“Jangan terhantuk baru terngadah”. Anda perlu sentiasa berdisiplin dan cermat apabila anda mempunyai kad kredit. (Original article in English)
Kad kredit ibarat api. Ianya boleh membantu anda ataupun membakar anda ketika anda terdesak untuk membayar sesuatu produk/servis. Dengan kemudahan ini, datangnya tanggungjawab. Untuk hutang kad kredit yang anda dapat, anda perlu bayar dengan penuh setiap bulan. Jika tidak, anda akan dikenakan caj yang akan terkumpul selagi mana hutang itu ada.
Bayar untuk sesuatu dengan kad kredit “menipu” minda anda supaya tidak terkesan sangat dengan perbelanjaan berbanding tunai. Manakan tidaknya. Anda hanya perlu swipe untuk bayar sesuatu. Ramai yang terperangkap dengan hutang kerana terlalu banyak berbelanja dengan kad kredit tetapi sebenarnya tidak mampu pun.
Berikut adalah beberapa kesilapan terbesar dalam penggunaan kad kredit.
Contents
#1: Hanya Bayar Jumlah Minima
Setiap bulan, apabila bil kad kredit datang, anda mempunyai pilihan sama ada untuk bayar dengan penuh atau bayar jumlah minimum. Dalam kebanyakan kes, bayar dengan penuh adalah pilihan terbaik. Pembayaran minimum bermaksud anda masih mempunyai baki dalam bil anda (i.e jumlah hutang penuh tolak jumlah minimum perlu dibayar) yang akan dikenakan caj.
Caj ini akan terkumpul setelah beberapa lama dan kadar faedah akan semakin tinggi setiap bulan. Setelah beberapa tempoh, anda akan mempunyai hutang yang tidak mampu untuk dibayar.
Untuk mengelakkan perkara ini daripada berlaku, rancang terlebih dahulu dan bayar kad kredit anda secara penuh. Rancang pembayaran anda secepat mungkin dan jauhi dari membayar hanya jumlah minimum.
Jika anda sudahpun mempunyai hutang kad kredit yang tinggi atau mempunyai hutang yang tidak mampu dibayar, cari khidmat perancang kewangan professional dan ketahui cara terbaik untuk uruskan masalah anda secepat mungkin.
#2: Terlepas Bayaran
Ini adalah kesilapan biasa yang bank harap anda buat. Jika anda terlepas pembayaran untuk bulan tersebut, anda akan dikenakan caj pembayaran lewat yang agak tinggi. Selalunya, jumlah ini akan bergantung kepada jumlah bil bulan tersebut dan anda akan dikenakan peratusan kadar faedah daripada jumlah tersebut.
Terlepas bayaran disebabkan terlupa bukan lagi alasan. Anda boleh tetapkan peringatan di kalendar atau telefon bimbit anda setiap bulan. Sesetengah bank juga menawarkan servis pembayaran automatik kepada kad kredit anda setiap bulan.
Jika anda sesuatu yang menghalang anda daripada membayar kad kredit anda, gunakan khidmat pakar daripada bank atau perancang kewangan.
Tahukah anda bahawa terdapat terma tambahan yang syarikat kad kredit boleh kenakan kepada anda jika terlepas bayaran? Baca dengan lebih lanjut.
#3: Tidak Tahu Tentang Terma dan Syarat Kad Kredit Anda
Meletakkan semua terma kad kredit sama rata adalah kesilapan yang besar. Setiap syarikat mempunyai penggunaan yang berbeza dan diisu oleh bank berbeza. Jadi, setiap kad mempunyai terma, syarat dan caj yang unik. Anda tentunya tidak mahu dikenakan caj tersembunyi yang tiba-tiba muncul dalam bil anda.
Ya, mungkin agak berat untuk baca satu persatu terma kad kredit anda. Tetapi, pastikan anda sedar akan risiko jika tidak berbuat demikian. Hubungi bank anda untuk terma yang anda tidak pasti dan mereka pastinya dapat terangkan dengan lebih lanjut.
