Anda mengalami masalah dalam memilih negeri mana untuk kerja dan beli rumah? Di sini kami bentangkan analisa harga rumah dan pendapatan di setiap negeri untuk anda. (Original article in English)

Salah satu faktor utama dalam memilih negeri untuk tinggal dan bekerja bergantung kepada perbandingan gaji dengan harga rumah di kawasan berkenaan. Walaupun dengan harga rumah yang rendah pun, jika anda berpendapatan rendah, anda masih tidak mampu membeli. Lokasi dan harga berpatutan adalah dua perkara penting dalam pemilihan kerja dan rumah.

Harga berbeza mengikut negeri. Di sini, kami buat kiraan untuk anda (baca dengan lebih lanjut di bawah) dan memudahkan pilihan anda antara 13 negeri dan 3 wilayah persekutuan di Malaysia. Untuk memudahkan pemahaman anda, kami akan panggil semua kawasan ini sebagai “negeri”. 

Kami akan bentangkan 4 negeri utama untuk kerja dan tinggal, dan tambahan 3 negeri lagi yang tidak kurang hebatnya!

Sumber Data dan Algoritma

Cara kami buat analisa adalah dengan mengenal pasti senarai antara 13 negeri dan 3 wilayah persekutuan di Malaysia.

Artikel ini akan menggunakan cara jelas dalam membandingkan median pendapatan isi rumah tahunan dan median harga rumah di semua negeri di Malaysia.

Median Harga Rumah / Median Pendapatan Isi Rumah = Nisbah median ukuran

  • Nisbah bawah 3 bermakna rumah tersebut berpatutan
  • Nisbah atas 3 bermakan rumah tersebut mahal

Data untuk pendapatan isi rumah diambil daripada Jabatan Perangkaan Malaysia manakala data untuk harga rumah pula diambil daripada Pusat Maklumat Hartanah Nasional.

Memandangkan data harga rumah pada tahun 2014 tidak ada dalam rekod, angka akan diambil daripada suku tahun pertama 2015 sebagai ganti tahun 2014.

#1 Negeri Paling Berpatutan: Putrajaya

Pada 2019, median harga rumah di Putrajaya adalah RM260,000 manakala median pendapatan isi rumah tahunan adalah RM119,796. Ini bermakna Putrajaya memiliki nisbah ukuran sebanyak 2.17 sahaja dan membuatkan Putrajaya salah satu tempat paling berpatutan di Malaysia.

260,000/119,796 = 2.17

Putrajaya semakin popular sebagai pusat pemerintahan negara dan sebagai salah satu wilayah persekutuan yang teratur. Syarikat pembinaan telah berpindah ke arah pembangunan Putrajaya kerana persaingan yang sengit di Kuala Lumpur dan Selangor. Tanah di Putrajaya juga masih lagi “murah” untuk syarikat pembinaan ini.

Putrajaya semakin pesat membangun sebagai salah satu pusat aktiviti ekonomi utama dengan pendapatan isi rumah berkembang sebanyak 2.65% setiap tahun dari 2016 hingga 2019. Selain penempatan kebanyakan pekerja kerajaan, terdapat banyak juga firma teknologi di bandar berdekatan iaitu Cyberjaya yang merupakan pusat sains di Malaysia.

#2 Negeri Paling Berpatutan: Melaka

Pada tahun 2019, rumah di Melaka mempunyai median harga sebanyak RM200,000 yang membuatkan ia negeri paling murah untuk didiami selepas Kedah (RM199,100). Sementara itu, pendapatan isi rumah pula sebanyak RM72,648 setahun yang memberi nilai nisbah ukuran sebanyak 2.75.

200,000/72,648 = 2.75

Melaka adalah tempat yang dipenuhi dengan sejarah dan budaya. Ramai rakyat Malaysia menganggap Melaka sebagai salah satu tempat pelancongan domestik terbaik di Malaysia untuk meluangkan hari minggu. Tak sangka pula Melaka adalah negeri paling berpatutan untuk didiami dan tinggal.

