Nurul Khairiah Mohamed Yusof merupakan penulis terbaru untuk MyPF dan berinspirasi untuk menyebarkan pengetahuan berkaitan kewangan kepada masyarakat.

Pengenalan

Lebih dikenali sebagai Khairiah, berasal dari Kluang, Johor dan mempunyai kelulusan dari Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang dalam bidang komunikasi serta major dalam kewartawanan.

Saya mula berminat untuk menulis bermula dari zaman universiti hingga bekerja sebagai wartawan di sebuah syarikat akhbar tempatan. Selama lebih dua tahun menjadi wartawan, saya menulis tentang berita am dan juga jenayah. Sebagai wartawan, saya perlu bersedia dengan pelbagai kemungkinan yang berlaku setiap hari terutamanya apabila ia melibatkan jenayah dan bencana alam. Tidak dinafikan, ia mempunyai cabaran tersendiri dan juga lingkungan yang luas kerana melibatkan perolehan maklumat daripada pelbagai pihak dan perlu tepat serta sahih.

Jika ada yang bertanya kenapa bertukar dari bidang kewartawanan kepada pemasaran dan jenama? Jawapannya adalah kerana minat untuk mendalami bidang pemasaran dan mahu mempraktikan perkara yang dipelajari sepanjang belajar di universiti dan semasa bekerja sebagai wartawan bagi menulis berkaitan kewangan dengan lebih baik.

Tidak dinafikan, memulakan karier dalam bidang yang berbeza setelah lebih dua tahun berkecimpung dalam industri kewartawanan bukanlah perkara yang mudah dan beberapa perubahan perlu dibuat untuk menyesuaikan diri.

Sebagai pengamal media, kami perlu memastikan penulisan terbaik dibuat untuk menjaga kualiti dan jenama organisasi yang diwakili dan ia tidak jauh bezanya dengan membentuk jenama dan pasaran untuk sebuah syarikat.

Apa Makna Penulisan Di Dalam Hidup Saya

Penulisan menjadi satu perkara yang dekat dengan saya kerana salah satu cara berkesan untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

Tidak dinafikan, menulis tentang kewangan bukanlah perkara mudah, terutamanya apabila anda mempunyai pengetahuan terhad dan pengalaman yang kurang tentangnya, tetapi di sinilah proses pembelajaran berlaku. Setiap orang perlu bermula dari bawah apabila belajar perkara yang baru dan dengan perkembangan teknologi kini, kesemua maklumat tentang kewangan berada di hujung jari melalui internet. Namun begitu, peranan perancang kewangan dan buku ilmu kewangan tidak boleh dilupakan kerana ia datang daripada individu yang menerima latihan dan mempunyai sijil yang diiktiraf.

Beralih kepada kegiatan pada masa lapang, saya akan menghabiskannya dengan membaca buku. Antara buku yang menjadi pilihan terdiri daripada genre fiksyen seram, dewasa, cinta dan lain-lain. Penulis kegemaran saya pada masa ini adalah Stephen King, Khaled Hosseini dan Gillian Flynn.

Minat Mendaki

Selain membaca, saya juga gemar melakukan aktiviti fizikal terutamanya mendaki gunung dan meluangkan masa dengan alam semulajadi. Ia adalah masa dan ruang untuk mengenali diri dan mengurangkan tekanan daripada kehidupan seharian.

Saya mula berjinak dalam sukan pendakian pada tahun 2017 selepas menyertai satu ekspedisi mendaki di Negeri Sembilan. Walaupun kali pertama mendaki dan seluruh tenaga diperah untuk sampai ke puncak, namun ia menjadi pengalaman yang tidak boleh dilupakan dan bermula dari itulah, pelbagai ekspedisi pendakian disertai.

Pengalaman paling manis sepanjang mendaki selama hampir tiga tahun adalah berjaya menawan Gunung Kinabalu di Sabah pada penghujung tahun 2019. Walaupun perjalanan sepanjang ke puncak sangat mencabar dengan cuaca yang sejuk dan risiko mengalami sindrom akut gunung (AMS), tetapi ia berjaya diharungi dengan baik dan kesemua ahli kumpulan turun dengan selamat.

Aktiviti fizikal bukan sahaja mampu menyihatkan tubuh badan tetapi juga boleh memberikan perspektif baru terhadap kehidupan terutamanya apabila ia mencabar mental untuk meneruskan perkara yang kelihatan mustahil. Apabila kesemua perkara yang mustahil dapat diharungi, kita boleh menghadapi dunia daripada kaca mata dan semangat baru.

Pengurusan Kewangan Sebagai Platform Penulisan Baru

Pada masa kini, literasi kewangan dalam kalangan masyarakat berada pada tahap yang kurang memuaskan. Ia disebabkan ramai yang tidak cakna akan keperluan untuk menguruskan kewangan diri sehingga menyebabkan tiada simpanan pada masa akan datang. Tidak dinafikan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi dan tangga gaji yang rendah menyukarkan mereka untuk mengenepikan sedikit simpanan bagi masa kecemasan.

Bagi golongan belia seperti saya, cabaran untuk menguruskan kewangan pada masa ini bukanlah sedikit, lebih-lebih lagi dengan faktor kos sara hidup yang semakin meningkat sehingga menyebabkan mereka tidak mampu untuk bersedia dengan hal kecemasan seperti jatuh sakit, dibuang kerja dan tekanan perasaan sehingga tidak mampu untuk bekerja.

Sebagai individu yang pernah dibuang kerja setelah hampir tiga tahun bekerja kerana syarikat gulung tikar, saya menyedari bahawa simpanan, walaupun sedikit namun sangat berguna terutamanya semasa mahu menampung perbelanjaan sementara mencari pekerjaan lain. Dengan simpanan yang ada, sedikit sebanyak boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan dan juga membayar komitmen yang sedia ada.

Dalam situasi ekonomi yang kurang memberangsangkan kini, setiap individu perlu bijak merancang kewangan dan melihat ke depan bagaimana untuk memastikan setiap perbelanjaan adalah perancangan yang tidak membuatkan mereka tidak

Oleh sebab itu, pengurusan kewangan amat penting dalam memastikan terdapat simpanan yang mencukupi untuk hari tua. Sebelum ini, saya bukanlah individu yang merancang kewangannya dengan bijak dan secara jujurnya, enam bulan pertama ketika mula bekerja, tiada sebarang simpanan dibuat dan gaji bulanan habis sebelum waktunya. Ia bukanlah waktu yang boleh dibanggakan, tetapi manusia belajar daripada kesilapan dan dengan kesilapan itulah, saya sedar perlunya menyimpan wang untuk kegunaan masa depan.

Moto Hidup

Moto hidup saya adalah untuk sentiasa bersyukur dan belajar dengan lebih tekun bagi meningkatkan nilai diri dan skil yang diperlukan. Tidak lupa juga untuk sentiasa menulis dan membaca bagi mengasah minda.

 

You May Also Like

 

Interested in exploring career opportunities with MyPF? Learn about our career opportunities