Pembedahan bariatrik mungkin kedengaran agak asing tetapi ia menjadi pilihan selebriti tempatan dan juga golongan berkemampuan sebagai salah satu kaedah untuk menurunkan berat badan dan mengurangkan risiko kesihatan akibat diabetes.

Sejak akhir-akhir ini, pembedahan bariatrik menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya apabila dikatakan salah seorang menteri menjalani pembedahan tersebut. Tidak kurang juga beberapa selebriti tempatan memilih pembedahan tersebut sebagai kaedah untuk membantu mereka mengurangkan berat badan obes dan menjaga kesihatan.

Namun, masih ramai yang kurang pasti apakah sebenarnya pembedahan tersebut dan berapakah kos yang diperlukan untuk menjalaninya.

Mengapa pembedahan bariatrik?

Obesiti merupakan salah satu masalah kesihatan yang sering dihadapi oleh masyarakat kini. Menurut statisik daripada Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019, sebanyak 50.1% dalam kalangan orang dewasa mempunyai masalah berat badan berlebihan atau obes.

Statistik tersebut menunjukkan bahawa tahap obesiti masyarakat negara ini berada pada tahap yang membimbangkan.

Antara kaedah yang sering dicadangkan oleh pakar kesihatan untuk menurunkan berat badan adalah dengan bersenam, mengamalkan pemakanan yang sihat, pengambilan suplemen terkawal. Namun begitu, pembedahan bariatrik adalah pilihan terakhir bagi mereka yang mahu menurunkan berat badan dengan serius.

Apakah pembedahan bariatrik?

Pembedahan ini merujuk kepada pembedahan yang membantu seseorang menurunkan berat badan dengan melakukan perubahan terhadap sistem pencernaannya samada dengan mengurangkan kapasiti perut atau memintas sebahagian daripada usus kecil.

Namun begitu, anda perlu berunding dengan pakar perubatan untuk mengetahui keadaan kesihatan anda dan adakah anda selamat untuk menjalaninya.

Siapa yang boleh menjalani pembedahan bariatrik?

Menurut Pakar Perubatan dan Endokrinologi, Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HUKM), Profesor Madya Dr Norlaila Mustafa, seseorang itu layak untuk menjalani pembedahan bariatrik jika Indeks Jisim Tubuh (BMI) mereka adalah 40 dan lebih. Mereka yang mempunyai satu atau lebih komorbiditi berkaitan obesiti dengan BMI 35  atau lebih juga layak menjalani prosedur ini.

“Pesakit yang menjalani pembedahan bariatrik didapati hidup lebih lama daripada orang dewasa yang mengalami obesiti teruk, kurang mendapat serangan jantung dan strok, risiko lebih rendah mendapat kanser tertentu dan kurang menghidap diabetes jenis 2, hipertensi, apnea tidur dan penyakit jantung,” – Pakar Perubatan dan Endokrinologi, Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HUKM), Profesor Madya Dr Norlaila Mustafa

Kadar keberkesanan selepas pembedahan ini banyak bergantung kepada disiplin pesakit untuk mengekalkan gaya hidup sihat.

Menurut Pakar Perunding Pembedahan dan Bariatrik, Dr Mustafa Mohammed Taher, pesakit mampu menurunkan kira-kira satu pertiga daripada berat badan mereka pada tahun pertama selepas pembedahan dan mengekalkan berat badan itu dalam jangka masa panjang.

Sebelum pesakit membuat keputusan untuk menjalani pembedahan ini, mereka perlu memastikan bahawa syarat kesihatan berikut dimiliki oleh mereka. Antaranya adalah:

  • Mempunyai BMI 40 atau lebih.
  • Mempunyai BMI antara 35 hingga 39.9 bersama risiko kesihatan seperti diabetes jenis 2, tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan apnea tidur.
  • Kadangkala mungkin juga dijalankan bagi BMI 30 jika berisiko tinggi.
  • Pembedahan bukan bertujuan kecantikan atau kosmetik seperti pembedahan sedut lemak sebaliknya untuk mengurangkan risiko kesihatan.
  • Ia hanya boleh dilakukan selepas usaha melalui perubahan gaya hidup gagal.

Jenis-jenis pembedahan Bariatrik

Menurut Bahagian Obesiti dan Pembedahan Bariatrik, Hospital Gleanegles Pulau Pinang, pembedahan bariatrik terbahagi kepada tiga jenis:

1. Gastrektomi Lengan Laparoskopik

Prosedur pembedahan ini melibatkan 70% daripada bahagian abdomen atau perut dibuang dan meninggalkan perut yang kelihatan seperti tiub dan berbentuk buah pisang. Dengan kaedah mengecilkan saiz perut anda, ia boleh mengurangkan jumlah makanan yang diambil pesakit. Secara tidak langsung menyebabkan perubahan hormon tubuh yang membantu untuk mengurangkan berat badan.