5 tahun lepas, Melaka dinobatkan sebagai salah satu bandar yang paling tidak berpatutan dengan nilai nisbah ukuran sebanyak 3.98 pada 2014.  Situasi di negeri berkenaan semakin baik di mana pendapatan tahunan berkembang dari RM60,438 pada 2014 kepada RM72,648 pada 2019. Median harga rumah pula berkurangan daripada RM240,000 pada 2014 ke RM200,000 pada 2019.

#3 Negeri Paling Berpatutan: Negeri Sembilan

Pada tahun 2019, median harga rumah di Negeri Sembilan adalah RM206,750 manakala pendapatan isi rumah tahunan adalah RM50,060. Ini menunjukkan bahawa rumah di Negeri Sembilan tidak berpatutan kerana nisbah ukuran adalah 3.44.

206,750/50,060 = 3.44

Walaupun angka ini bermaksud ia tidak berpatutan, anda perlu lihat penambahbaikan berbanding tahun 2014 di mana nisbah ukuran adalah 5.05! Harga rumah jatuh dengan mendadak dari RM250,000 pada 2014 kepada RM206,750 pada 2019. Pendapatan isirumah pula naik dengan kadar purata 3.9% setiap tahun dari 2014 hingga 2019.

Lebih banyak orang yang menetap di Negeri Sembilan yang bekerja di Lembah Klang kerana harga rumah yang lebih murah dan jarak ke bandar yang tidak jauh terima kasih kepada pilihan jalanraya yang ada.

#4 Negeri Paling Berpatutan: Kuala Lumpur

Pada 2019, rumah di Kuala Lumpur berharga sekitar RM480,000 jauh lebih mahal daripada Selangor pada RM380,000. Namun, Kuala Lumpur juga mempunyai median pendapatan isirumah yang tinggi sebanyak RM126,588 yang membuatkan ia di paras 3.79 untuk nisbah ukuran. Ini bermakna rumah di KL sebenarnya tidak berpatutan.

480,000/126,588 = 3.79

 Berita baik untuk orang yang kerja di KL. Walaupun harga median rumah di sini merupakan yang tertinggi di Malaysia, ramai yang berhijrah ke bandar untuk peluang yang lebih baik. Ramai juga yang merungut harga rumah di sini terlalu tinggi.

Harga median rumah masih stabil di mana pada 2014, ianya di paras RM490,000 dan pendapatan isi rumah berkembang dari RM91,440 pada 2014 kepada RM126,558 pada 2019. Lama kelamaan, ini akan membuatkan harga rumah semakin “berpatutan” berbanding nisbah ukuran pada 2014 setinggi 5.36.

Ini selari denga pembangunan di KL di mana rumah semakin boleh dimiliki kerana ia mempunyai kerja yang mempunyai gaji dan pendapatan paling tinggi berbanding negeri lain di Malaysia.

Negeri Yang Tak Kurang Hebatnya: Terengganu

Tempat asal nasi dagang dan keropok lekor. Terengganu adalah satu-satunya negeri pantai timur yang berjaya masuk dalam senarai untuk negeri terbaik untuk kerja dan tinggal. Kebanyakan pekerja pendapatan tinggi di sini bekerja dalam industri minyak tetapi semakin berkembang untuk aktiviti pelancongan dengan lambakan pantai yang indah.

Median harga rumah di Terengganu diletakkan pada RM255,000 manakala pendapatan isi rumah yang diperolehi adalah RM66,540 pada tahun 2019. Jadi, nisbah ukuran adalah sebanyak 3.83.

255,000/66,540 = 3.83

Rumah di Terengganu semakin mampu milik di mana pada tahun 2014, nisbah ukuran adalah sebanyak 6.18 yang membuatkan negeri ini antara negeri paling tidak berpatutan untuk tinggal dan kerja di Malaysia.

