Berasa tertekan, gusar dan bimbang semasa pandemik Covid-19? Anda mungkin merasakan bahawa tiada cahaya di penghujung jalan tetapi harapan sentiasa ada. (Original article in English)

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid-19 di Malaysia telah menyebabkan perubahan yang mendadak terhadap kehidupan harian yang mampu menimbulkan pelbagai perasaan negatif seperti  kecewa, tidak berdaya, gusar, bimbang dan juga tekanan perasaan.

Selain daripada gangguan dan sekatan akibat MCO, keperluan untuk penjarakan sosial boleh memberikan kesan yang mendalam terhadap diri kita. Dalam satu kajian yang diterbitkan di The Lancet mengenalpasti bahawa kuarantin mempunyai kaitan dengan simptom Gangguan Stres Pasca Trauma (PTSD), kecelaruan dan perasaan marah dengan kajian lain yang menyatakan bahawa kesannya adalah berterusan.

Dengan kesan menjalani kehidupan di dalam situasi pandemik adalah berlainan bagi setiap orang, cara yang paling baik untuk mengawal kesihatan mental adalah dengan kesedaran yang tinggi. Kesedaran bahawa kesihatan mental akan mengalami impak yang besar. Kenal pasti tanda-tandanya dan ketahui langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengawal keadaanya sebelum terjerumus kepada tekanan perasaan yang lebih teruk.

Antara tanda-tanda yang perlu diteliti adalah:

  • Perasaan takut dan resah yang melampau (misalnya tentang kesihatan, keselamatan keluarga, pendapatan)
  • Perubahan dalam wakta tidur dan corak pemakanan
  • Masalah kesihatan yang semakin kronik
  • Peningkatan penggunaan alkohol, tembakau atau bahan lain yang memudaratkan

Kini, anda sudah memahami apakah tanda-tandanya dan bagaimana anda mahu menjaga kesihatan mental anda? Mari melihat beberapa kaedah mudah yang boleh dipraktikkan oleh anda.

#1. Ambil masa untuk memahami perasaan anda

Elakkan menghukum dan berasa malu dengan perasaan anda.

Tanya diri sendiri: Apa yang saya rasa tentang situasi sekarang? Bagaimana ia mempengaruhi tindakan dan kelakuan?

Sedar bahawa ia adalah normal untuk berasa sedih, tertekan, gagal, sunyi atau bersalah.

Tulis apa yang anda rasa dan mengapa anda berfikiran sedemikian. Lihat semula senarai tersebut dengan minda yang lapang dan kenal pasti adakah ia di luar kawalan? Jika ia masih terkawal, senaraikan langkah-langkah yang boleh diambil untuk menghadapinya. Luahkan perasaan yang terpendam dan berbincang dengan individu yang anda percaya, yang boleh memberikan nasihat dan memastikan anda berada di laluan yang betul atau mampu mencadangkan tindakan yang lain

#2. Kekalkan rutin harian anda

Walaupun virus Covid-19 telah mengubah bagaimana cara untuk kita hidup, tetapi tidak bermakna kesemuanya harus berubah.

Kekalkan rutin harian dengan memastikan struktur yang sama masih dilakukan sebelum kuarantin. Jika bekerja dari rumah adalah asing untuk kamu, mulakan hari seolah-olah anda akan memulakan perjalanan ke pejabat. Kenakan pakaian pejabat dan minum kopi atau teh (jika ia membantu) untuk membantu anda lebih fokus dengan kerja.

Semasa tempoh perubahan, mempunyai rutin tidak asing di dalam kehidupan harian membolehkan hidup lebih mudah untuk dilalui. Satu kajian juga mendapati bahawa tubuh badan kita boleh berfungsi dengan lebih baik jika mempunyai rutin tidur, makan dan bersenam yang teratur.

#3. Tumpukan hanya kepada perkara yang boleh dikawal

Dengan begitu banyak ketidaktentuan pada masa ini, amat penting untuk anda sedar bahawa banyak perkara yang berada di luar kawalan diri kita. Perkara yang penting adalah ada perlu memberi fokus terhadap masa sekarang untuk memastikan diri sendiri dan orang tersayang selamat.

