Kerajaan baru-baru ini telah mengumumkan PKP Penuh untuk mengawal jangkitan Covid-19 di Malaysia. Ia secara tidak langsung boleh memberikan kesan terhadap ekonomi negara dan juga hasil pendapatan rakyat. Apakah antara langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk mengawal kewangan semasa PKP Penuh ini?

Pada 28 Mei lalu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan ‘total lockdown’ atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh di seluruh negara termasuk penutupan penuh sector sosial dan ekonomi selama 14 hari bermula 1 Jun hingga 14 Jun setelah kes Covid-19 telah mencecah lebih 8,000 kes sehari dan kes aktif melebih 70,000 kes.

Menerusi PKP Penuh tersebut, semua sektor ekonomi dan sosial tidak dibenarkan beroperasi secara penuh.

Penutupan penuh seperti ini sudah tentu akan mempengaruhi sumber pendapatan untuk sebahagian daripada rakyat Malaysia dan mampu memberikan kesan yang buruk kepada pengurusan kewangan anda. Anda akan berhadapan dengan risiko untuk dibuang kerja, pemotongan gaji dan bagi pemilik perniagaan boleh menyebabkan kerugian yang besar kerana kekurangan jualan.

Pandemik yang telah dihadapi selama hampir dua tahun ini telah mengubah pemikiran kita tentang duit dan kewangan. Kebanyakkannya mula menyedari bahawa mereka tidak mempunyai simpanan yang cukup untuk waktu kecemasan dan tidak mampu mengekalkan gaya hidup semasa jika kehilangan sebarang punca pendapatan.

Namun begitu, walaupun pandemik ini mampu mempengaruhi pengurusan kewangan anda dalam jangka masa panjang, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk membina kestabilan kewangan yang diingini untuk anda dan keluarga. Sebelum semua langkah ini dibuat, ambil nafas panjang dan fokus kepada matlamat anda bagi menghadapi kesan kewangan daripada pandemik ini.

#1. Tambah simpanan kecemasan

Perkara asas dan utama dalam pengurusan kewangan adalah mempunyai simpanan kecemasan. Kebanyakkan daripada rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan mencukupi dan hanya bergantung kepada gaji bulanan untuk membayar komitmen. Jumlah yang disyorkan adalah 3 hingga 6 bulan jumlah perbelanjaan anda.

Tetapi disebabkan oleh tempoh pandemik yang tidak menentu ini, adalah disarankan untuk anda mempunyai simpanan sebanyak 12 bulan belanja. Jika anda tidak pasti bagaimana untuk melakukannya, mulakan dengan mengurangkan perbelanjaan yang bukan keperluan dan ketepikan wang yang berbaki untuk simpanan kecemasan.

#2. Stabilkan semula hutang sedia ada

Mempunyai hutang, terutamanya hutang kad kredit dengan kadar faedah yang tinggi dan juga pinjaman bank adalah berisiko. Anda boleh mencari alternatif lain untuk menyelesaikan hutang kad kredit dengan berbincang dengan pihak bank untuk menukarnya kepada pinjaman bank dengan kadar bayaran bulanan yang lebih rendah.

Jika anda mempunyai pinjaman dengan bank, kini adalah masa terbaik untuk membayar semula dengan kadar yang rendah. Berbincang dengan pihak bank dan cari jalan penyelesaian yang terbaik untuk kedua-dua pihak. Pihak bank akan cuba untuk membantu anda meneruskan pembayaran pinjaman namun perbincangan perlu dilakukan untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas berkenaan pinjaman dan bantuan bersasar sedia ada. Menurut Bank Negara Malaysia, skor kredit anda tidak terjejas dalam laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) sekiranya penstrukturan dan pembiayaan semula pinjaman dilakukan.

Namun, jika situasi kewangan anda amat terkesan disebabkan pandemik ini, elakkan untuk menambah penggunaan kad kredit dan hutang sedia ada kerana ia hanya akan memberi kesan yang buruk kepada kewangan diri.

#3. Berikan bajet anda nafas baru

Ya, menghadapi situasi pandemik ini bukanlah perkara yang mudah. Perasaan ragu-ragu dan gusar tentang apa yang akan terjadi seringkali bermain di fikiran. Selain memainkan peranan anda dengan mematuhi SOP dan duduk di rumah jika tiada keperluan untuk keluar, anda juga perlu memastikan kesemua belanja yang perlu dapat dipenuhi.

Lihat semula bajet untuk menjimatkan wang sedia ada. Contohnya, jika anda bekerja dari rumah, anda boleh menyimpan wang yang digunakan untuk pengangkutan ke tempat kerja kepada tabung simpanan.

Guna masa sekarang untuk mengasah skil memasak sedia ada. Membeli barang mentah untuk memasak secara bulanan adalah lebih murah dibandingkan dengan membeli makanan di luar. Tetapi tidak mengapa jika sekali sekala anda mahu menikmati makanan dari restoran kegemaran namun pastikan ia tidak terlalu kerap.

#4. Melabur dengan bijak

Jika anda mempunyai beberapa portfolio pelaburan, anda berada di jalan yang betul kerana melakukan ‘asset allocation’ atau peruntukan aset. Ia boleh mengelakkan daripada anda mengalami kerugian yang teruk jika hanya melabur dalam satu instrumen sahaja dengan jumlah yang banyak. Jika mampu, pertimbangkan untuk melabur lebih banyak bagi simpanan untuk waktu persaraan.

#5. Cari sumber pendapatan tambahan

Cari peluang untuk menjana pendapatan tambahan menggunakan bakat atau hobi anda. Jika anda mempunyai bakat memasak, boleh mulakan perniagaan menjual makanan secara kecil-kecilan dari rumah. Jika anda boleh melukis, mungkin boleh jual hasil lukisan kepada peminat seni melalui sosial media atau jika anda mahu menjadi ejen menjual barangan keperluan dapur, anda mampu memperoleh komisen walaupun hanya menguruskan tempahan secara dalam talian sahaja.

#6. Bantu golongan yang memerlukan.

Pertimbangkan cara supaya anda mampu menolong golongan yang memerlukan. Jika komuniti sekitar anda mempunyai program bank makanan atau kebajikan untuk golongan B40, anda boleh menyumbang bantuan berbentuk makanan dan barang keperluan diri atau wang ringgit.

Lakukan juga bahagian anda dengan menyokong perniagaan penjaja kecil dan kedai di kawasan sekitar melalui pembelian yang mampu memberikan pendapatan dan membantu mereka menampung perbelanjaan harian.

Kesimpulan

Masih belum terlewat untuk anda menyediakan kewangan bagi menghadapi sebarang kemungkinan pada masa akan datang. Jika anda memerlukan bantuan dan nasihat daripada pakar, dapatkan nasihat kewangan secara holistik daripada perunding kewangan berlesen bagi membantu anda memperkukuhkan rancangan kewangan sedia ada.

 Apakah persediaan anda untuk menghadapi ‘total lockdown’?

You May Also Like