Adakah anda sudah bersedia untuk menempuh alam persaraan? Ketahui tanda-tanda anda masih tidak bersedia untuk bersara dari dunia pekerjaan

Menurut statistik oleh Bank Dunia, dianggarkan sehingga 49 juta orang menghadapi risiko kemiskinan akibat pandemik Covid-19. Untuk rakyat Malaysia, menurut tinjauan yang dijalankan oleh  Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mendapati bahawa sebanyak 53% individu tidak bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran kewangan dan hanya satu langkah ke kancah kemiskinan jika berlaku sebarang krisis ekonomi.

Bersedia untuk bersara bukan sahaja bermaksud anda bersedia untuk tidak lagi mempunyai rutin bangun pada waktu awal pagi untuk bekerja dan boleh melakukan perkara yang anda mahukan tanpa perlu berfikir tentang kekangan masa tetapi ia adalah lebih daripada itu.

Perkara yang paling utama untuk menghadapi waktu persaraan adalah memahami perancangan kewangan anda. Ia bermakna anda perlu memastikan belanjawan adalah kukuh, perancangan pelaburan yang berkesan, rancangan perbelanjaan terhadap simpanan sedia ada, jumlah hutang yang masih terkawal dan juga bagaimana anda mahu menghabiskan hari-hari persaraan anda dengan bermakna. Terdapat beberapa perkara yang menandakan bahawa anda masih tidak bersedia daripada aspek kewangan untuk bersara.

#1.  Sukar untuk membayar bil dan komitmen

Jika anda menghadapi kesukaran untuk membayar segala bil dan komitmen peribadi tanpa pendapatan bulanan, persaraan boleh menjadi satu perkara yang sukar. Menurut Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), rakyat Malaysia perlu mempunyai sekurang-kurangnya RM228,000 apabila mereka mencecah umur 55 tahun. Simpanan tersebut merujuk kepada jumlah yang mencukupi untuk menyara kos persaraan diri selama 20 tahun bermula dari umur 55 tahun hingga 75 tahun.

Anda perlu mengenalpasti samada simpanan sedia ada adalah mencukupi untuk menjalani persaraan yang selesa tanpa perlu berfikir bagaimana untuk menjana pendapatan tambahan. Anda juga perlu mengambil kira kos lain yang akan bertambah semasa bersara seperti kos pengangkutan untuk ke hospital bagi menjalani sebarang pemeriksaan kesihatan ataupun bagi membiayai yuran pengajian anak-anak di universiti.

#2. Jumlah hutang yang tinggi

Jumlah hutang yang tidak terkawal mampu memberikan tekanan terhadap simpanan sedia ada apabila anda bersara. Individu yang mempunyai hutang melebihi kemampuannya untuk membayar berisiko untuk menghadapi tekanan yang besar terhadap kesihatan mental.

Menurut laporan The Edge Markets, jumlah yang dibelanjakan oleh rakyat Malaysia melalui kad kredit mencatatkan peningkatan hampir dua kali ganda kepada RM10.25 bilion pada Julai tahun ini jika dibandingkan dengan RM5.3 bilion pada April ini.

Statistik ini menunjukkan trend yang membimbangkan terutamanya apabila rakyat negara ini menghadapi risiko pengangguran dan pengurangan jumlah pendapatan akibat pandemik Covid-19. Kebanyakkannya mula beralih menggunakan kad kredit bagi menggantikan wang tunai yang semakin berkurang.

Membayar hutang sebelum bersara mungkin bermakna anda perlu bekerja dengan lebih keras dan tidak mustahil, anda akan memilih untuk bekerja selepas waktu persaraan iaitu selepas umur 60 tahun. Ia bukan pilihan yang terbaik tetapi terpaksa dilakukan untuk memastikan semasa persaraan, anda tidak mempunyai sebarang komitmen yang mendesak.

#3. Tiada rancangan untuk perbelanjaan masa depan

Jangan tunggu semasa anda bersara untuk membuat pengiraan semula perbelanjaan besar seperti membaiki rumah, menanggung pendidikan anak-anak atau mahu menunaikan ibadah haji. Kesemua perbelanjaan yang besar akan menjadi lebih berat apabila anda hanya bergantung dengan wang persaraan sahaja, oleh sebab itu, amat penting untuk anda memastikan bahawa simpanan sedia ada mencukupi bagi menampungnya.

