Non-fungible token (NFT) semakin popular dalam dunia matawang kripto. Di sini kami akan terangkan tentang NFT serta kebaikan dan keburukan aset digital ini. (Original article in English)

Topik tentang matawang kripto di Malaysia semakin hangat diperkatakan dalam bab teknologi kewangan. Antara topik popular adalah berkenaan penglibatan artis terkenal dan penggunaan NFT oleh mereka.

NFT lebih mudah didefinisikan sebagai sebuah seni kripto atau rekod pemilikan yang menggunakan teknologi blockchain untuk mengesahkan aset digital tersebut.

Apabila NFT semakin diguna pakai, sudah tentu orang ramai juga berminat untuk tahu dan cuba fahami fenomena aneh ini. Walaupun agak kontroversi dan pelik, kita perlu bersifat terbuka untuk memahami potensi teknologi ini dalam diversifikasi pelaburan dan kewangan. Ia juga berpotensi menambah baik industri teknologi kewangan di Malaysia.

Di sini kami bentangkan apa yang anda perlu tahu tentang NFT serta kebaikan dan keburukan NFT.

Apa Itu NFT?

NFT adalah token kripto yang unik dan dan tidak boleh dicetak atau ditiru. Satu token NFT tidak sama dengan token NFT yang lain. Ia boleh terdiri daripada apa -apa bentuk format digital sama ada lukisan, GIF malah ciapan pertama CEO Twitter, Jack Dorsey. Disebabkan fenomena seni kripto ini masih lagi baru, tiada data yang tersedia untuk dikaji.

Terdapat banyak debat mengenai potensi NFT dan bagaimana ia boleh menyebabkan kerosakan alam sekitar dalam jangka masa panjang. Mengapa? Banyak tenaga diperlukan yang akan melepaskan berjuta-juta tan karbon dioksida untuk memastikan sistem ini berjalan dan untuk setiap pembelian serta penjualan. Semua tenaga ini diperlukan dalam pelombongan digital untuk matawang kripto yang memerlukan hardware berteknologi tinggi.

Selain itu, artis dan peminat seni boleh bina hubungan yang lebih formal melalui NFT. Blockchain mengesahkan anda memiliki sesuatu hasil karya artis yang selalunya hanya mempunyai satu unit sahaja. Orang lain boleh sahaja lihat dan hayati tetapi hanya satu pemilik boleh memiliki hasil tersebut. NFT adalah cara untuk artis dibayar untuk hasil digital dengan cara yang unik.

Kebaikan NFT

#1: Unik

Apabila seseorang membeli sebuah NFT, mereka akan mendapat token unik yang wujud dalam blockchain dan dunia digital sahaja.

Jika seseorang membeli imej atau meme, maksudnya mereka memiliki format digital tersebut dalam blockchain tetapi tidak mempunyai hak atas penyiaran. Untuk majoriti kes NFT, anda bukannya beli kandungan NFT tersebut tetapi token yang menghubungkan nama anda dengan artis asal dalam blockchain. Token digital ini juga sama konsep dengan Bitcoin di mana ianya terhad.

NFT memberikan platform kepada sesuatu objek sebagai sebuah hasil seni. Ini bermaksud objek tersebut (dalam bentuk token) tidak boleh ditiru dan mengehadkan pemilikan. Jadi, NFT adalah terhad dan secara langsung, memberi nilai kepada hasil seni tersebut. Sekurang-kurangnya, itulah konsep yang ingin dicapai dalam konsep seni menggunakan teknologi blockchain.

#2: Memberikan Pelabur Lebih Kecairan

Apabila sesuatu aset dicipta dalam bentuk token, pelabur mempunyai lebih kuasa terhadap sesuatu aset. Bagaimana?

Sebagai contoh, jika anda mempunyai “tanah digital”, anda boleh pilih untuk sewakan tanah ini untuk pengiklanan atau kepada influencer dan masih lagi memiliki tanah ini. Jadi, untuk konsep ini, aset digital anda boleh menjana wang dalam bentuk sewa.

Mencipta token daripada sesuatu aset adalah cara terbaik untuk menukar hak pemilikan kepada token digital melalui teknologi blockchain. Ia boleh digunakan untuk aset virtual, instrumen kewangan, aset fizikal malah hartanah fizikal. Konsep ini masih lagi baru dan pembangunan yang menarik telah dibuat dalam ekosistem ini. Penciptaan token ini semestinya suatu konsep yang menarik kerana pelabur boleh menjana wang melalui aset fizikal di dunia digital.

NFT berkesan untuk aset penuh dalam bentuk digital tetapi tidak ramai yang sedar bahawa konsep ini juga boleh digunakan dalam hartanah untuk memberi lebih kuasa kepada pemilik aset.

Sebagai contoh, pengasas TechCrunch, Micheal Arrington ingin menjual apartmentnya di Kiev sebagai aset untuk koleksi dengan hak digital. Ini mungkin permulaan dalam dunia hartanah melibatkan NFT.

#3: Potensi Untuk Pembangunan

NFT boleh membantu sektor tanah berkembang dengan maju. Contohnya, dalam industri hartanah. Anda boleh majukan aset anda sebagai muzium atau buat apa-apa sahaja termasuklah meletakkan NFT lain dalam tanah digital anda.

