Sebagai pelabur di Malaysia, anda mempunyai pelbagai pilihan dalam proses crowdfunding. Artikel ini asalnya ditulis oleh Ethis dan telah ditambah dengan kandungan baru. (Original article in English)

Apa Itu “Crowdfunding”?

Crowdfunding adalah cara mendapatkan modal melalui dana yang dikumpul melalui rakan, keluarga, pelanggan atau pelabur individu (atau penderma).

Kaedah ini fokus ke arah komuniti yang terdiri daripada pelabur individu berbanding institusi kewangan – dan selalunya dikumpul melalui media sosial, forum. Dengan cara ini, sebuah perniagaan dapat menggunakan hubungan yang mereka ada untuk dapatkan trafik atau pendedahan untuk dapatkan pelabur.

Kini, pelabur besar seperti institusi kewangan, dana awam, perancang kewangan keluarga dan pelabur dengan nilai tinggi juga sudah mula memasuki arena crowdfunding dan menyebabkan pasaran ini bertambah luas. Jadi, semakin banyak platform yang muncul untuk memudahkan perniagaan menjalani proses crowdfunding untuk membiayai perniagaan mereka.

Crowdfunding juga adalah cara sesuai untuk syarikat baru yang mempunyai idea inovatif tetapi tidak mempunyai dana. Dengan cara ini, komuniti dapat membantu sesebuah idea berkembang dan secara langsung, memberi peluang pekerjaan.

Apakah Sejarah Crowdfunding?

Selalunya, cara yang paling kerap digunakan untuk pembiayaan perniagaan adalah dengan pinjaman bank. Perniagaan sama ada kecil atau sederhana perlu mempunyai pelan perniagaan yang kukuh dan semua risiko dinilai terlebih dahulu sebelum boleh memperoleh pinjaman.

Permohonan ini selalunya akan ditolak terutamanya untuk perniagaan kecil yang terlalu berisiko jika dilihat melalui perspektif bank.

Kini, platform online sudah meneroka ruang pelaburan melalui proses crowdfunding dan perniagaan kecil dan sederhana (PKS) mempunyai pilihan untuk membiayai perniagaan dengan wang yang diperoleh awam. Kaedah ini semakin popular dan kini terdapat ribuan pelabur yang melabur ke dalam syarikat PKS melalui proses crowdfunding.

Sebagai contoh, pada tahun 2009, hanya USD10 juta sahaja yang dikumpul melalui sembilan platform crowdfunding. Kini, angka ini meningkat dengan mendadak kepada USD767 juta pada tahun 2016 dengan pelabur daripada 200 negara.

Jumlah projek yang telah dibiayai melalui pembiayaan ini mencecah hampir 1.3 juta. Tambahan pula, crowdfunding juga boleh digunakan sebaga platform untuk mendapatkan derma/sumbangan untuk masyarakat.

Apa Bezanya Crowdfunding Cara Konvensional dan Crowdfunding Cara Islamik?

Perbezaan utama antara kedua-dua model crowdfunding tersebut adalah prinsip kewangan Islam yang digunakan.

Dengan sekali pandang, dalam model Islamik, crowdfunding dilakukan dengan mendapatkan pembiayaan melalui rakan, keluarga, pelanggan atau pelabur individu – sama ada online di platform patuh shariah.

Tambahan pula, untuk memastikan model ini patuh shariah, crowdfunding perlu dilakukan dengan mengelakkan perkara haram dalam Islam seperti judi, alkohol, khinzir dan unsur haram lain. Terma ini juga boleh merujuk kepada platform yang fokus terhadap pelanggan Islam atau dimiliki oleh orang Islam tetapi tidak mempunyai sijil formal.

Jenis Crowdfunding Bersifat Islamik

Terdapat empat jenis crowdfunding iaitu:

  • Crowdfunding berbentuk sumbangan
  • Crowdfunding berbentuk ganjaran
  • Crowdfunding berbentuk ekuiti
  • Crowdfunding berdasarkan projek/pinjaman (i.e seperti pembiayaan P2P)

Dalam crowdfunding berbentuk sumbangan, penderma akan menderma ke arah projek amal, inisiatif sosial dan lain-lain.Dalam crowdfunding berbentuk ganjaran pula, penderma mungkin akan menerima produk atau hadiah daripada pemilik projek setelah meletakkan wang.

