. Contoh leave adalah;

  • Cuti tahunan
  • Cuti bersalin (untuk ibu)
  • Cuti bersalin (untuk bapa)
  • Cuti kebajikan
  • Cuti sakit
  • Cuti hospital

3. Kerja Lebih Masa atau Overtime (OT)

Overtime adalah pembayaran pekerja untuk masa tambahan di luar waktu kerja dengan bertujuan untuk menyiapkan kerja tertangguh. Jika tiada klausa mengenai overtime di dalam kontrak pekerjaan, sila dapatkan maklumat daripada pihak majikan.

4. Bonus

Soalan ketiga paling popular diajukan oleh saudara mara ketika di kenduri selepas “Berapa dapat gaji?” dan “Bila nak kahwin?” adalah “Berapa dapat bonus raya ni?”.

Untuk sesetengah syarikat, ganjaran selepas mencapai sasaran tahunan sama ada berkumpulan atau individu dipanggil bonus (lihat subkategori di bawah). Menggunakan definisi ini, saudara mara anda merujuk kepada bonus tahunan di mana ia kebiasaannya diagihkan pada hujung tahun. Jumlah bonus mungkin sama bagi setiap pekerja ataupun berdasarkan formula yang mengambil kira prestasi di tempat kerja.

Bonus Bulan Ke-13. Bonus ini tak bermaksud anda bekerja 13 bulan setahun tetapi ia adalah tambahan sebulan gaji kepada pekerja. Ia tidak termasuk bonus tahunan atau bonus prestasi lain. Kita semua sedia maklum bahawa terdapat 52 minggu dalam setahun. Jika hendak ditukar kepada bulan, 52 dibahagikan dengan 4 bermaksud 13 bulan setahun! Untuk sesetengah syarikat, bonus bulan ke-13 sudahpun dibahagi dalam gaji bulanan supaya jumlah gaya bulanan dilihat sebagai lebih tinggi tetapi realitinya, ia sama dengan sesiapa yang memperoleh bonus sebulan. Jika anda ingin membandingkan gaji dengan rakan-rakan, gunakan gaji tahunan.

5. Ganjaran & Hadiah Berdasarkan Prestasi

Jika kerja anda berkualiti sepanjang tahun, mahukah anda diberi ganjaran berdasarkan kualiti kerja anda?

Semak dengan majikan untuk memahami ganjaran atau insentif yang diberikan untuk menghargai pekerja. Berikut adalah beberapa perkara yang dilihat oleh majikan dalam pekerja;

  • Prestasi konsisten dalam sesuatu tempoh
  • Melakukan sesuatu di luar bidang yang selari dengan nilai dan visi syarikat
  • Kelakuan baik
  • Sudah berkhidmat untuk jangka masa yang panjang
  • Membantu syarikat merekrut calon yang sesuai

Kadang-kadang, ganjaran akan diberi nama glamor untuk menarik perhatian pekerja lain dan menaikkan semangat pekerja. Ganjaran diberi sama ada dalam bentuk wang, piala, token penghargaan ataupun sesuatu yang bernilai. Ketahui bagaimana majikan anda memberi penghargaan kepada pekerja berprestasi tinggi supaya anda tahu nilai syarikat mereka dalam hubungan majikan-pekerja.

Antara penghargaan yang dikejar-kejar adalah Unit Saham Terhad atau Restricted Stock Unit (RSU) yang bermakna pekerja akan memperoleh saham syarikat daripada majikan secara berperingkat tertakluk mengikut tempoh pekerjaan. RSUs diberi kepada individu yang berprestasi tinggi dan mereka sangat berharga untuk syarikat.