2. Pintasan Gastrik Roux-en-Y Laparoskopik

Melalui prosedur ini, kantung perut yang bersaiz kecil dihasilkan dan sebahagian daripada usus kecil akan dipintas. Bahagian perut yang lain masih berfungsi dan bersambung dengan usus. Pesakit akan mengalami perubahan hormon yang mampu mengawal paras gula di dalam darah bagi pesakit diabetes selain menambah baik tahap metabolisma.

3.  Prosedur belon intragastrik

Prosedur ini melibatkan memasukkan belon intragastrik iaitu alat untuk mengurangkan berat badan yang boleh mengembung yang diletakkan di dalam perut pesakit buat sementara waktu. Alat ini dimasukkan melalui prosedur endoskopi (mulut). Ia akan mengurangkan kapasiti perut untuk menampung makanan dalam kuantiti yang banyak dan memberikan tempoh rasa kenyang yang lebih lama.

Senarai hospital dan klinik yang menawarkan pembedahan bariatrik

Terdapat beberapa hospital dan klinik di negara ini yang menawarkan pembedahan bariatrik. Antaranya:

  • Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HUKM), Kuala Lumpur
  • Hospital Gleanegles, Pulau Pinang
  • Hospital KPJ Ampang Puteri, Ampang, Selangor
  • Klinik Andrea Bariatric Surgery, Petaling Jaya
  • Hospital Gleanegles Medini, Johor Bahru
  • Sunway Medical Centre, Petaling Jaya
  • Prince Court Medical Centre, Kuala Lumpur
  • iHeal Medical Centre, Kuala Lumpur

Kos pembedahan

Kos pembedahan adalah bergantung kepada hospital atau klinik yang anda pilih untuk menjalaninya. Ia dianggarkan bermula sekitar RM25,000 hingga RM35,000. Berikut merupakan perbandingan jenis pembedahan dan kos yang terlibat:

Gastrektomi Lengan LaparoskopikPintasan Gastrik Roux-en-Y Laparoskopik Belon intragastrik
Tempoh Pembedahan30 minit hingga 1 jam1.5 jam hingga 3 jam30 minit (bukan pembedahan)
Tempoh Menetap di Hospital2-3 hari2-3 hari3 jam
Boleh dikeluarkan semula?YaTidakYa
Boleh dibaiki?YaTidakYa
Objek asing dimasukkan?TidakTidakYa
Perut perlu dibedah?YaYaEndoskopik (melalui mulut)
Tempoh pulih2-3 minggu2-3 minggu2-3 minggu
Komplikasi jangka pendekRendahRendahSangat rendah
Komplikasi jangka panjangRendahRendahTidak diketahui
KeberkesananSangat baikCemerlangTidak diketahui
Kos (bermula daripada)*RM26,000RM30,000RM11,000

Sumber: Laman Web Bariatrik Malaysia 

Risiko

Di sini kita akan melihat risiko apabila anda melakukan pembedahan Gastrektomi Lengan Laparoskopik. Risiko untuk menghadapi komplikasi yang serius selepas pembedahan adalah sekitar 5%-10% sahaja. Peratusan ini adalah rendah jika dibandingkan dengan pembedahan perubatan yang lain. Pembedahan ini bersifat terkawal namun terdapat beberapa risiko yang boleh terjadi selepas prosedur antaranya:

  • Bahagian perut yang dijahit boleh bocor dan boleh mengakibatkan jangkitan kuman
  • Melalui suntikan anestesia, pesakit berisiko untuk mendapat darah beku atau komplikasi yang lain
  • Perut ‘baru’ anda boleh meregang
  • Risiko mendapat batu karang

Kesimpulan

Pembedahan bariatrik tidak seharusnya dilihat sebagai jalan pintas untuk mengurangkan berat badan setelah inisiatif lain tidak berhasil. Namun, ia adalah inisiatif untuk pesakit menjaga kesihatan diri dan perlu diikuti dengan pemakanan sihat dan aktiviti fizikal untuk mengekalkan berat badan yang sihat. Pesakit perlu berbincang dengan doktor tentang prosedur pembedahan dan memahami setiap risiko yang mungkin berlaku selepas ia selesai.

Apakah pendapat anda tentang pembedahan ini? Adakah ia perlu untuk mengatasi masalah obesiti?

You May Also Like