Bagaimanakah caranya untuk mengesan fi tersembunyi dan isu yang boleh mengurangkan nilai pelaburan anda? Artikel asal ditulis oleh tonyrobbins.com dan diterjemah ke dalam versi Bahasa Melayu. (Original article in English)

Apabila menyemak portfolio anda, terdapat beberapa tanda amaran yang anda perlu lihat. Jika anda terserempak dengan perkara berikut, ini bermaksud anda perlu menghubungi penasihat atau firma anda yang mungkin mempunyai konflik perhubungan (“conflict of interest“) dan insentif untuk menjual produk yang lebih mahal daripada biasa ataupun yang mempunyai prestasi kurang memberangsangkan.

Di bawah adalah 3 tanda amaran dalam portfolio pelaburan yang perlu anda berjaga-jaga.

Bayaran Komisen dan Caj-caj Tersembunyi

Di dalam dunia yang sempurna, anda akan menerima cadangan yang tidak dipalit bias dan agenda tersendiri. Namun, malangnya, sistem kewangan tidak berfungsi sebegitu untuk memberi kelebihan sepenuhnya kepada pihak klien. Kebiasaannya, penasihat kewangan akan menerima komisen atau caj apabila mereka meletakkan wang anda ke dalam dana amanah, endowmen atau instrumen kewangan lain yang lebih eksotik (i.e bon). Caj penjualan inilah yang boleh mengambil sebahagian nilai daripada nilai pelaburan anda dan mengehadkan pulangan anda setiap tahun.

Dapatkan maklumat tentang caj yang dikenakan kepada anda dengan menanyakan soalan berikut:

  • Berapakah caj jualan dan caj pengurusan yang dikenakan?
  • Jika saya berniat untuk menamatkan perkhidmatan/pelaburan, adakah saya akan dikenakan caj pengeluaran atau penalti?
  • Apakah caj lain yang akan dikenakan?

Pelaburan di dalam dana tersendiri

Penasihat kebiasaannya akan mencadangkan dana “sendiri” daripada firma mereka. Selalunya, dana tersebut akan mengambil nama firma/syarikat di dalam nama dana tersebut. Strategi ini walaupun jelas, ia bertujuan untuk mengekalkan caj perkhidmatan/pengurusan di dalam sesebuah syarikat. Strategi ini bergantung juga kepada klien yang kebiasannya naif dan tidak mahu bertanya lanjut tentang dana daripada firma lain yang mungkin memberikan pulangan yang lebih baik ataupun mempunyai caj yang lebih murah.

Untuk tahu lebih lanjut dan ingin mendapatkan cadangan terbaik, anda perlu bertanyakan soalan seperti berikut:

  • Dengan matlamat kewangan saya seperti berikut, adakah dana ini pilihan terbaik bagi saya?
  • Apakah cadangan terbaik lain untuk pelaburan sebegini (walaupun anda belum menyertai sebarang pelaburan)?
  • Apakah komisen yang anda peroleh secara langsung dan secara tidak langsung?

Cadangan Yang Tidak Menepati Keperluan Klien

Ini lagi satu skim yang semakin menjadi kebiasaan: cadangan yang tidak munasabah untuk anda sebagai klien sama ada dari segi kewangan atau keperluan. Antaranya adalah penulisan wasiat, pengurusan harta pusaka ataupun produk insurans hayat yang dikaburkan sebagai pelaburan. Dalam bentuk pelaburan pula, anda mungkin akan dicadangkan pelaburan saham ke dalam syarikat risiko tinggi atau ekuiti persendirian yang tidak sesuai untuk anda. Selalunya, mereka akan menarik minat anda dengan peluang pulangan yang tinggi atau tekanan daripada pihak mereka untuk anda menyertai pelaburan/instrumen kewangan tertentu.

Di Malaysia, makin ramai ejen yang menyamar sebagai penasihat kewangan atau pengurus kewangan. Undang-undang Malaysia menyatakan bahawa pengurusan kewangan adalah aktiviti yang dipantau oleh Suruhanjaya Sekuriti dan lesen serta pentauliahan tertentu perlu diperolehi terlebih dahulu. Penasihat kewangan yang bebas daripada segala konflik hubungan perlu mempunyai ilmu tertentu dan tidak terhad kepada satu solusi pelaburan yang dicadangkan. Penasihat yang cekap akan memberi nasihat dalam semua instrumen yang ada dan memberi keputusan mutlak kepada anda sebagai klien.

Berikut adalah beberapa soalan yang anda boleh ajukan kepada ejen/penasihat kewangan:

  • Adakah anda mempunyai lesen berdaftar daripada Suruhanjaya Sekuriti?
  • Adakah pelaburan ini sesuai dengan keseluruhan portfolio saya dan pengagihan aset saya?
  • Adakah pelaburan ini sesuai dengan selera risiko saya sebagai pelabur dan sesuai dengan tempoh pelaburan yang saya inginkan?

 

You May Also Like

 

Adakah tanda-tanda amaran lain yang boleh anda usulkan? Kongsi pendapat anda bersama dan komen di bawah.