Risau memikirkan apa jenis pelaburan untuk ke arah fasa persaraan? Ketahui di sini berkenaan pelaburan wajib milik bagi golongan pesara masa kini. (Original article in English)

Hidup di dalam persaraan bukan semuanya indah. Memandangkan anda tidak akan bekerja lagi, anda tentu risau sama ada simpanan yang ada cukup untuk menampung gaya hidup.

Memandangkan hendak mencapai status pesara semakin susah saban tahun dan golongan pesara masa kini mempunyai matlamat kewangan yang baru, lebih elok jika anda melabur ke dalam beberapa kelas aset berlainan untuk berasa selesa.

Jenis pelaburan yang boleh ambil bahagian di tempoh persaraan mempunyai ciri-ciri berikut:

  • Risiko dan tahap kecairan yang rendah
  • Dividen dan pulangan yang konsisten
  • Kos penyelenggaraan yang murah
  • Mengurangkan kerisauan

Ciri pelaburan berikut penting untuk memastikan kewangan anda stabil dan bukannya untuk memaksimumkan keuntungan. Masa untuk mengejar keuntungan berlipat ganda bukan lagi keutamaan anda dan anda perlu menyesuaikan diri dengan pelaburan untuk persaraan.

Ketahui di bawah apa jenis pelaburan yang anda boleh gunakan untuk memastikan kehidupan yang selesa kelak.

 

Pelaburan #1: Dana Dagangan Saham, atau Exchange Traded Fund (ETF)

Exchange Traded Fund (ETF) adalah salah satu produk kewangan yang paling penting sejak sedekad lepas. Dengan ETF, anda boleh melabur ke dalam beberapa pelaburan dengan kos dan nilai awal yang rendah.

Di masa lepas, diversifikasi adalah suatu jenis kemewahan yang hanya boleh dilakukan oleh seseorang yang mempunyai jumlah kapital yang banyak. ETF digunakan sebagai penanggung risiko yang mengawal risiko dengan mempunyai beberapa jenis pelaburan sekaligus. Untuk seseorang yang tidak mempunyai kapital yang tinggi, amatlah susah untuk mendiversifikasi aset mereka kepada beberapa jenis pelaburan. Namun, sejak ETF direka, ia telah mengubah landskap para pelabur.

ETF berfungsi dengan mengikut pergerakan sesebuah indeks ataupun sesebuah pasaran saham secara keseluruhan mengikut jumlah saham di dalamnya. Ianya dijual beli di dalam pasaran saham sendiri sama seperti syarikat lain.

Apa yang paling bagus adalah anda boleh memiliki ETF sekarang. Anda boleh jual beli ETF sama seperti anda membeli saham Maybank. Anda tidak perlu lagi memikirkan sama ada hendak melabur ke dalam syarikat A atau syarikat B.

Bursa Malaysia melaporkan senarai ETF yang komprehensif di laman web rasmi mereka. Dana ini mempunyai pendedahan yang berbeza. Contohnya seperti:

ETF memenuhi semua kriteria pelaburan yang anda perlukan seperti:

  • Risiko dalam ETF telah dipelbagaikan dan ia akan mengikut pergerakan pasaran.
  • ETF selalunya memberi pulangan yang konsisten setiap tahun.
  • ETF mempunyai kos pengurusan yang rendah (sekitar 1% daripada nilai aset bersih) berbanding dana amanah (sekitar 5% daripada nilai aset bersih)
  • ETF direka untuk mencerminkan keadaan pasaran jadi kurang kerisauan atas prestasi jangka masa panjang.

ETF adalah salah satu pelaburan terbaik untuk dimiliki di ketika persaraan kerana anda boleh membelinya dengan cepat dari pasaran tanpa perlu memantau prestasi dana ini saban hari.

Pelaburan #2: Saham “Blue Chip”

Saham “blue-chip” adalah saham syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia yang mempunyai rekod kewangan yang stabil dan terbukti. Contohnya adalah Maybank, Axiata dan Tenaga Nasional di Bursa Malaysia.

Saham “Blue-chip” merupakan suatu bentuk pelaburan yang ideal untuk persaraan kerana selalunya ia adalah syarikat yang stabil tanpa perlu gusar sama ada ia akan jatuh/bankrap keesokan hari. Mereka membuat keuntungan secara konsisten dan membayar dividen hampir setiap 4 bulan tempoh kewangan.

Contohnya, Maybank mempunyai pulangan dividen dari 5% hingga 9% dan merupakan bank terbesar di Malaysia dari segi jumlah aset. Ini bermakna setiap RM1 yang dilaburkan ke dalam Maybank, anda dijangka akan mendapat sebanyak 5 hingga 9 sen sebagai dividen setiap tahun.

Pulangan ini lebih baik daripada pulangan sebanyak 2% hingga 3% daripada deposit tetap. Walaupun begitu, deposit tetap menjanjikan anda pulangan berikut manakala pulangan dividen tidak dijamin oleh syarikat-syarikat “blue-chip”. Anda masih mengambil risiko berbanding deposit tetap kerana syarikat yang dilabur ini masih boleh mengubah polisi dividen mereka mengikut kesesuaian atau situasi pasaran.

Jika anda berasa buntu di mana anda boleh melabur ke dalam saham “blue-chip” ini, anda boleh mula dengan melihat syarikat yang termasuk dalam indeks Bursa Malaysia.

Kebiasaannya, syarikat di dalam indeks ini adalah 30 syarikat terbesar mengikut nilai pasaran. Apa yang anda perlu cari adalah syarikat yang besar.

