Adakah anda risau sama ada perbelanjaan kerajaan melalui hutang semakin banyak? Ketahui dengan jelas apa yang kerajaan lakukan berkenaan hutang. (Original article in English)

Hutang kerajaan sering diperkatakan di media dan malangnya, sering dipolitikkan dalam perbincangan. Kita selalu dengar bahawa kerajaan belanja terlalu banyak wang dan spekulasi tentang bagaimana hutang kerajaan tidak mampu dibayar.

Sebenarnya, perbincangan sebegini boleh ditambah baik dengan bantuan data tentang apa kerajaan sedang lakukan berkenaan hutang. Jadi, di artikel ini, kami akan membincangkan bagaimana hutang kerajaan berubah saban tahun dan apa sebenarnya dalam hutang kerajaan – siapa pemiutang, jenis matawang, bila tarikh luput dan apa yang dibelanjakan.

Baca dengan lebih lanjut jika anda berminat untuk memahami situasi hutang kerajaan Malaysia dan sama ada anda patut risau atau tidak.

Sumber Data Kami

Artikel ini menggunakan sumber data daripada Buletin Statistik Bulanan Bank Negara Malaysia, iaitu sumber utama Kementerian Kewangan. Antara jenis data yang digunakan termasuk:

  1. Hutang Kerajaan Persekutuan: Rajah 3.1.4 – 3.1.6
  2. Perolehan Kerajaan Persekutuan: Rajah 3.1
  3. Perbelanjaan Kerajaan Persekutuan: Rajah 3.1.2 – 3.1.3

Fakta #1: Hutang Kerajaan Utama Terletak di Tanah Air Sendiri, Bukan Antarabangsa

Ya, betul. Majoriti hutang kerajaan Malaysia terletak di Malaysia dan bukannya di luar negara seperti yang disangka. Untuk lebih jelas, pada tahun 2020, institusi tempatan, syarikat dan rakyat Malaysia adalah pemiutang kepada hutang kerajaan iaitu sebanyak 76% berbanding pihak asing sebanyak 24%. Jumlah hutang kerajaan Malaysia kini berjumlah RM880 billion.

Adakah hutang pihak asing serendah ini dahulu? Tidak semestinya. Pada tahun 2016, pemilikan asing dalam hutang kerajaan setinggi 32%, meningkat daripada 27% pada tahun 2011. Sejak itu, syarikat dan institusi tempatan memegang kebanyakan hutang kerajaan di mana pada tahun 2018, pemilikan asing jatuh ke paras terendah disebabkan oleh ketegangan ekonomi antara Amerika Syarikat dengan China.

Jadi, siapakah entiti tempatan yang memegang kebanyakan hutang kerajaan ini?

Institusi kewangan seperti bank, insurans dan entiti kewangan lain adalah pemegang terbesar hutang kerajaan di paras 36%. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula menduduki tangga kedua sebanyak 24% manakala Kumpulan Wang Amanah Pekerja (KWAP), syarikat dana pencen awam, merangkumi 3% daripada hutang kerajaan. Bank Negara Malaysia (BNM) bukannya pemiutang hutang negara yang besar di mana untuk 10 tahun ini, kadar peratusan yang dipegang hanya 0.7%.

Fakta #2: Majoriti Hutang Mempunyai Tarikh Luput Dalam Masa 5 Tahun Ke Atas

Pada tahun 2020, terdapat sebanyak RM609 billion hutang kerajaan persekutuan yang mempunyai tarikh luput. Kerajaan memantau perkara ini secara aktif dan cuba mengisukan hutang dengan tarikh luput lebih lama untuk menguruskan aliran tunai lebih efisien.

Jadi, kebanyakan hutang yang dimiliki sekarang mempunyai tarikh luput yang agak lama. 61% daripada keseluruhan hutang pada tahun 2020 mempunyai tarikh luput lebih daripada 5 tahun. Hutang yang mempunyai tarikh luput lebih daripada 15 tahun pula meningkat daripada 5% pada tahun 2011 kepada 18% pada tahun 2020. Sementara itu, hutang dengan tarikh luput bawah 5 tahun telah berkurangan daripada 51% pada tahun 2011 kepada 39% kini.

