Anda perlu mengambil kira kos tambahan dan kos tersembunyi dalam bajet sekolah anak anda. (Original article in English)

Pendidikan di Malaysia semakin mahal untuk rakyat Malaysia tak kira berapa jumlah pendapatan anda. Setiap tahun, ibu bapa akan membelanjakan sejumlah wang untuk pendidikan anak mereka dengan harapan mereka akan memperoleh pendidikan yang terbaik.

Namun, kos tuisyen pendidikan bukanlah hanya kos yang perlu diambil kira. Terdapat beberapa kos lain yang “tersembunyi” yang perlu anda pantau dan catat untuk merancang pendidikan anak anda.

Kos tersembunyi ini walaupun tidak signifikan dalam jumlah yang sedikit, jika dibiarkan, lama-kelamaan ia akan memberi kesan kepada bajet anda. Anda mungkin telahpun membelanjakan wang anda untuk kos “tersembunyi” ini kerana ianya datang secara kerap dengan jumlah yang sedikit.

Pantau perbelanjaan ini dan pastikan anda sudahpun mempunyai perancangan untuk pendidikan anak anda.

Kos Tersembunyi #1: Buku Teks, Buku Rujukan dan Buku Kerja

Buku adalah nadi kepada setiap pelajar di sekolah tanpa mengira mana anda belajar. Tanpa buku, cikgu tidak dapat mengajar dengan efektif dan pelajar tidak dapat memberi tumpuan penuh.

Bayangkan anda anda membawa beg yang sarat dengan buku seberat guni beras. Bayangkan pula mereka akan menukar setiap buku tersebut setiap tahun pembelajaran di sekolah. Ini bermakna banyak buku yang akan digunakan bagi setiap fasa pendidikan seseorang pelajar!

Mengikut laporan daripada United Nations Human Development Reports, purata tempoh rakyat Malaysia yang dijangka dalam persekolahan adalah 13.5 tahun. Tempoh ini boleh dibahagikan kepada 11 tahun mandatori untuk sekolah rendah dan menengah, dan juga 2.5 untuk pengajian tinggi.

Tambahan pula, banyak subjek yang diajar di sekolah kini yang bermakna lebih banyak sumber rujukan dan buku yang diperlukan. Selalunya, setiap subjek memerlukan lebih daripada satu buku teks. Antara subjek yang diambil pelajar:

  • Bahasa: Bahasa Malaysia, English, Mandarin, Tamil, Bahasa Iban, Arab, Jawi, Semai, Kadazandusun
  • Sains: Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Biologi, Kimia
  • Sosial: Ekonomi, Bisnes, Geografi, Sejarah, Kemahiran Hidup, Seni, Muzik, Pendidikan Jasmani, Perdagangan, Akaun

Situasi ini lebih tepat di universiti di mana anak anda akan mengambil beberapa subjek di mana buku teks adalah lebih mahal. Sebagai contoh, dengan melayari laman web University Book Store, buku rujukan untuk Matematik Tambahan boleh mencecah RM 245.

Buku teks bukan hanya perbelanjaan buku anak anda. Mereka juga memerlukan rujukan tambahan dan buku kerja.

Untuk anak anda yang menghadiri kelas tambahan di luar waktu persekolahan, anda memang perlu menyediakan buku rujukan kerana mereka jarang menggunakan buku teks dalam sesi pengajaran.

Jadi, anda bukan sahaja berbelanja untuk buku teks yang mahal malah perlu mendapatkan buku rujukan dan buku kerja. Lama-kelamaan, anda pun tidak sedar jumlah yang telah dibelanjakan untuk semua buku ini.

Pastikan anda memantau perbelanjaan ini saban tahun dan jumlah kesemuanya untuk dapatkan kadar perbelanjaan anda dan apa yang anak anda perlukan.

Anda boleh mula dengan membuat jadual bila dan berapa anda belanjakan untuk buku ini. Anda juga perlu melakukan kaedah “quality-control” dengan membelek semua buku-buku ini sebelum anda membelinya. Dan jangan lupa juga untuk simpan semua resit!

