Matawang kripto tidak terhad kepada Bitcoin sahaja. Ketahui lebih lanjut mengenai altcoin dan bagaimana anda boleh teroka dunia baru matawang kripto. (Original article in English)

Salah satu aspek penting dalam pengurusan kewangan peribadi adalah memastikan anda menambahkan wang anda melalui pelaburan. Topik utama dalam dunia pelaburan kini adalah matawang kripto. Namun, bukan Bitcoin sahaja yang ada di pasaran matawang kripto.

Anda boleh juga teroka tentang kelas aset altcoin.

Apa Itu Altcoin?

Alternatif + Coin = Altcoin

Sebarang matawang kripto yang bukan Bitcoin dipanggil “altcoin” kerana ia adalah alternatif kepada Bitcoin.

Matawang kripto boleh hilang taraf sebagai “altcoin” sekiranya ia semakin diterima ramai. Sebagai contoh, Ethereum semakin penting dalam dunia kripto dan tidak lagi dianggap sebagai altcoin. Namun, alternatif kepada Ethereum akan masih dianggap sebagai altcoin.

Altcoin dibina berdasarkan sebab-sebab yang berbeza. Ada daripadanya yang direka untuk menyelesaikan masalah dalam industri kewangan dan ada yang digunakan untuk industri khas seperti fesyen atau pengurusan rangkaian bekalan. Ada juga yang direka semata-mata tanpa tujuan. Contohnya, Garlicoin yang direka hanya kerana ia boleh direka.

Altcoin dibina selepas Bitcoin dan sentiasa mengalami naik turun dari segi populariti. Peratusan altcoin merangkumi lebih 40% daripada seluruh nilai matawang kripto. Dengan sebanyak 50,000 jenis yang berbeza, logik untuk katakan yang tidak semua akan berjaya atau mempunyai potensi jangka masa panjang.

Memandangkan jumlahnya yang begitu banyak, susah untuk mengenal pasti mana altcoin yang bagus atau tidak. Pastikan anda membuat kajian anda sendiri dan anda tahu akan fungsinya sebelum merisikokan wang anda dalam altcoin.

Cara Altcoin Dikategorikan

Apabila topik altcoin diusulkan, anda perlu faham bahawa terdapat banyak jenis altcoin yang mempunyai lebih daripada satu kategori.

Antara kategori altcoin:

  • Matawang kripto berasaskan pelombongan: Matawang yang dicetak melalui proses pelombongan, sama seperti Bitcoin, di mana matawang dicetak dengan menyelesaikan masalah matematik yang kompleks untuk membina blok baru.
  • Stablecoin: Matawang yang disandarkan dengan matawang biasa untuk mengurangkan naik turun
  • Token Sekuriti: Versi token digital untuk saham, sekuriti atau ekuiti. Matawang ini disandarkan kepada syarikat dan selalunya ditawarkan melalui proses initial coin offering (ICO). Matawang ini, seperti saham, akan membayar dividen dan menunjukkan nilai sebagai saham.
  • Token Utiliti: Matawang ini dijual melalui proses ICO dan boleh ditukar untuk barangan atau servis.

Patutkah Anda Labur Ke Dalam Altcoin?

Sebagai simpanan, matawang kripto mempunyai ciri tersendiri. Ada pelabur yang ingin melabur dalam altcoin kerana percaya akan visi projek dan penggunaan matawang tersebut. Yang lain pula percaya bahawa semua ini hanya sekadar hype dan ada pelabur yang ingin melabur berdasarkan kepada prestasi sesuatu matawang.

Antara kelebihan dalam melabur dalam altcoin adalah potensi keuntungan yang tinggi. Altcoin mungkin mempunyai nilai lebih kecil berbanding Bitcoin tetapi disebabkan itulah, ia boleh meningkat dengan mendadak.

Jika anda melabur dalam altcoin, anda perlu tahu ke mana wang anda akan pergi dan siapa dalam pengurusan projek. Anda hanya perlu google SEC and cryptocurrency” dan anda akan jumpa pelbagai jenis penipuan dan tuduhan skim Ponzi.

Altcoin yang mempunyai nilai yang kecil perlu dijauhi. Walaupun ada antara matawang ini yang masih bereksperimen dengan teknologi blockchain, ia masih terdedah dengan manipulasi pasaran dan penggodaman.

Harga setiap matawang pula tidak sama dengan nilai matawang apabila anda kaji secara terperinci. Market capitalization adalah nombor yang menunjukkan penilaian sesuatu matawang. Altcoin dengan nilai yang rendah mempunyai potensi untuk naik dengan lebih mendadak tetapi juga mempunyai risiko lebih tinggi.

Risiko Pelaburan Altcoin

  • Risiko tinggi: Melabur dalam altcoin bermakna anda memilih risiko yang tinggi memandangkan kebanyakan altcoin hilang nilai. Harganya juga naik dan turun dengan mendadak kerana ia bersandarkan hanya kepada permintaan dan bekalan pasaran, tidak bersandarkan kepada apa-apa barangan fizikal. Ini bermakna akan ada penurunan/kenaikan harga yang drastik.
  • Lebih terdedah kepada manipulasi harga: Altcoin lebih terdedah kepada manipulasi disebabkan oleh nilai pasaran yang terhad dan jumlah transaksi yang sedikit. Ini bermakna apa-apa pembelian dan penjualan besar akan memberi kesan yang tinggi kepada harga.
  • Kehilangan fungsi: Apabila teknologi semakin maju, ada altcoin yang tidak dapat selari dengan arus pembangunan dan akan hilang nilainya.
  • Tiada perlindungan pengguna: Tidak sama seperti bank konvensional. Pengguna tidak dapat memperoleh perlindungan rasmi atau insurans atas aset mereka dalam matawang kripto.
  • Masalah kawalan undang-undang: Memandangkan kelas aset ini masih baru, kerajaan dan bank masih tidak dapat membina polisi kawalan untuk kekal relevan. Jadi, akan ada potensi yang status cukai, undang-undang dan status pegangan boleh diubah semalaman.

Potensi Ganjaran Altcoin

Lumrah risiko dan ganjaran menyatakan bahawa lebih tinggi risiko, lebih tinggi ganjarannya. Namun, lebih susah untuk menilai altcoin dari segi risiko dan ganjaran sahaja.

Keseluruhannya, jika anda buat kajian anda sendiri dan selesa dengan kadar risiko, anda mampu memperoleh ganjaran yang tinggi dalam altcoin. Tidak terkejut jika sesuatu altcoin itu naik 100 kali ganda dalam masa hanya beberapa bulan. Namun, lebih susah bagi pelabur untuk menilai sama ada projek itu betul-betul mempunyai potensi masa depan, sama seperti menilai saham.

Rumusan

Anda perlu kenali pilihan anda dalam memilih matawang kripto yang ingin dilaburkan. Pada masa yang sama, anda perlu teroka dan kaji sendiri penggunaan sesuatu matawang dan pastikan anda faham sebelum melabur. Potensi untuk untung atau rugi terletak di tangan anda.

 

Apa pendapat anda tentang altcoin?

You May Also Like