Terdapat banyak sumber data yang boleh anda rujuk dan bantu anda buat keputusan yang lebih menyeluruh sebelum mengambil keputusan terhadap jenis kad kredit yang anda kehendaki.
#4: Bayar Untuk Kad Kredit Yang Anda Jarang Atau Tidak Guna
Ada juga orang yang buat “koleksi” kad kredit termasuklah kad tambahan (selalunya dengan alasan untuk kumpul points). Namun, di masa kini, mempunyai banyak kad kredit bukanlah suatu strategi yang bernas kerana anda akan dikenakan caj dan fi yang tinggi hanya untuk memiliki kad kredit tersebut.
Tambahan pula, bahay juga untuk bawa sebegitu banyak kad kredit. Selain itu, susah untuk anda pantau perbelanjaan bulanan jika anda bahagikan perbelanjaan dengan kad kredit berbeza.
Lebih baik jika anda satukan semua perbelanjaan dengan kad kredit yang anda rasa terbaik untuk perbelanjaan isi rumah anda. Lebih senang untuk dipantau dan jiwa anda juga lebih tenang.
#5: Tidak Melaporkan Kad Kredit Yang Hilang
Malang tidak berbau. Jika anda hilang kad kredit atau jika ia dicuri, perkara terbaik adalah hubungi pihak bank dan maklumkan kepada mereka. Semua transaksi akan dihentikan serta merta.
Jika anda malu kerana mungkin anda terlupa letak kad kredit anda di mana-mana, anda masih perlu melaporkan ia sebagai kehilangan. Sebabnya adalah di masa kini, kes seperti maklumat bank dicuri, pencurian identiti atau perbelanjaan kad kredit di dark web semakin berleluasa menggunakan kad kredit.
Caj akan dikenakan terhadap kad kredit yang hilang tetapi lebih selamat jika anda laporkan daripada menjadi sasaran aktiviti jenayah.
#6: Kejar Mata Ganjaran Tetapi Tidak Tuntut
Ganjaran yang anda terima melalui penggunaan kad kredit boleh datang dalam bentuk mata atau rebat. Sesetengah kad akan menawarkan servis tambahan dengan caj rendah. Tujuannya adalah untuk anda kekal dengan kad kredit tersebut.
Jadi, pilih kad kredit yang kena dengan gaya hidup anda dan boleh menawarkan kemudahan mata ganjaran dalam perbelanjaan biasa anda. Fikir jangka masa panjang dan bukannya dalam bentuk mata ganjaran.
Selepas memperolehi mata ganjaran, pastikan anda letakkan peringatan untuk tuntut kerana mata ini mempunyai tarikh luput. Anda boleh semak di penyata bank anda.
#7: Tidak Semak Laporan Bil Anda
Penyata kad kredit anda adalah rekod transaksi anda yang lama dan pastikan anda semak untuk ketepatan dan maklumat terkini.
Dengan berbuat demikian, anda boleh pastikan anda tidak dikenakan caj tambahan yang tersilap atau menjadi sasaran jenayah siber. Jika ya, anda perlu laporkan secepat mungkin dan jangan berlengah.
Penyata juga mengandungi maklumat penting dalam perbelanjaan anda. Data ini boleh digunakan untuk perancangan perbelanjaan anda yang lebih baik di masa akan datang.
Rumusan
Sentiasa beringat dalam menggunakan kad kredit untuk apa-apa transaksi pun. Ianya hanya alat untuk anda dan seperti yang disebut di atas, ibarat api. Kad kredit sama ada boleh membantu kehidupan anda atau membakar anda. Ambil masa untuk kenali kad kredit anda dan jangan biarkan kad kredit mengawal anda.
Apakah kesilapan utama anda dalam menggunakan kad kredit? Kongsi bersama kami di seksyen komen di bawah.
Leave A Comment