Adakah bagus untuk mempunyai hutang dengan tarikh luput yang lebih panjang? Secaraa amnya, bagus untuk kerajaan kerana pembayaran boleh dibuat sedikit demi sedikit dan pembayaran duit pokok ini masih lagi jauh. Ini akan mengurangkan bebanan jangka masa pendek untuk membayar hutang dan membolehkan aliran tunai diurus dengan lebih efisien.

Ini juga sebab mengapa kerajaan fokus terhadap hutang dengan tarikh luput yang panjang dan lebih aktif kerana status kredit negara semakin stabil.

Fakta #3: Hutang Kerajaan Meningkat Dengan Pesat Pada Tahun 2010an Tetapi Semakin Perlahan

Hutang kerajaan Malaysia menigkat dengan konsisten untuk 10 tahun kebelakangan ini. Tiga kali ganda dalam masa hanya 12 tahun daripada RM306 billion kepada RM880 billion kini. Tempoh daripada tahun 2008 hingga 2012 menunjukkan peningkatan tertinggi hutang negara yang berkembang dengan kadar tahunan 13.2%.

Dalam masa hanya 4 tahun, hutang kerajaan meningkat dua kali ganda kepada RM502 billion pada tahun 2012. Tahun-tahun berikutnya menunjukkan hutang kerajaan meningkat dengan perlahan dengan kadar tahunan 6.8% daripada tahun 2013 hingga 2019. Namun, pada tahun 2020, untuk menangani pandemik COVID-19, kerajaan mengambil lebih banyak hutang di mana ia meningkat sebanyak 10.9% hanya dalam masa setahun.

Adakah ini tinggi atau rendah? Metrik ukuran yang selalu digunkana untuk menjawab soalan ini adalah nisbah hutang kerajaan persekutuan dengan kadar Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK). Kiraan seperti di bawah:

Nisbah hutang kepada kadar KDNK: (Hutang Kerajaan Persekutuan / kadar KDNK) x 100

Untuk Malaysia, nisbah ini masih konsisten di paras 50% hingga 55% untuk dekad lepas. Kerajaan meletakkan had sebanyak 55% untuk nisbah ini tetapi bukannya had atau piawaian rasmi dan bergantung kepada polisi. Baru-baru ini, nisbah hutang kepada kadar KDNK telah meningkat kepada 61% untuk inisiatif menentang kegawatan ekonomi. Angka ini susah untuk dinilai sama ada tinggi ataupun rendah.

Menurut data daripada Trading Economics, kebanyakan negara maju di dunia memiliki nisbah hutang kepada kadar KDNK melebihi 100%. Contohnya, Jepun yang merekodkan peratusan setinggi 266% manakala Amerika Syarikat di paras 108%. Berbanding dengan negara ini, kadar Malaysia berada di paras yang rendah. Semuanya bergantung kepada perspektif.

Fakta #4: Kebanyakan Hutang Adalah Dalam Ringgit Malaysia

Hutang negara kita kebanyakannya dalam matawang Ringgit Malaysia. Lebih kurang 97% hutang dalam Ringgit manakala hanya 2% dalam bentuk US Dollar dan 1% dalam bentuk Japanese Yen.

Memandangkan Ringgit semakin bersifat antarabangsa, kerajaan telah memastikan bahawa mereka isukan hutang dalam Ringgit Malaysia. Pada awal tahun 2000, 80% daripada hutang dalam bentuk Ringgit. Peratusan ini meningkat atas 95% sejak daripada tahun 2009.

Adakah ini bagus? Bergantung. Dengan hutang dalam Ringgit, kerajaan tidak terdedah dengan naik turun matawang lain yang boleh membuatkan nilai hutang yang perlu dibayar meningkat.

Namun, pelabur asing pula kurang berminat jika hutang yang diberikan adalah dalam bentuk Ringgit berbanding matawang asing. Ini kerana kebanyakan pelabur antarabangsa lebih yakin akan nilai US Dollar, Euro atau Yen berbanding Ringgit Malaysia.

