Agensi Pengurusan Kewangan Kebangsaan, atau lebih dikenali sebagai AKPK, adalah agensi kerajaan yang ditubuhkan oleh Bank Negara dan mereka bertanggungjawab untuk memupuk kecelikan kewangan di kalangan rakyat Malaysia. 

Hampir Separuh Rakyat Malaysia Tidak Dapat Menyimpan RM 1 000

Dalam satu artikel yang dipetik dari The Star  baru-baru ini telah mengeluarkan satu statistik yang mengejutkan apabila sebahagian daripada rakyat Malaysia atau 52 peratus daripadanya tidak mampu untuk mengeluarkan RM1,000 bagi hal kecemasan.

Apakah yang menyebabkan perkara sebegini terjadi? Apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk memastikan kita mampu menyediakan wang untuk hal-hal kecemasan pada masa akan datang?

Menurut Pengurus Pendidikan Kewangan, Agensi Pengurusan Kewangan Kebangsaan (AKPK), Mohamad Mafrukhin Mokhtar, antara penyebab perkara tersebut adalah sikap individu sendiri yang sengaja melambatkan untuk menyimpan duit.

“Walaupun mereka mempunyai pengetahuan tentang pengurusan kewangan, tetapi kesedaran untuk melakukannya masih di takuk lama”

“Jika tiada sebarang langkah diambil ia tidak akan terjadi dan akhirnya akan menyesal di kemudian hari,” katanya kepada MyPF baru-baru ini.

Tambahnya lagi, ada juga yang tidak didedahkan dengan pengetahuan yang menyeluruh tentang bagaimana mahu menyimpan dan tidak tahu bagaimana untuk memulakannya.

“Namun, antara sebab yang sering diperkatakan adalah kos sara hidup yang tinggi dan hutang yang banyak sehingga tidak mampu menyimpan.

“Alasan ini akan terus didengari mungkin hingga 30 tahun akan datang kerana kos sara hidup akan sentiasa meningkat,” ujarnya.