Mengubah pemikiran kewangan sedia ada bukanlah semudah seperti yang disangka. Apakah antara langkah yang boleh diambil untuk keluar dari mentaliti kewangan yang lama?

Apabila berbicara tentang pengurusan kewangan peribadi, perkara yang paling utama yang mampu menentukan sama ada pelan yang anda rancang mampu dilaksanakan adalah status pemikiran kewangan anda. Mungkin anda mahu bebas dari hutang, ingin menyimpan duit, melabur, ataupun hendak mencapai nilai simpanan tujuh angka menjelang persaraan. Namun, anda masih tidak mampu mencapai status kewangan yang ideal. Ini adalah kerana anda masih kekal di dalam mentaliti kewangan yang lama.

Ya, maklumat tentang pengurusan kewangan kini adalah semudah carian di laman Google sahaja dan anda akan menemui  beribu artikel atau maklumat tentang kaedah untuk mencapai matlamat kewangan diri.

Tetapi, mencapai matlamat kewangan bukan semata-mata hanya pengetahuan sahaja tetapi ia adalah bagaimana anda menjadikannya satu kenyataan. Tidak hairanlah jika percubaan untuk menyimpan atau membuat pelaburan ada kalanya tidak menjadi atau tidak mampu mendatangkan hasil seperti yang diinginkan.

Mengubah set pemikiran anda merupakan satu usaha yang berterusan dan beberapa kaedah boleh dilakukan untuk merealisasikannya.

1. Tanamkan matlamat kewangan yang jelas.

Laluan untuk mencapai matlamat kewangan perlu bermula dengan kesedaran bahawa setiap keputusan mempunyai kesan dan jika usaha dibuat secara tetap, ia adalah tidak mustahil bagi mencapai matlamat yang diingini. Ia boleh dilakukan sebelum membuat keputusan pelaburan yang besar atau memulakan langkah pertama untuk menyimpan bagi tabung simpanan kecemasan.

Misalnya, jika anda mahu menyimpan untuk membeli rumah pertama, kenal pasti kemampuan anda setiap bulan untuk menyimpan dan berapa lama jangka masa yang diperlukan untuk mengumpulnya. Dengan mengenal pasti matlamat yang diigini, lebih mudah untuk anda merangka langkah bagi mencapainya.