Pernahkah anda merasakan rumah kediaman anda serabut, kerja yang tak pernah habis, sentiasa tidak cukup wang dan sentiasa dalam keadaan risau? Mungkin inilah masanya untuk anda ubah gaya hidup ke arah gaya hidup yang lebih bermakna. (Original article in English)
Ada hikmahnya COVID-19 ini berlaku supaya kita lebih kenal siapa kita.
Masyarakat ingin hidup sederhana
Sentiasa berlumba-lumba harta dengan jiran, adik-beradik, kawan bukan lagi mindset yang relevan untuk kita. Kenapa pula anda perlu fikir tentang pendapat orang lain terhadap anda sedangkan anda pun berhempas pulas untuk mengharungi pandemik ini.
Hidup yang sederhana bermaksud lebih kurang tekanan fizikal dan mental, kos yang lebih rendah dengan pemantauan perbelanjaan dan lebih masa untuk bersyukur atas nikmat yang dikurniakan.
Berikut adalah 8 tips bagaimana anda boleh mengubah gaya hidup anda.
Contents
Tip #1: Anda Perlu Yakin Anda Perlukan Perubahan
Fikir masak-masak dan istiqamah dengan diri sendiri sebelum membuat perubahan. Tanya diri anda:
- Apa yang anda perlu ubah dalam hidup anda?
- Aspek hidup mana yang anda mahukan perubahan?
- Apa yang boleh anda lakukan untuk berubah?
Kekal dengan tabiat baru akan lebih senang jika anda faham diri anda dan mengapa anda perlu berubah. Ingat. Ianya keputusan anda sendiri dan hanya anda yang boleh mengubah hidup anda.
Peringatan:
- Anda kawal hidup anda sendiri.
- Jika anda betul-betul mahukan perubahan, mula sekarang.
Tip #2: Kemas/Kurangkan
Sebelum anda membuat sesuatu, anda perlu mula dengan kurangkan apa yang ada dengan permulaan yang baru. Ini bermakna anda perlu kurangkan aspek hidup anda dengan segala “semak” yang ada yang boleh mengalih perhatian anda dari apa yang penting.
Kurangkan barangan fizikal
Kemas semula rumah anda dan kurangkan barangan yang mengambil ruang dalam hidup anda. Mula dengan 3 kotak kosong dan label sebagai:
- Derma
- Jual
- Buang/Kitar semula
Kemudian, pastikan semuannya diletakkan di tempat yang sepatutnya. Ini mungkin mengambil masa beberapa jam malah mungkin hingga sehari tetapi ianya sememangnya berbaloi. Anda boleh merancang semula langkah seterusnya anda tanpa semua “semak samun” ini.
Selepas itu, mula dengan sebuah bilik atau ruang dan semak mengikut soalan berikut:
- Adakah barang ini masih elok dan sesuai di tempatnya? (adakah ia digunakan dalam tempoh masa tertentu)
- Adakah barang ini masih diperlukan?
- Adakah barang ini praktikal atau menyelesaikan masalah?
- Adakah barang ini membuatkan diri anda gembira?
Jika jawapannya tidak, maka tandakan “check” dan letakkan di dalam kotak tertentu.
Gerak ke bilik seterusnya dan ulang langkah tersebut.
Lama kelamaan, anda akan jumpa semua barangan yang anda miliki dan perlukan. Jadi, tiada lagi pembelian barangan “spare” disebabkan barang hilang atau tak jumpa. Anda juga boleh dermakan barang yang tidak diperlukan untuk kegembiraan orang lain pula. Atau jika anda perlukan wang, anda boleh jual barangan tersebut.
Anda akan lihat rumah kediaman anda bertukar menjadi ruang yang lebih kemas dan selesa didiami.
“Kemas” minda anda
Kita semua pernah memikirkan perkara sia-sia atau negatif yang menambah kerunsingan kita. Jaga-jaga dengan idea yang bercambah ini kerana lama-kelamaan anda akan menjadi negatif.
Ambil masa anda untuk mulakan hari anda. Tulis jurnal atau gunakan minda anda untuk membayangkan apa yang anda mahu kecapi dalam satu hari. Mula dengan mindset yang realistik untuk jadual dan senarai harian anda. Tekanan yang berlebihan tidak membuatkan anda manusia yang lebih bagus, hanya lebih stres sahaja.
