Jika anda terbeban dengan hutang, terdapat beberapa tip pengurusan hutang untuk masa depan kewangan yang lebih baik. (Original article in English)
Hutang boleh menjadi perkara yang sangat bahaya. Anda mungkin berada dalam hutang yang terlalu banyak sehingga sukar untuk membuat pembayaran semula. Jumlah faedah juga akan bertambah dan skor kredit anda akan terjejas.
Menguruskan hutang anda boleh menjadi satu perkara yang sukar. Anda perlu memastikan pemikiran anda stabil, yang membolehkan keputusan kewangan dibuat dengan lebih baik. Anda juga perlu mengajar diri tentang pinjaman rumah, kad kredit dan skor kredit. Anda juga perlu mengawal diri semasa menguruskan kewangan. Semua ini membuktikan bahawa bukan mudah untuk menguruskan perbelanjaan dan membayar hutang anda.
Di Malaysia, pengurusan kewangan peribadi mungkin sesuatu yang bukan mudah untuk dipelajari. Tetapi, berita baiknya adalah ia boleh dipelajari dengan kaedah yang betul
Contents
Ketahui Hutang Anda
Langkah pertama untuk menyelesaikan sebarang masalah adalah memahaminya terlebih dahulu. Anda perlu tahu dengan lebih mendalam tentang tentang terma dan syarat hutang tersebut. Berikut adalah beberapa tip untuk memahami hutang
- Tulis hutang yang anda ada. Senaraikan hutang anda adalah langkah pertama. Maklumat yang perlu diletakkan adalah nama pemiutang, alamat dan nombor telefon, baki hutang, jumlah ‘bunga’, bayaran minimun dan sebarang maklumat lain yang dirasakan penting
- Gunakan aplikasi kewangan: Ramai individu yang menggunakan aplikasi seperti Quicken. Anda boleh memanfaatkannya untuk mencatatkan setiap hutang yang ada dan membuat bajet untuk membayarnya.
- Templat Excel percuma: Microsoft ada menyediakan templat Excel percuma untuk membantu anda mencatatkan setiap hutang dan bajet.
- Minta bantuan orang lain: Jika sukar untuk melakukannya seorang diri, anda boleh meminta bantuan pasangan atau lebih baik, penasihat kewangan berlesen yang mampu memberikan nasihat kewangan yang lebih menyeluruh.
Pengurusan Bajet yang Baik
Pengurusan hutang yang baik membolehkan anda mempunyai lebihan wang setelah digunakan untuk membayar komitmen dan perbelanjaan pada setiap bulan. Ia mungkin sukar dan perlahan, tetapi jika dilakukan dengan baik dan berdedikasi, anda boleh mencapainya.
Mulakan dengan merangka bajet yang mampu menampung perbelanjaan bulanan anda. Kemudian, ketepikan juga jumlah yang sesuai untuk membayar komitmen dan hutang dengan menggunakan bajet yang telah disediakan. Antara hutang dan perbelanjaan penting yang boleh diutamakan ialah pinjaman hartanah, utiliti dan juga kad kredit.
Jadi Realistik Semasa Membayar Hutang
Sudah tentu anda mahu menyelesaikan hutang anda dengan segera, namun kita tidak mahu tergopoh-gapah bukan? Anda perlu mengenal pasti objektif kewangan anda dan seimbangkan kehendak dan keperluan.
Rancang lebih awal untuk segala perbelanjaan dan tinggalkan wang yang cukup bagi urusan kecemasan. Jika anda tidak membuat sebarang perancangan yang tepat, perbelanjaan baru akan mempengaruhi bajet sedia ada. Pastikan bajet tersebut praktikal untuk anda. Ia akan mengambil masa yang lebih lama untuk membolehkan hutang yang besar dapat diselesaikan. Jangan buat sebarang sasaran kewangan yang tidak realistik hingga menyukarkan anda untuk mencapainya.
