Palantir? GameStop? r/wallstreetbets? Apa perkara baru yang boleh anda pelajari dalam dunia pelaburan. (Original article in English)

Tentunya anda sudah pun mendengar apa yang telah terjadi dalam saga GameStop pada Januari lepas di mana sekumpulan pelabur individu berhadapan dengan pelabur professional dalam bentuk hedge fund. Kesudahannya berpihak kepada pelabur Redditors ini.

Namun, sementara kes ini dibincangkan dalam Kongres, suatu bentuk pergerakan baru dapat diperhatikan dalam forum Reddit ini dalam bentuk saham Palantir Technologies (Palantir).

Ini melambangkan evolusi pengaruh wallstreetbets di mana rangkaian media berpengaruh semakin memberi perhatian kepada perkembangan dalam golongan redditors ini.

Memandangkan perubahan landskap pelaburan yang terjadi kini, apakah yang anda boleh pelajari daripada golongan Redditors ini? Baca di bawah untuk maklumat lebih lanjut!

Kes GameStop telah pun ditulis sebelum ini. Secara ringkasnya, ia melibatkan posisi berlainan yang diambil antara pelabur individu biasa dan salah satu syarikat pelaburan berpengaruh. Hedge fund ini berpendapat bahawa harga GameStop akan jatuh (“short position“) manakala pelabur individu dalam bentuk forum Reddit berpendapat bahawa harga akan naik dan hedge fund ini mengambil risiko yang berlebihan.

Hedge fund berpengaruh ini dipaksa tutup kedai kerana kumpulan pelabur individu kekal dalam status membeli dan secara langsung menaikkan harga saham GameStop. Harga naik daripada hanya $20 kepada $347 pada 2 Januari 2021. Kerugian yang ditanggung hedge fund dijangka pada jumlah $$19 bilion dan membuatkan mereka keluar daripada saham ini.

Cerita ini boleh dikaitkan dengan Daud vs Gergasi kerana pelabur biasa sentiasa beranggapan bahawa sistem masa kini lebih berpihak kepada syarikat besar di Wall Street dan bukannnya orang biasa seperti mereka. Sebenarnya, ada benar sentimen ini kerana broker kegunaan ramai, Robinhood, telah menghalang pelabur biasa daripada membeli saham GameStop semasa kes ini berlaku. Langkah Robinhood ini dianggap untuk menolong pelabur besar di Wall Street untuk memanipulasikan saham GameStop.

Langkah ini jugalah yang membuatkan Robinhood menerima lebih 90 saman atas keputusan yang dibuat dalam menghalang pembelian saham GameStop.

Apa Pula Yang Terjadi Kepada Palantir?

Palantir kini menjadi nama yang sering disebut di forum Reddit wallstreetbets. Diambil nama daripada francais Lord of the Rings, Palantir menjadi saham sebutan paling popular di forum Reddit, malah melebihi GameStop. Perbezaan paling besar kini adalah tiada “short position” yang besar dalam saham ini.

Selepas suku keempaat 2020 yang mengecewakan, kebanyakan pelabur telah pun menjual saham ini yang mungkin menyebabkan forum Reddit mula mengambil perhatian. Peter Thiel, salah seorang pengasas Palantir, merupakan salah seorang daripada “Paypal Mafia” bersama-sama dengan Elon Musk dan orang lain yang berpengaruh:

  • Max Levchin (CEO Affirm)
  • David O. Sacks (Co-founder Craft Ventures)
  • Roelof Botha (Partner at Sequoia Capital)
  • Steve Chen (Co-Founder of Youtube)
  • Reid Hoffman (Co-Founder of LinkedIn)
  • Ken Howery (Co-Founder of Founders Fund)
  • Chad Hurley (Co-Founder of Youtube)
  • Eric M. Jackson (Co-Founder of CapLinked)
  • Jawed Karim (Co-Founder of Youtube)
  • Jared Kopf (Founder of AdRoll)
  • Joe Lonsdale (Co-Founder of Palantir)
  • Dave McClure (Founding partner of 500 Startups)
  • Luke Nosek (Managing Partner of Gigafund)
  • Keith Rabois (Partner of Founders Fund)
  • Premal Shah (Co-Founder of Kiva)
  • Russell Simmons (Co-Founder of Yelp)
  • Jeremy Stoppelman (Co-Founder of Yelp)
  • Yishan Wong (Former CEO of Reddit)