Di penghujung hari, ambil sejenak untuk lihat kembali apa anda telah capai, apa yang berjalan mengikut perancangan dan apa yang boleh dibaik pulih. Tulis tanggapan anda ini. Bahagikan komen kepada dua bahagian; positif dan negatif. Pastikan anda fokus atas perkara yang positif.
Lama kelamaan, senarai anda akan berkurangan dan dipenuhi dengan aktiviti yang lebih bermakna dengan minda yang lebih tenang serta positif.
“Kemas” dunia digital anda
Kita meluangkan berjam-jam hidup melihat skrin komputer dan telefon bimbit. Dengan pembangunan teknologi tambahan pula dalam media sosial, semakin susah untuk kita kurangkan masa dengan skrin.
Jika anda mahu hidup yang lebih bahagia, gunakan gajet elektronik ini dengan lebih bermakna yang tidak mengganggu kesihatan mental anda.
Susun data yang dimiliki dalam ruang atau folder tertentu. Buang data yang tidak diperlukan i.e gambar, fail, video. Semak semula media sosial anda dan unfollow sesiapa yang tidak memberi nilai positif dalam hidup anda. Letakkan jadual atau tempoh bila anda boleh gunakan gajet atau aplikasi tertentu.
Tujuan “mengemas” dunia digital anda adalah untuk simpan apa yang anda perlukan yang memberi nilai dalam hidup anda. Ianya perlukan masa dan tidak mengapa jika anda mula dengan langkah yang kecil.
Tip #3: Adakah anda seorang pak turut? Anda biasa bercakap “tidak”?
Berkata “tidak” kepada sesuatu bukan senang bagi semua orang. Semua orang mempunyai perasaan ingin disukai jadi kita lebih cenderung untuk melayan permintaan seseorang. Tetapi, berkata “tidak” adalah salah satu kemahiran hidup yang perlu diasah.
Kata “tidak” kepada jadual yang sarat dengan aktiviti yang tidak menambah nilai hidup anda. Apabila anda serabut dengan semua perkara ini, ia boleh membuat anda cenderung ke arah kemurungan, yang memerlukan lebih banyak wang dan tenaga untuk diselesaikan.
Kita semua perlu berkata “tidak” sekali-sekala dan ada perkara yang kita tidak boleh berbuat demikian. Namun, kita masih boleh rancang dan utamakan. Masa kita di dunia ini singkat jadi buat apa yang anda mahu buat.
Tip #4: Cuba cabaran “jangan berbelanja”
Jika ada satu cara yang boleh membantu kewangan anda dalam masa yang singkat, ianya adalah dengan menyahut cabaran ini.
Cabaran “jangan berbelanja” ataupun no-spend adalah di mana anda berjanji dengan diri sendiri untuk tempoh masa tertentu untuk tidak berbelanja untuk selain dari barangan keperluan. Jika anda bersedia, anda boleh meletakkan bajet ke atas barang keperluan ini.
Asasnya, tidak kira tempoh masa anda, anda cuba untuk tidak berbelanja lebih dari kemampuan anda.
Jika anda mengalami kesukaran, mula dengan meletakkan “hari tanpa berbelanja”. Cara ini dapat membantu anda menyimpan wang dan juga sedar akan:
- apa yang miliki
- apa yang anda perlu
- apa yang anda tidak perlu
Tip #5: Amalkan tabiat beli-belah yang berhemah
Terfikir anda perlukan perabot baru? Sebelum anda berbelanja, berhenti dan berfikir dahulu.
Tanya diri anda soalan berikut:
- Apa sebab anda mahu beli?
- Anda betul-betul perlu?
- Adakah anda dalam keadaan sedih atau marah ketika membuat keputusan untuk beli?
- Apa akan jadi jika anda tidak ada barang tersebut? Apa impak negatif dalam hidup anda?
- Adakah anda masih mempunyai alternatif atau barang lain yang masih berfungsi?
Soalan ini akan memberi gambaran jelas dan bakal membantu anda membuat keputusan ketika membeli-belah.
Anda juga boleh menggunakan strategi ini untuk pembelian yang berhemah.
Cari sebab anda terniat untuk beli dan elakkan
Anda mungkin suka membeli-belah dan sedar setiap kali anda melawat pusat beli-belah ataupun melayari laman web seperti Shopee dan Lazada, anda akan membeli sesuatu.
