Menjaga bayi memerlukan kos yang tinggi. Kenal pasti pilihan lampin bayi yang terbaik untuk bayi anda. (Original article in English)

Setiap ibu bapa sudah tentu mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Apakah yang dimaksudkan dengan ‘terbaik’ adalah bergantung kepada setiap ibu bapa. Samada apa yang mereka boleh beli, dan apakah yang mereka perlukan dan tidak perlukan.

Penjagaan untuk bayi yang kecil boleh menjadi mahal dan amat penting untuk anda menjalankan kajian terlebih dahulu supaya anda dapat memastikan ia adalah pilihan yang terbaik.

Dalam artikel ini, kami akan membuat perbandingan antara lampin kain yang boleh diguna semula dan lampin pakai buang. Yang manakah lebih berbaloi? Apakah impaknya terhadap persekitaran? Dan yang mana mampu memudahkan tugas anda?

Nota: Artikel ini tidak mengambil kira jenis-jenis kain lampin (contohnya lampin/napkin nipis, kain sarung, semua-dalam-satu, semua-dalam-dua dan sebagainya) yang ada di pasaran atau jenis bahan yang digunakan (contoh kapas, kapas buluh, mikrofiber, dsb)

#1. Kos Lampin

Berdasarkan semakan yang dilakukan di laman Shopee mendedahkan bahawa kos lampin berserta klip dan sarung berharga antara RM5 hingga RM22. Kita akan menggunakan harga lampin RM20 sebagai panduan.

Anda memerlukan sebanyak 12 kain lampin sehari. Anggarkan anda perlukan 24 lampin, ia akan memberikan lebih banyak masa untuk kain lampin mengering selepas basuhan.

Ini bermaksud kain lampin anda boleh mencecah sehingga RM20 X 24 = RM480. Ia boleh bertahan sebelum bayi anda belajar untuk membuang air sendiri dan mempunyai nilai untuk dijual semula.

Namun kos ini tidak termasuk kos basuhan. Anda masih boleh membasuh kain lampin anak anda (rendam dahulu) dengan pakaian lain.

Jika kita lihat kepada lampin pakai buang, carian yang dilakukan di Shopee menganggarkan untuk 62 keping lampin bersaiz L berharga RM31 dengan harga RM0.50 setiap keping.

Kebanyakan bayi menggunakan 8 keping lampin setiap hari, dan sehingga 6,000 keping dalam masa dua tahun. RM0.50 x 6000 = RM3,000. Dan, tiada nilai untuk dijual semula.

Keputusan: Lampin pakai semula menang.

#2. Kos-kos Tambahan

Terdapat kos-kos lain yang terlibat untuk memastikan bekalan lampin bayi anda mencukupi

Untuk lampin kain:

  • Air untuk membasuh
  • Bahan pencuci untuk membasuh
  • Bekalan elektrik jika menggunakan mesin pencuci kain
  • Tong lampin kotor atau beg kain bagi meletakkan lampin yang kotor sebelum dibasuh
  • Tenaga yang digunakan untuk membilas, membasuh, mengeringkan dan melipat

Untuk lampin pakai buang:

  • Tong sampah untuk lampin
  • Lebihan lampin yang kecil jika bayi anda membesar lebih cepat daripada yang dijangkakan

Keputusan: Lampin pakai buang menang kerana mampu memberikan penjimatan yang lebih baik

#3. Penyerapan

Kebolehan untuk lampin menyerap najis bayi anda yang berkait dengan beberapa perkara, termasuk:

  • Kebocoran
  • Ruam lampin
  • Jangkitan pada saluran air kencing
  • Latihan membuang air

3 perkara yang pertama adalah mudah – elakkan meninggalkan bayi dengan lampin yang kotor. Jumah najis yang berlebihan boleh menyebabkan kebocoran dan sentuhan dengan kulit akan menyebabkan ruam dan jangkitan yang tidak diingini.

Ada juga yang menyatakan bahawa kebolehan serapan yang baik mungkin melambatkan latihan membuang air untuk bayi. Kepercayaan ini adalah disebabkan bayi akan belajar dengan pantas apabila mereka mengaitkan “pergi ke tandas” dengan sensasi yang dirasakan pada lampin yang basah atau kotor.

Lampin kain mempunyai serapan yang kurang berbanding lampin pakai buang. Namu berbeza mengikut jenis kain dan kekerapan penggunaan.

Lampin pakai buang kebanyakannya mempunyai serapan yang baik walaupun berbeza mengikut jenama.

Keputusan: Lampin pakai buang mempunyai serapan yang lebih berkesan

#4. Muat dengan tubuh

Muat atau tidak adalah faktor yang menyumbang kepada kebocoran lampin selain serapan.

Lampin yang sesuai adalah yang muat elok dengan tubuh bayi anda. Lampin perlu disesuaikan dengan tubuh – tidak terlalu ketat tanpa ruang yang besar. Ia amat penting terutamanya pada kawasan pinggang dan peha mereka bertemu

Dengan lampin kain, anda mempunya pelbagai pilihan sarung dan kain yang memberikan kesesuaian yang baik. Lampin kain dan sarung yang dijual dalam pelbagai saiz adalah pilihan yang baik, asalkan anda memilih saiz yang sesuai semasa bayi membesar. Bagi pilihan satu-saiz-semua, ia bergantung kepada teknik anda membalut dan memakaikannya kepada bayi.

Lampin pakai buang juga dijual dalam pelbagai saiz. Ia juga memberikan pemakaian yang baik asalkan anda membeli saiz yang betul semasa mereka membesar.

