Apakah yang membuatkan sesuatu pelaburan itu halal? Di sini, kami bentangkan 5 jenis pelaburan patuh Shariah yang terbaik untuk anda buat keputusan. (Original article in English)

Pelaburan halal adalah konsep yang merujuk kepada pelaburan patuh shariah. Konsep ini juga boleh bermaksud jenis pelaburan yang bertanggungjawab dan mesra komuniti jika ingin dilihat dengan lebih meluas.

Matlamat pelaburan shariah, menurut ajaran Islam, adalah untuk memelihara dan mengukuhkan 5 perkara; agama, nyawa, minda, keluarga dan hak. Doktrin shariah memberi panduan untuk komuniti agar sentiasa mengimbangkan ekosistem antara masyarakat dan individu. Walaupun tidak dilarang untuk “mementingkan diri sendiri”, pelaburan shariah yang dibuat perlulah tidak memudaratkan orang lain – termasuklah dalam aspek pelaburan dan pengurusan kewangan peribadi.

Terdapat pelbagai jenis pelaburan patuh Shariah di Malaysia yang dibina untuk memberi pilihan kepada umat Islam melabur. Pada masa yang sama, pelaburan ini dapat membentuk tanggungjawab untuk Muslim dalam hal kewangan dan secara langsung, memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.

Pelaburan halal  pada asasnya merujuk kepada pelaburan yang dibuat berdasarkan hukum Shariah. Hukum Shariah adalah undang-undang Islam yang mempunyai larangan tertentu. Sebagai contoh, riba diharamkan dalam Islam – ini adalah ciri utama pelaburan Shariah. Apabila anda melabur ke dalam pelaburan patuh Shariah, ini bermakna anda akan melabur ke dalam aset yang tidak mempunyai konsep riba. Selain itu, pelabur dalam aset patuh Shariah juga tidak akan mempunyai elemen-elemen yang tidak dibenarkan dalam Islam seperti rokok, alkohol atau perjudian.

#1. Dana Amanah Islamik dan Exchange Traded Funds (ETFs)

Dana amanah dalam Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) tidak semestinya bermaksud pelaburan tersebut mempunyai status patuh Shariah tetapi ada fatwa bahawa pelaburan tersebut adalah “harus” sebagai pengeculian. Tabung Haji pula, sudah tentu, mempunyai status patuh Shariah. Tabung Haji adalah institusi penting dalam memastikan pembayaran zakat dibuat melalui keuntungan pelaburan dari pihak anda.

Apabila disebut dana amanah, juga dikenali sebagai unit trusts,  anda boleh mengenal pasti sama ada ianya patuh Shariah atau tidak melalui nama dana tersebut. Jika nama dana disertakan dengan “Shariah”, “Islamik” atau “Sukuk”, dana tersebut patuh Shariah.

Berkenaan dengan ETF pula, tak semua patuh Shariah. Secara asasnya, ETF dijual beli di pasaran Bursa Malaysia tetapi berfungsi seperti dana amanah. Perbezaan paling besar adalah cara ETF ditawarkan sama seperti saham manakala dana amanah perlu dijual beli di penghujung hari berdasarkan kadar harian.

ETF patuh shariah berbeza dengan ETF konvensional. Untuk ETF bersifat Islamik, indeks yang diikuti adalah indeks Islamic di mana syarikat yang termasuk dalam indeks ini adalah syarikat dengan status patuh Shariah. ETF Islamik juga perlu mengikuti panduan tambahan dalam memastikan status Shariah, yang dipantau oleh jawatankuasa yang dilantik khas.

Terdapat beberapa pilihan ETF yang ada di Malaysia dan boleh dikenal pasti melalui nama (yang disertai dengan Islamik).

#2. Saham Patuh Shariah

Pelaburan halal semuanya berkisar atas nilai Islam sendiri. Pelaburan akan dipantau melalui jawatankuasa yang terdiri daripada orang yang arif akan Islam dalam memastikan tiadanya elemen perjudian, senjata api, riba dan usyur.

