Duit raya yang anda peroleh selama bertahun-tahun masih tersimpan. Apa yang anda boleh lakukan dengannya?
“Raya hanya datang sekali setahun? Jadi mengapa kita tidak belanja lebih banyak?”
Ini adalah ayat yang sering kali didengari apabila menghampiri bulan Raya, kerana kebanyakkannya mudah untuk berbelanja lebih daripada yang sepatutnya.
Walaupun ia adalah bulan perayaan, adalah penting untuk anda membuat perancangan kewangan dan tidak berbelanja lebih daripada kemampuan.
Berikut adalah beberapa tip untuk anda membelanjakan duit raya dengan bijak.
Contents
1.Belanja diri sendiri
Hari Raya adalah peluang terbaik untuk anda berbelanja untuk diri dan keluarga. Samada membeli baju raya, membeli kuih raya atau menghias rumah, ia mampu memberikan keseronokan dan perasaan meriah untuk menyambutnya.
Namun begitu, anda perlu kekal di dalam bajet dan elakkan daripada berbelanja terlalu banyak. Jika boleh, belanja untuk sesuatu yang bermakna bagi anda. Elakkan terlibat dengan skim cepat kaya atau penipuan melabur dengan pulangan yang tinggi dalam masa singkat.
2. Laburkan untuk diri
Dengan duit raya yang anda peroleh, mengapa tidak gunakannya untuk perkembangan diri sendiri?
Usaha untuk menambahkan skil dengan mendaftar untuk menjalani latihan atau kelas meningkatkan skil. Ini adalah peluang untuk memajukan diri dan akan sangat berharga untuk karier dan matlamat hidup.
Dalam tradisi Melayu, anda masih menerima duit raya selagi anda tidak bekerja. Ia berbeza dengan tradisi masyarakat Cina bahawa anda akan terus menerima angpau selagi tidak berkahwin.
Ini bermakna ramai antara kita yang berhenti menerima sebarang duit raya seawal umur 20-an. Anda mempunyai jangka masa yang pendek untuk menerima duit raya, jadi gunakan dengan sebaiknya untuk matlamat kewangan anda.
Kelebihan duit raya? Anda tidak perlu meminjam atau membayar wang untuk mendapatkannya. Ia bermaksud semua wang yang dikumpul boleh digunakan untuk matlamat jangka pendek dan jangka panjang kerana ia adalah hak milik anda sepenuhnya. Anda boleh meletakkan wang tersebut (atau penjaga) di dalam instrumen yang mampu bekerja untuk anda; akaun ASB, atau akaun deposit tetap yang membolehkan wang anda bertambah setiap tahun.
“Sikit-sikit lama lama jadi bukit” – Peribahasa Melayu
3. Belanja keluarga sesuatu yang bermakna
Walaupun ia kelihatan mudah dan ringkas, tidak ramai golongan berkerjaya yang mempraktikkan. Ternyata ianya sukar untuk memperuntukkan masa atau wang untuk keluarga terutamanya ketika waktu pandemik sebegini dan keluarga anda pula berada jauh di kampung.
Manfaatkan aplikasi beli belah dalam talian untuk menghadiahkan barangan yang berguna untuk ibu bapa dan adik beradik yang lain. Jangan lupa juga untuk memberikan mereka duit raya sebagai tanda terima kasih kerana membesarkan anda sehingga dewasa.
4. Bantu golongan yang memerlukan
Ketika anda gembira menyambut hari raya, jangan dilupakan golongan yang memerlukan. Ia bermaksud anda boleh menggunakan duit raya anda untuk membantu mereka dengan membuat sumbangan samada secara terus ataupun melalui badan-badan organisasi bukan kerajaan (NGO) di Malaysia
Terdapat pelbagai NGO seperti Pertubuhan Kasih Umat Malaysia yang diketuai oleh Ustaz Ebit Liew dan Need to Feed (NFN), NGO yang menerima sumbangan daripada orang awam dan bertanggungjawab mengedarkan makanan dan keperluan asas untuk golongan yang kurang berkemampuan.
5. Simpan duit raya anda
Pastikan setiap kali anda menerima duit raya untuk meletakkanya di dalam tabung atau bekas yang berasingan daripada dompet anda. Ini akan membolehkan anda lebih fokus untuk matlamat simpanan dan mengelakkan daripada berbelanja secara tidak terkawal. Setiap simpanan, walaupun kecil mampu memberikan impak yang besar pada masa depan!
6. Baiki barangan yang rosak atau usang
Gunakan cuti hari raya sebagai peluang untuk membaiki barangan di rumah yang rosak atau usang. Duit raya yang terkumpul itu boleh digunakan bagi membayar upah membaikinya ataupun lebih baik, anda membaikinya sendiri jika mahir menggunakan peralatan yang diperlukan. Hanya perlu membeli alat membaiki dan anda boleh mulakannya di rumah sendiri!
Kesimpulan
Hari raya Aidilfitri merupakan hari yang istimewa untuk seluruh umat Islam yang meraikannya. Ia merupakan simbolik menyambut kejayaan setelah berjaya melawan hawa nafsu semasa berpuasa di bulan Ramadan. Jika anda masih menerima duit raya, gunakannya dengan sebaiknnya dan jika boleh, simpan di tabung atau laburkan di instrumen pelaburan yang sah untuk membolehkan wang anda bekerja untuk anda.
Selamat Hari Raya!
Bagaimanakah cara anda belanjakan duit raya yang diterima?
Leave A Comment