Pernahkah anda terfikir untuk tambah kemahiran anda? Lihat di bawah! (Original article in English)
Menambah dan belajar kemahiran baru adalah suatu keperluan penting untuk ke hadapan dalam karier serta hidup anda. Tambah-tambah lagi di zaman sekarang yang berkembang dengan pesat. Sama ada komunikasi, kepimpinan atau kemahiran teknikal, banyak aspek hidup dan karier kita yang masih boleh diperbaiki.
Pernahkah anda jumpa kursus atau webinar yang anda mahu sertai tanpa sebab? Ketahui dengan lebih lanjut mengapa anda perlu perbaiki diri dan tambah kemahiran terutamanya pada tahun 2021!
Contents
Sebab #1: Risiko yang tinggi terhadap pekerjaan dan pendapatan anda
Pandemik Covid-19 ini telah membuktikan bahawa pekerjaan yang memerlukan anda berada di tempat kerja secara fizikal amatlah terjejas. Ini termasuk industri servis sama ada peruncitan tradisional atau industri pembuatan di mana pekerja diperlukan untuk proses pembuatan.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka akan lebih teruk mengikut rekod di mana IMF menjangka Malaysia akan mengalami pengunjuran sebanyak 6% pada 2020. Banyak bisnes tradisional telahpun terjejas pada tahun 2020 dan secara langsung membuatkan ramai rakyat Malaysia kehilangan sumber pendapatan dan laluan karier.
Peralihan daripada kerja biasa kepada work-from-home ataupun pematuhan SOP yang ketat ketika pandemik semestinya membebankan. Untuk golongan yang kais pagi makan pagi pula, keadaan semasa ini lebih meruncingkan. Contohnya, untuk pekerja yang perlu berada di tempat kerja ataupun yang dikategorikan sebagai pekerjaan tidak berkemahiran, mereka lebih cenderung untuk dibuang kerja sebagai langkah pengurangan kos oleh syarikat.
Lihat kembali jenis pekerjaan anda serta industri yang anda terlibat. Mungkin sumber pendapatan anda ini boleh juga terkesan dan akan diganti dengan robot suatu masa nanti. Kenal pasti apa kekuatan anda dan apa kelemahan anda supaya anda boleh menambah kemahiran selari dengan keadaan semasa serta masa depan. Nampaknya masa depan akan kelihatan lebih seperti era norma baru.
Sebab #2: Mengikut aliran teknologi
Pada tahun 2021 ini, amatlah relevan untuk anda menambah kemahiran untuk kekal dengan peredaran zaman dan ini memerlukan pelaburan dari segi masa dan wang anda.
Corak teknologi terbaru adalah penggunaan data gergasi atau “big data” dan artificial technology (AI) dalam syarikat-syarikat untuk memperbaiki keputusan bisnes mereka. Ini bermakna terdapat kebergantungan yang besar dalam penggunaan mesin berbanding manusia dalam keputusan bisnes.
Jadi, lihat kembali kepakaran anda dan fikir-fikirlah sama ada teknologi akan menjadi ancaman kepada sumber pendapatan anda. Lambat laun, kebanyakan bisnes dan proses sedia ada akan digantikan dengan mesin dan AI. Kemahiran yang diperlukan pula akan lebih ke arah hubungan antara mesin dan manusia serta bagaimana anda menggunakan teknologi maklumat.
Kini, teknologi telahpun mengubah industri teksi serta peruncitan dan akan berkembang ke industri lain. Alam globalisasi pula bermakna syarikat di seluruh dunia boleh bebas menggunakan pembaikan dalam teknologi ini dan secara langsung menjejaskan pendapatan anda.
Ambil kira perubahan dalam industri anda dan ambil langkah proaktif untuk menambah kemahiran yang sesuai di masa akan datang.
Sebab #3: Perubahan cara dan budaya kerja
Kebanyakan daripada anda mungkin telahpun biasa dengan aturan kerja dari rumah sama ada suka atau tidak. Berita baik tahun ini sudah tentunya adalah pengumuman vaksin COVID-19. Namun begitu, pandemik ini telahpun mengubah sudut pandangan syarikat serta pekerja dalam situasi bekerja masa depan. Tambahan pula dengan kajian bahawa situasi pandemik semestinya akan berlaku lagi di masa akan datang.
Syarikat telahpun melabur ke dalam infrastruktur yang membolehkan pengaturan kerja yang lebih fleksibel dan ini secara langsung akan mengurangkan keperluan untuk mempunyai ruang pejabat. Penggunaan perisian yang membolehkan anda bekerja dari rumah akan meningkat. Mungkin juga kerja anda akan diautomasikan.
Kerja dari rumah mempunyai kebaikan dan keburukan sendiri untuk anda. Kebaikannya adalah anda lebih fleksibel dan juga dapat kurangkan masa bergerak ke pejabat dan secara langsung mengurangkan kesan terhadap alam sekitar dengan kurangnya penggunaan kereta. Namun, keburukannya adalah interaksi fizikal anda dengan rakan sekerja akan berkurang dan mampu mengurangkan produktiviti anda.
