Pengurusan harta pusaka adalah sebahagian daripada proses perancangan kewangan yang penting. Dalam islam, faraid memainkan peranan besar dalam penentuan pembahagian harta.

Pengurusan harta pusaka dalam kalangan umat Islam adalah satu prosedur yang penting untuk difahami, khususnya untuk masyarakat Islam.

Tanpa pengurusan harta pusaka yang baik, pelbagai pertikaian boleh berlaku sehingga menyebabkan kepada konflik perebutan harta, permusuhan keluarga sehingga memerlukan penyelesaian mahkamah.

Mengapa ia berlaku? Jawapannya adalah kerana kekurangan pengetahuan dalam menguruskan harta pusaka dalam kalangan keluarga atau waris yang terlibat. Terdapat beberapa tertib (langkah) yang  boleh dilakukan untuk mengelakkan daripada berlaku sebarang pertelingkahan dan memastikan pembahagian harta pusaka yang lebih adil selepas berlakunya kematian.

#1. Asing

Lakukan pengasingan terhadap harta yang dimiliki atau yang diuruskan oleh si mati ketika hayatnya. Mungkin tidak semua harta yang diuruskan si mati adalah kepunyaan mutlaknya seperti harta wasiat, harta yang telah dijual, harta yang dihibahkan dan juga harta yang diwakafkan oleh si mati pada hayatnya.

#2. Tuntut

Dalam langkah ini, waris perlu melunaskan hutang piutang yang telah ditinggalkan oleh si mati. Hutang yang dimaksudkan dibahagikan kepada dua kategori iaitu hutang dunia dan hutang akhirat. Hutang yang melibatkan orang perseorangan, syarikat atau pihak kerajaan dianggap sebagai hutang yang perlu diselesaikan.

Hutang akhirat seperti pelaksanaan ibadah haji yang belum dibuat oleh si mati sedangkan dia berkemampuan boleh dilunaskan dengan menggunakan harta peninggalannya.

Dalam hal ini, waris juga perlu melunaskan tuntutan cukainya mengikut  Seksyen 74 dan Seksyen 106 Akta Cukai Pendapatan 1967 kerana Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDNM) mempunyai kuasa untuk menuntut baki cukai tertunggak daripada waris atau pentadbir harta pusaka. Tuntutan tersebut akan dibuat terhadap hartanya. Waris perlu memastikan si mati tiada sebarang tunggakan cukai pendapatan sebelum ia diagihkan. LHDNM juga boleh membuat tuntutan baki cukai yang tidak dijelaskan melalui tindakan sivil

#3. Bahagi harta sepencarian

Harta sepencarian ialah harta yang dimiliki dan diusahakan secara bersama oleh si mati dan pasangannya semasa hayatnya. Sekiranya pasangan tidak bekerja atau tidak mempunya sumber pendapatan yang tetap, pasangan yang hidup juga boleh menuntut harta sepencarian. Contohnya isteri yang tidak bekerja atau tiada punca pendapatan yang  tetap serta menjadi suri rumah sepenuh masa boleh menuntut harta sepencarian yang ditinggalkan oleh pasangannya yang telah meninggal dunia.

Ia kerana isteri merupakan teman hidup yang banyak membantu suaminya dalam menguruskan rumah tangga dan meringankan beban suami sebagai ahli keluarga untuk mencari rezeki.

#4. Pelaksanaan wasiat

Wasiat ialah hasrat atau pesanan si mati yang dibuat semasa hayatnya namun ia hanya boleh dilaksanakan apabila pewasiat sudah meninggal dunia.

Harta yang ditinggalkan oleh si mati boleh diuruskan dengan pelaksanaan wasiat asalkan tidak melebihi 1/3 daripada jumlah harta yang ditinggalkan. Wasiat juga boleh diberikan kepada bukan waris asalkan tidak melebihi 1/3 daripada jumlah harta yang telah ditinggalkan. Wasiat juga boleh diberikan kepada bukan waris yang berhak mendapat harta pusaka peninggalannya.

Wasiat perlu dibuat secara bertulis melalui pihak yang menyediakan perkhidmatan wasiat seperti Amanah Raya Berhad dan lain-lain agensi wasiat yang diktiraf di Malaysia. Kandungan wasiat juga boleh berubah berdasarkan perkara yang diingini oleh pewasiat semasa hayatnya.

#5. Pelaksanaan faraid

Gambar rajah daripada http://www.faraid.gov.my/Faraid/index.do

Faraid ialah bahagian yang telah ditetapkan oleh syarak kepada waris si mati. Waris pula terbahagi kepada beberapa  kategori iaitu waris utama, waris gentian, waris sisian pertama dan waris sisian kedua. Waris utama adalah insan yang paling rapat dengan si mati iaitu ayah,ibu, pasangan (suami atau isteri), anak lelaki dan anak perempuan.

Setiap daripada waris utama ini mempunyai hak dan kadar masing-masing dalam pembahagian harta faraid. Contohnya, bapa akan memperoleh hak sebanyak 1/6 daripada harta faraid tersebut. Ibu berhak sebanyak 1/3 (sekiranya si mati tidak mempunyai anak) dan 1/6 (sekiranya si mati mempunyai anak). Manakala pasangannya iaitu suami berhak sebanyak ½ (sekiranya si mati tidak mempunyai anak) dan ¼ (sekiranya si mati mempunyai anak.

Begitu juga dengan isteri, hak isteri ialah sebanyak ¼ (sekiranya si mati tidak mempunyai anak) dan 1/8 (sekiranya pasangan mempunyai anak). Manakala hak anak perempuan pula ialah ½ (sekiranya si mati hanya mempunyai seorang anak perempuan sahaja), 2/3 hak (sekiranya si mati ada lebih daripada seorang anak perempuan dan dibahagikan sama rata di antara mereka).

Namun begitu, hak anak perempuan juga tertakluk kepada kategori asobah Bil ghari iaitu sekiranya anak perempuan tersebut mempunyai adik beradik lelaki maka pembahagian perlu dilakukan dengan kadar sebanyak 2 bahagian bagi lelaki dan 1 bahagian bagi perempuan.

Sebaliknya anak lelaki akan mengambil seluruh harta jika tiada waris fardu (waris yang telah ditentukan haknya).

Kesimpulan

Tertib dalam pengurusan harta pusaka Islam bukanlah perkara yang boleh dipandang remeh. Sesungguhnya, memahami kaedah pembahagian harta dalam Islam amatlah penting dan dititik beratkan malahan perlaksanaannya adalah berdasarkan ketetapan yang telah dinyatakan dalam al-Quran dan hadis.

You May Also Like

Apakah persediaan yang sudah anda lakukan bagi pengurusan harta pusaka? Kongsi dengan kami dalam ruangan komen di bawah.