“Syarat pertama: Jangan hilang duit anda. Syarat kedua: Jangan lupa syarat pertama”. 

Berikut adalah falsafah pelaburan Warren Buffett, tokoh pelaburan terhebat di dunia. Adakah anda dalam dunia pelaburan? Jika ya, adakah anda mempunyai falsafah pelaburan yang anda pegang? (Original article in English)

Apa Itu Falsafah Pelaburan?

Falsafah pelaburan adalah jenis/cara/stail pelaburan tersendiri. Pelabur yang berjaya mempunyai falsafah yang membantu mereka membuat keputusan berkenaan pelaburan.

Pelabur mungkin akan fokus pelaburan terhadap:

  • Perniagaan yang mempunyai peluang menjana pendapatan paling tinggi
  • Saham syarikat yang di bawah nilai pasaran
  • Organisasi yang menarik pengguna dengan pesat (pasaran sedang berkembang)

Falsafah pelaburan bukannya strategi pelaburan. Kedua-dua perkara ini berlainan. Apabila kita menggunakan falsafah yang kita pegang, inilah dinamakan strategi. Jika strategi yang digunakan tidak menjana pendapatan, anda tukar strategi tetapi masih berpegang dengan falsafah pelaburan anda.

Mengapakah Falsafah Pelaburan Penting Untuk Pelabur?

Jika anda tidak menetapkan prinsip anda dari awal, anda akan:

  • Berbolak-balik strategi yang tidak konsisten
  • Sentiasa tukar portfolio anda
  • Lama-kelamaan, bayar lebih banyak untuk perbelanjaan dan cukai

Secara asasnya, anda ibarat melabur tanpa kompas. Tiada penanda arah.

Ketika pasaran naik, semua jenis pelabur menjana pendapatan tak kira falsafah pelaburan. Jadi, sebagai pelabur, anda hanya akan “diuji” oleh pasaran apabila perkara tidak berlaku seperti yang dijangka. Sebagai contoh, ketika kegawatan ekonomi atau pasaran menjunam.

Pasaran sentiasa dipenuhi dengan berita baik di sana sini. Untuk elakkan daripada terpengaruh, pelabur yang berjaya perlu mengenalpasti kepentingan falsafah pelaburan untuk kekal fokus terhadap perkara asas.

Falsafah pelaburan anda adalah tiang di mana anda bina strategi anda.

Contoh Falsafah Pelaburan

Pelaburan Berasaskan Nilai (“Value Investing“)

Jana pendapatan dengan sekuriti/saham yang di bawah nilai pasaran. Ramai pelabur terkenal seperti Warren Buffett dan Peter Lynch menggunakan strategi ini.

Pelaburan Berasaskan Perkembangan (“Growth Investing“)

Fokuskan portfolio terhadap syarikat yang berkembang pesat berbanding ekonomi walaupun harga saham syarikat ini mahal dari segi price to book.

Pelaburan Berasaskan Tanggungjawab Sosial (“Socially Responsible Investing“)

Fokus terhadap pelaburan dalam syarikat yang bertanggungjawab dari segi prinsip sosial/moral seperti pengurangan penggunaan tenaga, mesra alam, pembayaran gaji tinggi kepada staf dan lain-lain.

Pelaburan asas (“Fundamental Investing“)

Lihat kepada perkembangan, pendapatan, pengurusan dan struktur modal sesebuah syarikat sebelum membuat keputusan. Dalam kata lain, fokus terhadap syarikat yang mempunyai prospek keuntungan konsisten.

Cara Untuk Bina Falsafah Pelaburan Anda Sendiri

Jadi, bagaimana anda hendak cari jenis atau bina falsafah pelaburan anda sendiri? Untuk cari falsafah pelaburan yang sesuai, anda perlu jawab rangkaian soalan berikut untuk ketahui:

  • Karakter Anda
  • Tahap Kewangan
  • Pendapat Anda Tentang Pasaran

Dengan menjawab semua soalan ini, anda boleh tentukan jenis falsafah pelaburan yang lebih sesuai untuk anda:

#1. Fahamkan Karakter Anda

  • Adakah anda seorang yang sabar?

Kebanyakan pegangan pelaburan memerlukan kesabaran yang tinggi dan ramai daripada kita tidak mempunyai sifat ini. Jika anda kurang sabar, cari falsafah yang lebih ke arah perkembangan.

  • Adakah anda mempunyai tahap risiko tinggi, sederhana atau rendah?