#4. Tiada pelan kewangan yang tepat.

Apabila anda bersara, anda akan kehilangan gaji bulanan namun masih ada komitmen seperti bil utiliti yang perlu dibayar pada setiap bulan. Jika anda tiada pelan kewangan yang baik, amat sukar untuk mengenal pasti aliran tunai bulanan.

Oleh sebab itu, amat penting untuk anda membuat aliran tunai bulanan sebelum bersara. Merancang aliran tunai bulanan bermakna melihat semula jumlah wang yang dapat dikeluarkan daripada akaun KWSP anda sebelum bersara dan jenis-jenis komitmen bulanan yang perlu diselesaikan.

Lebih baik lagi jika anda mempunyai senarai perbelanjaan yang dalam kategori berbeza yang boleh dianalisa untuk melihat samada ia akan berubah semasa tempoh persaraan. Beberapa perbelanjaan mungkin akan berkurangan seperti hutang pinjaman bank dan perbelanjaan perubatan dan melancong akan meningkat.

Mengetahui perbelanjaan semasa membolehkan anda merangka semula jumlah pendapatan yang diperlukan untuk membayarnya. Dengan ini, anda juga boleh mengenal pasti samada simpanan sedia ada mencukupi atau tidak untuk anda bersara, dan jika perlu untuk bekerja selepas umur bersara atau memotong sebahagian daripada perbelanjaan semasa bersara.

#5. Portfolio yang tidak stabil

Mengambil pendekatan yang pasif semasa melabur adalah kurang berisiko semasa anda lebih muda dan mempunyai masa yang panjang untuk pulih daripada sebarang kejatuhan pasaran. Namun, apabila anda semakin mencecah umur persaraan, adalah lebih bijak untuk memastikan portfolio tahunan anda lebih seimbang dan memberi fokus terhadap pendapatan bergenerasi dan juga perlindungan aset.

Pesara seharusnya memastikan portfolio mereka terdiri daripada pilihan yang pelbagai, memelihara modal, memperoleh pendapatan dan juga mengelak daripada risiko. Kepelbagaian daripada segi kelas aset (bon, stok dan lain-lain) serta melabur dalam industri seperti kesihatan dan teknologi akan membantu memelihara nilai portfolio anda apabila pasaran merudum terutamanya apabila satu instrumen atau aset tidak memberikan pulangan yang baik jadi anda mempunyai aset lain yang memberikan pulangan yang baik.

#6. Anda risau untuk bersara

Walaupun portfolio anda baik dan stabil, terdapat kemungkinan anda tidak bersedia untuk meninggalkan kehidupan bekerja.  Tempoh pekerjaan memerlukan tenaga yang tinggi dan sebilangan individu mungkin berasa risau, dan tidak teruja apabila memikirkan bahawa mereka tiada sebarang aktiviti untuk mengisi masa lapang selepas bersara.

Jika anda mengalami perkara sebegini, mungkin anda boleh mencari pekerjaan tambahan selepas bersara, misalnya melakukan pekerjaan bersifat separuh masa atau menjadi sukarelawan untuk organisasi bukan kerajaan. Ia mampu memberikan perasaan diperlukan dan membuatkan hidup anda mempunyai perancangan. Jika anda bersara tanpa sebarang perancangan untuk aktiviti selepas bersara, ia adalah lebih bahaya kerana anda berisiko untuk menggunakan wang persaraan dengan tidak terkawal.

Anda juga peru mengambil kira jika anda tinggal di bandar yang besar atau tinggal di kawasan luar bandar yang mempunyai kos sara hidup yang berbeza. Ia mampu memberikan perbezaan yang ketara terhadap persaraan anda terutamanya jika simpanan anda masih tidak mencukupi untuk bersara dengan selesa.

Kesimpulan

Anda perlu bertanya semula pada diri anda adakah persediaan untuk bersara mencukupi? Kerana ia memerlukan perancangan yang berterusan. Mendapatkan nasihat daripada penasihat kewangan berlesen mampu membantu anda menjawab persoalan dariapda aspek kewangan semasa bersara. Mereka akan membantu anda untuk menyediakan perancangan kewangan yang berkesan dan holistik.

You May Also Like

Apakah antara tanda-tanda lain lagi bahawa anda tidak bersedia untuk bersara? Kongsi dengan kami dalam ruangan komen