Pernahkah anda berasa buntu apabila menguruskan situasi hutang anda? Kenali langkah-langkah penting untuk memastikan pengurusan hutang yang lebih efektif untuk pelan kewangan anda. (Original article in English)

Setiap orang, tidak kisah tua atau muda, akan mengendalikan hutang sama ada dengan institusi atau dengan rakan atau keluarga. Memandangkan hutang telahpun menjadi kebiasaan dalam kehidupan seharian kita, langkah perlu diambil untuk belajar mengurus wang dan secara langsung, mengelakkan hutang tersebut daripada terus meningkat. Mengikut laporan Malaysia Economic Monitor 2019, 60% daripada kalangan yang diisytiharkan bankrap berumur dari 25 tahun hingga 34 tahun.

Sama ada anda mempunyai hutang tinggi bergunung ataupun hutang yang kecil sekalipun, pengurusan yang baik dan konsisten mampu membawa perubahan kepada perjalanan kewangan anda dan boleh membuatkan anda tidur malam dengan lebih lena.

#1. Sedar Akan Jumlah Sebenar Hutang Anda

Buat senarai hutang bersama dengan jumlahnya, bayaran bulanan kepada penghutang (individu/bank/kad kredit), tarikh luput dan kadar faedah. Anda boleh memuat turun laporan kredit anda di laman web Biro Kredit untuk Credit Reference Information System (CCRIS) untuk mengesahkan hutang di atas nama anda. Sistem ini dibina oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bagi tujuan laporan kredit yang standard bagi para pemohon hutang/pemiutang.

Dengan mengetahui senarai ini, anda dapat melihat hutang anda dari perspektif yang lebih menyeluruh dan sedar akan semua hutang anda. Letakkan peringatan yang diautomasikan supaya anda akan sentiasa memantau senarai ini untuk memastikan pengurusan secara efektif.

Jika anda sudah berkahwin, anda perlu bertoleransi bersama pasangan anda dan bekerjasama kerana apa-apa yang memberi kesan kepada pasangan anda akan memberi kesan kepada anda jua.

#2. Pilih Hutang Mana Yang Perlu Dilangsaikan Dahulu

Dengan adanya senarai hutang, inilah masa untuk anda pilih hutang mana yang perlu dilangsaikan dahulu. Jangan endahkan bagaimana dan bila nak langsaikan tetapi fokus kepada mana yang lebih penting.

Salah satu hutang paling penting untuk dilangsaikan dengan cepat adalah hutang kad kredit. Ini adalah strategi terbaik kerana kad kredit mempunyai kadar faedah yang tinggi berbanding hutang lain. Dengan membayar hutang yang besar terlebih dahulu akan memberikan rasa pencapaian. Secara langsung, ini akan memotivasikan anda untuk melangsaikan hutang yang lebih kecil.

Sentiasa gunakan senarai hutang berkenaan untuk pantau jumlah bayaran, hutang tertunggak dan tarikh luput.

Jika anda mengalami masalah tentang hutang mana yang perlu dibayar dahulu, dapatkan nasihat penasihat kewangan bertauliah yang professional tentang bagaimana hutang akan memberi kesan kepada kewangan anda.

#3. Bina Jadual Pembayaran Hutang

Memandangkan anda sudahpun memilih hutang mana yang perlu dibayar dahulu, kini persoalannya adalah bagaimana dan bila.

Buat kalendar hutang dan pembayaran bil yang boleh membantu anda membuat keputusan apabila mendapat gaji setiap bulan. Letakkan tarikh luput hutang dan pembayaran bil pada kalendar tersebut. Penggunaan Google Calendar di telefon bimbit anda amatlah digalakkan supaya anda mendapat notifikasi dua tiga hari sebelum pembayaran perlu dibuat.

Membuat jadual yang terperinci mampu membuatkan anda kekal disiplin dalam pengurusan hutang dan mengelakkan anda menangguh atau lebih teruk lagi, tidak sempat menyediakan wang secukupnya. Penggunaan jadual boleh membantu anda komited sebelum anda berbelanja tanpa kawalan.

Jangan tangguh pembayaran hutang apabila masuknya gaji. Disiplin adalah amat penting bagi menjaga skor kredit anda.

Jika anda mengalami masalah membuat keputusan untuk tujuan aliran tunai dan komitmen lain, anda boleh cuba menggunakan khidmat penasihat kewangan bertauliah untuk merangka pelan yang sesuai untuk anda.

#4. Gunakan Bajet Bulanan Untuk Merancang Perbelanjaan

Penting adanya bajet bulanan untuk anda bersedia dari segi mental. Dengan adanya bajet bulanan, anda boleh merancang penyediaan wang yang cukup bagi perbelanjaan bulanan anda. Rancang sejauh mungkin dan ambil langkah awal jika anda sentiasa berasa sesak apabila ingin mengeluarkan duit bagi membayar bil atau lain-lain.