Jika anda tidak suka mengambil risiko, cari pelan yang selamat dan sesuai untuk anda. Kurang risiko bermakna kurang pulangan tetapi boleh menjana pulangan tinggi jika anda sabar dan buat kajian terperinci untuk setiap syarikat yang anda labur.

  • Berapa lamakah anda sanggup luangkan untuk aktiviti pelaburan?

Setiap strategi memerlukan masa dan sumber berbeza. Ada yang memerlukan lebih perhatian. Secara singkat, pelaburan jangka masa pendek lebih memerlukan lebih masa berbanding strategi “beli-dan-simpan”.

  • Berapakah umur anda?

Apabila anda semakin berusia, anda tidak mahu ambil risiko berlebihan terutamanya wang daripada pencen atau persaraan. Pengalaman lalu dalam pelaburan juga akan mengehadkan falsafah dan pilihan anda.

  • Adakah anda pelabur solo atau selesa berada dalam kumpulan?

Ada strategi yang lebih ke arah “ikut arah ombak” dan ikut apa pendapat orang lain. Untuk pelabur solo, cara pelaburan lebih kepada bersifat “contrarian” di mana anda cuba menongkah ombak.

#2. Fahamkan Keadaan Kewangan Anda

Falsafah pelaburan yang sesuai juga bergantung kepada dana wang yang anda miliki, kestabilan pekerjaan, status cukai dan jenis pekerjaan.

  • Apakah pendapat anda tentang status kerja anda kini dan masa akan datang?

Semua bergantung kepada tahap kemampuan kewangan anda. Jika anda percaya bahawa anda akan menjana pendapatan lebih di masa akan datang dan dapat menyimpan lebih, anda lebih fleksibel dalam memilih jenis falsafah pelaburan. Tetapi, jika sebaliknya, anda perlu bergantung kepada dana yang anda miliki sekarang.

  • Berapakah jumlah yang anda miliki untuk dilabur?

Jika anda mempunyai lebih banyak dana, anda dapat memilih jenis falsafah pelaburan yang berbeza dan bergantung kepada #1 dan #3.

  • Adakah anda akan gunakan tunai kelak?

Jika tiba-tiba anda perlukan wang tunai, ini boleh mendatangkan masalah. Ini bergantung kepada krisis peribadi seperti sakit yang tidak dilindungi insurans dan kehilangan pendapatan.

Tetapi, anda juga boleh letakkan penggunaan wang tunai masa depan dalam falsafah pelaburan anda. Anda perlu kurangkan risiko dalam jenis pelaburan jika anda masih inginkan wang tunai di masa akan datang.

  • Apakah status cukai anda?

Pelabur yang dikenakan cukai pendapatan yang tinggi perlu pilih jenis pelan pelaburan yang dapat mengurangkan atau menangguh cukai ke masa akan datang.

#3. Apakah pendapat anda tentang pasaran?

Pendapat anda tentang bagaimana pasaran berfungsi penting dalam merangka falsafah pelaburan anda. Prestasi pelaburan anda semestinya akan berubah di masa akan datang apabila anda lebih tahu apa untuk dijangka. Buat masa sekarang, guna apa yang anda tahu untuk bina falsafah anda sendiri.

Anda perlu konsisten dalam merangka jenis falsafah pelaburan anda. Namun, janganlah terlalu egoistik dalam pelaburan dan anda perlu tahu bahawa dunia berubah setiap hari dan begitu juga dengan pasaran.

Falsafah Pelaburan ANDA

Jadi, setelah menjawab semua soalan berikut, tentunya anda lebih tahu karakter, kewangan dan pendapat anda terhadap pasaran. Falsafah anda boleh merangkumi hanya satu atau beberapa falsafah berbeza yang digabungkan. Apa-apa pun, melalui cara inilah anda merangka strategi berikutnya.

Anda juga boleh mendapatkan khidmat penasihat kewangan berlesen untuk memudahkan pengurusan anda. Mereka bertindak sebagai pengajar yang memberikan pilihan apa yang ada di pasaran dan apa yang sesuai untuk jenis falsafah pelaburan anda.

Rumusan

Memilih falsafah yang “betul” adalah penting dalam merencanakan perjalanan pelaburan anda. Namun, sebelum anda kenal instrumen kewangan, anda perlu kenal diri anda sendiri dahulu. Falsafah yang tepat adalah falsafah yang sesuai dengan diri anda.

 

Apakah pendapat anda tentang jenis falsafah pelaburan yang ada? Adakah artikel ini membantu? Kongsi di ruangan komen di bawah.

 

You May Also Like