6 Tip Berjimat di Bulan Ramadan

Bulan Ramadan merupakan bulan yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam untuk menjalankan ibadat dan mengawal hawa nafsu. Bagaimana anda mahu berjimat semasa berpuasa di bulan Ramadan?

Bulan Ramadan menjadi  bulan yang sangat bermakna untuk umat Islam kerana ia memberi peluang kepada mereka untuk mengerjakan ibadah berpuasa yang menjadi wajib untuk mereka yang sihat tubuh badan. Ia juga sering menjadi permulaan untuk mereka yang berhasrat mengurangkan berat badan dan berjimat cermat.

Selain itu, ia juga boleh melatih diri kita untuk menabung dan mengawal perbelanjaan daripada menjadi tidak terkawal kerana kini, kita hanya perlu makan untuk waktu berbuka dan bersahur sahaja.

Berikut merupakan beberapa tips berguna untuk berjimat semasa bulan Ramadan ini.

1. Membuat perancangan awal

Apabila anda  memutuskan untuk memasak sendiri juadah berbuka puasa dan sahur,  anda perlu membuat perancangan bagi juadah yang ingin dimasak terlebih dahulu. Dapatkan panduan resepi di laman sosial atau blog.
Sediakan juga perancangan kewangan untuk membeli bahan-bahan memasak yang diperlukan. Apabila anda merancang menu untuk setiap minggu, anda boleh membuat anggaran harga barangan berkenaan berdasarkan menu yang ingin disediakan.
Buat perbandingan harga semasa membeli bahan masakan. Jika perlu, pergi beberapa kedai atau pasaraya dan bandingkan harga barangan di setiap tempat. Kebiasaannya, pasaraya akan membuat promosi harga yang lebih murah di bulan Ramadan dan anda boleh membuat penjimatan yang lebih banyak.

2.  Memasak untuk diri sendiri dan keluarga

Menyediakan juadah berbuka puasa sendiri boleh membantu anda untuk menjimatkan perbelanjaan di bulan Ramadan jika dibandingkan dengan berbuka puasa di luar secara buffet Ramadan dengan kerap kerana anda lebih terdorong untuk membazir. Namun begitu, walaupun anda memilih untuk memasak, amat penting sekali untuk merancang perbelanjaan bahan mentah dan kering untuk mengelakkan  sebarang pembaziran.

Sebelum membuat pembelian, sediakan rekod perbelanjaan untuk mengurangkan kemungkinan membazir daripada segi kos dan penyimpanan. Jika anda membeli tanpa sebarang perangan , terdapat kemungkinan anda perlu menghabiskan bahan makanan tersebut dalam masa yang singkat kerana tiada tempat simpanan yang mencukupi.

Dengan memasak sendiri, anda juga boleh mengurangkan risiko terkena masalah keracunan makanan kerana anda sedar akan kebersihan dan jenis bahan yang dimasukkan di dalam masakan berbanding anda membeli makanan di luar. Jika kesihatan anda merosot disebabkan oleh keracunan makanan, ia akan menganggu perjalanan puasa dan anda juga perlu mengeluarkan duit untuk menjalani rawatan di klinik dan hospital.

3. Membeli juadah berbuka puasa yang berpatutan

Anda sudah bosan memasak makanan di rumah dan mahu mempelbagaikan menu untuk keluarga? Tidak salah untuk sekali-sekala membeli juadah berbuka puasa di luar bagi menjamu keluarga.

Terdapat pelbagai strategi untuk jimat berbelanja semasa membeli juadah berbuka. Antaranya adalah mengurangkan membeli makanan sampingan seperti kuih-muih. Jika anda ingin membelinya, anda perlu membeli secara berhemah dan tidak membazir.