Ini bermakna:

  • Basuh tangan dengan kerap (gunakan cecair sanitasi dengan alkohol jika anda tiada akses kepada sabun dan air)
  • Tutup mulut ketika batuk dan tutup hidung (dengan tisu) semasa bersin
  •  Elakkan menyentuh muka selalu jika boleh
  • Elakkan pergi bercuti jika tidak penting
  • Pastikan anda mempunyai diet yang lebih sihat, bersenam dan mendapat jumlah tidur yang cukup

#4. Terima ketidakpastian dan fokus perkara yang positif

Elakkan obses dengan, apakah yang akan berlaku kemudian? adakah bekalan makanan mencukupi? berapa lama lagi kita akan terkurung di kediaman masing-masing? bilakah pandemik ini akan berakhir?

Lahirkan rasa syukur terhadap perkara yang anda masih miliki, tempat untuk berteduh, makanan yang mencukupi, insan tersayang atau hadiahkan diri sendiri dengan makanan kegemaran atau barangan yang memberikan kepuasan diri? Anda juga boleh menggunakan peluang ini untuk membantu orang lain seperti menderma kepada golongan yang memerlukan.

#5. Sentiasa berhubung dengan orang lain

Jangan asingkan diri. Menurut kajian, kesunyian yang melampau boleh memberikan kesan negatif terhadap kesihatan sama seperti menghisap 15 batang rokok sehari!

Sentiasa berhubung dengan rakan-rakan, keluarga, jiran dan juga rakan sekerja. Lakukannya menerusi panggilan telefon, panggilan video, mesej, emel dan apa sahaja komunikasi secara digital. Tanya khabar antara satu sama lain.

Sebagai manusia, kita bergantung kepada hubungan sosial. Hubungan antara manusia membantu untuk menangani stres dan melindungi diri daripada tabiat yang tidak baik seperti makan berlebihan dan merokok.

#6. Bersyukur dengan apa yang ada

Apabila anda bersyukur, ia akan memberikan kesan yang baik kepada kesihatan anda dan juga orang sekeliling.

Hargai mereka yang menjadi barisan hadapan dalam perjuangan menentang virus Covid-19; petugas kesihatan, penghantar makanan dan mereka yanng memperjuangkan diri bagi berkhidmat kepada masyarakat.

#7. Mengikuti perkembangan terkini dengan sumber yang sahih

Sentiasa mengikuti setiap perkembangan yang berlaku melalui sumber yang sahih seperti Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Tetapi jangan terlalu obses dengan liputan mengenai Covid-19 sehingga boleh menimbulkan keresahan anda dan orang sekeliling.

#8. Dapatkan bantuan kesihatan mental

Untuk membiasakan diri dengan penjarakan sosial, anda boleh mendapatkan bantuan profesional. Dapatkan perkhidmatan seperti TheHelpTalk yang membolehkan anda berbicara dengan pakar kesihatan mental menerusi platform elektronik.

Anda boleh juga menggunakan talian hayat seperti The Befrienders yang merupakan organisasi bukan kerajaan yang memberikan bantuan sokongan emosi pada bila-bila masa tanpa sebarang caj.

Malaysia Mental Health Association juga menyediakan sokongan melalui talian mereka di 03-2780 6803 bagi apa sahaja isu kesihatan mental dengan pakar kesihatan mental yang bertauliah. Subsidi kewangan juga tersedia bagi memastikan setiap individu boleh mendapatkan terapi dan sokongan yang diperlukan. 

Kesimpulan

Kita bukan sahaja perlu menjaga kesihatan tubuh tetapi juga kesihatan mental yang sangat penting dalam jangka masa panjang. Lakukan apa sahaja yang perlu untuk kekal sihat dan patuhi peraturan yang dikeluarkan oleh kerajaan semasa pandemik ini untuk membantu melandaikan lengkuk jangkitan bagi masa depan yang lebih cerah dan terjamin. Malaysia boleh!

Bagaimanakah cara anda mengatasi tekanan dan keresahan semasa kuarantin? Kongsi dengan kami dalam ruangan komen di bawah.

You May Also Like