Keputusan: Tiada yang kalah

#4. Risiko Ruam Lampin

Masalah ini agak rumit kerana ia bergantung kepada tahap sensitiviti kulit bayi anda dan apakah yang menyebabkan jangkitan tersebut.

Lampin kain yang mempunyai kadar serapan yang rendah menyebabkan anda akan menukar lampin dengan lebih kerap sekaligus mengurangkan risiko terkena sebarang ruam. Dalam masa yang sama, bahan yang digunakan untuk lampin kain adalah daripada fabrik asli yang membolehkan kulit bayi bernafas.

Lampin pakai buang pula mempunyai kadar serapan yang lebih baik lalu kulit bayi tidak akan menjadi basah terutamanya apabila mereka tidur dalam jangka masa yang panjang pada waktu malam. Rekaan moden juga menggunakan bahan yang memberi ruang bernafas untuk kulit. Namun terdapat juga kerisauan bahawa kulit bayi mungkin tidak sesuai dengan bahan yang digunakan dan anda perlu menukar jenama sehingga jumpa yang sesuai.

Keputusan:Tiada pemenang yang jelas kerana bergantung kepada sensitiviti kulit bayi  

#5. Impak kepada Persekitaran

Lampin kain adalah mesra alam. Ia boleh digunakan berulang kali, walapun dengan bayi berbeza. Kebanyakkannya dibuat daripada bahan semulajadi seperti kapas yang boleh mereput dengan baik. Dan, anda juga menggunakan kain yang kurang berbanding lampin pakai buang.

Kesan yang kurang baik adalah membasuh lampin kain menggunakan air dan sabun yang dilepaskan ke saluran air. Ia adalah perkara yang sama berlaku dengan basuhan harian anda, jadi kenalpasti samada ia adalah sesuatu yang memberikan kesan kepada anda atau tidak.

Lampin pakai buang adalah tidak baik untuk persekitaran. Pembuatannya memerlukan mesin. Lampin ini juga mengambil masa yang lama untuk mereput dan sehingga kini, masih tidak diketahui jangka masa yang tepat untuknya terhapus. Mengikut jangkaan, ia boleh mengambil sehingga 500 tahun untuk mereput.

Kami juga ada menyatakan di awal artikel ini bahawa sebanyak 6,000 lampin pakai buang digunakan dalam masa 2 tahun pertama umur bayi. Bayangkan keadaan dunia 500 tahun akan datang apabila bayi sentiasa dilahirkan dan memakai lampin pakai buang.

Keputusan: Lampin kain lebih mesra alam  

#6. Kemudahan untuk ibu bapa

Bayi adalah insan yang tidak berdaya dan memerlukan perhatian yang sangat rapi dan teliti. Ibu bapa akan kekurangan tidur dan sibuk menyesuaikan diri dengan rutin baharu dengan adanya bayi. Dalam masa yang sama, mereka masih perlu bekerja dan menyelesaikan tugas-tugas lain.

Tidak hairan jika ramai ibu bapa yang memilih kemudahan untuk memastikan mereka kekal waras.

Menggunakan lampin kain datang dengan cabaran pembelajaran. Ibu bapa perlu memilih jenis kain yang sesuai untuk bayi. Terdapat pelbagai pilihan kain, jenis sarung dan kaedah melipat. Walaupun pelbagai pilihan ini baik untuk bayi, ia memberikan tekanan yang lebih untuk ibu bapa baru.

Lampin kain juga memerlukan usaha yang lebih untuk menukarnya dengan kerap, membersihkan lampin kotor dan mengeringkannya. Ia lebih mudah jika berada di rumah, namun bagaimana anda mahu menguruskannya jika berada di luar rumah seperti melancong.

Namun, jangan mudah putus asa kerana terdapat ramai ibu bapa yang menggunakan lampin sebegini dan berkongsi rutin yang mereka gunakan melalui blog dan video untuk sebagai panduan untuk orang lain.

Lampin pakai buang adalah ciptaan yang memudahkan ibu bapa. Tanpa perlu pertukaran yang kerap (namun jangan pula lalai). Menukar lampin juga kurang kerenahnya kerana anda hanya perlu membuang di dalam tong sampah tanpa perlu mencucinya. Jika bekalan lampin sudah berkurangan, anda juga boleh mendapatkannya dengan mudah di kedai terdekat.

Keputusan: Lampin pakai buang adalah lebih mudah digunakan

Kesimpulan

Lampin kain dan lampin pakai buang adalah pesaing yang sengit berdasarkan 6 perbezaan yang dibincangkan di atas. Lampin kain adalah lebih mesra alam dan murah. Lampin pakai buang pula tidak mempunyai kos tambahan lain dan serapan yang baik (bergantung kepada ibu bapa yang mahukan tahap serapan berbeza) dan mudah digunakan. Perbezaan kurang ketara apabila berkaitan dengan kesesuaian dan juga ruam lampin.

Samada anda memilih lampin kain, lampin pakai buang atau kedua-duanya sekali, amat penting untuk anda memahami kelebihan dan kekurangan kedua-duanya supaya anda boleh menyediakan yang terbaik untuk bayi anda dan mengekalkan kewarasan ibu bapa. Ketahui keperluan, peka dengan keinginan diri dan bayi dan sesuaikan diri dengan situasi baru ini. Anda pasti mampu melakukannya!

Apakah jenis lampin yang anda akan gunakan dan apakah faktor yang mempengaruhi pilihan anda? 

You May Also Like