Berikut adalah 6 soalan yang selalu ditanya berkenaan cukai pendapatan individu melalui sistem eFiling untuk yang pertama kali membayar cukai. (Original article in English)

#1. Apakah Definisi “Cukai Pendapatan”?

Anda perlu membayar cukai pendapatan untuk semua jenis pendapatan anda termasuklah dari perniagaan atau kerja, dividen, faedah, diskaun, sewa, royalti, premium, pencen, bayaran berkala (anuiti), dan lain-lain lagi.

Untuk yang bergaji, ini termasuk gaji bulanan anda dan juga bonus, komisen, overtime, dan sumber lain yang boleh dikenakan cukai untuk tahun berikut.

#2. Siapa yang Wajib Bayar Cukai Pendapatan?

Sesiapa yang memperoleh lebih daripada RM 34,000 setiap tahun (atau 2,833 setiap bulan) selepas caruman KWSP wajib mendaftar untuk fail cukai.

Anda tidak perlu membayar cukai di Malaysia jika anda bekerja di Malaysia kurang daripada 60 hari atau untuk pendapatan yang diperoleh di luar Malaysia.

Anda disarankan untuk menfailkan cukai anda walaupun anda menerima gaji atau pendapatan kurang daripada jumlah tersebut untuk memastikan rekod kredit anda bersih.

Memahami Kadar Cukai dan Pendapatan yang Dikenakan Cukai (“Chargeable Income“)

Berikut adalah kadar cukai pendapatan untuk individu di Malaysia bagi tahun 2020:

Contoh

Pendapatan anda yang boleh dikenakan cukai adalah RM 48 000. Mengikut jumlah ini dan kadar cukai di atas, cukai pendapatan individu yang perlu dibayar kepada kerajaan Malaysia adalah sebanyak RM 1 640 (kadar 8%). Namun, jika anda membuat tuntutan pengurangan cukai dan pelepasan cukai sebanyak RM 13 500, pendapatan anda yang boleh dikenakan cukai dapat ditolak. Ini akan menunjukkan jumlah pendapatan boleh cukai kepada RM 34 500 berbanding RM 48 000 sebelum tuntutan dan pelepasan.

Jadi, kadar faedah yang akan dikenakan kepada anda adalah 3% berbanding 8%. Jumlah cukai yang perlu dibayar sekarang adalah RM 585. Wow! Pengurangan cukai sebanyak RM 1055!

Nota penting: Pendapatan yang boleh dikenakan cukai anda diambil selepas pendapatan anda ditolak dengan tuntutan cukai dan pelepasan cukai. Penting untuk anda hadam perkara ini kerana kadar cukai anda akan meningkat berdasarkan kenaikan pendapatan anda.

Makin banyak tuntutan dan pelepasan cukai anda, makin kurang kadar dan jumlah akhir cukai anda!

#3. Bilakah Masa Terakhir untuk Hantar (Daftar) Secara Online Untuk Borang Cukai Individu Ini?

  • Untuk borang BE (individu yang tidak menjalankan apa-apa perniagaan), tarikh akhir adalah 30 April untuk sistem e-Filing.
  • Untuk borang B (individu yang menjalankan perniagaan), tarikh akhir selalunya adalah 30 Jun untuk sistem e-Filing.

 

  • Nota penting: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kenyataan rasmi mengumumkan bahawa mereka tidak akan lagi menerima bayaran cukai pendapatan menggunakan cek melalui kiriman mel atau kurier bermula 1 Januari 2021 sebagai langkah meningkatkan penggunaan medium bayaran dalam talian. Anda boleh failkan cukai melalui ezHASiL di laman web LH.

#4. Cara Untuk Isi Borang Cukai Pendapatan Individu – Borang Apa yang Perlu Diisi?

Langkah 1: Daftar sebagai pembayar cukai kali pertama di LHDN e-Daftar.

Sebelum anda fail cukai anda dalam talian, anda perlu daftar masuk ke dalam sistem ezHASiL. Untuk berbuat demikian, anda perlu;

  1. Daftar di e-Daftar untuk dapatkan nombor cukai pendapatan.
  2. Dapatkan nombor PIN daripada cawangan LHDN berdekatan untuk tujuan pendaftaran masuk ke dalam ezHASiL buat pengguna pertama kali.

