Melabur dalam hartanah adalah komitmen yang amat besar.Ketahui beberapa faktor yang membuatkan anda perlu berfikir dua kali sebelum mengambil langkah besar ini. (Original article in English)

Adakah terdapat pilihan pelaburan yang sering digalakkan dan terkenal seperti pelaburan hartanah? Kebiasaannya tiada.

Pelaburan hartanah telah dipopularkan oleh pelabur yang paling bijak dan terkaya sepanjang sejarah. Pemilik aset hartanah boleh menikmati kelebihan keselamatan kewangan, kekuatan portfolio dan stabil terutamanya pada masa yang sukar.

Sejak PKP yang bermula pada 18 Mac 2020, kerajaan telah mewujudkan beberapa inisiatif bagi meningkatkan tahap kewangan Malaysia. Bank Negara Malaysia, misalnya telah menurunkan  Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 1.75%. OPR adalah pengurusan pencairan (wang tunai!) dan pemindahan ini akan mengeluarkan kira-kira RM30 bilion tunai kepada sistem perbankan. Walaupun ia kelihatan seperti terdapat lebihan wang di dalam ekonomi pada masa ini, ia tidak bermakna anda perlu mengambil risiko tersebut sekarang.

Berikut merupakan beberapa faktor bahawa anda mungkin TIDAK perlu lagi melabur dalam hartanah buat masa ini.

Faktor #1. Anda tidak berfikir secara penuh lagi

Antara faktor yang membuatkan anda perlu berfikir dua kali sebelum melabur dalam hartanah adalah disebabkan kurangnya pengalaman dalam bidang tersebut.

Pasaran hartanah di Malaysia sudah lama menjadi pilihan pelabur dan mempunyai tempoh matang yang bersesuaian bagi pelabur berpengalaman. Selain daripada itu, jumlah pelabur hartanah juga semakin meningkat dalam dua dekad kebelakangan ini apabila semakin ramai yang mahukan masa depan kewangan mereka yang lebih stabil.

Namun begitu, selain daripada lambakan hartanah dalam pasaran, faktor-faktor lain juga perlu dipertimbangkan seperti lokasi dan reputasi pemaju, akses terhadap kemudahan awam dan harga yang ditawarkan.

Tanya diri anda soalan ini; adakah anda berminat dengan hasil dan untung yang bakal diperoleh? Adakah anda berminat dengan perkembangan modal ataupun hanya sekadar perubahan dalam pasaran.

Jika anda tidak lagi mempertimbangkan faktor-faktor ini, anda perlu meningkatkan pengetahuan sedia ada bagi bersedia dengan sebarang kemungkinan yang boleh berlaku.

Faktor #2. Nisbah sewa dan gaji terlalu kecil

Jika anda adalah pekerja bergaji, ini boleh menjadi satu faktor yang utama. Misalnya, anda mahu membeli hartanah idaman, tetapi bayaran bulanan dan kos-kos lain agak tinggi dan tidak padan dengan pendapatan semasa.

Jika anda menyewa di lokasi tumpuan di kawasan bandar, terdapat kemungkinan anda menyewa di kawasan yang selesa dan anda sukar untuk mengorbankan gaya hidup yang selesa itu bagi membeli hartanah.

Menurunkan gaya hidup mungkin membolehkan anda membeli hartanah, tetapi ia juga boleh menyebabkan tekanan terhadap kewangan. Misalnya, rumah yang berharga RM600,000 memerlukan bayaran bulanan berjumlah RM2,700 (tidak termasuk kos tersembunyi yang lain seperti baik pulih dan hiasan dalaman)

Adakah anda mampu? Jika tidak, boleh pertimbangkan untuk meningkatkan pendapatan aktif sebelum melabur dalam hartanah.

Faktor #3. Anda membuat keputusan pelaburan beremosi

Takut akan ketinggalan (atau lebih dikenali sebagai Fear of Missing Out – FOMO) adalah konsep yang berkait rapat dengan emosi manusia apabila banyak keputusan kurang bijak dibuat semasa dipengaruhi oleh emosi.

Terdapat individu yang mahu membeli hartanah kerana mereka kecewa tidak sempat membelinya semasa harganya masih murah. Ada juga yang melabur kerana mengikut rakan-rakan atau keluarga yang melakukannya tanpa sebarang perancangan yang teliti.

Membeli mengikut emosi juga boleh mendedahkan anda dengan pelbagai masalah seperti ejen hartanah yang mencurigakan atau guru hartanah dengan teknik skim cepat kaya sehingga mengaburi mata dalam membuat sebarang keputusan.

Sebelum mahu membuat sebarang pembelian, pastikan anda merujuk mereka yang berkelayakan dan mampu memberikan nasihat kewangan tanpa bias.