Populariti terhadap Palantir kini telah membuka perbincangan dalam hubungan pelabur individu dan media sosial dalam mempengaruhi keadaan pasaran semasa. Sudah tentu akan ada benda baru yang anda boleh pelajari dalam hal GameStop dan Palantir dalam membuat keputusan pelaburan anda.

#1: Pelaburan Mampu “Lari” Daripada Kenyataan Asas Buat Tempoh Masa Yang Panjang

Ini adalah salah satu nasihat pelaburan paling penting yang patut anda pelajari dalam membuat pelaburan. Ada baik dan buruknya. Persepsi dan emosi para pelabur dalam pasaran memainkan peranan yang semakin penting kerana lebih ramai orang terlibat dalam pasaran.

Sementara asas yang baik dan kajian yang terperinci diperlukan dalam membuat keputusan, sentimen pasaran jualah yang akan menentukan ke mana harga akan bergerak. Anda boleh yakin dengan analisis anda tetapi jika pasaran tidak berasakan begitu, anda tidak akan pergi jauh. Ingat. Walaupun kita semua mahukan pasaran bertindak rasional, manusia yang menjadi tunjang pasaran tidak bersifat rasional dan tidak sempurna.

Apa yang patut anda pelajari daripada semua ini adalah buat kajian anda sendiri tetapi jangan melawan arus pasaran jika anda seorang pelabur individu. Jangan buat ego anda mengaburi keputusan anda. Ramai yang beranggapan dana berpengaruh dan institusi lebih tahu berkenaan pelaburan. Kes GameStop ini telah membuktikan bahawa tidak semua kata-kata institusi kewangan itu benar.

Realitinya, ia menunjukkan bahawa pasaran boleh mempunyai bias dan prejudisnya yang tersendiri terhadap pelabur individu.

#2: Prejudis Pasaran

Majoriti daripada kalangan anda adalah pelabur individu. Ini bermakna anda mempunyai wang yang terhad dan tidak seperti pemain besar dalam pasaran. Jadi, anda tidak dapat mempengaruhi harga seperti mereka dan kebanyakan pergerakan harga dalam pasaran dipengaruhi oleh pemain besar ini.

Asasnya, ini membawa prejudis terhadap pelabur biasa seperti anda. Institusi besar seperti unit trusthedge fund, bank dan lain-lain mempunyai lebih banyak wang, tenaga kerja untuk kajian dan pengaruh untuk mempengaruhi pergerakan pasaran.

Dengan melabur dalam saham GameStop, pelabur-pelabur individu ini telah melawan arus di samping mengura-urakan sentimen tidak percaya kepada “pakar pelaburan”. Halangan daripada broker saham Robinhood menyemarakkan lagi sentimen ini yang kerajaan dan institusi tidak berpihak kepada rakyat biasa.

Sentimen tidak percaya ini datang daripada Krisis Ekonomi 2008 di mana kerajaan di seluruh dunia menolong institusi kewangan ini setelah mereka mengambil risiko berlebihan dalam portfolio pelaburan mereka. Ramai rakyat biasa kehilangan kerja manakala syarikat besar ini diselamatkan.

Tambahan pula, kebanyakan kes pelaburan menggunakan “orang dalam” dibuat oleh dana yang berpengaruh di mana mereka memanipulasikan pasaran untuk keuntungan sendiri. Dalam pasaran saham, keuntungan seseorang bermakna orang lain pula rugi, di mana yang rugi itu kemungkinan besar adalah anda.

Anda perlu sedar bahawa anda sebagai pelabur individu mempunyai kelemahan tersendiri dan anda tidak mempunyai kuasa untuk mengawal bagaimana pelaburan anda akan memberi anda keuntungan. Jika anda tidak mempunyai masa atau ilmu untuk melabur sendiri, letakkan wang anda dalam pelaburan pasif sahaja yang lebih selamat. Jangan lawan pemain besar ini jika anda tidak mempunyai kemahiran dan tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam.

