Zakat adalah rukun Islam ketiga dan merupakan elemen yang penting dalam hidup setiap Muslim. Setiap orang Islam yang berkemampuan wajib membayar zakat. Mengapakah zakat penting?

Pernahkah anda muhasabah diri anda dan lihat kembali cara hidup anda? Adakah semua anda miliki cukup? Jika tidak, kenapa? Setipa insan bergelar Muslim wajib membayar zakat setelah mereka memenuhi kriteria seperti berikut:

  • Merdeka
  • Pemilikan harta penuh (harta milik sempurna tuan punya)
  • Hartanya cukup nisab (nisab: jumlah minima)
  • Hartanya cukup haul (haul: tempoh pemilikan)
  • Harta Al-Nama (harta yang berkembang atau mempunyai potensi untuk berkembang)

Apa itu Zakat

Zakat adalah tanggungjawab untuk memberikan sebahagian daripada harta kepada orang yang berhak menerima zakat. Pengiraan zakat berdasarkan tempoh pemilikan (haul) dan jumlah harta (nisab). Terdapat dua jenis zakat iaitu zakat fitrah dan zakat harta.

Berikut diterangkan 5 sebab pentingnya zakat bagi setiap orang Islam yang berkemampuan untuk agama, komuniti dan diri sendiri.

#1: Menyucikan Harta Dan Hati

Sebagai contoh, jika anda berniaga, walaupun anda cuba mengelakkan unsur riba atau gharar, mustahil untuk anda tahu bahawa setiap punca pendapatan atau pembayaran adalah daripada unsur yang halal. Mungkin salah seorang pelanggan anda adalah penjenayah.

Jadi, zakat secara langsung menyucikan harta peribadi atau perniagaan anda daripada unsur haram. Hidup anda sebagai seorang Muslim juga lebih tenang apabila tahu bahawa anda telah melaksanakan tanggungjawab ini dalam penyucian harta.

Walaupun harta secara fizikal berkurangan, kesihatan mental, kebahagiaan bersama keluarga dan hubungan antara manusia adalah rezeki yang selalu kita terlepas pandang. Apabila anda membayar zakat, rezeki juga akan bertambah.

 

#2: Mengalirkan Harta Ke Dalam Ekonomi

Dalam ekonomi, terdapat konsep pembahagian harta daripada Adam Smith yang dikenali sebagai “trickle down economics” di mana kekayaan daripada golongan kaya akan dinikmati oleh golongan bawahan dan secara langsung membuatkan ekonomi sihat dan berjalan seperti yang dijangka.

Dalam agama Islam, konsep ini telah pun diperkenalkan 1400 tahun dahulu dengan zakat. Hanya 2.5% sahaja harta akan dikenakan zakat. Namun, secara tidak langsung, ia dapat merancakkan ekonomi dan juga memberi peluang kepada golongan kurang bernasib baik hidup dengan bermaruah.

Dengan konsep zakat, golongan kaya tidak dapat mengumpul kekayaan untuk diri sendiri dan sebaliknya mengumpul kekayaan untuk diberi kepada komuniti. Jika kekayaan dikumpul oleh hanya golongan tertentu sahaja, ekonomi akan terbantut dan menyebabkan ketidakseimbangan yang ketara dalam masyarakat. 

#3: Mengimbangkan Fabrik Sosial Komuniti

Ketidakseimbangan ekonomi adalah punca mengapa struktur sosial di negara ini semakin teruk. Golongan berpendapatan tinggi di Malaysia dalam kelompok T20 mempunyai pendapatan bulanan 100% lebih banyak daripada kelompok tengah M40. Apatah pula untuk kelompok bawah iaitu B40.

Memang realiti dunia ada yang kaya dan ada yang miskin. Zakat sedikit sebanyak mengubati kesengsaraan dan membuatkan kita semua sedar bahawa walaupun kita bersusah-susah untuk menghadapi liku kehidupan seharian, ada yang lebih kurang bernasib baik berbanding kita.

Oleh itu, zakat dikategorikan sebagai wajib dan diasingkan daripada sedekah. Ia bertujuan untuk mengurangkan kesusahan hidup orang lain yang lebih perlukan perolehan tersebut daripada kita. Sedikit sebanyak ia dapat mengingatkan kita tentang realiti hidup dan bagaimana kita mempunyai tanggungjawab kepada masyarakat.

#4: Bukti Pengorbanan Untuk Agama

Zakat adalah bukti anda percaya. Percaya adanya Tuhan. Percaya bahawa adanya akhirat. Bahawa anda percaya akan agama Islam. Oleh itulah zakat diletakkan sebagai rukun Islam ketiga untuk digelar sebagai seorang Muslim.

Pengorbanan harta melalui zakat bermakna anda melepaskan hubungan anda dengan dunia untuk keberkatan daripadaNya. Kita semua tahu bahawa wang boleh menjadikan seseorang taksub. Ada yang putus kawan akibat pergaduhan wang. Zakat membolehkan seseorang Muslim memberi harta yang dikumpulkan ini.

Anda tidak boleh mengecapi nikmat memberi selagi anda tidak memberi. Jadi, zakat adalah langkah asas dalam pemberian. Taksub dengan harta adalah perkara buruk yang boleh merosakkan hati anda. Jadi, sebagai bukti anda tidak taksub dengan harta, bayarlah zakat.

Rumusan

Anda boleh kira jumlah zakat yang perlu dibayar dengan menggunakan kalkulator MyPF. Kadar peratusan untuk zakat sama setiap tahun mengikut nisab yang ditetapkan setiap negeri masing-masing. Zakat boleh ditolak dengan jumlah cukai pendapatan yang anda perlu dibayar sebagai rebat.

Jika anda seorang beragama Islam, jalankanlah tuntutan agama dan bayar zakat setiap tahun. Zakat penting untuk menerima keberkatanNya. Secara langsung, ia dapat membantu komuniti, memperbaiki ketidakadilan kekayaan, menguatkan ekonomi negara dan paling penting, sebagai bukti anda percaya bahawa harta dunia hanyalah sementara.

Bagaimanakah cara anda membayar zakat tahun ini? Kongsi bersama kami di seksyen komen di bawah.

You May Also Like