Kos Tersembunyi #2: Kelas Tambahan

Anak anda mungkin pernah merungut yang cikgu mereka terlalu cepat di dalam kelas dan mereka tidak boleh mengikut arus rakan-rakan mereka. Mereka takut yang mereka akan ketinggalan dan makin bertambah stres memikirkan apa akan jadi pada hari peperiksaan.

Untuk kebanyakan pelajar masa kini, sesi pembelajaran di sekolah tidak cukup untuk menjanjikan keputusan yang bagus dan pembelajaran yang efektif. Apa pilihan lain yang mereka ada?

Kelas tambahan. Kelas tambahan adalah pilihan bagus untuk anak anda menambahkan pengetahuan mereka dalm sesuatu subjek dan melatih mereka menjawab peperiksaan secara konsisten. Sikit-sikit lama menjadi bukit.

Namun, anda mungkin pernah bertanya pada diri sendiri adakah kelas tambahan ini berbaloi? Kos kelas tambahan kebiasaannya tidak akan dimasukkan ke dalam pelan pendidikan anak anda di awal tahun.

Kos ini bergantung kepada tahap pendidikan anak anda, jenis tutor dan reputasi serta subjek yang diambil. Untuk kanak-kanak di sekolah rendah, anda boleh letakkan bajet sebanyak RM 30 hingga RM 60 sejam untuk kelas tambahan. Untuk yang berada di sekolah menengah pula, kosnya adalah di sekitar RM 35 hingga RM 90 sejam.

Memandangkan anda mungkin memerlukan tutor yang berbeza di tempat yang berbeza, susah untuk pantau perbelanjaan ini. RM 50 di sini, RM 50 di sana. Lama kelamaan RM 50 ini boleh berkembang hingga RM 1,000 jika anak anda pergi ke kelas tambahan 20 jam sebulan.

Anda perlu ambil tahu akan jumlah kelas tambahan ini kerana lama-kelamaan ia boleh memberi kesan kepada akaun bank anda tanpa anda sedari. Sekurang-kurangnya anda boleh membuat persediaan dari segi kewangan.

Kos Tersembunyi #3: Kos pengangkutan dan masa

Rutin harian anda mungkin adalah bangun pada waktu subuh, buat persiapan ke sekolah dan keluar rumah pada pukul 6.30 pagi. Kemudian, hadap jam waktu pagi dan hantar anak ke sekolah pada pukul 7.15 pagi dan kembali menghadap jam sekali lagi untuk sampai ke tempat kerja pukul 8.15 pagi.

Kini, bayangkan anda perlu ambil anak di sekolah apabila sesi persekolahan tamat, hantar mereka ke rumah atau kelas tambahan di tengahari dan kembali ke tempat kerja. Kos pendidikan anak anda kali ini adalah masa anda.

Jika ia memakan banyak masa anda, mungkin anda perlu menggunakan khidmat bas atau van sekolah untuk menghantar anak anda ke sekolah.

Kos untuk servis ini bukannya murah bermula dengan RM 80 hingga RM 100 sebulan untuk bas sekolah dan lebih mahal untuk van sekolah. Dalam setahun, anda akan berbelanja lebih RM 1,200 seorang untuk servis penghantaran.

Dengan tambahan kos pula apabila anak anda ingin menghadiri kelas tambahan kerana anda tidak boleh menggunakan servis van dan bas sekolah lagi.

Sama ada menggunakan teksi atau servis aplikasi e-hailing, kos pastinya akan meningkat. Mengikut JustGrab, fi minimum untuk satu perjalanan adalah RM 5 manakala fi setiap kilometer adalah RM 0.70 hingga RM 0.95 bergantung kepada permintaan.

Jika pusat kelas tambahan terletak jauh dari kediaman anda, kos akan meningkat dengan signifikan kerana anda perlu mengambil kira perjalanan pulang. Bayangkan pula kos untuk 5 hari seminggu. Sudah tentu jumlah perbelanjaan anda akan terkesan.

