Memulakan langkah pertama untuk menyimpan bukanlah perkara yang mudah jika tabiat tersebut tidak dipupuk lebih awal. Tetapi, belum terlambat untuk anda memulakannya sekarang!

Subscribe to MyPF YouTube

Mengikut kajian yang dijalankan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit pada tahun 2018, 52% daripada populasi rakyat Malaysia menghadapi masalah untuk mengeluarkan sebanyak RM1000 untuk masa kecemasan. Maknanya hampir separuh daripada rakyat Malaysia!

Jika kamu merupakan salah seorang daripada golongan tersebut, sekarang adalah masa untuk membuat perubahan. Ia mungkin sukar untuk mula menyimpan tetapi mempunyai simpanan kecemasan boleh menjadi titik perbezaan antara hidup cukup-cukup makan dengan menghadapi masalah kewangan.

Idea untuk menyimpan tabung kecemasan sekurang-kurangnya bagi simpanan selama 3 hingga 6 bulan mungkin kedengaran terlalu banyak, tetapi dengan set pemikiran yang tepat kamu mampu melakukannya.

Berikut merupakan tip-tip untuk membuat simpanan kecemasan:

1. Buka akaun simpanan kecemasan sebelum anda memerlukannya

Bagi menyimpan dana kecemasan, adalah amat penting untuk mengubah pemikiran kepada niat yang betul untuk menyimpan. Walaupun kamu tidak mempunyai sebarang wang untuk disimpan, ia merupakan satu langkah permulaan dan kamu sudah mula berfikir ke arah tujuan berkenaan.

Apabila kamu sudah mempunyai akaun tersebut, ia menjadi lebih mudah untuk menyimpan  kerana sudah ada destinasi yang tetap bagi wang tersebut. Jika tiada akaun tersebut, kemungkinan wang tersebut dibelanjakan bagi perkara yang tidak perlu adalah lebih tinggi. Bina pelan simpanan anda di dalam belanjawan peribadi yang sudah dirangka terlebih dahulu.

Apabila anda sudah mempunyai akaun simpanan, langkah seterusnya adalah merangka strategi penyimpanan. Strategi ini memerlukan anda memasukan strategi menyimpan di dalam belanjawan tersebut.

Apabila anda menyenaraikan kategori berbeza untuk belanjawan, salah satu perkara yang patut ada ialah tabung kecemasan. Buat anggaran berapa jumlah duit yang perlu diketepikan untuk simpanan setiap kali memperoleh gaji.

Jika anda bekerja sendiri atau separuh masa, ia bukan alasan untuk tidak menyimpan. Sediakan anggaran jumlah perbelanjaan dengan melihat masa antara 3 hingga 6 bulan. Kemudian masukkan jumlah itu di dalam belanjawan dan anda boleh hadir dengan jumah wang yang ingin disimpan.

2. Bermula dengan jumlah yang kecil

Apabila kamu sudah selesai dengan merangka belanjawan bagi bulan tersebut, masih ada sedikit lagi duit yang berbaki untuk disimpan. Adakah ia berbaloi untuk disimpan walaupun jumlahnya amat kecil? Jawapannya adalah YA! Walaupun kamu hanya menyimpan sebanyak RM5, ia masih bernilai.

Mula dengan jumlah yang kecil dan pastikan sentiasa patuh dengan tujuan menyimpan untuk jangka masa panjang. Walaupun pada mulanya kelihatan kecil, tetapi lama-kelamaan akan bertambah jua.

3. Fokus bina tabiat dan konsistensi

Perkara yang penting dalam peringkat awal untuk menyimpan adalah membina tabiat dan konsistensi.

Kamu tidak perlu menunggu sehingga hasil pendapatan bertambah untuk menyimpan. Ramai individu yang mempunyai sumber pendapatan yang tinggi, tetapi di akhir bulan, tiada atau kurang simpanan yang dibuat. Mengapa? Ia kerana mereka lebih mengutamakan kehendak berbanding keperluan sehingga memberi kesan kepada pelan kewangan mereka.

Tidak mengapa jika jumlah yang disimpan sedikit, tetapi tabiat yang telah dibina sejak awal boleh menjadi kebiasaan dan akhirnya apabila gaji atau sumber pendapatan meningkat, kamu sudah biasa dengan tabiat menyimpan duit dan boleh menggandakan jumlah simpanan berkenaan.

4. Gandakan simpanan anda apabila situasi kewangan anda semakin bertambah baik

Apabila anda sudah ada asas untuk menyimpan secara konsisten, ia menjadi lebih mudah untuk menyimpan apabila sumber pendapatan anda meningkat. Pastikan untuk mengubah jumlah simpanan berdasarkan belanjawan yang dibuat. Dengan ini, kamu sudah mempunyai perancangan yang lebih awal daripada bermula lambat.

Kesimpulan

Elakkan melengah-lengahkan rancangan untuk menyimpan kerana jika kamu tiada sebarang perancangan untuknya, ia akan menjadi satu pembaziran apabila dibelanjakan kepada perkara yang tidak sepatutnya.

You May Also Like

Apakah langkah pertama yang anda lakukan semasa mula untuk menyimpan? Kongsi dengan kami dalam ruangan komen di bawah.