Syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) perlu bertindak segera. Diterjemahkan daripada kenyataan oleh Pengarah Urusan Wealth Vantage Advisory, Rafiq Hidayat Mohd Ramli.

“Dalam kadar sekarang, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia menjangkakan kira-kira 200,000 hingga 300,000 atau 30% daripada IKS, akan jatuh muflis dalam masa setahun”

Saya agak terkejut kerana adanya Persatuan PKS di Malaysia. Siapa yang menyertainya? dan apakah langkah untuk menyertainya? Apakah antara kelebihan jika menjadi ahlinya?

30% daripada syarikat PKS akan jatuh bangkrap sehingga tahun depan? Tidak mustahil sebenarnya.

Kategori Syarikat PKS

Syarikat-syarikat PKS semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini sebenarnya boleh dibahagikan kepada tiga kategori:

1. Syarikat yang menyaksikan pendapatan mereka bertambah kerana perniagaan yang menyediakan produk yang menjadi permintaan daripada pelanggan pada masa ini.

2. Syarikat yang tidak melihat sebarang perubahan dengan hasil pendapatan mereka atau hanya berkurang sedikit sahaja kerana perniagaan mereka yang termasuk dalam kategori penting (essential) tetapi tidak seperti dalam kategori pertama dan mungkin telah melakukan perubahan terhadap punca pendapatan perniagaan.

3. Syarikat yang semakin berkurang pendapatannya atau tiada langsung kerana perniagaan yang berada dalam sektor yang tidak dikategorikan sebagai penting dan tiada sebarang perubahan dibuat terhadap model perniagannya- walaupun terdapat segelintir daripadanya yang agak mustahil untuk menukar model perniagaannya misalnya sektor pembinaan, perhotelan dsb.

Adakah ini bermaksud, 30% daripada syarikat PKS yang akan muflis adalah mereka dalam kategori ketiga? Ia satu persoalan yang boleh direnungkan.

“Tetapi peliknya, subsidi upah daripada kerajaan bernilai RM13.8 bilion tidak begitu popular dengan perniagaan PKS”

Sehingga kini, kira-kira 500,000 syarikat PKS berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang menguruskan permintaan subsidi tersebut bermula 9 April lalu tetapi sejak 24 April lalu, hanya 228,797 majikan sahaja yang memohon.

Kita andaikan kesemua permohonan tersebut diluluskan, pembayaran subsidi selama tiga bulan itu hanya bernilai RM5.9 bilion atau kira-kira 43% daripada jumlah keseluruhan bantuan yang disediakan oleh kerajaan.

“Ia amat jauh daripada anggaran kerajaan bahawa seramai 4.8 juta pekerja akan menerima manfaat daripada subsidi tersebut”

Tidak Ramai yang Memohon

Melalui Pakej Stimulus Ekonomi, salah satu daripada perkara yang ditekankan adalah pemberian subsidi kepada PKS yang diuruskan oleh PERKESO.

Tetapi, kurang daripada 50% sahaja yang memohon subsidi tersebut.

Presiden Persatuan PKS, Datuk Michael Kang berkata, kebanyakan majikan ragu-ragu untuk memohon subsidi berkenaan yang memerlukan mereka mengekalkan pekerja untuk sekurang-kurang selama enam bulan (tiga bulan dengan subsidi upah dan tiga bulan seterusnya) tanpa sebarang cuti tidak bergaji serta mengekalkan gaji sedia ada.

Faktor utama yang menyebabkan lebih daripada 50% tidak berdaftar dengan program subsidi tersebut adalah syarikat PKS sendiri masih ragu-ragu untuk mengambilnya.

Saya mempunyai anggapan bahawa usahawan adalah golongan yang berdaya tahan. Sebelum ini, usahawan sering berkongsi cerita mereka, bagaimana mereka membina perniagaan dan sebagainya.

Ketika saya menghantar kereta untuk dibaiki baru-baru ini, mekanik yang membaikinya memberitahu,

“Boss, masa sekarang, kita mau hidup saja. Apa yang boleh buat, pinjam ka, subsidi ka, semua kita buat. Kalau kita hidup, nanti boleh naik balik,”

Inilah yang saya maksudkan sebagai seorang usahawan. Apa sahaja tindakan berpotensi yang boleh memberikan kamu masa yang lebih untuk mencari solusi bagi masa depan adalah sangat berharga.

Tujuan subsidi atau bantuan kewangan yang diberikan kerajaan bagi memberikan usahawan ruang bernafas untuk MASA KINI, sementara kerajaan dan diri sendiri mengenal pasti cara terbaik untuk membaiki situasi sekarang.

Jika kamu hanya tahu untuk mengadu tetapi tidak mengambil sebarang tindakan, berhenti menyalahkan pihak lain apabila perniagaan tidak dapat bertahan. Pekerja yang kamu buang disebabkan tiada sebarang tindakan diambil, adakah mereka akan menunggu kamu untuk membina semula perniagaan kamu?

Tidak, mereka juga ada masalah sendiri untuk difikirkan. Mereka akan memilih majikan lain yang sanggup menggajikan mereka. Majikan tersebut akan mendapat tenaga kerja mahir yang tidak perlu dilatih, dan jika strategi mereka berkesan, majikan tersebut mampu meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan terhadap pengguna.

Kesimpulan

Bagaimana dengan pelanggan kamu? Adakah mereka akan terus menyokong kamu? Menunggu untuk kamu bangkit? Jawapannya seperti di atas. Mereka akan mencari pembekal lain, mungkin pembekal yang sama menggaji bekas pekerja kamu. Keperluan mereka masih perlu dipenuhi.

Jadi berhenti berfikir bahawa dunia kamu berakhir dan mula bertindak untuk membaiki situasi sekarang kerana jika tidak, kamu akan hilang lebih daripada syarikat sendiri.

You May Also Like

 

Adakah kamu adalah pemilik perniagaan yang termasuk dalam kategori PKS? Jika ya, kongsi dengan kami bagaimana kamu menghadapi tempoh yang mencabar ini.