Ada peluang untuk cukai baru diperkenalkan di Malaysia apabila ekonomi pulih nanti. Ketahui apa jenis cukai yang mungkin akan diperkenalkan di negara Malaysia. (Original article in English)

Dengan pengumuman Bajet 2021 pada tahun lepas November 6, ini bermakna bajet sebanyak RM322.5 billion adalah yang terbesar dalam sejarah Malaysia.

Namun, dengan bajet yang besar ini, ada yang beranggapan bahawa sistem percukaian boleh ditambah baik lagi. Antara cadangan cukai yang boleh diperkenalkan di Malaysia untuk menambah pendapatan kerajaan adalah:

  • Cukai pendapatan modal
  • Cukai untung
  • Cukai pewarisan
  • Cukai barangan dan servis, atau Goods and Services Tax (GST)

Untuk mengenakan cukai-cukai ini, kita perlu juga ambil kira kepentingan ekonomi sama ada baik atau buruk. Di sini kami senaraikan kelebihan dan keburukan setiap cadangan cukai ini.

Cukai Pendapatan Modal

Cukai pendapatan modal adalah cukai yang dikenakan atas pulangan pelaburan. Pendapatan modal hanya direalisasikan selepas aset tersebut dijual dan cukai dikenakan selepas keuntungan diperolehi.

Buat masa sekarang, tiada cukai pendapatan modal dikenakan di Malaysia kecuali untuk yang melabur dalam hartanah ataupun saham syarikat hartanah.

Kelebihan

Menurut CEO Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Seri Sabin Samitah, Malaysia perlu mengambil langkah untuk mengimplementasikan cukai pendapatan modal. Cukai ini adalah salah satu cara untuk memastikan kelangsungan ekuiti dan keseimbangan dalam sistem cukai Malaysia.

Orang yang lebih kaya akan mempunyai lebih banyak modal dan dengan cukai ini, ia dapat membasmi kemiskinan dan ketidakseimbangan kekayaan antara rakyat Malaysia.

“Dalam langkah untuk mengembangkan struktur cukai dan meningkatkan pendapatan, kerajaan Malaysia perlu memikirkan tentang cukai pendapatan modal di masa akan datang untuk setaraf dengan negara lain di rantau ini” – CEO LHDN, Datuk Sabin Samitah

Kelemahan

Cukai ini akan memberikan kos yang tinggi kepada ekonomi kerana ia akan mengurangkan keuntungan atas pelaburan. Secara langsung, ini akan memberikan kesan kepada bekalan modal, penukaran aset dan taraf keusahawanan.

Mengikut kajian daripada Institut Fraser tentang impak ekonomi cukai pendapatan modal, mereka berkata kos pelaburan akan lebih mahal dan secara langsung, membuatkan lebih kurang pelaburan.

Pemilik modal akan sentiasa ingin memelihara modal mereka dan para ekonomi memberi nama proses ini sebagai “lock-in effect“. Mereka tidak akan beralih modal walaupun peluang lebih cerah di sesuatu pelaburan. Ini boleh membantutkan output ekonomi kita jika pelaburan ini tidak masuk ke negara kita disebabkan cukai pendapatan modal.

Cukai Untung

Cukai untung (“windfall tax”) adalah levi oleh kerajaan sesuatu negara kepada syarikat dalam sesuatu industri atau sektor yang memperoleh keuntungan luar biasa disebabkan oleh faktor keadaaan ekonomi.

Kelebihan

Kelebihan cukai ini adalah pendapatan boleh digunakan oleh kerajaan untuk meningkatkan dana program sosial lain dan di masa yang getir ini, dana tambahan ini boleh membantu negara mengatasi wabak pandemik COVID-19.

Sebelum ini, Syed Saddiq pernah berdebat tentang Bajet 2021 di mana beliau mencadangkan agar cukai untung dikenakan ke atas syarikat sarung tangan, di mana beliau berkata syarikat-syarikat ini mempunyai tanggungjawab moral untuk “memberi semula” wang tersebut kepada pihak awam dengan membayar cukai untung.

Kelemahan

Namun, menurut kajian daripada CGS-CIMB, cukai untung, jika ada, yang dikenakan atas syarikat sarung tangan susah untuk dikenakan kerana harga tidak tetap untuk sarung tangan yang bergantung kepada jenis, spesifikasi dan gred. Mereka juga mempunyai sasaran pasaran yang berbeza.

Pusat kajian ini juga mengatakan bahawa jika cukai ini dikenakan, syarikat sarung tangan Malaysia akan berkembang ke negara lain dan membuka cawangan di sana. Ini akan mengurangkan pelaburan dan kehilangan peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia.