Pelaburan dalam sesuatu sektor atau perniagaan yang luar daripada ruang etika ini adalah dilarang dalam hukum Shariah. Pelabur yang patuh akan agama Islam perlu memastikan sama ada pelaburan mereka jatuh kepada kategori mana. Menurut nilai Islam, pelabur akan berkongsi keuntungan dan kerugian, tidak mengumpul riba dan tidak mempunyai elemen yang dilarang dalam Islam.

Ramai Muslim sendiri membeli saham tanpa mengetahui sama ada saham tersebut patuh Shariah ataupun tidak. Setiap saham syarikat perlu melalui piawaian tertentu untuk status Shariah dan akan sentiasa diperiksa untuk mengekalkan status ini.

Organisasi Pengurusan Akaun dan Audit Institusi Kewangan Islamik, yang dikenali sebagai AAOIFI Shariah, telah mengenal pasti 3 aspek penting dalam memastikan sama ada saham tersebut patuh shariah ataupun tidak:

  • Hutang yang dikenakan riba untuk sebuah syarikat tidak boleh melebihi 30% daripada nilai keseluruhan saham syarikat.
  • Aset yang menerima riba tidak boleh menerima lebih daripada 30% daripada nilai keseluruhan saham syarikat.
  • Pendapatan yang diperoleh melalui aktiviti tidak patuh Shariah tidak boleh melebihi 5% daripada jumlah keseluruhan pendapatan.

Untuk kebanyakan kes, membeli saham daripada syarikat yang mungkin mempunyai transaksi melibatkan riba dan konsep lain yang dilarang tidak boleh dibuat sama sekali walaupun aktiviti utama syarikat dibenarkan dalam hukum Shariah. Namun, terdapat beberapa pengecualian seperti yang disebut di atas dan bergantung kepada keputusan jawatankuasa untuk mengenal pasti status patuh Shariah untuk sesuatu syarikat.

#3. Aktiviti Perniagaan

Industri halal dan patuh shariah adalah industri yang besar. Banyak peluang perniagaan setiap tahun timbul yang menawarkan servis, produk dan platform yang menyasarkan pasaran Muslim bersama dengan sektor baru.

Melalui perspektif pelaburan, menyertai perniagaan – atau melabur ke dalam sesuatu perniagaan – adalah pilihan yang baik. Melabur berdasarkan nilai-nilai agama adalah konsep yang semakin diterima ramai umat Islam dan akan lebih popular di masa akan datang. Kebanyakan panduan untuk pelaburan patuh Shariah juga digunapakai dalam konsep pelaburan mesra sosial (“socially responsible investing“) yang juga semakin popular.

Konsep ini sebenarnya mudah sahaja; labur ke dalam perniagaan atau idea yang tidak memudaratkan masyarakat. Malah, syarikat perlulah memberi manfaat kepada masyarakat dan mengikuti nilai kemanusiaan sama seperti yang diajar dalam Islam. Untuk lebih spesifik, aktiviti yang dilarang dalam Islam perlulah kurang daripada 5% daripada keseluruhan pendapatan. Alkohol, perjudian, rokok, barangan lucah, produk berasaskan khinzir, peras ugut, riba/usyur, insurans konvensional dan servis kewangan tradisional adalah contoh aktiviti yang dilarang.

Selain itu, umat Islam juga tidak boleh memperoleh keuntungan dengan meminjamkan wang melalui konsep riba. Mencari pelaburan dalam perniagaan bebas riba semakin susah dalam dunia yang berdasarkan ekonomi riba tetapi di negara Malaysia, peluang ini semakin banyak. Sektor ekonomi Islam yang lain juga semakin berkembang seperti fesyen Muslimah, makanan halal dan juga kosmetik serta produk kecantikan yang halal.