Mula dari sekarang dalam pemantauan perbelanjaan untuk pengangkutan pergi dan balik sekolah serta kelas tambahan supaya anda boleh mencari pilihan yang lebih bernas dan sesuai untuk anak anda.

Kos Tersembunyi #4: Pakaian Sekolah dan Aksesori

Kebanyakan sekolah rendah dan menengah di Malaysia mempunyai kod pakaian yang ketat untuk semua pelajarnya. Antara yang diperlukan adalah:

  • Kemeja
  • Pinafor
  • Seluar Slack
  • Tali Pinggang
  • Tudung
  • Tali Leher (bersama klip)
  • Kasut
  • Stokin

Sekolah awam selalunya meletakkan standard undang-undang pakaian di seluruh Malaysia tetapi mempunyai variasi tersendiri bergantung kepada tahap pendidikan. Contohnya, kebanyakan pelajar sekolah rendah memakai seluar pendek manakala ramai mengenakan seluar panjang di sekolah menengah. Perempuan pula memakai pinafor atau baju kurung sebagai uniform.

Sekolah persendirian pula memilih set uniform mereka sendiri berserta aksesori. Mereka juga mempunyai kuasa untuk menukar kod uniform ini setiap tahun.

Jika anak anda dilantik sebagai ketua seperti pengawas, mereka memerlukan pakaian dan aksesori lain daripada pelajar biasa. Anda pula mengambil kira pakaian seperti vest, blazer dan kasut lain.

Anak anda juga akan mengambil bahagian dalam aktiviti kokurikulum seperti badan beruniform atau kelab sukan. Ini bermakna set pakaian yang lain pula.

Nampak tak betapa banyaknya perbelanjaan akan dibuat terhadap pakaian dan aksesori sahaja?

Jika anda fikir satu set dah cukup, anda silap. Mereka membesar dengan pantas dan sekurang-kurangnya anda perlu membeli baju baru sekali setiap 2 tahun.

Kos Tersembunyi #5: Peralatan lain

Terdapat pelbagai peralatan yang diperlukan untuk pendidikan formal anak anda seperti:

  • Alat tulis: Pen, Pensel, kotak pensel, peralatan lukisan trigonometri, buku kerja
  • Peralatan seni: pensel warna, krayon, cat warna, blok lukisan
  • Peralatan elektronik: kalkulator saintifik, komputer riba, tablet
  • Beg sekolah, fail, binder
  • Botol air, kotak makanan

Kebanyakan barang ini mudah dicari dan murah. Namun, apabila dikumpul, ternyata ianya amat signfikan.

Peralatan sebegini mudah hilang dan dicuri jadi anda perlu membuat pembelian berulang kali jika perkara sebegini berlaku.

Ada juga peralatan yang lebih mahal dan khusus kepada kelas tertentu. Contohnya, sekolah jenis kebangsaan cina mempunyai kelab muzik yang memerlukan anda membeli instrumen muzik anda sendiri daripada mereka. Antaranya, trombon, trumpet, tuba, hon Perancis dan lain-lain lagi. Alatan ini bukannya murah.

Selalunya perbelanjaan untuk peralatan sebegini datang secara tiba-tiba tanpa perancangan dari pihak anda. Jadi, pastikan anda ketahui kos perbelanjaan anda.

Konklusi

Bukan mudah merancang ke arah pendidikan anak anda dengan lambakan perkara yang perlu diambil kira. Tidak terkejut jika anda mengalami kesukaran memantau kos tersembunyi ini untuk anak anda.

Anda boleh mula dengan mengambil nota secara sistematik dan rekod kesemuanya di dalam Excel  atau buku log. Awal-awal anda akan susah sedikit sebelum biasa dan lama-kelamaan, anda akan kekal dengan tabiat menyimpan resit.

Selepars itu, anda boleh menggunakan khidmat penasihat kewangan professional untuk merancang keseluruhan perbelanjaan anda setelah mempunyai semua data ini.

 

You May Also Like

 

Adakah anda mempunyai apa-apa cadangan tambahan untuk pendidikan anak anda? Kongsi bersama kami dan komen di bawah.