Adakah anda mampu beli rumah idaman anda? Apakah harga yang boleh dikira sebagai mampu milik? Ikuti langkah mudah ini untuk ketahui kadar harga rumah yang anda mampu miliki. (Original article in English)

Rumah memberikan anda tempat kediaman untuk anda dan keluarga anda di setiap masa senang dan susah. Rumah adalah sesuatu yang anda laburkan untuk keselesaan dan kebahagiaan hidup walaupun di waktu susah.

Apabila anda memikirkan untuk beli rumah berbanding sewa, harga adalah sesuatu yang tentu anda fokuskan. Manakan tidak, kita semua tidak mahu membayar pinjaman bulanan yang akan menyusahkan kita kelak. Bayaran pinjaman rumah adalah antara komitmen kewangan terbesar dalam perjalanan hidup kita.

Bagaimanakah caranya untuk tentukan sama ada sesebuah rumah itu mampu milik ataupun tidak? Ketahui dengan langkah-langkah berikut.

Langkah #1: Ketahui Jumlah Pendapatan Bersih Anda

Langkah pertama untuk beli rumah adalah dengan kira pendapatan bersih anda.

Pendapatan bulanan anda sebelum apa-apa tolakan adalah pendapatan kasar. Pendapatan bersih pula adalah pendapatan kasar tolak caruman mandatori seperti KWSP, PERKESO, PCB dan EIS.

Untuk ketahui pendapatan bersih dengan lebih tepat, ambil gaji bulanan anda dan letakkan di kalkulator pendapatan di sini. Anda boleh kecualikan bonus dahulu buat masa sekarang dan pergi ke seksyen seterusnya di mana anda boleh pilih jenis gaji.

Pilih jenis gaji yang sesuai untuk anda dan fokus kepada kategori cukai dan kadar KWSP. Pilihan ini selalunya berbeza bergantung kepada individu.

Sebagai contoh, pendapatan kasar anda adalah RM4,000 dan anda masih bujang dengan kadar KWSP sebanyak 7%. Tolakan caruman adalah RM280 untuk KWSP, RM82 untuk cukai, PERKESO dan EIS. Pendapatan bersih anda adalah RM3,638.

Langkah #2: Anggarkan Bayaran Bulanan Yang Mampu Dibuat

Selepas anda dapatkan jumlah pendapatan bersih, kami cadangkan agar anda guna 30% daripada jumlah ini untuk pembayaran rumah secara bulanan.

Sebagai contoh, untuk pendapatan bersih sebanyak RM3,638, anda boleh membelanjakan sebanyak RM1,091 sebulan untuk bayaran pinjaman rumah.

Kenapa 30%? Peratusan ini adalah yang kerap digunakan dalam perbincangan polisi dan digunakan oleh Akta Perumahan Nasional Amerika Syarikat 1937. Kadar 30% digunakan untuk mengukur sama ada keluarga berpendapatan rendah boleh mengambil bahagian dalam program perumahan awam.

Walaupun terdapat banyak debat sama ada 30% adalah peratusan yang sesuai untuk digunakan, ia masih lagi sesuai sebagai penanda aras untuk ketahui sama ada rumah anda mampu milik atau tidak. Kaedah ini digunakan di seluruh dunia.

Kaedah ini bukannya bermaksud anda mesti guna. Namun, ia memberi pandangan selamat dalam menentukan harga rumah yang anda mampu milik. Di langkah berikut, kami akan meneroka sejauh mana anda boleh mengembangkan idea 30% ini tetapi buat masa sekarang, kita akan kekal dengan kadar 30%.

Langkah #3: Kira Harga Rumah Yang Mampu Dimiliki

Selepas membuat kiraan berapa bayaran bulanan yang anda boleh buat, anda boleh gunakan jumlah ini untuk dapatkan jumlah harga rumah yang layak.

Untuk mula, gunakan kalkulator harga rumah seperti di MyPF, propertyguru atau AKPK.

Mula dengan setkan parameter seperti berikut:

  • Jumlah pinjaman = 100% (bermaksud tiada wang pendahuluan)
  • Kadar faedah = kadar bank terkini (sekarang, ianya lebih kurang 3.5%)
  • Tempoh pinjaman = 35 tahun

Dari situ, alihkan nilai rumah dan harga hingga bayaran bulanan lebih kurang sama dengan bayaran yang anda mampu buat di Langkah #2.

Setelah selesai, lihat semula nilai rumah/harga dan itulah harga rumah yang anda mampu miik berdasarkan pendapatan anda.

Sebagai contoh, untuk RM1,091 sebulan, harga rumah mampu milik untuk anda adalah RM265,000.

Harga rumah yang anda mampu adalah faktor penting untuk membuat keputusan. Namun, kaedah ini tidak mengambil kira kenaikan pendapatan anda di masa akan datang. Mungkin kadar 30% terlalu ketat untuk anda. Langkah berikut akan menerangkan bagaimana untuk mengambil kira kenaikan gaji di masa akan datang!

Langkah #4: Kira Anggaran Pendapatan Masa Akan Datang

Jika gaji anda naik di masa akan datang, secara teorinya, anda lebih mampu memiliki rumah yang lebih mahal. Tetapi, kita perlu gunakan logik untuk menganggar pendapatan anda di masa akan datang. Sebagai contoh, kita boleh gunakan tempoh masa 5 tahun.