Jadi, perubahan dinamik inilah sebab mengapa anda perlu menaikkan kemahiran anda dalam komunikasi dan kepimpinan dalam situasi kerja dari rumah ini.
Sebab #4: Kursus dan webinar yang lebih mampu berbaloi
Salah satu kebaikan situasi pandemik ini adalah webinar kini lebih murah dan mampu diakses oleh semua orang. Banyak organisasi yang terpaksa beralih kepada kursus dalam talian untuk mengambil peluang trend kerana semakin ramai yang menuntut ilmu dari rumah.
Kos untuk menyediakan pendidikan dalam talian secara teorinya lebih murah kerana penyedia kursus tidak perlu menyewa ruang dan peserta tidak perlu menghadiri kursus secara fizikal.
Pasti anda pernah terserempak dengan webinar pendidikan percuma di platform media sosial atau laman web organisasi. Sebagai contoh, panduan dari Bursa Malaysia kini lebih ke arah format webinar percuma yang dianjurkan oleh pihak Bursa Malaysia sendiri serta bank-bank untuk mendidik rakyat tentang pelaburan dan kewangan.
Kursus dalam talian untuk menambah kemahiran anda juga makin banyak dan murah. Anda boleh menggunakan servis ini di platform seperti EdX, Udemy, Khan Academy dan lain-lain lagi.
Sebab #5: Bantuan kerajaan dalam penambahan kemahiran
Walaupun inisiatif Penjana tahun lepas telahpun luput, terdapat banyak lagi program dan insentif yang ditawarkan oleh kerajaan yang masih berkuat kuasa sekarang.
Sebagai sebahagian daripada program ini, sebanyak RM 1 bilion telah diagihkan untuk inisiatif reskilling dan upskilling menyasarkan 200,000 pelatih pada tahun 2021. Ini termasuk:
- Pengurangan cukai untuk bayaran kursus yang ditawarkan badan professional (had maksimum: RM 1,000 setahun)
- Lepasan pendidikan boleh menuntut baucar RM 3,000 untuk kursus pengiktirafan professional
- Latihan kepada pekerja yang terkesan dalam sektor pelancongan
- Program keusahawanan kepada tentera Malaysia
Memandangkan banyak program dan insentif oleh kerajaan di luar sana, ambil peluang ini untuk mengurangkan kos anda tahun ini.
Sebab #6: Permulaan tahun yang optimistik
Kebanyakan orang mempunyai visi tahun yang optimistik dan makin hari, makin kurang optimistik. Akhir sekali, di penghujung tahun, anda jadi pesimistik pula! Tetapi untuk tahun 2021, jangan risau. Anda telah melalui antara tahun terburuk dalam aspek ekonomi dan sosial. Perkara yang boleh berlaku berpeluang untuk menjadi lebih baik daripada tahun 2020.
Ambil peluang ini untuk mengimbas kembali perjalanan hidup anda pada tahun 2020 dan apa yang anda mahu perbaiki pada tahun 2021. Mula dengan mempunyai visi yang jelas untuk tahun baru ini. Anda telah selamat dari tahun 2020 dan tentunya belajar perkara penting mengenai diri anda. Sudah tiba masanya untuk anda mencari kemahiran dan minat yang sesuai dengan diri anda untuk menghadapi keadaan norma baru.
Proses pembelajaran akan menghidupkan kembali minat dan semangat anda untuk tahun ini dengan lambakan perkara baru yang anda boleh pelajari dan aplikasikan.
Konklusi
Mulakan 2021 dengan semangat baru! Fokus terhadap mengapa anda perlu perbaiki dan tambah kemahiran anda. Ambil kira situasi ekonomi dan sosial yang amat berbeza sekarang berbanding sebelum COVID-19 serta peluang sekarang lebih terserlah untuk proses reskilling dan upskilling anda. Terdapat lebih banyak risiko terhadap pendapatan dan kerja anda, pembangunan pesat dalam teknologi yang boleh menggantikan anda, perubahan budaya kerja, kursus dan webinar yang lebih murah, tajaan kerajaan untuk penambahan kemahiran dan semangat optimistik untuk tahun baru ini. Ingat. Bila lagi jika bukan sekarang?
You May Also Like
- 6 Faktor Psikologi Di Sebalik Pengurusan Kewangan Yang Lemah
- 6 Sebab Mengapa Pelaburan Alternatif Semakin Popular
- 5 Pelaburan Patuh Shariah Yang Menarik
- 7 Cara Anda Boleh Seimbangkan Antara Kerja Dengan Diri Sendiri
Kongsi bersama kami aspek yang hendak ditambah dalam set kemahiran anda tahun ini di seksyen komen di bawah.
Leave A Comment