Namun, pelaburan saham ini untuk mempelbagaikan pelaburan anda mungkin strategi yang kurang bijak jika anda tidak mempunyai wang yang cukup. Ini adalah kerana harga saham syarikat-syarikat ini dijual beli dengan mahal dan akan menambah kos anda jika anda melabur ke dalam beberapa syarikat berlainan.

Contohnya, Nestle Malaysia kini berharga RM 142 setiap unit manakala UEM Sunrise pula berharga RM 0.37 setiap unit. Jika anda ingin memiliki saham syarikat di Malaysia, jumlah minimum adalah 100 unit setiap transaksi. Ini bermakna anda perlu mengeluarkan sebanyak RM 14,200 untuk memiliki Nestle tetapi hanya RM 37 untuk memiliki UEM Sunrise.

Dah nampak di mana masalahnya? Walaupun Nestle mungkin contoh yang agak ekstrem (saham termahal di Malaysia), kebanyakan saham “blue-chip” berharga mahal berbanding saham lain. Anda perlukan lebih banyak wang untuk diversifikasi pelaburan anda.

Jika anda menghadapi masalah ini, ETF mungkin lebih sesuai untuk anda. Tetapi jika anda memiliki wang yang banyak untuk melabur, tiada masalah mempelbagaikan anda dengan portfolio “blue-chip” sebegini.

Pelaburan #3: Deposit Tetap

Deposit tetap, juga dikenali sebagai Fixed Deposit (FD), adalah sebuah pelaburan yang popular tidak kira pendapatan dan umur.

Ia memenuhi semua kriteria untuk para pesara.

FD mempunyai risiko yang rendah dan menjamin pulangan yang konsisten kerana bank atau institusi kewangan telah menjanjikan jaminan. Ia mempunyai kos pengurusan yang rendah kerana anda hanya dikenakan caj servis dan perkhidmatan untuk mengurus wang anda.

FD adalah cara sesuai untuk anda melawan inflasi atas nilai wang anda. Jika anda mempunyai RM 100, nilai tersebut akan berkurangan sebanyak 2% tahun depan kerana harga kos sara hidup akan meningkat sebanyak 2%.

Dari tahun 2010 hingga 2019, inflasi di Malaysia adalah sekitar purata 2.1% jadi pulangan FD sebanyak 2% hingga 3% menjamin nilai wang anda kekal untuk melawan inflasi.

Kini, mungkin anda rasa banyak pelaburan di luar sana yang lebih lumayan dan FD merupakan sebuah pelaburan yang bosan dan kurang menarik. Namun, anda perlu ambil kira bahawa untuk memperoleh pulangan yang lebih lumayan, anda perlu mengambil lebih risiko. Ini adalah lumrah melabur.

FD telahpun dijamin pulangannya manakala instrumen lain tidak dijamin pulangan malah boleh mendatangkan kerugian. Jika anda menanggung kerugian ketika persaraan, impaknya lebih besar kerana anda tidak dapat lagi bekerja.

Terdapat pelbagai jenis FD di luar sana yang ditawarkan kepada semua kelompok masyarakat. Jika anda kurang yakin, anda boleh lihat di sini untuk senarai komprehensif FD termasuk deposit tetap yang patuh shariah.

Pelaburan #4: Bon/Sekuriti Kerajaan Malaysia

Mungkin boleh dinobatkan sebagai pelaburan paling selamat di Malaysia, bon/sekuriti kerajaan Malaysia ataupun lebih dikenali sebagai Malaysian Government Securities (MGS). Ianya diisukan oleh kerajaan Malaysia dan biasanya, tempoh matang adalah dari 3 hingga 10 tahun, tetapi ada juga yang lebih lama dari 10 tahun.

Selalunya dijual pada harga diskaun dan memberi pulangan tahunan sebagai bayaran kupon kepada anda. Contohnya, untuk MGS yang berharga RM100, anda boleh membeli pada harga RM 95 bergantung kepada tempoh matang bon tersebut. Kadar pulangan kupon pula adalah sekitar 2% hingga 3%.

Setelah matang, anda akan menerima RM 100 berserta dengan bayaran tahunan yang diterima dahulu. Jadi, ianya pelaburan yang popular untuk para pesara.

Pulangannya pula dijamin 100% oleh kerajaan Malaysia dan hanya mempunyai risiko di mana negara bergolak. Jika anda mencari pulangan yang konsisten dan stabil, MGS adalah jawapannya. Apa yang lebih penting adalah anda tidak perlu risau akan dari mana kerajaan membayar kupon anda dan juga keadaan ekonomi semasa.

Ianya pelaburan yang ideal di mana anda boleh beli instrumen ini dan biarkan sahaja. Lain pula dari ETF dan saham “blue-chip” di mana anda perlu peka dengan keadaan ekonomi semasa untuk tahu sama ada risiko makin tinggi.

Anda boleh melakukan transaksi jual beli MGS daripada mana-mana broker, bank atau institusi kewangan. Proses pembelian kini makin mudah dan murah di mana anda boleh melabur ke dalam bon bermula dari serendah RM 1,000 sahaja.

Untuk sahabat seagama pula, ada juga isu sekuriti kerajaan patuh shariah dan Malaysia sebenarnya mempunyai pasaran bon Islamik terbesar di dunia.

Konklusi

Sebagai pesara, objektif anda adalah mendapatkan pulangan yang konsisten, risiko rendah dan secara berterusan untuk menampung kehidupan anda. Gabungan semua pelaburan ini iaitu ETF, saham “blue-chip”, deposit tetap dan MGS boleh memastikan anda boleh berbelanja seperti biasa tanpa mengharapkan bantuan anak-anak kelak.

 

You May Also Like

 

Apa pendapat anda tentang pelaburan di waktu persaraan? Komen di sini supaya lebih ramai boleh belajar.