Jadi, apa yang perlu anda lakukan? Elakkan tempat-tempat ini yang boleh mengganggu emosi anda sebelum anda jatuh ke dalam perangkap.
Gunakan prinsip 30 hari
Berikan masa kepada diri anda selama 30 hari sebelum berbelanja. Kebiasaanya, anda sedar yang anda tidak terkesan tanpa barang tersebut.
Letakkan matlamat kewangan
Salah satu cara yang efektif untuk hidup sederhana adalah dengan mempunya matlamat. Ianya mengubah cara hidup anda daripada berbelanja kepada menyimpan. Contohnya, menyimpan untuk pendidikan, percutian, kereta baru ataupun dana kecemasan.
Sediakan bajet
Mempunyai matlamat kewangan adalah langkah pertama. Kedua, sediakan bajet. Terdapat lambakan statistik yang menunjukkan bahawa keluarga dan individu tidak tahu berapa jumlah wang yang dibelanjakan setiap bulan. Mereka biarkan wang mengawal mereka. Apabila bil datang pada hujung bulan, mereka sedar yang mereka terlebih berbelanja.
Mempunyai bajet adalah penting kerana anda akan lebih sedar akan perbelanjaan. Anda kawal wang anda.
Tip #6: Bersyukur dengan apa yang anda miliki
Ketahui apa yang sudahpun anda miliki. Bersyukur dengan apa yang ada dan nikmati perkara-perkara indah di sekeliling anda. Anda pastinya terkejut apabila mendapat tahu bahawa kebahagiaan dan kegembiraan tidak datang melalui perkara materialistik.
Untuk hidup dengan jumlah yang lebih sedikit, ambil masa untuk tulis apa yang bersyukur. Terdapat perkara kecil yang memenuhi senarai ini yang lebih membahagiakan di sebalik semua barangan fizikal anda.
Anda akan membelanjakan wang dengan lebih efisien jika anda sudahpun gembira dengan apa yang anda miliki.
Tip #7: Belanjakan wang anda untuk pengalaman, bukannya barangan
Pengalaman hidup semestinya lebih berharga, bermakna dan lebih diimpikan berbanding barang fizikal lain. Ini adalah kerana pengalaman ini tidak akan musnah berbanding barang fizikal. Kebahagiaan yang berkekalan datang daripada ilmu baru dan penghargaan terhadap pengalaman baru.
Barangan fizikal buatkan kita gembira tetapi hanya untuk tempoh masa yang singkat manakala pengalaman hidup mencorakkan identiti seseorang. Lebih banyak anda bergantung kepada barangan fizikal, lebih terdedah kebahagiaan anda terhadap kesukaran hidup. Apa akan jadi jika anda tidak mampu lagi berbelanja?
Pengalaman ini termasuk aktiviti untuk membuatkan seseorang gembira, tak kira anda atau orang lain. Anda boleh cuba perkara yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.
Hidup ini singkat jadi lebih elok jika anda luangkan untuk mengumpul memori yang berkekalan.
Tip #8: Pinjam, Ganti, Buat Sendiri, Baiki, Derma, dan sebagainya
Bina budaya saling meminjam, bertukar, berkongsi dan membaiki. Anda tidak perlu mengharapkan pusat beli-belah atau pasar untuk semua benda.
Anda boleh bertukar barangan yang anda tidak perlu dengan rakan-rakan, saudara-mara, kenalan dan jiran yang mungkin mempunyai barang yang mereka tidak perlukan lagi. Bukan sahaja ia dapat menambah jangka hayat penggunaan sesuatu barang, ia juga dapat menguatkan semangat komuniti.
Kesimpulan
Ajar diri anda untuk hidup sederhana tanpa berharap akan perkara fizikal untuk mengubah cara anda melihat dunia. Apabila anda mengubah objektif hidup anda, kawal wang anda dan sedar akan perkara di sekeliling anda, hidup sederhana akan mendatangkan kebahagiaan dan kegembiraan yang jauh lebih bermakna.
You May Also Like
- 5 Kos Tersembunyi Dalam Kos Pendidikan Anak Anda
- Analisis Belanjawan 2021
- 4 Perkara Penting Untuk Menjamin Pendidikan Anak-anak Anda
- 4 Pelaburan Wajib Milik Untuk Bersara
Anda mempunyai tips lain? Kongsi bersama kami di seksyen komen di bawah.
Leave A Comment