Jangan biarkan diri anda terperangkap dalam penderaan kewangan

Masyarakat sering mengaitkan penderaan dalam perhubungan adalah berbentuk fizikal dan verbal . Tetapi kajian menunjukkan bahawa penderaan kewangan turut berlaku dengan kerap dalam hubungan yang tidak sihat terutamanya terhadap wanita.

Dalam satu kajian yang dilakukan oleh Michigan State University pada tahun lalu mendapati lebih 70 peratus wanita  menyatakan bahawa pasangan mereka menyembunyikan maklumat kewangan daripadanya dan mereka juga lebih berisiko untuk mempunyai hutang tersembunyi. Sebanyak 46 peratus daripada mangsa juga menyatakan bahawa skor kredit mereka terjejas akibat pasangan masing-masing. Ia juga menjadi antara tanda awal dalam penderaan domestik.

Definisi penderaan kewangan

Pendera akan mengawal kemampuan mangsanya untuk mendapatkan, menggunakan dan memastikan sumber pendapatan yang stabil. Lebih teruk lagi, mereka juga menghalang mangsanya daripada bekerja.

Simpanan mangsa turut diambil dan akses terhadap wang dan sumber lain dihadkan bagi memastikan mangsa tiada sebarang kuasa bagi kewangannya.

Pendera menggunakan pelbagai taktik antaranya dengan memanipulasi menggunakan kata-kata dan ada juga yang agresif dan berbahaya. Tetapi, tujuannya masih sama iaitu untuk memperoleh kuasa dan kawalan yang penuh terhadap pasangan mereka.

Mungkin ada yang menganggap ia remeh kerana tidak melibatkan mencederakan fizikal tetapi ia merupakan salah satu cara untuk memerangkap mangsa dalam hubungan yang tidak sihat.

Kajian turut menunjukkan bahawa mangsa risau mereka tidak mampu untuk menyara diri sendiri dan anak-anak, lalu sanggup bertahan dengan perkahwinan yang tidak bahagia.

Bagaimana pemangsa mendera secara kewangan?

Secara umumnya, penderaan kewangan berupaya mengasingkan mangsa kerana dirinya bergantung sepenuhnya dengan pendera dan memerangkap mereka dalam hubungan tersebut. Tanpa sebarang pendapatan dan wang, mangsa tidak dapat melihat jalan keluar.

Bagi wanita yang menjadi mangsa, amat penting untuk mereka mengenal pasti tanda-tanda penderaan sebelum ia menjadi semakin teruk sehingga menyebabkan mangsa tidak mempunyai sejarah kredit dan peluang bekerja.

Berikut merupakan tanda-tanda penderaan tersebut:

  1. Menyalahgunakan sumber kewangan pasangan
  • Menggunakan aset mangsa untuk kegunaan peribadi tanpa kebenaran
  • Cuba mengawal akses terhadap akaun bank atau simpanan
  • Meminjam wang atau menggunakannya untuk membuat bayaran tetapi tidak membayar semula
  • Merasa layak terhadap wang dan aset mangsa
  • Mengugut untuk mendapatkan kata laluan akaun bank dan kad kredit
  • Mengharapkan mangsa untuk membayar kesemua bil atau kehendak mereka
  • Biasanya menawarkan diri untuk menguruskan bajet dan membuat keputusan penting sebagai alasan untuk mengawal mangsa
  • Membuka penyata bank tanpa kebenaran mangsa

2.  Memperlekeh sumber pendapatan mangsa

  • Mengkritik dan merendah-rendahkan pilihan kerjaya
  • Mendesak mangsa untuk meletakkan jawatan dan ada kalanya menggunakan anak-anak sebagai alasan
  • Menetapkan di mana mangsa boleh dan tidak boleh bekerja
  • Mensabotaj tanggungjawab kerjaya mangsa
  • Menganggu masa kerja dengan menghantar mesej, menelefon atau singgah di tempat kerja mangsa tanpa memberitahu terlebih dahulu
  • Menghalang mangsa untuk ke tempat kerja dengan merosakkan kenderaan, menyembunyikan kunci atau menawarkan diri menjaga anak tetapi menarik diri pada saat akhir

Mengawal Aset dan Sumber Pendapatan Mangsa

Beberapa tanda menunjukkan pasangan mengawal kewangan dan sumber pendapatan mangsa:

  • Mengkritik setiap keputusan kewangan yang dibuat
  • Menyekat kebebasan untuk merancang kewangan
  • Menolak untuk bekerjasama dalam urusan kewangan
  • Berkeras untuk berkongsi hasil pendapatan dengannya, tetapi dia menolak untuk berkongsi dengan mangsa
  • Menetapkan bahawa mangsa perlu melaporkan setiap wang yang dibelanjakan walaupun untuk hal yang kecil seperti membeli botol air mineral
  • Tidak adil dalam berbelanja apabila melarang mangsa untuk berbelanja mewah tetapi dirinya sendiri berbelanja dengan berlebihan
  • Enggan membayar perbelanjaan untuk anak-anak
  • Memaksa mangsa menandatangani perjanjian berkaitan kewangan tanpa sebarang penjelasan yang jelas

Apa yang anda boleh lakukan jika menjadi mangsa atau mengenali seseorang yang menjadi mangsa?

Langkah pertama yang anda boleh lakukan adalah menghubungi Talian Nur di 15999 atau merujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di daerah anda dengan memaklumkan kepada pegawai bahawa anda mahu mendapatkan Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO). Laporan polis tidak diperlukan dalam permohonan EPO.

Mangsa juga digalakkan untuk mempunyai pelan kecemasan kewangan untuk diri yang berasingan daripada pasangan. Ia termasuklah menyimpan wang secukupnya, mengaktifkan deposit terus kepada akaun dan menyimpan rekod kewangan dan kata laluan yang penting.

Mangsa juga boleh mengambil gambar atau menulis semula rekod kewangannya jika perlu, bagi memastikan terdapat bukti yang boleh digunakan jika kes dibawa ke mahkamah.

Antara rekod kewangan yang penting untuk diselamatkan:

  • Pasport
  • Penyata akaun bank
  • Slip gaji atau bonus
  • Dokumen berkaitan cukai
  • Kad pengenalan diri dan anak-anak
  • Dokumen yang membuktikan hak milik mangsa terhadap sesuatu aset
  • Bil-bil yang didaftarkan atas nama mangsa
  • Lesen memandu

Bagi mangsa penderaan, melepaskan diri daripada cengkaman pendera bukanlah perkara yang mudah tetapi ia tidak mustahil. Dapatkan sokongan dan bantuan daripada individu yang boleh dipercayai seperti ahli keluarga, rakan atau pihak berkuasa.

You May Also Like

Apakah lagi tanda-tanda penderaan kewangan yang boleh berlaku di dalam perhubungan? Kongsi dengan kami dalam ruangan komen di bawah.