Ingat. Jangan biarkan ego anda menghalang anda dari membuat keputusan. Pilih pertarungan yang anda boleh menang.

#3: Jangan Asyik Nak Ikut Apa Orang Lain Buat

FOMO – “Fear of Missing Out”. Sementara kes GameStop mengajar kita bahawa semut boleh berhadapan dengan gajah, ini tidak bermakna ia akan kekal begitu.

Saham GameStop jatuh daripada harga tertinggi $347 kepada $194 keesokkan harinya. Sesiapa yang membeli di harga tertinggi telah rugi hampir separuh wang dalam masa hanya sehari. Mungkin anda jika anda asyik FOMO dan tidak keluar pada masanya.

Ini sepatutnya mengajar anda bahawa pelaburan memerlukan disiplin dalam membuat keputusan. Anda perlu jauhkan diri daripada saham seperti ini kerana ia lebih bersifat perjudian.

Ingat. Objektif anda adalah membuat duit tambahan melalui pelaburan bukan berjudi. Acap kali anda akan mempunyai mentaliti “kalau lah aku masuk” dan asyik mengira berapa banyak untung fantasi anda tanpa mengambil kira risiko yang anda hadapi. Undang-undang dunia sudah menetapkan bahawa pulangan yang tinggi bermakna risiko yang tinggi. Pasaran amatlah kejam jika anda berada dalam kerugian.

Anda boleh sertai parti FOMO ini tetapi anda perlu faham yang anda mengambil lebih banyak risiko daripada biasa dan anda perlu bertanggungjawab atas apa-apa kerugian.

#4: Pelaburan Sosial Semakin Popular

Kes lepas berkaitan GameStop dan kini Palantir bermakna bahawa terdapatnya pengaruh baru dalam pasaran. Media sosial. Ini mungkin kes pertama yang direkodkan dengan jelas di mana sentimen pelabur individu mempengaruhi harga saham menggunakan media sosial sehinggakan pengaruh pelabur biasa melebihi pengaruh institusi kewangan.

Walaupun institusi kewangan yang besar ini akan kekal mendominasi pasaran, media sosial telah memberikan gambaran bahawa terdapatnya aktiviti “mencurigakan” dan pengaruh kerajaan dalam pasaran saham. Pengalaman seperti ini memberi lebih banyak sebab mengapa rakyat biasa lebih tidak percaya dengan “pakar” tetapi juga memberi kelebihan dari segi pasaran kini lebih bersifat terbuka kepada semua orang.

Ini menunjukkan bahawa risiko berlebihan yang diambil institusi besar ini tidak dapat disembunyikan dan boleh dimanipulasikan supaya memanfaatkan pelabur biasa. Kini, ada platform yang membolehkan perbincangan terbuka mengenai pasaran diadakan dan mengurangkan dominasi pemain besar.

Rumusan

Pengalaman daripada kes GameStop dan Palantir memberi kesan yang besar kepada pelabur individu dalam pasaran. Ada perkara baru yang boleh anda ambil daripada pengalaman dan kes seperti ini. Ia menunjukkan sebenarnya bagaimana pasaran berfungsi dan ia bukan semua asas perniagaan tetapi juga faktor manusia seperti persepsi dan emosi. Perkara kedua yang boleh dipelajari adalah terdapatnya prejudis dan bias terhadap pelabur individu oleh institusi kewangan dan pilih pertarungan anda dengan betul. Ketiga, pastikan anda tidak hilang semuanya hanya untuk mengejar saham “panas” dalam pasaran dan akhir sekali, media sosial kini adalah platform dan saluran yang semakin mendapat perhatian dalam pengaruh terhadap pasaran saham.

 

Apa lagi perkara baru yang anda telah pelajari tentang saham GameStop dan Palantir baru-baru ini? Kongsi bersama kami dan komen di bawah!

 

You May Also Like