Mencari pekerjaan semasa pandemik bukanlah perkara yang mudah apabila perlu menghadapi kekangan tertentu. Berikut merupakan tip-tip mencari pekerjaan dalam norma baharu. 

Pandemik yang disebabkan oleh virus Covid-19 ini bukan sahaja memberi kesan yang sangat besar terhadap ekonomi seluruh dunia tetapi juga proses pencarian kerja anda. Ia telah menyebabkan pasaran saham jatuh merudum dan menjejaskan industri-industri yang menyumbang kepada perkembangan ekonomi sesebuah negara. Jika anda masih bekerja pada masa ini, kemungkinan besar anda melakukannya dari rumah. Perniagaan kecil dan sederhana (PKS) antara yang terjejas teruk dan banyak yang terpaksa menghentikan operasi perniagaan untuk sementara waktu untuk mengurangkan kerugian sedia ada. Bagi syarikat atau organisasi yang besar, mereka turut berisiko untuk mengalami kerugian yang tinggi dan rantaian bekalan yang terjejas kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.

Beberapa perniagaan atau syarikat telah bertindak balas dengan pemberhentian pekerja, pemotongan bayaran kerja lebih masa atau masa bekerja dan pelaksanaan pembekuan pengambilan pekerja baru. Namun, terdapat juga syarikat dan industri yang memperoleh keuntungan semasa pandemik dan masih membuka iklan untuk mengisi kekosongan jawatan. Walaupun terdapat ketidakpastian pada situasi dunia dan negara pada masa ini, anda masih boleh positif dalam mencari pekerjaan walaupun semasa pandemik.

#1. Berhubung dengan kenalan industri

Berhubung dengan kenalan dalam industri boleh memberikan manfaat yang lebih baik dalam proses mencari kerja. Manfaatkan platform seperti Linkedin untuk berhubung dengan kenalan anda (lebih baik jika dalam industri yang sama). Maklumkan bahawa anda sedang mencari pekerjaan baru dan apakah sasaran industri atau syarikat yang anda inginkan. Tanya mereka jika mereka bersedia untuk menghantar emel cadangan kepada pengurus sumber manusia syarikat tersebut tentang anda. Emel cadangan seperti ini amat bermanfaat sekiranya anda mahu memastikan permohonan yang dibuat sampai kepada pihak yang sepatutnya dan tidak tersekat di sistem imbasan resume mereka.

#2. Berlatih temuduga melalui telefon atau panggilan video

Pada masa ini, kebanyakan industri yang tidak dibenarkan bekerja di pejabat lebih terdorong untuk mengadakan sesi temuduga secara maya melalui panggilan video atau telefon berbanding berdepan untuk mengurangkan kontak rapat. Tidak dinafikan, ia lebih mencabar untuk menjalani temuduga melalui telefon kerana lebih sukar untuk menelah reaksi seseorang dan membolehkan perbualan berjalan dengan lancar. Begitu juga melalui panggilan video, anda akan menjadi lebih kekok jika bercakap di hadapan kamera. Anda perlu mengetahui tips-tips yang perlu dibuat untuk mengelakkan situasi sebegini terjadi.

Berikut merupakan beberapa tip yang boleh digunakan jika berada dalam dua situasi tersebut:

Temuduga panggilan video 

  • Periksa peralatan yang digunakan – kamera web, mikrofon, sambungan internet dan platform yang digunakan
  • Mempunyai pelan tambahan jika terdapat masalah teknikal
  • Pilih ruang yang sesuai – jika boleh ruangan yang tiada gangguan bunyi dan orang serta pencahayaan yang baik selain bersih
  • Berpakaian seolah-olah anda hadir temuduga secara berdepan
  • Bertanya soalan jika perlu

Temuduga panggilan telefon

  • Pilih ruangan yang selesa dan bebas gangguan luar
  • Bercakap dengan jelas dan yakin
  • Dengar dengan teliti dan ambil nota
  • Tanya soalan sekiranya anda tidak faham atau kurang jelas
  • Pastikan anda tahu langkah seterusnya sebelum mengakhiri perbualan