Cukai Pewarisan

Cukai pewarisan dikenakan kepada aset yang diwariskan kepada penama apabila seseorang meninggal dunia.

Cukai pewarisan pernah dikenakan kepada rakyat Malaysia melalui Enakmen Duti Estet 1941. Aset seseorang yang meninggal dunia dikenakan sebanyak 5% cukai jika atas RM2 juta dan 10% jika melebihi RM4 juta. Namun, cukai ini dihentikan pada tahun 1991.

Ada ura-ura yang mengatakan cukai ini akan diperkenalkan semula tetapi masih belum ada perkembangan lagi setakat ini.

Kelebihan

Untuk Consumers Association of Penang (CAP), cukai pewarisan jika diperkenalkan dengan betul, boleh membantu negara dan negeri memperoleh pendapatan tambahan. Pendapatan ini diperoleh daripada orang berkemampuan dan bukannya daripada kumpulan berpendapatan rendah.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kadeer, berkata bahawa cukai ini boleh mengurangkan jurang kaya dan miskin. Ianya juga cara terbaik untuk mengatasi ketidakseimbangan kekayaan melalui proses percukaian.

Kelemahan

Associated Chinese Chambers of Commerce of Industry Malaysia (ACCCIM) berkata bahawa dengan mengenakan cukai pewarisan, bekalan modal akan berkurangan dan melemahkan semangat keusahawanan di Malaysia. Usahawan tidak boleh membina kekayaan dan inovasi akan berkurangan.

“Cukai pewarisan akan membuatkan kurangnya pembentukan modal dan simpanan daripada pelabur serta korporat akan bergerak ke luar negara untuk elakkan cukai ini” – ACCCIM

Keadaan ekonomi akan bertambah melarat kerana ia tidak kondusif untuk menarik pelabur domestik dan asing yang penting kepada perkembangan ekonomi negara Malaysia.

Cukai Barangan dan Servis, atau Goods and Services Tax (GST)

GST adalah cukai penambah nilai untuk barangan dan servis di setiap rangkaian bekalan daripada pembekal kepada peruncit – Jabatan Kastam Malaysia

GST di Malaysia diperkenalkan pada 11 April 2015 untuk merangkumi semua sektor ekonomi dan dengan fleksibiliti dari 0% hingga 6% bergantung kepada sektor tertentu, terutamanya servis keperluan dan barangan paling banyak digunakan oleh golongan berpendapatan rendah.

Cukai ini dimansuhkan pada 31 Ogos 2018 dan cukai baru iaitu Sales and Services Tax (SST) dikenakan bermula 1 September 2018.

Kelebihan

Pengerusi Institut Strategi Antarabangsa, Cheah Chyuan Yong berkata bahawa di waktu krisis seperti sekarang ini, pendapatan daripada GST dapat membantu negara kita menangani pandemik.

“Dalam keadaan ekonomi negara yang melarat dan dana yang berkurangan, jika dilihat kembali, sistem GST yang baik dapat membantu negara untuk berbelanja bagi menyelamatkan ekonomi” – Cheah Chyuan Hong, Pengerusi Institut Strategi Antarabangsa.

Kelemahan

GST boleh menjadi sebuah liabiliti yang besar jika tidak dibahagikan secara adil dan pihak awam akan kritikal kerana semua orang akan terkesan dengan GST. Soalan sebenarnya adalah adakah GST akan digunakan secara telus untuk kebaikan rakyat Malaysia?

Proses cukai ini rumit untuk dikenakan dan penyediaan yang menyeluruh perlu dibuat sebelum ia boleh dikenakan. Ada negara yang masih mengalami masalah disebabkan oleh cukai GST.

GST boleh membebankan pengguna kerana harga barangan akan meningkat dan secara langsung mengurangkan kuasa pembeli rakyat. Untuk golongan berpendapatan rendah, ini bermakna harga barangan harian lebih mahal.

Rumusan

Walaupun rakyat beranggapan bahawa kerajaan sepatutnya mengenakan cukai kepada syarikat yang memperoleh untung luar biasa dan golongan berpendapatan tinggi ketika pandemik ini, faktor ekonomi lain perlu dilihat juga. Lebih banyak kajian dan survey perlu dibuat oleh kerajaan untuk mengenal pasti kesan jangka masa pendek dan panjang.

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul juga berkata bahawa jenis cukai baru hanya akan dikenakan selepas pandemik berakhir.

 

Apakah pendapat anda tentang jenis cukai baru yang mungkin diperkenalkan di Malaysia?

 

You May Also Like