Langkah 2: Log masuk ke ezHASiL dan akses sistem eFiling.

Selepas anda berjaya log masuk ke ezHASiL, klik butang e-Filing.

Langkah 3. Pilih Borang Pulangan Cukai Pendapatan, atau Income Tax Return Form (ITRF).

Berikut adalah contoh beberapa jenis ETRF mengikut kategori anda. Pilih borang yang sesuai untuk anda. Contohnya, jika anda pekerja syarikat, pilih borang e-BE.

Setelah anda dapat mengakses borang anda, isi semua maklumat yang bertanda. Anda mampu menukar bahasa sama ada Bahasa Inggeris atau Bahasa Melayu mengikut keselesaan. Imej yang dipaparkan di bawah adalah contoh bagaimana borang BE diisi untuk individu tanpa perniagaan.

Langkah 4: Maklumat Individu

Dalam seksyen ini, semak sama ada maklumat individu dipaparkan dengan betul dalam borang ini. Berikut adalah beberapa perkara yang perlu diambil kira:

  • Jenis penfailan – sama ada anda membuat failan secara individu atau bersama-sama pasangan.
  • Insentif di bawah seksyen 127 merujuk kepada Akta Cukai Pendapatan 1976. Ia hanya tertakluk kepada individu yang mempunyai insentif boleh tuntut seperti gazet kerajaan atau dengan surat kebenaran daripada kementerian.
  • TAC adalah kod SMS yang diperlukan untuk mendaftar dan menghantar e-borang anda. Kod ini akan dihantar kepada nombor telefon yang didaftarkan pada LHDN.
  • Pulangan cukai, jika ada, akan dikreditkan ke dalam nombor bank akaun yang didaftarkan.
  • Pelupusan aset di bawah Akta Cukai Hartanah 1976 – hanya tertakluk kepada individu yang menjual apa-apa hartanah tahun lepas.

Langkah 5: Mengisi Borang Cukai Pendapatan – Nyatakan Pendapatan Anda

Di bawah statutory income, isi semua pendapatan yang anda perolehi daripada gaji, sewa dan sumber lain di ruang yang disediakan. Ini adalah apa kandungan borang EA (disediakan oleh majikan anda) dinyatakan sebagai pendapatan tahunan anda. Namun, ada juga sebab untuk tidak menerima jumlah dalam borang EA ini bulat-bulat sebagai jumlah akhir statutory income anda kerana ada faedah atau manfaat lain yang disediakan majikan seperti pengangkutan, tempat tinggal dan sebagainya.

Setelah anda nyatakan semua pendapatan anda, borang ini akan secara automatik menunjukkan aggregate income anda.

Langkah 6: Mengisi Borang Cukai Pendapatan – Rebat dan Pelepasan Cukai

Langkah berikut adalah pernyataan pengurangan cukai yang anda layak untuk dapat supaya anda boleh kurangkan jumlah aggregate income.

Di bawah seksyen ini, anda perlu meletakkan jumlah potongan cukai bulanan (PCB), atau monthly tax deduction, mengikut tahun semakan anda. PCB adalah mekanisme wajib di mana majikan membuat tolakan cukai secara automatik daripada gaji pekerja. Anda boleh lihat jumlah ini di borang EA (daripada majikan anda).

Senarai penuh pengurangan dan pelepasan cukai yang anda boleh tuntut boleh didapati di laman web LHDN.

Untuk pembayar cukai beragama Islam, anda boleh menuntut rebat cukai melalui pembayaran zakat setelah pelepasan cukai dah dituntut dan pendapatan boleh cukai anda sudah ditentukan. Zakat boleh dituntut sebagai rebat cukai sehingga jumlah sebenar zakat tersebut.