6. Pembelian Saham Pekerja atau Employee Stock Purchase

Adakah anda memilih syarikat anda bekerja sekarang disebabkan oleh prestasi baik saban tahun dan terkenal dalam sektor industrinya? Memandangkan ia mencatatkan rekod baik setiap tahun, bukankah lebih baik jika anda mempunyai saham dalam syarikat bila anda tahu nilainya akan meningkat setiap tahun? Terdapat pelan daripada syarikat yang menawarkan anda harga diskaun bagi saham syarikat yang dinamakan Employee Stock Purchase.

Bergantung kepada majikan, terdapat beberapa cara diskaun ini ditawarkan contohnya dengan peratusan diskaun ataupun anda dapat membeli saham dengan harga awal dalam pasaran. Anda juga perlu mengambil kira jumlah saham yang dibenarkan untuk dibeli sebagai pekerja. Contohnya, sesetengah majikan terhadkan nilai saham syarikat kepada 6 bulan gaji.

7. Elaun

Elaun adalah bayaran tambahan bulanan di atas gaji. Contohnya;

  • Elaun internet – Untuk penggunaan internet di rumah atau telefon yang memerlukan anda bekerja menggunakan internet
  • Elaun pengangkutan – Untuk berjumpa denga klien atau jika anda tinggal jauh dengan tempat kerja
  • Elaun parkir – Untuk mengurangkan bayaran meletak kereta jika tempat kerja anda di dalam bangunan pejabat

8. Latihan Pekerja / Pengiktirafan

Sepanjang karier dan kehidupan kita, amatlah penting untuk kita sentiasa belajar dan menambahbaik diri. Dengan ilmu, kita dapat meningkatkan nilai diri kita sendiri. Kemahiran sama ada teori atau teknikal sangat berguna namun kebanyakannya bernilai puluhan ribu. Jadi, ada majikan yang menawarkan latihan atau pengiktirafan bagi pekerjanya supaya nilai syarikat juga akan bertambah.

9. Bantuan Bayaran Pembelajaran

Kita hanya berhenti berkembang apabila kita berhenti belajar. Jika pelan hidup anda adalah untuk menyambung pelajaran, dapatkan info sama ada majikan anda menawarkan peluang tersebut. Kebiasaannya, pelan ini akan disertakan sekali bersama kontrak memandangkan majikan telah melabur dalam perkembangan diri anda. Majikan juga mungkin hanya menawarkan kursus yang spesifik dalam sesetengah industri bergantung kepada permintaan semasa dan mengikut kontrak, anda juga perlu menunjukkan prestasi yang baik sepanjang tempoh pembelajaran.

10. Bekerja Daripada Rumah

Jika anda bekerja di persekitaran yang menggunakan hanya sebuah komputer riba dan anda tidak perlu datang ke mesyuarat, berguna juga untuk bertanya jika majikan anda memberikan fleksibiliti untuk bekerja di rumah. Dengan adanya peluang sebegini, anda dapat menggunakan masa sepenuhnya jika terdapat urusan yang memerlukan anda berada di rumah misalnya menjaga anak yang sakit ataupun menunggu penghantaran barang online. Perlu beringat bahawa peluang ini hanya diberi kepada ahli senior dalam syarikat dan selepas mendapat kepercayaan daripada majikan. Jangan pecah amanah dan gunakan masa di rumah sebaiknya kerana jika kepercayaan ini hilang, ia amatlah susah untuk dibaiki. Jika anda tidak dapat fokus dengan baik, lebih baik untuk ambil leave (bermaksud anda perlukannya).

Konklusi

Senarai manfaat daripada majikan tidak berhenti pada nombor 10. Banyak lagi cara yang inovatif dan proaktif untuk menunjukkan penghargaan kepada pekerja. Tidak kira latar belakang, ambil masa untuk mengenali majikan anda dan pastikan mereka menghargai pekerja dan ketahui juga hak anda. Dengan ini, anda dapat membuat pilihan dengan lebih baik sama ada kekal atau mencari peluang di tempat lain supaya anda lebih gembira dengan pilihan karier anda.

 

You May Also Like

 

Apa manfaat lain yang anda inginkan selain gaji?