Kedua-dua ekuiti dan pinjaman pula adalah crowdfunding yang lebih bersifat pelaburan. Model pelaburan perlu tertakluk dengan hukum syarak supaya boleh dianggap sebagai patuh Shariah.

Dalam crowdfunding berbentuk ekuiti, pelabur akan meletakkan sejumlah wang tunai dan akan menerima saham dalam entiti/syarikat untuk berkongsi untung rugi. Untuk crowdfunding pinjaman, pelabur akan menerima pembayaran berkala melalui pelaburan.

Contoh Platform Crowdfunding Bersifat Islamik di Malaysia

#1. Ethis Group

Ethis ditubuhkan sebagai kelab pelaburan khas di Singapura pada tahun 2014 sebelum berpindah ke Malaysia. Baru-baru ini, pada hujung tahun 2020, syarikat ini telah menerima lesen pertama dalam Crowdfunding Ekuiti Patuh Shariah daripada Suruhanjaya Sekuriti.

Ethis merupakan pelopor dalam industri ini dan telah menerima kredit serta penghargaan dalam pelaburan.

Operasi syarikat ini masih lagi majoritinya di Indonesia di mana ia memperoleh pendaftaran pembiayaan P2P daripada pihak berkuasa pada tahun 2019. Ethis telah bertapak di Indonesia sejak 2015 dan telah menerima pelabur daripada 50 negara dalam kempen yang mereka jalankan – fokus terhadap hartanah dan projek pembekalan.

Ethis Group beroperasi patuh Shariah dan mempunyai tapak di Malaysia, Indonesia dan negara lain. Platform ini termasuklah Ethis Malaysia, Ethis Indonesia dan GlobalSadaqah.com.

GlobalSadaqah.com fokus terhadap perihal kewangan sosial bersifat Islamik. Ia digunakan untuk memberi sumbangan dalam bentuk sedekah, zakat dan wakaf daripada pihak awam atau institusi kewangan seperti bank. Sumbangan akan dibuat kepada kempen yang berpotensi memberi impak tertinggi.

#2. LaunchGood

LaunchGood.com merupakan platform crowdfunding Islamik terbesar di dunia dan bertapak di Amerika Syarikat. Hingga Mac 2018, platform ini telah mengumpul lebih USD35 juta di 102 negara serta membiayai 3,274 kempen sama ada untuk kempen individu, amal, bencana alam, atau di zon konflik.

Baru-baru ini, mereka telah meletakkan pejabat wakil mereka di Malaysia.

#3. pitchIN

PitchIN terkenal di kalangan rakyat Malaysia sebagai platform lokal. Sejak penubuhan pada tahun 2012, PitchIN telah menjadi platform crowdfunding terbesar di rantau Asia Tenggara dan mempunyai projek terkenal seperti festival indie pertama di Pulau Pinang, TAPAUfest dan projek TeeSomethingNice (t-shirt sempena sambutan Hari Malaysia dan Merdeka 2014).

Selain itu, PitchIN juga telah membantu Wok It – syarikat dapur mudah alih yang menawarkan makanan mudah, murah dan boleh diubah – untuk mengumpul wang bagi membiayai dapur dan lokasi baru mereka. Selain platform untuk sumbangan atau ganjaran, PitchIN juga menawarkan crowdfunding berbentuk ekuiti bagi para pelabur.

#4. ATAPLUS

ATAPLUS Sdn Bhd merupakan platform crowdfunding berbentuk ekuiti yang juga dibina untuk mendemokrasikan idea perniaagaan dengan pelabur yang ingin mengambil risiko tersebut.

Pelabur boleh menggunakan rangkaian dalam ekosistem ATA PLUS untuk menguruskan risiko dalam pelaburan perniagaan. Walaupun tidak dikenali sebagai platform Islamik, ianya boleh dianggap sebagai platform mesra Muslim.

Rumusan: Crowdfunding Adalah Jenis Pelaburan Alternatif Yang Menarik

Akhirnya, model crowdfunding boleh dianggap sebagai suatu komponen penting dalam industri kewangan Islamik kerana pada dasarnya, ia direka untuk memudahkan pembiayaan idea dan perniagaan berteraskan prinsip kewangan Islam.

Situasi antara pelabur dan perniagaan juga adil dan kedua-dua pihak memperoleh manfaat. Jika dirancang dan dibuat dengan betul, sistem crowdfunding bakal menjadi pengubah sistem kewangan di Malaysia.

 

Cuba platform crowdfunding Islamik hari ini!

 

You May Also Like