Potensi untuk pembangunan mengikut citarasa anda sendiri tidak terbatas. Jadi, sumber pendapatan juga boleh dijana menerusi iklan atau jual di pasaran kedua.

Keburukan NFT

#1: Tidak Mesra Alam

Antara isu utama dalam NFT dan juga dunia kripto adalah apabila Elon Musk membangkitkan isu pembaziran tenaga. Isu ini menyebabkan harga Bitcoin jatuh dengan mendadak kebelakangan ini. Terdapat banyak perbincangan melibatkan tenaga dalam pembuatan matawang kripto dengan pendapat berbeza.

Selain itu, NFT juga dikaitkan dengan pelepasan gas hijau. Ini adalah kerana NFT dibeli dan dijual dalam pasaran Ethereum seperti Nifty Gateway dan SuperRare. Ethereum, seperti matawang kripto lain, disandarkan pada teknik dipanggil “proof-of-work“, yang menggunakan jumlah tenaga yang tinggi. Dalam Ethereum, terdapat kos dalam melengkapkan transaksi yang juga dipanggil “gas”.

Penjualan koleksi NFT daripada artis Kanada, Grimes (yang juga teman wanita Elon Musk), yag terdiri daripada filem pendek adalah transaksi seni kripto yang paling hangat dibincangkan buat masa kini. Video yang dicetak sebagai NFT ini terjual dengan harga USD6 juta. Selain harga, transaksi juga membangkitkan isu lain seperti alam sekitar. Menurut artis Memo Akten, penjualan koleksi video ini menggunakan sebanyak 30 tahun kegunaan seorang penduduk di Eropah. Penggunaan tenaga sebanyak ini adalah isu utama dalam industri NFT.

Satu perkara yang pasti adalah penggunaan tenaga oleh blockchain yang akan bertambah parah. Sudah ada inisiatif dalam memastikan blockchain akan lebih fokus ke arah tenaga bersih (solar, angin, air). Jadi, kita masih boleh bersifat optimistik.

#2: Hak Pemilikan

NFT semakin popular terutamanya dalam industri muzik. Tetapi hak pemilikan pula yang menjadi isu yang sama besar dengan isu alam sekitar sebentar tadi.

Ya, terdapat peningkatan konflik berkenaan NFT dalam industri muzik di mana artis telah menyaman penjual NFT yang melibatkan lagu mereka. Antara alasan yang diberikan penjual adalah mereka sebenarnya memberikan “pengalaman memiliki lagu artis ini” bukannya hak pemilikan.

#3: Hanya Sebuah Spekulasi Besar

Salah satu isu jangka masa panjang adalah sama ada orang ramai masih akan percaya akan teknologi ini di masa akan datang atau ia hanya trend semata-mata.

Seni kripto kini sudah pun dalam mod spekulasi dengan pembelian besar di serata dunia. Kebanyakan institusi kewangan dan syarikat teknologi sudahpun menjangka bahawa ianya akan susut dari segi populariti. Ada yang membandingkan seni berkait dengan NFt sebagai fenomena “blue-chip” di mana ia akan berjaya buat tempoh masa tertentu dan kemudian akan susut.

Walaupun ianya kedengaran rumit, NFT sebenarnya sama sahaja dengan lukisan yang digantung dalam galeri fizikal. Tiada nilai dalaman untuk lukisan ini dan semuanya subjektif bergantung kepada perspektif orang lain. Itulah seni.

Selain dari perkara asas, manusia sentiasa memberikan nilai kepada perkara yang mungkin tidak dianggap bernilai. Sama sahaja seperti barangan hype, beg Gucci dan lukisan Monalisa yang masih ada sekarang.

Masalah NFT adalah ia dicipta dalam skala yang besar dan ramai yang terlibat dalam hype ini. Ramai di antara artis-artis ini mungkin tidak akan relevan dalam 1-2 tahun akan datang pun dan mungkin tidak setaraf Picasso atau Leonardo Da Vinci. Hasil NFT yang mungkin akan bertahan lama adalah NFT daripada selebriti, artis terkenal atau orang penting yang akan memberikan lebih nilai.

Rumusan

Kesimpulannya, NFT, matawang kripto dan derivatif yang berasal daripada teknologi blockchain mempunyai potensi dan janji. Namun, konsep ini masih baharu dan susah untuk dinilai selain daripada hype semata-mata. Jadi, harga sebenar masih agak kabur.

Apa yang kita boleh lihat daripada blockchain dan kapasiti NFT adalah ia boleh memberikan fungsi dari segi keselamatan maklumat dan kewangan. Selain itu, pengesahan yang tidak boleh dicetak dan telus ini boleh digunakan untuk sektor lain juga (i.e sijil universiti). Jadi, konsep NFT masih lagi mempunyai potensi dan tidak sepatutnya diendahkan.

Buat masa sekarang, pelabur perlu berhati-ati dalam jenis pelaburan baru terutamnya yang kompleks seperti NFT dan blockchain. Buat kajian anda sendiri dan tunggu masa yang sesuai apabila anda betul-betul yakin. Mana la tahu. Mungkin semua ini hanya bubble sahaja.

 

Adakah anda memiliki NFT? Kongsi bersama kami pengalaman NFT anda di seksyen komen di bawah.

 

You May Also Like