Faktor #4. Kekurangan bayaran sewa dan penyewa

Mendapatkan penyewa yang amanah dengan bayaran bulanan yang stabil adalah lebih sukar daripada yang dijangkakan. Pembelian hartanah mungkin mudah untuk anda tetapi mencari penyewa yang bertanggungjawab adalah perkara yang sukar. Faktor yang perlu dipertimbangkan adalah membayar sewa dengan tetap dan tiada sebarang kerosakan yang terjadi.

Terdapat kemungkinan anda akan menghadapi tempoh tiada sebarang bayaran sewa dan jika mempunyai penyewa, mungkin sebahagian daripadanya digunakan untuk membayar pinjaman bank.

Jika anda tidak mampu untuk membayar pinjaman tersebut tanpa bayaran sewa, ia boleh menjadi beban dan punca tekanan. Sebelum mengambil sebarang pinjaman hartanah, pastikan anda mengenal pasti strategi untuk membuat bayaran bulanan.

Namun, terdapat akta dan peraturan yang melindungi tuan rumah dan juga penyewa. Anda perlu cakna dan membuat kajian sebelum mengambil sebarang pinjaman untuk jangka panjang.

Faktor #5. Letakkan kesemua dana dalam hartanah

Untuk bermula dalam bidang hartanah, anda mungkin memerlukan ribuan atau ratusan ribu ringgit sebagai persediaan. Samada untuk membaiki, hiasan dalam atau insuran.

Jika anda tidak mempunyai portoflio pelaburan yang pelbagai dan hanya fokus terhadap hartanah sahaja, ia adalah berisiko tinggi memandangkan hampir kesemua dana dilaburkan untuk satu jenis aset sahaja. Satu kesilapan dan ia mampu merosakkan perancangan kewangan anda.

Wang tersebut boleh dilaburkan dalam portfolio pelaburan yang lebih besar meliputi saham, bon, ETF dan kelas-kelas aset yang lain. Ia juga akan melindungi kewangan anda daripada sebarang kerosakan yang besar.

Sebelum melabur, lakukan kajian yang menyeluruh terhadap kewangan anda untuk memastikan anda bersedia.

Faktor #6. Ketidakcairan aset yang sukar

Sebarang aset hartanah seperti kediaman amat sukar untuk dicairkan. Anda mungkin tidak boleh menjualnya untuk mendapatkan wang tunai dalam masa yang singkat walaupun sangat memerlukan wang. Walaupun dengan bantuan ejen hartanah, proses mencari pembeli dan perbincangan boleh memakan masa sehingga berbulan-bulan (bertahun!) serta mencecah kos yang tinggi kerana melibatkan peguam dan pihak bank

Jika mengambil kira inflasi, pulangan yang diperoleh mungkin tidak sebanyak dijangkakan jika anda mahukan wang tunai dengan segera. Oleh sebab itu, anda digalakkan untuk mempunyai simpanan kecemasan daripada mengambil keputusan menjual aset hartanah anda.

Faktor #7. Kesukaran untuk mendapatkan pinjaman

Ini adalah salah satu masalah yang dihadapi oleh rakyat Malaysia apabila melibatkan pelaburan hartanah. Melalui bank, prosesnya menjadi lebih rumit kerana mereka perlu memastikan peminjam boleh dipercayai untuk menyelesaikan pinjaman. Dengan pelbagai dokumen, skor kredit dan maklumat lain yang perlu diteliti, ia akan memakan masa yang lebih panjang.

Sebelum anda mahu melabur dalam hartanah, fahami peranan bank dalam keseluruhan proses ini dan pastikan diri anda bersedia untuk memudahkan permohonan diluluskan. Setiap dokumen dan maklumat adalah tersusun dan kenalpasti syarat-syarat yang memudahkan pihak bank untuk meluluskan permohonan anda.

Faktor #8. Pasaran hartanah sentiasa berubah

Sejarah harga rumah boleh menjadi petunjuk faedah yang bakal diperoleh tetapi tidak mustahil corak ini akan berterusan.

Pelaburan hartanah pada tahun ini mungkin akan kelihatan berlainan dari tahun 2011 semasa sektor hartanah Malaysia mengalami kenaikan yang memberansangkan. Kadar hartanah berubah dan Malaysia juga tidak terkecuali daripada mengalami penurunan yang kecil.

Pasaran perumahan juga boleh dipengaruhi oleh “property overhang” apabila rumah yang telah siap dibina tidak dapat dijual lebih dari 9 bulan. Faktor sebeginilah yang perlu diambil kira sebelum anda membuat sebarang keputusan yang besar.

Kesimpulan

Pelaburan dalam hartanah adalah komitmen yang besar dan memerlukan pemahaman yang mendalam sebelum membuat sebarang keputusan.

Jika anda mahu mengembangkan portfolio dan memasukkan hartanah tetapi tidak bersedia untuk memiliki satu unit, mungkin anda mahu mempertimbangkan REITs?

 Adakah anda akan membeli hartanah tidak lama lagi? Kongsi dengan kami pendapat anda di dalam ruangan komen.

You May Also Like