#3. Bekerja sambilan sementara mencari pekerjaan

Jika anda masih tidak memperoleh pekerjaan, kerja sambilan atau tambahan amat berguna untuk memastikan bil yang ada dapat dibayar dan mampu menampung keperluan semasa. Terdapat pelbagai platform yang menyediakan peluang untuk anda mencari kerja sambilan yang boleh dilakukan dari rumah. Antaranya melalui Fiverr , Upwork dan Freelancer.

Walaupun ia adalah kerja sambilan tetapi jika anda berdisiplin, mempunyai skil komunikasi yang baik untuk berhubung dengan rakan sekerja secara dalam talian dan tersusun dalam menjalankan kerja, tidak mustahil anda boleh mendapatkan kerja yang mampu memberi pulangan yang lumayan.

#4. Tunjukkan kemahiran anda

Mencari kerja dalam pasaran yang penuh persaingan bukanlah perkara yang mudah. Oleh sebab itu, anda perlu memastikan kemahiran yang ada ditambah baik dan jika boleh, cari kemahiran baru yang membolehkan kebarangkalian untuk anda diterima bekerja lebih tinggi. Walaupun kebanyakkan iklan mencari pekerja mempunyai senarai kemahiran yang anda tidak miliki namun anda boleh cuba mengaitkannya dengan kemahiran sedia ada. Sediakan resume dan surat cadangan yang baik untuk meyakinkan mereka bagi mengambil anda.

#5. Sesuaikan permohonan untuk setiap kerja

Luangkan lebih masa dan tumpuan bagi setiap resume dan surat cadangan bagi memohon kerja. Ia memerlukan lebih banyak masa untuk membuat resume khas bagi setiap pekerjaan tetapi ia akan membuahkan hasil yang lebih baik. Semasa anda memohon pekerjaan secara dalam talian, permohonan anda akan melalui sistem ATS yang meneliti resume bagi menentukan samada anda memenuhi syarat yang ditetapkan oleh sumber manusia. Rahsia untuk melepasi ATS adalah menulis seperti di dalam iklan pekerjaan – kata kunci, nama jawatan, tanggungjawab dan kemahiran yang diperlukan. Jangan salin bulat-bulat tetapi pastikan sebahagiannya memenuhi keperluan pekerjaan tersebut. Hampir 75% resume yang melalui sistem ATS disingkirkan kerana tidak memenuhi keperluan yang ditetapkan seperti kemahiran yang betul, tahap pendidikan atau jenis pekerjaan.

#6. Semak status permohonan dengan sumber manusia

Jangan lupa untuk menyemak dengan pegawai sumber manusia terlibat berkenaan status permohonan pekerjaan anda. Ia bagi memastikan anda tidak menunggu terlalu lama dan jika tidak berjaya, anda boleh menumpukan kepada pencarian pekerjaan lain. Hantar emel sejurus temuduga menyatakan terima kasih atas jemputan mereka untuk temuduga itu dan tanya berapa lama masa yang diambil untuk memberikan jawapan terhadap permohonan tersebut.

Kesimpulan

Mencari pekerjaan baru semasa pandemik bukanlah perkara yang mudah kerana pelbagai kekangan yang menyukarkan anda (dan juga majikan) untuk mencari pekerja baru. Namun, kekangan seperti tidak boleh pergi ke temuduga berdepan dan perlu bersedia untuk mencari kemahiran baru adalah cabaran yang perlu dihadapi dalam norma baharu. Anggap ia sebagai satu peluang untuk anda mengasah kemahiran sedia ada dan mendalami kemahiran baru untuk memastikan anda mampu bertahan dalam menghadapi pandemik ini.

Anda mempunyai pengalaman menghadiri temuduga semasa pandemik? Kongsi dengan kami dalam ruangan komen. 

You May Also Like