Mula dengan mengambil pendapatan bersih anda sekarang dan gandakan dengan kadar yang dianggap realistik. Selalunya kadar sebanyak 3% digunakan sama seperti kadar inflasi.

Sebagai contoh, jika anda memperoleh RM4,000 sebulan, gandakan dengan 3% setiap tahun untuk 5 tahun supaya anda tahu jumlah anggaran gaji bulanan setiap tahun.

Tahun 1: RM4,000 x (100% + 3%) = RM4,120

Tahun 2: RM4,120 x (100% + 3%) = RM4,244

Tahun 3: RM4,244 x (100% + 3%) = RM4,371

Tahun 4: RM4,371 x (100% + 3%) = RM4,502

Tahun 5: RM4,502 x (100% + 3%) = RM4,637

Jika anda rasa anda akan dapat kenaikan pangkat (atau bonus), ambil kira juga situasi tersebut. Ketahui apa kadar kenaikan yang selalunya diberi apabila dinaikkan pangkat. Gunakan situasi ini dalam kiraan anda. Apakah jumlah tahun kelima anda? Lain kan?

Langkah #5: Kenal Pasti Apa Pendapatan Masa Depan Anda Mampu Miliki

Harga rumah mampu milik yang kita kira di awal langkah bergantung kepada pendapatan anda kini. Secara teori, lebih banyak pendapatan anda, lebih mahal rumah mampu dimiliki. Jadi, mari kita letakkan anggaran apa yang anda boleh miliki untuk jangkaan pendapatan masa depan.

Ambil kira pendapatan anda setiap tahun yang dikira di Langkah 4 dan ulang semula Langkah 1, Langkah 2 dan Langkah 3 untuk dapatkan nilai rumah mampu milik berdasarkan pendapatan masa depan.

Sebagai contoh:

Tahun 1: RM4,120 pendapatan bersih boleh memiliki rumah berharga RM271,500

Tahun 2: RM4,244 pendapatan bersih boleh memiliki rumah berharga RM279,500

Tahun 3: RM4,371 pendapatan bersih boleh memiliki rumah berharga RM287,500

Tahun 4: RM4,502 pendapatan bersih boleh memiliki rumah berharga RM295,500

Tahun 5: RM4,637 pendapatan bersih boleh memiliki rumah berharga RM304,000

Di sini anda boleh lihat apa yang mampu miliki berdasarkan kenaikan pendapatan anda di masa akan datang.

Jika anda rasa rumah yang anda mampu miliki sekarang terlalu rendah, anggarkan kenaikan gaji anda berdasarkan apa yang anda jangka akan berlaku. Pastikan nilai ini realistik. Kenaikan gaji ini juga perlu dikecapi setiap tahun untuk pelan pemilikan rumah anda berjaya dan tidak membebankan anda.

Bagaimanana pula dengan kadar 30% yang digembar-gemburkan itu? Langkah berikut akan menerangkan dengan lebih lanjut.

Langkah #6: Alihkan Kadar Nisbah 30%

Di Langkah 2, kadar 30% yang kami cadangkan tidak sesuai untuk semua orang. Sebenarnya ia adalah kadar yang konservatif dan tidak melambangkan apa yang terjadi dalam realiti. Adakah anda hanya akan meletakkan 30% daripada pendapatan untuk membayar pinjaman rumah secara bulanan?

Bank mempunyai kadar nisbah mereka sendiri sebagai penanda ukur dalam memberi pinjaman kepada pelanggan. Bank berbeza mempunyai kadar berbeza daripada 50% hingga 80% bergantung kepada profil risiko mereka.

Apabila anda kaji nombor ini: Jika anda naikkan kadar daripada 30% kepada 50%, rumah mampu milik anda untuk pendapatan RM4,000 sebulan akan meningkat dari RM265,000 kepada RM440,500.

Ya, dengan naikkan kadar nisbah akan meningkatkan harga rumah yang anda mampu miliki. Tetapi, anda juga perlu sedar akan perbelanjaan 50% gaji anda setiap bulan untuk rumah akan membebankan kos lain seperti kereta, insurans, makanan, anak-anak dan lain-lain. Dalam kata lain, anda perlu nilai diri anda sendiri dan tentukan kadar yang realistik untuk anda. Jadi, anda dapat buat keputusan dalam perbelanjaan dengan lebih bijak.

Hartanah adalah komitmen kewangan terbesar untuk anda. Jadi, pastikan anda mempunyai lebihan wang untuk keperluan lain dalam hidup anda. Dapatkan khidmat penasihat kewangan bertauliah jika anda perlukan kepastian dalam pengiraan anda.

Kesimpulan

Membeli rumah adalah komitmen dan pelaburan terbesar dalam hidup seseorang. Jadi, ianya penting untuk menganggar harga rumah yang mampu dimiliki anda berdasarkan gaji anda kini dan masa depan. Artikel ini telah merangka 6 langkah sistematik untuk anda ambil dalam menilai kewangan anda dan bagaimana untuk gunakan maklumat ini dalam menganggar harga rumah mampu milik.

 

Adakah anda gembira dengan harga rumah mampu milik yang diperolehi? Nyatakan pendapat anda di seksyen komen di bawah!

 

You May Also Like