Bajet boleh membantu anda merancang di mana patut anda letakkan wang lebihan apabila semua kos perbelanjaan sudah dicatu. Lebihan inilah yang boleh membantu anda melangsaikan hutang anda dengan lebih cepat.

Letak peringatan yang diautomasikan untuk membuat semakan perbelanjaan anda sama ada secara harian, mingguan, bulanan atau dua tahun sekali untuk memastikan data perbelanjaan anda disimpan dan boleh dianalisa kelak.

#5. Kurangkan Perbelanjaan Tidak Penting

Apabila anda mempunyai hutang yang semakin menggunung saban bulan, anda perlu bertanyakan soalan berikut kepada diri sendiri:

  • Adakah anda hidup mengikut kemampuan?
  • Dapatkah anda mengubah tabiat anda kepada sesuatu yang lebih menjimatkan?
  • Dapatkah anda menukar tabiat pesanan makanan dari luar i.e FoodPanda atau makan di restoran kepada tabiat masak sendiri di rumah?

Jika anda mampu mengubah gaya hidup untuk mengurangkan perbelanjaan yang tidak penting, anda boleh menyimpan lebih wang untuk sesuatu yang lebih penting seperti membayar hutang anda atau sebagai wang kecemasan. Bajet bulanan anda dapat membantu menganalisa gaji dan perbelanjaan anda.

#6. Tingkatkan Pendapatan Anda

Aliran tunai anda sepatutnya dijaga supaya aliran duit masuk (pendapatan) sentiasa melebihi aliran duit keluar (perbelanjaan).

Apabila perbelanjaan melebihi pendapatan, di sinilah di mana anda akan mengumpul hutang.

Jika anda masih di paras aliran tunai negatif selepas anda melakukan semua perancangan bajet dan pengurangan perbelanjaan ini, tiba masanya untuk anda tingkatkan pendapatan anda. Bincang dengan majikan anda untuk potensi kenaikan gaji, bina sumber pendapatan kedua, atau buat perubahan dalam perjalanan kerjaya anda. Ambil kira juga kemahiran baru yang lebih relevan untuk keadaan ekonomi semasa untuk menjana pendapatan anda.

#7. Gunakan Dana Kecemasan Anda Jika Perlu

Hidup ini bukan semuanya indah. Ada kalanya perkara yang tidak diingini berlaku seperti kehilangan kerja. Apabila perkara sedemikian berlaku, akan lebih susah bagi anda untuk memastikan pembayaran hutang kekal berlaku dengan sempurna. Inilah masanya di mana dana kecemasan 6 bulan (atau lebih) perlu digunakan untuk membayar perbelanjaan kecil dan hutang sementara mencari sumber rezeki yang baru.

Langkah pertama adalah untuk fokus ke arah membina dana kecemasan yang kecil dengan mengagihkan sekurang-kurangnya 30% daripada gaji bulanan anda. Letakkan dana ini di dalam akaun bank yang lain dan elakkan penggunaan akaun ini kecuali benar-benar perlu. Langkah ini dapat membina tabiat yang lebih baik dan membantu diri anda sendiri di masa akan datang apabila datangnya kegawatan ekonomi.

#8. Dapatkan Bantuan Professional

Jika anda sudahpun melakukan perkara di atas dan masih mengalami masalah dalam pelangsaian hutang, anda perlu menggunakan khidmat professional seperti Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK), sebuah agensi yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia pada April 2006 dengan tujuan membantu rakyat Malaysia mengambil alih situasi kewangan mereka dan memperoleh ketenangan minda.

Anda juga boleh mendapatkan khidmat penasihat kewangan bertauliah untuk membantu anda merangka pelan pelangsaian hutang anda di samping memberi nasihat untuk menambah baik aliran tunai anda di masa akan datang. Cara ini amat bernas bagi membantu anda mengurangkan stres dalam perancangan kewangan. Di samping itu, para professional juga dapat memberikan anda semua maklumat penting yang anda perlu tentang kewangan.

Konklusi

Bukan mudah untuk keluar dari belenggu hutang terutamanya apabila anda mempunyai ilmu kewangan yang terhad. Tambahan pula apabila jika anda tidak mempunyai status kredit serta kewangan yang jelas. Jangan malu untuk mengaku yang anda perlukan pertolongan sama ada dari agensi kaunseling kredit atau penasihat kewangan. Dapat pertolongan supaya anda dapat melangsaikan hutang dengan lebih efektif serta menjamin masa depan diri anda dan status kewangan anda di masa akan datang.

 

Daftar bersama MyPF dan dapatkan khidmat penasihat kewangan bertauliah.

 

You May Also Like

 

Apakah langkah lain yang anda rasa sesuai untuk tujuan pelunasan hutang? Kongsi bersama kami di seksyen komen di bawah.