Sebagai contoh; jika pendapatan gaji anda adalah RM 50,000 setahun dan anda sudah menuntut RM 15,000 dalam pelepasan cukai, pendapatan boleh cukai anda adalah Rm 35,000. Jumlah cukai anda adalah RM 600. Jika anda telah membayar zakat sebanyak RM 400 tahun lepas, anda boleh menolak seluruh jumlah tersebut daripada cukai yang bermakna;

RM 600 (jumlah cukai) – RM 400 (zakat) = RM 200 (jumlah akhir cukai yang perlu dibayar).

Langkah 7: Mengisi Borang Cukai Pendapatan – Rumusan

Di laman ini, anda akan lihat jumlah cukai akhir anda. Anda mempunyai dua senario iaitu jumlah ini positif atau negatif.

Jangan risau jika jumlah akhir anda ini adalah negatif kerana ianya berdasarkan potongan cukai bulanan. Anda akan dapat pulangan cukai daripada LHDN.

Laman ini membolehkan anda membuat semakan semula atas segala maklumat yang telah diisi. Anda berpeluang mengubah apa-apa maklumat. Jika semua maklumat adalah tepat, klik “Continue”.

Di laman Declaration, pohon kod TAC melalui SMS daripada nombor telefon yang telah didaftarkan. Masukkan nombor ini ke dalam ruang TAC. Sekarang, klik butang “Sign and Submit”, masukkan nombor pengenalan anda dan kata kunci. Kemudian, klik butang “Sign”.

Anda telah berjaya menfailkan cukai pendapatan anda untuk tahun semakan!

PERINGATAN: Sebelum anda keluar dari laman web ini, pastikan anda simpan dan cetak semua kenyataan dan borang e-BE untuk tujuan penyimpanan rekod. Semua pembayar cukai diwajibkan menyimpan rekod cukai untuk sekurang-kurangnya 7 tahun. Semakan rawak daripada pihak LHDN mungkin akan memerlukan anda untuk membincangkan kembali kenyataan cukai tahun-tahun sebelum.

#5. Bolehkah Saya Mengubah Maklumat Borang Cukai yang Telah Dihantar?

Setelah anda menghantar penfailan borang cukai anda, anda tidak boleh membuat apa-apa perubahan secara dalam talian. Pengeculian hanya untuk penfailan borang BE yang menyatakan pembayaran cukai berlebihan. Jika anda ingin membuat perubahan kepada kenyataan cukai anda, anda perlu hantar rayuan untuk pertukaran dan ianya perlu dilakukan sebelum tarikh akhir penfailan cukai untuk mengelakkan denda.

#6. Selepas Hantar Fail, Bagaimana Pula Proses Untuk Bayar Cukai Pendapatan?

Setelah anda menfailkan cukai dan tentukan jumlah akhir cukai, anda akan dapati bahawa anda akan berada dalam salah satu daripada dua senario berbeza;

  • Anda dapati bahawa jumlah akhir cukai pendapatan anda ketika proses penfailan lebih sedikit berbanding apa yang ditolak daripada potongan cukai bulanan disebabkan pelepasan cukai. Jadi, anda akan memperoleh pulangan cukai daripada LHDN yang akan dikredit ke dalam bank akaun anda (di Langkah 3) dalam tempoh masa 30 hari selepas penghantaran fail.
  • Jika jumlah akhir cukai pendapatan anda ketika proses penfailan lebih banyak berbanding apa yang ditolak daripada potongan cukai bulanan, anda perlu bayar jumlah perbezaan ini kepada LHDN sebelum 30 April 2021. Disertakan adalah cara bagaimana proses pembayaran kepada LHDN dapat dibuat.

Peringatan Penting

Jika anda lambat membayar cukai, anda akan dikenakan denda sebanyak 10% daripada jumlah cukai tidak dibayar selepas 30 April 2021 (borang BE) atau 30 Jun 2021 (borang B). Jika masih tidak dibayar dalam tempoh 60 hari, denda tambahan sebanyak 5% akan dikenakan.

 

Adakah anda mempunyai apa-apa pertanyaan berkenaan cukai pendapatan individu? Ajukan soalan anda di bawah dan kongsi pendapat atau tips anda bersama kami. 

 

You May Also Like