Menyewa atau membeli rumah adalah dilema biasa bagi kebanyakan orang terutamanya untuk golongan muda. Kenali kebaikan dan keburukan antara kedua-dua pilihan ini. (Original article in English)

Untuk kebanyakan pasangan muda, selain dari memulakan keluarga, memiliki rumah adalah keutamaan utama dalam senarai. Tetapi, adakah patut menyewa atau beli?

Untuk perbandingan, katakanlah dengan memiliki rumah sehingga persaraan yang bukan untuk tujuan pelaburan. Untuk perbincangan ini, kita akan membahagikan tempoh masa kepada tiga iaitu tempoh permulaan, tempoh pertengahan dan tempoh akhir iaitu tahun persaraan. Jadi, apakah kebaikan dan keburukan menyewa dengan membeli rumah?

Kebaikan dan Keburukan pada Tempoh Permulaan

Jika anda hendak membeli rumah, anda perlu menyediakan duit muka selalunya sebanyak 10% hingga 20%. Duit muka yang lebih tinggi bermakna anda akan membayar duit rumah bulanan yang lebih rendah dan ianya idea yang bernas. Bayaran duit muka sebanyak 10% untuk hartanah harga pertengahan bersama tanah di Lembah Klang boleh mencecah sebanyak RM 55,000 hingga RM 95,000 hari ini. Bayaran 20% pula boleh mencecah RM 100,000.

Untuk pembelian rumah, kos untuk pemilikan tidak terhenti di situ. Terdapat kos lain yang perlu ditanggung seperti fi guaman pembelian dan duti setem, fi penilaian, fi guaman untuk peminjaman dan duti setem serta lain-lain lagi. Tidak lupa juga akan kos insurans peminjaman rumah dan kos untuk proses pemindahan nama. Jika dikumpulkan, semua kos ini boleh mencecah sebanyak RM 30,000.

Sebagai perbandingan kepada semua kos pemilikan rumah di atas, untuk menyewa, anda hanya perlu mempunyai kos awalan sebanyak dua bulan sewa dan deposit utiliti.

Berdasarkan perkara ini, menyewa mempunyai lebih banyak kebaikan daripada keburukan untuk jangka masa pendek.

Kebaikan dan Keburukan pada Tempoh Pertengahan

Katakan anda telah tinggal di rumah yang disewa/dibeli untuk beberapa tahun; contohnya 10 tahun.

Untuk pemilik rumah, anda telahpun membayar kos tahunan dan bayaran lebihan serta kos insurans rumah. Setelah 10 tahun, kos ini mungkin memakan sebanyak RM 20,000.

Kemudian ada pula kos pembaikan rumah dan penyelenggaraan yang perlu dibuat secara berkala. Kos ini bergantung kepada tahap kerosakan rumah tersebut dari beratusan RM hingga puluhan ribu RM.

Walaupun dengan kos sedemikian, nota penting untuk pemilik rumah adalah kos bayaran rumah akan kekal sama (bergantung kepada kadar faedah) manakala kos sewa berpotensi untuk naik berdasarkan inflasi.

Untuk para penyewa pula, nasib anda bergantung kepada pemilik rumah sama ada mereka mahu menaikkan sewa atau tidak setelah kontrak tamat. Jika mereka menaikkan kos sewa anda, anda perlu menanggung tambahan kos ini atau perlu mencari rumah lain yang lebih berpatutan yang memakan kos beratus hingga ribuan ringgit.

Kemudian, masalah penyelenggaraan rumah pula. Untuk penyewa, walaupun kos selenggaraan semuanya ditanggung oleh pemilik rumah, sudah menjadi kebiasaan di mana tuan rumah lambat bertindak terhadap aduan penyewa. Ada juga kes di mana paip air yang tidak diganti menyebabkan kualiti air terganggu.

Walaupun dengan masalah berikut kepada penyewa, ada berita baik untuk anda. Hidup ini tidak dapat dijangka.

Keadaan ekonomi yang tidak stabil akan memberi lebih banyak kelebihan kepada penyewa berbanding pemilik rumah. Pemilik rumah masih mempunyai bayaran kos pinjaman yang perlu dilangsaikan. Untuk penyewa pula, anda masih mempunyai peluang untuk menamatkan kontrak sewa dan pindah ke tempat lain di mana kos sewa lebih murah. Keadaan ekonomi juga akan memaksa pemilik rumah berpindah dan bergantung kepada bayaran sewa namun ini tidak bermakna pasaran sewaan rumah akan kekal menarik di sesetengah kawasan tambahan pula dengan kerenah penyewa yang mungkin akan lambat membayar sewa.

Melalui kenyataan di atas, kedua-dua penyewa dan tuan rumah mempunyai kebaikan dan keburukan tersendiri.

Kebaikan dan Keburukan pada Tempoh Persaraan

Di tempoh ini, anda mungkin telah kekal di rumah yang dibeli untuk masa yang lama atau sudahpun menyewa di beberapa tempat berbeza. Kini, anda telahpun memasuki tempoh persaraan.

