Berikut adalah 7 cara anda mendapatkan keseimbangan antara kerja dan hidup anda sendiri. Hidup ini terlalu pendek untuk hanya meluangkan masa di pejabat. (Original article in English)

Keseimbangan hidup dengan kerja bermakna masa anda dibahagikan dengan kadar yang betul untuk bekerja dan juga aktiviti luar kerja. Ianya sesuatu yang anda perlu cari sendiri dan tidak hanya menunggu bagai pungguk rindukan bulan. Sudah tentu akan ada kalanya untuk kerja lebih masa tetapi ia tidak sepatutnya menjadi kebiasaan!

Akta Buruh Malaysia mendefinisikan minggu kerja sebagai 48 jam dengan tempoh kerja maksimum 8 jam sehari dan 6 hari bekerja.

Berikut adalah 7 sebab mengapa anda perlu mencari lebih masa untuk diri anda di luar pejabat:

#1. “Qada” Tidur Anda

American National Sleep Foundation mewartakan kepada yang berumur 18 hingga 64, tempoh tidur terbaik adalah 6 hingga 10 jam sehari.

Tidak dinafikan bahawa kini, golongan dewasa kurang mendapat tidur yang cukup. Situasi ini menular sehinggakan US Centers for Disease Control and Prevention (CDC) mengkategorikan kekurangan tidur sebagai sebuah epidemik. Simptom kurang tidur bergantung daripada perasaan selalu marah hingga kekurangan jangka hayat.

Dalam kata lain, jika seseorang beritahu anda yang apabila anda cukup tidur hari ini, anda dapat mengelakkan sakit kritikal di masa akan datang, adakah anda akan jaga tidur anda?

Cara mudah adalah memantau masa anda tidur dengan mendapatkan jam pintar atau pemantau aktiviti lain yang boleh merekod data tidur anda.

#2: Dapatkan kerja sambilan untuk duit tambahan

Tatkala malam menjelang, masih ada beberapa jam yang tinggal lagi untuk anda melakukan kerja lain. Apa salahnya jika anda cari kerja sambilan? Sama ada secara bebas (freelance) atau kontrak, aktif atau pasif, mempunyai kerja tambahan adalah pelaburan masa yang terbaik untuk anda.

Dalam memilih apa kerja tambahan yang boleh dilakukan, anda boleh mengimbangkan antara manfaat kerja separuh masa dengan minat anda.

Sama ada untuk mencari pengalaman sebelum mengubah karier anda, networking adalah cara terbaik untuk mengejar impian anda. Misi kewangan anda dapat dipenuhi dan pastikan anda kekal bersemangat walaupun susah itu ada.

#3: Fokus pada diri sendiri

Sentiasa akan ada benda baru yang anda boleh pelajari. Takkanlah anda nak  sentiasa di dalam pejabat sahaja?

Gunakan masa anda dengan cermat dan cari sumber pendidikan baru – sambung belajar atau mengambil sijil dalam memasak sebagai contoh.

Anda boleh memperolehi maklumat dengan mudah dalam talian sama ada dalam bentuk penulisan atau video. Tapi kena beringat juga bahawa banyak “perangkap” seperti laman web beli-belah dan video hiburan di luar sana.

Anda boleh kekal sihat dengan bersenam dan menjaga kesihatan mental anda. Kenali rejim kesihatan yang sesuai untuk anda dan makan dengan sihat. Katakan tidak untuk perkara yang tidak memberi manfaat kepada anda.

#4: Kuatkan hubungan silaturrahim dengan keluarga dan rakan-rakan

Ambil tahu akan status hubungan anda – sama ada dengan pasangan, keluarga, rakan, jiran, rakan kerja, rakan sekelas dan sebagainya.

  • Bila kali terakhir anda borak perkara yang bermakna dengan mereka?
  • Bila kali terakhir anda teringat akan mereka?
  • Bila kali terakhir anda meminta maaf atau memberi penghargaan kepada seseorang untuk sesuatu?

Dengan mengambil masa untuk kembali berhubung adalah bagus untuk ketenangan anda dan mungkin akan memberi manfaat di kemudian hari.

“Terlalu sibuk bekerja” adalah alasan yang akan membawa kepada penyesalan kelak. Buat sesuatu yang simple seperti bermain masak-masak dengan anak anda atau hantar mesej WhatsApp kepada rakan anda.

#5: Siapkan kerja rumah anda

Banyak kerja rutin yang wajib dilakukan tak kira betapa remeh seeperti mengemas rumah, membeli barangan dapur, penyelenggaraan kereta, potong rambut, kemas kini rekod perbelanjaan dan sebagainya.

Mengelakkan dari membuat kerja rumah boleh membuatkan seseorang itu susah untuk berfungsi. Mudahkan hidup anda dan kekal teratur.

Elakkan jatuh ke dalam perangkap duduk di dalam pejabat sehingga larut malam untuk mengelakkan kerja rumah. Ia tidak akan hilang dengan sendiri. Perasaan puas hati itu pasti akan datang selepas anda selesai dengan semua kerja “remeh” ini.

#6: Buat sesuatu yang tidak berkaitan dengan kerja

Apa tujuan anda cuba “seimbangkan” kerja dan hidup anda jika anda tidak rasa gembira? Ambil masa untuk rehat. Nikmati masa menonton Netflix, main game, membaca, beli-belah, memasak, basuh kereta dan lain-lain yang bukan berkaitan karier anda.

Tetapi ingat. Perlu ada keseimbangan di sini juga dengan perkara yang perlu anda buat dan perkara yang anda suka buat.

Jika anda terlalu taksub dengan hiburan untuk lari dari kerja, sudah tiba masa untuk anda memikirkan laluan karier anda. Konsep “work hard, play hard”  juga ada batasnya.

#7: Beri semula kepada komuniti

Kerja amal adalah aktiviti membantu orang lain tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Banyak cara untuk berkhidmat dengan komuniti setempat anda seperti:

  • Memberi wang atau barang keperluan kepada badan amal
  • Meluangkan masa di rumah orang tua, anak yatim atau pusat jagaan haiwan
  • Menggunakan kemahiran untuk organisasi amal seperti membuat akaun, mengurus media sosial atau menggunting rambut
  • Menggunakan kemahiran untuk acara tertentu seperti mengurus aktiviti untuk orang kurang berkemampuan
  • Membuat kerja berat di pusat kitar semula atau di pusat haiwan terbuang
  • Membuat kerja sendiri dengan niat untuk membantu masyarakat seperti jogging sambil mengutip sampah

Konklusi

Banyak yang anda boleh lakukan dengan masa anda. Masa takkan pernah cukup tetapi anda boleh seimbangkan dengan apa yang anda mahu dan anda perlu buat. Apabila anda dapat mencapai keseimbangan dalam perihal kerja dan kehidupan seharian, anda boleh hidup dengan lebih bermakna.

 

You May Also Like

 

Apa pendapat anda tentang keseimbangan kerja dan kehidupan seharian? Adakah ia mampu dicapai setiap pekerja di Malaysia? Kongsi bersama kami dan komen di bawah.