#4. Emas

Emas sering dianggap sebagai pelaburan yang patuh shariah. Dalam empayar Islam juga, terdapat banyak kisah tentang emas. Contohnya, seperti kisah Mansa Musa. Negeri Kelantan yang menerapkan ajaran agama Islam juga pernah cuba untuk meletakkan dinar emas dan dirhan sebagai mod transaksi mereka.

Melalui pandagan pelabur, emas adalah komoditi yang digunakan apabila terdapatnya kadar naik turun pasaran yang tinggi. Ini adalah kerana emas lebih stabil berbanding matawang dunia yang lain. Ianya boleh dianggap sebagai sauh dalam dunia kewangan. Ada sebab mengapa harga emas semakin meningkat dalam 5 tahun kebelakangan ini iaitu keadaan pasaran yang tidak menentu.

Anda boleh membeli emas dengan cara tradisional (emas fizikal) atau membeli peratusan pembahagian emas dalam talian. Dengan teknologi kewangan (FinTech), pemilikan emas semakin boleh diakses semua orang (dan juga semakin rumit). Terdapat pelbagai jenis pemilikan emas seperti e-gold, emas digital dan akaun simpanan emas. Sesetengah platform membolehkan anda jual beli emas dalam talian dengan pembeli lain. Secara langsung, ini mengurangkan caj orang tengah. Platform inovatif lain pula membolehkan anda mencarum ke dalam emas setiap bulan melalui fungsi direct debit. Banyak lagi perkembangan yang boleh dibuat untuk teknologi pelaburan emas.

Namun, anda juga perlu berhati-hati apabila membeli emas. Terdapat banyak skim Ponzi dan penipuan berkaitan emas jadi pastikan anda buat kajian anda sendiri. Jangan malu untuk tanya orang yang lebih berpengetahuan.

Apabila anda membeli emas dalam talian, penting untuk anda tahu bahawa anda membeli emas fizikal yang jelas hak miliknya serta rekod bukti (ini adalah kunci kepada pelaburan emas yang halal). Anda juga boleh memiliki ETF emas yang memiliki emas fizikal tetapi ETF yang memiliki emas dalam bentuk kontrak futures dan options adalah haram. Kontrak ini tidak dibenarkan dalam Islam.

#5. Hartanah

Hartanah adalah pilihan sepanjang zaman untuk kebanyakan pelabur. Ianya popular, stabil dan tidak terlalu rumit. Namun, pelaburan hartanah juga datang dengan cabaran tersendiri tetapi pendapatannya agak memuaskan. Anda juga perlu tahu bahawa nilai kecairan hartanah tidak sebagus saham, emas dan pelaburan lain. Hartanah popular di kalangan orang Islam.

Walaupun begitu, terdapat beberapa perkara yang anda perlu kenal pasti sebagai pelabur hartanah Muslim. Kebanyakan proses pembelian rumah berkait rapat dengan sistem pinjaman konvensional yang menggunakan riba. Ini bermakna riba (faedah) dari bank. Di Malaysia, sektor kewangan Islamik semakin berkembang dan terdapat pilihan yang sesuai untuk pelabur Muslim. Bank-bank utama di Malaysia juga sudah pun mempunyai pilihan perbankan Islamik.

Selain itu, pelabur untuk hartanah komersial juga perlu berhati-hati agar tidak memperoleh sewa daripada penyewa yang mengoperasikan aktiviti tidak patuh Shariah (sebagai contoh; bar atau pusat perjudian).

Rumusan

Sama ada anda pelabur Muslim atau bukan Muslim, pilihan patuh Shariah amat menarik untuk yang lebih sedar akan kepentingan pelaburan yang mesra sosial. Dengan pengetahuan ini, sedikit sebanyak anda dapat membuat keputusan yang lebih menyeluruh selari dengan hukum Shariah.

 

Adakah anda berminat untuk tahu lebih lanjut berkenaan pelaburan patuh Shariah dan halal?

 

You May Also Like