Untuk pemilik rumah, rumah yang diduduki/disewa akan memerlukan pembaikan atau selenggaraan utama dan akan memakan kos yang besar. Katakanlah anda akan memerlukan RM 100,000 untuk kos pembaikan. Jika anda tidak menyimpan dari awal, kos ini akan memakan simpanan persaraan anda.

Namun demikian, di tempoh ini jugalah di mana bayaran pinjaman rumah telahpun dilangsaikan. Pemilik rumah dapat tinggal di rumah secara “percuma”. Bagaimana pula dengan penyewa? Mereka akan masih membayar sewa dan dengan kadar yang lebih tinggi.

Nota penting yang perlu dipertimbangkan adalah di usia tua, keupayaan untuk memindah rumah adalah terbatas. Jadi, untuk mengurangkan kos sewa dengan memindah rumah adalah lebih susah dan memerlukan bantuan orang lain. Jika penyewa tidak mempunyai pelan simpanan persaraan untuk membayar sewa, kenaikan kos sewa akan membebankan para penyewa di usia tua. Jadi, penyewa perlu memikirkan tentang kos yang lebih rumah seperti rumah orang tua ataupun kompleks persaraan.

Walaupun topik ini berkenaan pembelian rumah bukan untuk tujuan pelaburan, tidak dinafikan bahawa rumah adalah suatu instrumen untuk membina kekayaan. Dengan masa, rumah akan bertambah dari segi nilai disebabkan oleh inflasi dan apresiasi. Ini membolehkan anda menjual rumah ini dengan keuntungan bagi menyara anda di kemudian hari. Tetapi anda pula perlu mencari tempat kediaman yang lebih berpatutan di kejiranan baru. Berpindah ke bandar kecil yang mempunyai kos sara hidup yang lebih rendah mungkin suatu tindakan yang bijak memandangkan status kewangan anda akan bertambah baik. Keburukannya adalah di mana anda perlu membuat kawan baru dan bersosial di usia tua serta perlu berjarakan dengan rakan rapat, anak-anak atau adik beradik anda.

Alternatif lain pula adalah dengan pelan “reverse mortgage” yang makin popular di Malaysia. Ini bermakna pemilik rumah dapat mendapat bayaran nilai ekuiti rumah anda di waktu tua. Maksudnya adalah anda akan mendapat bayaran balik jumlah yang telah dibayar untuk membeli, menyelenggara dan membaiki rumah tersebut. Namun, pastikan anda sedar akan fi guaman dan cukai penjualan rumah yang akan dikenakan untuk pelan ini. Pemilik rumah dapat kekal di rumah ini sehingga akhir hayat mereka. Kos yang perlu dibayar adalah bil utiliti, kos penilaian, insurans dan penyelenggaraan kecil untuk rumah tersebut.

Pilihan lain adalah dengan meninggalkan hartanah yang dimiliki kepada legasi seperti anak-anak ataupun cucu. Mereka akan menghargai pewarisan ini untuk menyara anak-anak mereka pula sama ada untuk membayar kos pembelajaraan ataupun untuk memulakan bisnes baru. Namun, jika anda mengambil pelan “reverse mortgage“, tiada pewarisan dapat dilakukan.

Untuk jangka masa panjang, pemilikan rumah lebih mempunyai banyak kelebihan berbanding menyewa.

Konklusi

Secara keseluruhan, jika anda masih berfikir untuk tinggal di kawasan tertentu untuk jangka masa pendek seperti beberapa tahun, menyewa adalah lebih baik.

Namun, jika anda ingin tinggal di sesebuah kawasan untuk jangka masa yang panjang, memiliki rumah adalah lebih baik. Ini kerana mempunyai rumah memberi anda pilihan untuk mendapat bayaran dari ekuiti rumah bila anda perlukan di usia tua sama ada melalui pelan bank ataupun dengan menjualnya.

Tambahan pula, pilihan untuk membeli rumah adalah lebih kepada emosi berbanding kewangan. Untuk pemilik rumah, dengan memiliki rumah dan tinggal di rumah anda sendiri, anda akan lebih berasa bangga dengan pencapaian hidup anda dan memberi keyakinan akan status kewangan anda. Memiliki rumah juga akan memberikan anda perasaan berkomuniti dalam sesebuah kawasan dan memberikan hidup yang lebih selamat untuk keluarga anda.

Dengan memiliki rumah anda sendiri, anda dapat mengubah rumah tersebut mengikut citarasa sendiri sama ada dengan mempunyai kebun sayuran kecil di halaman rumah, tambahan bilik, ataupun penukaran lampu pagar. Semua ini mungkin tidak dibenarkan jika menyewa.

Akhir kata, persoalan memiliki atau menyewa ini bergantung kepada kemampuan anda dan pelan anda sendiri sama ada untuk jangka masa pendek atau panjang.

 

You May Also Like

 

Untuk anda, apakah pilihan yang anda rasa lebih bernas? Mengapa? Kongsi bersama kami di ruangan komen di bawah.