Fakta #5: Wang Digunakan Untuk Memacu Ekonomi Negara

Dalam tahun kebelakangan ini, hutang negara digunakan secara meluas untuk pelaburan dalam projek yang dianggap penting untuk ekonomi. Perbelanjaan pembangunan secara puratanya berjumlah RM47 billion setiap tahun daripada tahun 2010 hingga 2020. Ini bermakna dalam temph 10 tahun, perbelanjaan kerajaan berjumlah RM517 billion ke atas ekonomi Malaysia.

Kebanyakan wang ini dibelanjakan untuk projek pengangkutan seperti tambahan LRT, MRT, MRT2 dan ECRL yang merangkumi 22% daripada jumlah perbelanjaan negara. Pelaburan dalam pendidikan pula menduduki tangga kedua sebanyak 14% dan diikuti dengan pertahanan dan perdagangan industri sebanyak 10% setiap satu. Selain itu, perbelanjaan kerajaan juga merangkumi kemudahan awam (8%), pertanian dan pembangunan luar bandar (5%), servis komuniti dan sosial (6%), perubatan (4%) dan perumahan (3%).

Adakah ini bagus? Seperti jawapan sebelum ini. Ia bergantung kepada perspektif anda. Asasnya, pelaburan ke atas sistem pengangkutan negara dapat menaikkan taraf hidup rakyat Malaysia kerana ia dapat mengurangkan masa perjalanan dan kesesakan trafik. Pendidikan pula adalah tunjang kepada prestasi ekonomi masa depan dan penting untuk setiap rakyat Malaysia. Sektor lain yang dilaburkan juga penting untuk negara.

Namun, penglibatan kerajaan dalam ekonomi telahpun dikritik kerana membuatkan keadaan tidak kondusif bagi sektor swasta. Kerajaan sepatutnya memantau perniagaan tetapi kerajaan pula yang memantau dan mempunyai modal lebih besar. Jadi, ini boleh membawa kepada persaingan tidak sihat.

Fakta #6: Kerajaan Semakin Bergantung Kepada Hutang Untuk Membiayai Perbelanjaan

Dalam hal kewangan kerajaan, “untung” yang diperoleh oleh kerajaan semakin berkurangan setiap tahun sejak satu dekad lalu. Ini membuatkan kerajaan semakin susah untuk membiayai perbelanjaan mereka. “Untung” kerajaan dikira melalui tolakan perbelanjaan kerajaan dan perolehan kerajaan.

Untung = Perolehan – Perbelanjaan

Daripada tahun 2001 hingga 2010, kerajaan telah memperolehi RM11.3 billion keuntungan bersih setiap tahun dan membuatkan kewangan stabil untuk dibelanjakan ke arah pembangunan. Namun, daripada tahun 2011 hingga 2020, keuntungan ini menurun dengan mendadak kepada RM1.9 billion setiap tahun. Untuk konteks, kerajaan menjana perolehan tertinggi sebanyak RM264 billion tetapi hanya memperoleh keuntungan RM1.1 billion.

Apa yang telah terjadi? Kerajaan sebenarnya mempunyai lebih banyak kos operasi dan perbelanjaan untuk tahun kebelakangan ini. Perbelanjaan meningkat dengan kadar sebanyak 6.3% setiap tahun daripada 2010 hingga 2019 berbanding kadar peningkatan perolehan iaitu 5.8%.

Jadi, untuk memastikan kerajaan mengekalkan pelaburan dalam ekonomi Malaysia, mereka perlu menggunakan lebih banyak hutang setiap tahun. Ini boleh mendatangkan keburukan dalam jangka masa panjang jika terlalu bergantung kepada hutang untuk mengekalkan operasi sedia ada.

Rumusan

Hutang kerajaan persekutuan telah meningkat sejak satu dekad lepas dan digunakan sebagai kos operasi. Walaupun membimbangkan, ia perlu dilihat dari segi perspektif bahawa kadar ini masih selamat kerana pemiutang terdiri daripada institusi tempatan dan dalam bentuk matawang Ringgit. Majoriti hutang pula mempunyai tarikh luput yang masih panjang dan kadar peningkatan hutang juga semakin perlahan.

Akhir kata, kerajaan masih perlu melabur ke dalam ekonomi untuk memastikan prospek jangka masa panjang dapat direalisasikan.

 

Apa pendapat anda tentang jumlah hutang kerajaan Malaysia? Kongsi bersama kami di seksyen komen di bawah.

You May Also Like