Anda kini sudah berpindah ke kediaman baru! Apakah langkah seterusnya yang boleh dilakukan untuk menghias rumah secara bajet?

Menghias rumah terutamanya rumah yang kosong tanpa sebarang perabot boleh menjadi satu cabaran apabila anda baru sahaja menyewa atau membeli rumah. Ia juga boleh menjadi satu perkara yang membebankan jika tidak diuruskan dengan baik, terutamanya apabila melibatkan kos yang tinggi.

Namun, anda tidak perlu gusar kerana terdapat beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk memastikan bahawa anda tidak perlu menghabiskan wang yang banyak untuk menghias rumah baru anda. Yang penting adalah anda perlu menjadi kreatif  menggunakan barangan dengan harga yang berpatutan.

Berikut merupakan beberapa tip yang boleh digunakan untuk menguruskan ruang sedia ada tanpa perlu berbelanja besar dan membuat pembaziran.

#1. Setiap ruang adalah kanvas kosong

Kenal pasti setiap ciri yang sudah ada di rumah anda yang boleh ditonjolkan dalam dekorasi. Ciri- ciri seperti siling yang berukir (crown molding), lantai bercorak kayu, almari sedia ada dan lantai mozek juga membantu menonjolkan nilai yang ekslusif dan mahal. Tetapi usah kecewa jika rumah anda tiada ciri-ciri tersebut kerana anda masih boleh memanfaatkan rumah yang kosong dengan tata rias yang menarik jika.

Perkara yang penting adalah memastikan ruang anda kemas, bersih dan tidak serabut. Tidak perlu menambah lukisan yang mahal atau membeli perabot berharga ribuan ringgit jika ia membuatkan ruang anda kelihatan serabut dan tidak kemas. Pastikan anda pulang ke rumah selepas bekerja dan mampu menarik nafas lega kerana rumah anda lebih teratur dan kemas.

#2. Pilih warna cat dinding yang menarik

Mengecat ruang dengan warna yang menarik adalah lebih murah dan mampu memberikan perubahan yang ketara. Samada anda mahu menggunakan warna yang lembut atau menambah warna yang lebih berani untuk menceriakan ruang di rumah anda, warna adalah kaedah yang terbaik untuk mengubah ‘mood’ di rumah anda. Dinding dengan sentuhan sedikit berkilat misalnya seperti kombinasi warna emas dan ungu boleh memberikan aura eksklusif kepada penghuninya.

#3. Gantung karya seni di dinding

Antara idea riasan rumah yang menjimatkan adalah menghias dinding anda dengan karya lukisan atau seni yang unik. Tidak semestinya lukisan sahaja, anda boleh menggunakan gambar kenangan bersama keluarga ataupun karya seni yang dibuat sendiri untuk memberikan suasana yang lebih ‘homely’.

Sebelum menggantung sebarang karya seni, pastikan lokasi yang sesuai untuk menggantungnya dan apakah kaedah yang paling sesuai tanpa merosakkan dinding rumah anda. Pastikan karya yang anda pilih mempunyai saiz yang sesuai dengan dinding rumah dan anda tidak perlu menggantung hiasan pada setiap ruang dinding yang kosong. Karya lukisan yang cantik dengan harga yang berpatutan boleh didapati di pasaraya atau kedai peralatan berdekatan anda.

#4. Tambah ilusi ruang besar dengan cermin

Mata manusia boleh tertipu dengan ilusi ruang yang lebih luas apabila cermin ditempatkan di ruang berkenaan. Cermin yang besar akan memantulkan cahaya di ruangan tersebut dan membuatkan ruang di rumah anda kelihatan lebih luas – dua kali ganda daripada saiz asal. Anda boleh dapatkan cermin yang bersaiz besar samada di kedai perabot ataupun melalui dalam talian, cuma pastikan ia mempunyai reputasi yang baik daripada pelanggan mereka terdahulu sebelum anda membuat keputusan untuk membelinya.

#5. Baiki peralatan lama di rumah

Kaedah yang cepat dan mudah untuk menghias rumah secara bajet adalah dengan membaiki peralatan lama dan sudah usang. Tombol pintu, pintu almari dan suis adalah antara peralatan di rumah yang boleh digantikan dengan barangan baru melalui harga berpatutan untuk memberikan sentuhan yang lebih cantik dan elegan.

Jika peralatan tersebut masih elok dan hanya kotor atau berdebu sahaja, gunakan peralatan mencuci yang sesuai untuk mengembalikan fizikalnya yang asal dan berkilat sekaligus akan kelihatan baru dan cantik.

#6. Susunan buku di rak buku

Susunan buku anda di rak tidak perlu kelihatan seperti di perpustakaan yang padat dengan buku. Tambah juga beberapa gambar berbingkai dan pembahagi susunan buku. Pastikan ia adalah kemas dan bersih kerana ia menunjukkan personaliti pemilik rumah iaitu anda sendiri.

Jika anda mempunyai rak buku yang lebih luas dan besar, manfaatkannya dengan menyusun buku anda mengikut kategori tertentu, misalnya jenis buku atau warna buku tersebut. Selang selikan susunan buku tersebut dengan hiasan yang ringkas dan ringan. Elakkan hiasan berwarna gelap jika rak buku anda sudah berwarna gelap. Digalakkan untuk memilih rak buku berwarna cerah untuk memberikan ilusi ruang yang cerah dan luas.

#7. Terangi ruang di rumah

Manfaatkan cahaya semulajadi dan cahaya tiruan untuk menerangi ruang di rumah anda. Pastikan anda tidak menghalang tingkap (sumber cahaya dari luar) dan juga menambah meja dan lampu yang bersesuaian untuk ruangan di rumah. Jika anda membeli lampu, tidak membeli yang berwarna terlalu terang atau silau sehingga boleh menyakitkan mata.

#8. Kekalkan persekitaran yang bersih

Antara peraturan asas dalam menghias rumah adalah dengan menyusun barangan dalam jumlah 3 – objek kelihatan lebih teratur dan cantik jika disusun dalam nombor ganjil, terutamanya tiga. Kemudian, tinggalkan ruangan kosong pada dinding atau lantai anda. Apabila mahu kelihatan elegan, kurang adalah lebih baik.

Elakkan juga kertas dan dokumen yang banyak dengan menyimpannya di tempat yang lebih tertutup dan kemas untuk memastikan tiada sebarang ruangan yang kelihatan padat dan bersepah.

Kesimpulan

Ruangan rumah yang cantik dan kemas menjadi impian setiap penghuni kerana rumah menjadi tempat untuk beristirehat setelah seharian bekerja. Anda tidak perlu mengeluarkan belanja yang terlalu banyak untuk menghias rumah anda kerana dengan hanya menggunakan hiasan yang ringkas dan memanipulasi warna serta ruang mampu memberikan hasil yang cantik dan memuaskan.

Apakah tip yang anda gunakan untuk menghias rumah secara bajet?

You May Also Like