Anda juga boleh mengehadkan jumlah wang yang dibawa semasa membeli di pasar atau bazar Ramadan. Tidak dinafikan, tidak mudah untuk menahan diri apabila melihat pelbagai jenis makanan dijual di sana, tetapi jika anda membawa wang dalam kadar yang berpatutan, kebarangkalian untuk membeli lebih daripada yang diinginkan adalah tipis. Jika mahu lebih jimat, anda boleh juga membeli lauk-pauk di luar dan menyediakan nasi serta air minuman di rumah.

Selain itu, anda juga boleh berkongsi membeli juadah jika pergi ke bazar Ramadan bersama-sama ahli keluarga atau rakan. Setiap individu hanya perlu membeli 1 juadah sahaja dan kemudian ia dikongsi bersama orang lain yang membeli juadah berbeza. Anda akan mendapat variasi pelbagai jenis makanan dan mengelakkan daripada pembaziran kerana dinikmati bersama-sama.

4. Elakkan perjalanan yang jauh

Pada masa pandemik seperti ini, anda tidak digalakkan untuk berjalan ke tempat yang terlalu jauh semata-mata untuk membeli juadah berbuka puasa. Walaupun anda mendengar terdapat menu nasi arab yang sedap di Shah Alam tetapi anda pula berada di Kajang, ia mungkin akan menambahkan kos pengangkutan untuk ke sana selain anda tidak digalakkan untuk pergi ke kawasan yang bukan tempat tinggal sendiri untuk mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

5. Berkongsi juadah dengan jiran tetangga dan rakan-rakan

Berkongsi juadah dengan jiran tetangga dan rakan-rakan ialah menyeronokkan selain dapat mengurangkan kos, ia juga membolehkan kita semua untuk menjamu pelbagai jenis makanan selain mengeratkan tali silaraturahim.

Jika anda memasak makanan untuk berbuka puasa, boleh menyediakannya secara lebih dan diagihkan kepada jiran tetangga. Tradisi ini sudah lama diamalkan dalam masyarakat Malaysia dan ia harus diteruskan oleh generasi kini.

6. Berbelanja secara sederhana

Rasa lapar ketika berpuasa mampu mempengaruhi minda seseorang untuk berbelanja dengan lebih banyak, lebih-lebih lagi semasa memilih pilihan makanan di bazar Ramadan. Berbelanja secara sederhana adalah penting bagi mengelakkan sebarang pembaziran. Bagaimana dikatakan berbelanja secara sederhana? Ia bermaksud tidak berlebihan dan mencukupi untuk keperluan diri. Sebarang pembelian yang dibuat perlu diteliti akan keperluannya dan jumlahnya supaya mencukupi dan tidak membazir.

Apabila anda berbelanja secara sederhana, anda boleh menyimpan wang lebihan untuk menyelesaikan bil atau hutang yang tertunggak sebelum ia bertukar menjadi bebanan yang lebih banyak.

Kesimpulan

Tidak dinafikan bahawa menyambut bulan Ramadan semasa pandemik ini memberikan kelebihan kepada kita untuk lebih berjimat cermat. Sebagai bulan untuk berpuasa daripada hawa dan nafsu, ia ternyata memberikan ruang kepada umat Islam untuk melihat semula setiap perbuatan diri dan mendekatkan diri kepada kebaikan.

Berjimat-cermat seharusnya menjadi amalan sepanjang masa dan bukan sekadar di bulan Ramadan sahaja. Mari kita jadikan bulan Ramadan sebagai batu loncatan untuk berjimat dalam setiap perbelanjaan kerana ia biasanya tidak disedari sehingga sudah terlambat.

Apakah tip yang anda gunakan untuk berjimat di bulan Ramadan?

You May Also Like

Share with your friends!

About the Author:

Nurul Khairiah Yusof
Nurul Khairiah is a Marketing and Branding Executive. She creates and coordinates content, branding and marketing activities as well as the knowledge base. A former news reporter for more than 2 years, she is passionate in writing and producing content. Her main goal is to spread knowledge and educate the public on the importance of financial planning. Khairiah is currently based in Kuala Lumpur.

Leave A Comment

Go to Top