Sedania As Salam telah melancarkan platform AsSidq.com yang menawarkan sistem perbankan Islam terbaru. Mereka adalah pelopor teknologi kewangan (FinTech) berasaskan hukum Syariah yang disahkan selaras dengan agenda digital Malaysia. 

Pengenalan Sedania As-Salam

Kewangan Islam merujuk kepada satu rangka kerja institusi perbankan dan kewangan yang dijalankan berlandaskan prinsip Syariah untuk merealisasikan keadilan dalam pengagihan kekayaan dan juga pendapatan. Pengurusan perbankan dan kewangan Islam adalah berdasarkan transaksi dalam fiqh al-mu’amalat supaya ia sentiasa mengikuti hukum Syariah.

Sedania As Salam Capital Sdn. Bhd. (SASC) adalah anak syarikat milik penuh Sedania Innovator Bhd.  Ia ditubuhkan pada tahun 2013 dan merupakan syarikat teknologi kewangan (FinTech) Islam dengan produk utamanya iaitu platform AsSidq.com. Ia menawarkan sistem dagangan berdasarkan konsep Tawarruq bagi memudahkan urusan perbankan selain menepati hukum Syariah.

Servis Yang Pantas Antara Keistimewaan AsSidq.com

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nisa Ismail, keistimewaan platform ini adalah ia telah dipatenkan dan boleh diaudit daripada aspek perbankan dan juga Syariah melalui pengesanan nombor siri pada produk itu. Berkata beliau kepada MyPF dalam temu duga baru-baru ini,

“Sistem ini menggunakan kredit telekomunikasi sebagai dagangan komuniti dan anda tidak boleh mengulang penggunaannya kerana ia tidak mematuhi hukum Syariah”.

“Platform ini juga membantu pihak bank apabila pelanggan memohon pelan kewangan peribadi kerana pembayaran yang pantas, misalnya permohonan dibuat hari ini dan ia akan diproses serta merta, membolehkan pembayaran dibuat paling pantas dalam hari yang sama atau keesokan harinya dan itulah istimewanya dengan AsSidq.com,”

Sebagai pelopor dalam bidang teknologi kewangan Islam, pihaknya mahu memberikan pendedahan yang lebih menyeluruh kepada pengguna dan bank mengenai penggunaan sistem perbankan yang mematuhi Syariah dan juga fintech.

Sehingga kini, lebih daripada 55 institusi kewangan di seluruh negara telah menggunakan platform berkenaan.

Kepentingan literasi kewangan dalam kalangan penduduk Malaysia

Selain menjadi pelopor teknologi kewangan Islam di negara ini, Sedania As Salam turut memberi fokus kepada meningkatkan tahap literasi kewangan terutamanya dalam Bahasa Malaysia.

Nisa berkata, melalui blog AsSidq.com, mereka menyediakan pelbagai maklumat antaranya mengenai gaya hidup kewangan, perbezaan di antara kad kredit kad debit dan juga kepentingan pengurusan kewangan peribadi.

“Penerangan dalam bentuk video oleh penasihat Syariah kami turut dimuat naik yang menerangkan konsep kewangan Islam dan perbezaannya dengan kewangan konvensional. Maklumat ini disampaikan dengan menggunakan terma dan penerangan yang ringkas serta mudah difahami oleh pengguna,”

Pihaknya juga  turut bekerjasama dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) untuk menyampaikan dan mendidik pelanggannya yang kebanyakannya merupakan kakitangan kerajaan tentang teknologi kewangan, penggunaan e-wallet dan juga mata wang kripto.

Ia menjadi tanggungjawab korporat sosial pihaknya untuk mendidik terutamanya golongan bumiputera tentang pengurusan kewangan yang berkesan.

Nisa turut menyenaraikan dua langkah utama yang boleh diambil supaya tahap kewangan lebih stabil dan tiada istilah tidak mampu untuk menyediakan wang bagi hal-hal kecemasan.

1. Senaraikan perkara yang menjadi keperluan dan kehendak

Lihat semula gaya hidup, adakah ianya suatu keperluan atau hanya sekadar kemahuan? Sentiasa menyimpan sekurang-kurangnya 10% daripada gaji bulanan. Laburkan wang di dalam sistem insurans atau pelaburan yang boleh digunakan untuk masa akan datang.

2.  Tabiat menabung dengan tabung peribadi

Ia boleh diletakkan di mana-mana sahaja. Bagi Nisa, tabung peribadinya berada di dalam bilik dan di dalam kereta. Jumlah yang diletakkan juga tidak tentu, adakalanya hanya RM5 dan mungkin boleh mencecah sehingga RM10. Ia menjadi tabung tabung kecemasan terutamanya apabila menjelang hujung bulan apabila gaji semakin berkurangan. Ia boleh digunakan untuk mengisi minyak kenderaan dan sebagainya sementara menunggu pembayaran gaji seterusnya.

Perancangan masa akan datang untuk Sedania As Salam

Sedania juga bakal melancarkan As-Sidq Althiqa yang juga produk pertama seumpamanya dihasilkan bagi membantu meningkatkan kadar kelulusan permohonan pembiayaan peribadi pelanggan.

Menerusi Althiqa, bank boleh memastikan potongan bayaran ansuran terhadap akaun bank gaji pemohon dibuat sebaik bayaran gaji mereka dimasukkan ke dalam akaun tersebut. Ia memastikan bayaran ansuran pembiayaan peribadi bulanan mereka terjamin.

Pelanggan boleh memohon Althiqa melalui laman web AsSidq.com dan pihaknya akan menyediakan maklumat produk tersebut kepada pihak bank bagi membolehkan mereka meneliti sejarah skor kredit pelanggan.

Sedania juga akan mengembangkan teknologi tersebut selain di Malaysia dan sasaran mereka kini adalah Indonesia yang mempunyai jumlah penduduk beragama Islam yang tinggi. Pihaknya percaya bahawa negara tersebut semakin memberikan perhatian terhadap kewangan Islam dan produk kewangan berdasarkan konsep Islam.

 

You May Also Like

 

Adakah akan memilih AsSidq.com sebagai platform kewangan anda? Jika ya, kongsi dengan kami dalam ruangan komen di bawah.