Cari Faedah yang Rendah
Amat penting untuk mencari penyelesaian bagi mengurangkan kadar faedah hutang sementara anda cuba untuk meningkatkan skor kredit. Dengan mempunyai kadar faedah yang rendah boleh mempercepat masa untuk menyelesaikan hutang tersebut, samada pinjaman rumah, kereta, kad kredit atau sebarang jenis hutang yang lain.
Walaupun penting untuk anda mendapatkan kadar faedah yang rendah, anda mungkin perlu berhati-hati dengan firma penyusunan semula hutang. Walaupun mereka menjanjikan harga yang rendah dan pembayaran sekali sahaja, namun terdapat beberapa aduan daripada pelanggan yang menggunakan khidmat mereka. Antara pilihan yang lain adalah membiayai semula dan menggabungkan hutang anda secara dalam talian.
Komunikasi Dengan Pemiutang
Apapun yang anda lakukan, jangan bersembunyi atau melupakan hutang sedia ada. Jika anda sukar untuk membayar hutang, hubungi pemiutang dan terangkan kepada mereka situasi anda. Mereka mungkin bersetuju untuk menyusun semula jadual pembayaran dan tidak memberikan sebarang caj jika lewat membayarnya.
Corak hutang anda boleh diketahui oleh syarikat kredit kad (bank) jika tidak berada dalam laluan yang baik. Kebanyakannya boleh membincangkan syarat dan membuat rancangan pembayaran untuk membolehkan anda berada di laluan yang betul. Mereka lebih terdorong untuk membincangkan semula jumlah hutang daripada menuntutnya di mahkamah atau menghapuskan hutang anda.
Kurangkan Belanja, Lebihkan Simpanan
Adahkah anda perlu bekerja lebih masa atau mempunyai kerja separuh masa untuk menampung perbelanjaan yang semakin meningkat dan hutang yang bertambah?
Untuk menyelesaikan hutang, anda boleh memperoleh ketenangan dengan mengurangkan perbelanjaan dan menyimpan dengan lebih banyak. Dengan mengenalpasti setiap perbelanjaan mingguan atau bulanan, anda boleh mengawal belanja bulanan dengan lebih baik. Apabila anda lebih memahami setiap duit yang masuk dan duit yang keluar, ia akan memberikan ruang untuk mengurangkan kos sedia ada.
Jika anda membuat simpanan atau pelaburan di dalam tabung persaraan, ia boleh digunakan untuk menyelesaikan sebahagian daripada hutang kad kredit tersebut. Dengan lebihan tunai itu, ia membantu mengurangkan beban sedia ada.
Duit yang disimpan untuk pembayaran yang lebih cepat dalam jangka masa panjang akan jauh lebih tinggi daripada faedah yang diterima dengan memasukkan jumlah yang sama dalam bon simpanan. Oleh sebab itu, buat keputusan yang baik dan gunakan imaginasi anda untuk pembayaran semula cukai dan membersihkan rekod hutang anda.
Kaunseling Kredit Boleh Membantu
Jika pendidikan pengurusan wang dan terapi bajet adalah yang anda perlukan, anda boleh dapatkan sokongan dan nasihat daripada agensi kaunseling kredit. Agensi ini boleh memberikan penyelesaian untuk menghapuskan hutang, memberikan nasihat pembelian rumah dan juga merujukkan anda kepada agensi lain yang berkaitan. Untuk mengatur jadual pembayaran, mereka boleh menghubungi pemiutang anda membuat perancangan pengurusan hutang.
Jika anda mahu mendapatkan nasihat daripada agensi kaunseling kredit, semak dahulu kelayakan mereka. Tidak semua adalah syarikat yang sah; mereka mungkin mengenakan bayaran yang tidak munasabah, enggan memberikan perkhidmatan yang dijanjikan atau nasihat yang tidak relevan.
Apakah tip yang anda rasa sesuai untuk pengurusan hutang?
Leave A Comment