Situasi ini dibantu dengan kejatuhan median harga rumah dari RM280,000 kepada RM255,000 dari tahun 2014 hingga 2019. Pendapatan isi rumah juga meningkat dengan kadar 8.0% setiap tahun dari 2014 hingga 2019. Jika anda inginkan pantai indah, suasana yang tenang dan pemandangan laut, inilah tempatnya.

Negeri Yang Tak Kurang Hebatnya: Kedah

Kini, kita di negeri jelapang padi Malaysia. Sedikit di bawah Terengganu untuk senarai harga rumah berpatutan dan gaji tetapi mempunyai kelebihan hampir dengan Pulau Pinang. Rumah kepada dua bekas perdana menteri kita, Tunku Abdul Rahman dan Tun Mahathir, ianya juga mempunyai kawasan pelancongang terbaik di Malaysia, Langkawi.

Pada tahun 2019, Kedah mencatatkan median harga rumah terendah di Malaysia pada RM199,100 dengan pendapatan isi rumah sebanyak RM51,900 setahun. Ini menunjukkan nilai nisbah ukuran sebanyak 3.84 yang agak tidak berpatutan.

199,100/51,900 = 3.84

Namun, negeri ini menunjukkan penambahbaikan daripada tahun 2014 dengan nisbah ukura sebanyak 4.47! Pendapatan juga bertambah naik dari RM41,412 pada 2014 kepada RM51,900 pada 2019.

Kedah adalah negeri yang selalu dilepas pandang untuk didiami dan dengan jarak yang dekat dengan Pulau Pinang, rumah di sini masih lagi menarik untuk dibeli.

Negeri Yang Tak Kurang Hebatnya: Pulau Pinang

Akhir sekali, Pulau Pinang atau Penang, kawasan UNESCO dan salah satu pelabuhan paling penting di Malaysia. Selain itu, ia juga merupakan pusat makanan Malaysia sesuai untuk penggemar makanan seluruh dunia. Asam Laksa Penang disenaraikan di tangga ketujuh untuk Senarai Makanan Terbaik Dunia CNN.

Walaupun banyak media yang melaporkan rumah di Penang semakin mahal, ia masih lagi negeri yang berpatutan untuk tinggal dan kerja. Median harga rumah telah menurun dari RM350,000 pada 2014 kepada RM285,000 pada 2019. Pengurangan sebanyak 18.5%! Pendapatan isi rumah pula adalah RM74,028 yang memberi nisbah ukuran sebanyak 3.85.

285,000/74,028 = 3.85

Penang adalah salah satu negeri yang berjaya membuatkan rumah semakin berpatutan di mana pada tahun 2014, nisbah ukuran adalah sebanyak 6.2. Negeri ini semakin mampu milik dan selesa untuk didiami.

Kesimpulan

Tinggal dan kerja di Malaysia bukan hanya bergantung kepada memilih rumah yang paling murah tetapi ambil kira juga pendapatan anda. Walaupun begitu, kerja di sesebuah negeri dengan gaji tinggi sekalipun tidak menjamin anda akan dapat rumah yang berpatutan. Contohnya, Kuala Lumpur yang menunjukkan bahawa harga rumah meningkat berbanding pendapatan. Tetapi, sebenarnya 4 negeri terbaik untuk tinggal dan kerja adalah Putrajaya, Melaka, Negeri Sembilan dan kemudian, Kuala Lumpur. Agak terkejut di situ.

Kedua-dua Sabah dan Sarawak mempunyai nisbah ukuran yang menunjukkan ia tidak berpatutan. Sabah dengan 5.90 dan Sarawak dengan 5.74 di mana kadar ini semakin teruk setiap tahun. Anda boleh lihat carta di bawah untuk maklumat lebih lanjut.

Adakah negeri yang anda tinggal dan kerja termasuk dalam senarai ini? Komen di bawah dan beritahu kami negeri yang sepatutnya ada dalam senarai.

You May Also Like